Bismillah
Saya mengikuti dengan cermat berita
hangat ketika ini, iaitu berkaitan dengan desas desus pertukaran Menteri Besar
Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said yang
dikatakan telah berjanji dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
untuk mengemudikan Kerajaan Terengganu selama setahun sahaja bermula selepas
menang PRU 13.
Saya sebagai rakyat Terengganu,
merasakan berhak untuk mengemukakan beberapa persoalan agar jelas, apakah masalah
yang sedang melanda Kerajaan Negeri Terengganu ini. Sebagai wakil rakyat, saya
telahpun menjalankan tanggungjawab saya dengan mengemukakan soalan di dalam
Sidang Dun baru-baru ini berkenaan pertukaran MB ini. Malangnya soalan saya
ditolak oleh Dun. Oleh itu saya dengan penuh rasa bertanggungjawab mengemukakan
soalan di sini agar kita, rakyat Terengganu, sama-sama dapat memikirkan masalah
negeri kita. Pas sudah lama menyatakan kepincangan dalam pentadbiran Ahmad
Said, tetapi sayang, ramai yang tidak mahu menerimanya.
Apakah kesalahan Dato’ Ahmad Said
sebenarnya, sehinggakan beliau hendak diturunkan dari tahta MB ini? Jika kerana
berlaku penyelewengan dalam pentadbirannya seperti yang PAS nyatakan dahulu,
rakyat tidak boleh tidak, mesti dimaklumkan. Jika ada bukti, dakwa beliau di
mahkamah, lakukan pendedahan terbuka. Undang-undang kita tidak mengenal
sesiapa, besar atau kecil, bukan alasan untuk dia tidak didakwa. Kecuali
pimpinan Umno negeri yang tidak sebulu dengan Ahmad, memilih untuk menjadi
pengecut dengan mendiamkan semua penyelewengan itu, jika ada. Oleh itu ahli
Umno yang mengaku cintakan keadilan, mesti bangkit bagi membongkar segala
kepincangan ini suapya rakyat dapat menilai dan membuat satu kata putus yang
betul dalam PRU yang akan datang.
Rakyat Terengganu, saya yakin, mereka
telah muak dengan drama bersiri perbalahan dalaman Umno terutama antara “Team
Utara” dan “Team Selatan” yang kelihatannya tiada berkesudahan pasca PRU 12,
pada tahun 2008 (Kes Tuanku Sultan Terengganu digelar binatang). Sesiapa sahaja
daripada Umno yang dipilih sebagai MB, dia akan melangsungkan agenda pembaziran
wang rakyat. Oleh itu pertukaran MB ini saya percaya tidak ubah seperti menyapu
sampah ke bawah karpet, tidak akan menyelesaikan masalah. Suatu masa, sampah
itu akan menimbun dan kelihatan juga. Melainkan pembubaran Dun dibuat bagi
rakyat diberi mandat untuk memilih semula kerajaan dan sekaligus untuk MB yang
baru.
Sikap membisu Ahmad Said juga,
menambahkan lagi persoalan-persoalan ini, dan adakalanya seperti dia mengiyakan
kebenaran berita yang dicanang ini. Ini ditambah dengan sikap pimpinan Umno
negeri memperlihatkan seolah-olah mereka sedang menunggu “hari bersejarah” yang
dikatakan itu. Apatah lagi dengan kegagalan Karnival Kenyir yang sangat
memalukan Ahmad dan juga dengan kenaikan cukai pintu oleh MBKT sehingga beratus
kali ganda, memperkuatkan lagi suara-suara yang mencadangkan ianya seperti
sabotaj dari pihak-pihak tertentu bagi memalukan pentadbiran Ahmad untuk
melengkapkan jalan cerita ini.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan Perhubungan
PAS Negeri Terengganu
8 Rejab 1435 bersamaan 8 Mei 2014
0 comments:
Post a Comment