HEADER

HEADER

Monday, May 19, 2014

Cuaca panas punca terbakar

Petikan : Sinar Harian
  • Cuaca panas punca terbakar
  • Keadaan kebakaran yang berlaku di hutan belukar Wakaf Kedondong, Bukit Payong, Marang, kelmarin. Gambar kecil: Hamzah  
MARANG - Cuaca panas dan kering dikenal pasti menjadi antara punca hutan serta belukar mudah terbakar khususnya di kawasan bertanah gambut, yang turut melibatkan kawasan belukar di Wakaf Kedondong, Bukit Payong, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, kecekapan lima anggota dari Pasukan Bomba Sukarelawan Sri Payong diketuai Hamzah Long, 48, berjaya mengawal kebakaran belukar kira-kira 0.4 hektar itu daripada terus merebak.

Menurut Hamzah, tanpa perbuatan manusia sekalipun, keadaan cuaca yang terlalu panas juga boleh mencetuskan kebakaran di kawasan belukar dan hutan di daerah ini.

“Oleh itu, orang ramai diminta tidak membuat pembakaran terbuka dan menghindari perbuatan yang boleh menyebabkan kebakaran kerana dalam keadaan sekarang, kawasan kering seperti belukar dan lalang mudah terbakar.

“Hanya dengan pembakaran kecil sekalipun, api pasti akan mudah merebak,” katanya.

Kata Hamzah, jika kebakaran tersebut kecil, ia pasti boleh dipadamkan dalam masa singkat, tetapi jika sebaliknya berlaku, maka kerja mengawal kebakaran akan mengambil masa berhari-hari.

"Kebakaran dalam keadaan cuaca panas dan kering perlu dielakkan kerana kita kini menghadapi krisis bekalan air, malah kesan kebakaran juga boleh menyebabkan berlakunya jerebu yang menjejaskan kesihatan.

“Bau asap yang terlalu kuat juga mengganggu pernafasan. Jadi, marilah kita bersama mengelakkan pembakaran terbuka. Bagi mereka yang menghisap rokok pula, janganlah membuang puntung rokok di merata-rata tempat," katanya.

0 comments:

Post a Comment