HEADER

HEADER

Monday, May 12, 2014

GST dan Islam

Bismillah

Saya ingin mengajak rakyat agar berfikir tentang kesan Cukai Barangan dan Perkhidmatan - Goods and Services Tax (GST) yang telahpun diluluskan bagi menggantikan cukai Jualan dan Perkhidmatan - Sales and Services Tax (SST) dan ianya bakal menemui rakyat Malaysia pada tahun depan dengan nilai sebanyak 6%. Walaupun ahli parlimen dari Pakatan Rakyat telah berusaha berhujah dan melawan kehendak kerajaan ini dengan bersungguh-sungguh, akan tetapi kerana PR tiada majoriti di Parlimen, maka ianya diluluskan juga.

Apa yang difahamkan GST ini telah diperkenalkan oleh seorang pakar ekonomi Perancis sejak tahun 50-an lagi dan telah diamalkan oleh kebanyakan negara-negara lain sejak sekian lama. Ianya satu sistem percukaian yang dikatakan lebih efektif berbanding dengan SST. Sistem ini adalah seperti kerajaan mewakilkan pihak peniaga untuk mengutip cukai daripada rakyat bawahan. Ia juga turut dikatakan akan mengemaskan lagi sistem dan data peniaga dengan terpaksa menyimpan semua rekod dan bil-bil mereka bagi semakan percukaian.

Contohnya senang, iaitu pengilang membuat produk, akan dicaj oleh kerajaan sebanyak 6%. Oleh itu, pengilang apabila menjual produknya kepada pembekal, akan menaikkan harganya daripada harga dahulu sebanyak 6%. Kalau harga jual barang itu kepada pembekal dahulu ialah RM100, sekarang sudah menjadi RM106. Si pembekal pula akan menjual barang itu kepada peruncit juga dengan harga tambahan sebanyak 6% daripada harga dulu. Dan akhirnya peruncit akan menjual kepada pengguna dengan keadaan harga barang itu telah naik dan menjadi 6% lebih daripada harga dahulu. Untuk pengisytiharan cukai itu pula, semua peniaga mestilah menyimpan resit jual beli mereka bagi rujukan.
Tidakkah kita melihat kesan berantai cukai itu yang akhirnya akan dikenakan kepada pengguna? Itu belum dikira kepada asas harga barang yang sudah berubah naik. Nilai 6% bagi RM100 berbeza dengan 6% bagi RM200.

Dan lebih malang lagi cukai itu tidak mengenal sesiapapun samada miskin atau kaya. Walaupun diberikan jaminan bahawa GST ini hanya keatas barang mewah sahaja dan tidak akan dikenakan kepada barangan perlu seperti beras, gula, tepung dan sebagainya, tetapi percayalah, tiada jaminan yang ianya tidak akan dikenakan pada masa akan datang. Seperti biasa, apabila BN berjanji “TIDAK AKAN NAIK” maka tunggulah masanya, ia “AKAN NAIK”, pasti! Contoh trbaik ialah kenaikan harga petrol, gula, ayam dan sebagainya yang berlaku selepas PRU walaupun masa berkempen BN berjanji tidak akan naikkan harga. Rakyat faham atau tidak, GST tetap dilaksanakan kerana anggaran cukai yang bakal diperolehi oleh kerajaan ialah sebanyak satu billion lebih selepas GST dilaksanakan.

Mari kita bandingkan pula dengan sistem muamalat dalam Islam. Dalam Islam kita juga ada cukai seperti jizyah, kharaj, usyur. Akan tetapi cukai-cukai ini adalah berkadar terus dengan pendapatan orang yang dikenakan cukai itu, makin kaya dia, makin banyak jumlah cukai. Tetapi ianya TIDAK dikenakan kepada orang miskin. Apa yang menjadi masalah ialah GST atau cukai lain yang dilaksanakan oleh kerajaan terkena keatas semua rakyat miskin ataupun kaya.

Lihat sahaja cukai pintu dikenakan sehingga beratus peratus. Ini adalah kezaliman kerana rumah ialah benda asasi, juga dikenakan cukai. Sedangkan semua manusia memerlukan tempat tinggal. Dalam kitab yang al-Kabaair tulisan Imam az-Zahabi, antara dosa besar yang disebut ialah al-Maksu ialah cukai-cukai yang zalim (mengikut satu tafsiran) kerana mengambil secara zalim.

Dalam Islam, kita tidak hanya bermuamalat di atas dunia sahaja, tetapi juga di akhirat. Cukai ini adalah perkara yang bukan sahaja berkait dunia tetapi hingga akhirat. Orang miskin tidak dikenakan cukai, kecuali kerana dharurat yang mencengkam seperti perang. Mengapa begitu bersungguh-sungguh kerajaan mahukan GST ini? Jawapannya ialah negara kita sentiasa bocor kantungnya sehingga tidak diketahui kemana hilangnya duit negara. Inilah sebab utamanya.

Tapi sayang, bukan ini caranya untuk kerajaan mengutip cukai dan lebih parah mereka memberikan alasan-alasan memperbodohkan rakyat bagi menghalalkan cukai itu dikutip. Kemana hilangnya dua billion bajet tahunan bagi negeri Terengganu? Kenapa pula hutang negara semakin lama meningkat sebegitu tinggi? Laporan Audit Negara saban tahun membuktikan kepincangan pengurusan wang rakyat, tetapi laporan tinggal laporan, tiada pendakwaan dan hukuman.

Lihatlah kejahilan kita sanggup mengagungkan sistem yang dicipta barat yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam kita yang tinggi dan mulia. Apabila kita cuba mahu menengakkan Islam, maka riuh rendahlah khalayak ramai bersuara menentang, tidak adil, kuno, berlawan dengan hak asasi manusia dan sebagainya, walaupun sistem kafir yang jauh lebih menindas, ianya akan dihiasi dengan pelbagai alasan agar rakyat menerimanya. Tiada ruh dalam sistem kapitalis yang menindas lebih-lebih lagi keatas golongan yang miskin dan lemah.

 Oleh itu kebimbangan kita ialah ketika di akhirat kerana tiada perlindungan kepada orang yang menganiaya orang lain. Dalam satu hadis Muslim, dosa penzina lebih ringan dari dosa orang yang mengenakan cukai secara zalim dan tidak sebenar ke atas rakyat. Ianya kerana dosa penzina tidak melibatkan orang ramai, tetapi dosa mengenakan cukai secara zalim ialah dosa yang melibatkan rakyat yang ramai. Pelakunya mesti bertaubat dengan menghentikan cukai yang zalim ini, mohon ampun kepada Allah dan lebih utama kepada rakyat kerana dosa ini. Wallahua'lam

0 comments:

Post a Comment