HEADER

HEADER

Friday, May 2, 2014

Demi kasih sanggup bersih najis

Petikan : Sinar Harian
  • Demi kasih sanggup bersih najis
  • Dua petugas PDK Bukit Payong, Yuslaili (kanan) dan Zaleha sedang menunjukkan cara-cara mengubah bunga daripada manik sambil diperhatikan empat pelatih.
                                                                       
MARANG - Jika guru dipuji kerana banyak berkorban untuk mendidik anak bangsa, petugas di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) juga layak menerima pujian sama kerana pengorbanan mereka menguruskan insan istimewa.

Malah pengorbanan mereka bukan dibuat-buat, sebaliknya dilakukan dengan penuh kesabaran, keinsafan dan kasih sayang setanding ibu bapa pelatih itu sendiri.

Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi  itu juga menyebabkan ada petugas PDK sanggup membersihkan najis pelatih yang kebanyakannya adalah OKU.

Berkongsi pengalaman menjadi penyelia di PDK Bukit Payong, Zaini Sidek, 46, berkata, hatinya tersentuh melihat nasib golongan istimewa itu walaupun terpaksa berdepan tingkah laku pelatih yang agak agresif.

“Kadang kala mereka ini bersikap di luar jangkaan kerana kebanyakan mereka yang berumur 20 tahun ke atas ini mempunyai emosi keterlaluan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di PDK Bukit Payong di sini, semalam.


Proses pembelajaran berbeza

Zaini yang mula bertugas sejak 2001 berkata, menjaga dan mengajar pelajar istimewa lebih memenatkan berbanding pelajar normal kerana mereka belajar daripada pengalaman dan perlu ditunjukkan apa yang betul dan salah.

Justeru katanya, proses penjagaan dan pembelajaran pelatih di PDK tidak boleh dilakukan sama seperti mengajar pelajar biasa kerana mereka tidak akan memahaminya memandangkan tahap kognitif mereka berbeza dan terhad.

"Seperkara yang perlu diambil kira ialah bagaimana menangani pelatih yang kebanyakannya adalah anak-anak Sindrom Down.

"Setakat ini PDK Bukit Payong mempunyai 61 pelatih, namun hanya 39 pelatih yang mengikuti latihan di sini," katanya.

Zaini dibantu empat petugas sukarelawan iaitu Yuslaili Jusoh, 36, Zalawati Mustafa, 41,  Azrina Abidin, 31, dan Zaleha Che Ha’ad, 45.

Difahamkan kesemua mereka melatih insan istimewa di pusat tersebut tanpa gaji bulanan dan hanya menerima elaun.


Pelatih diajar berdikari

Kata Zaini, bagi memastikan latihan yang dijalankan berkesan dan paling penting dapat meningkatkan tahap kebolehan pelatih, ibu bapa juga diminta hadir pada masa tertentu untuk melihat anak mereka menjalani latihan.

Menurutnya, latihan dijalankan secara sistematik sambil menanamkan disiplin dalam diri pelatih agar mereka dapat diasuh menjadi individu yang boleh berdikari,  seterusnya mampu menguruskan kehidupan sendiri.

“Pelatih kita menerima latihan bagaimana mempertingkatkan kemampuan kendiri mereka dengan alat bantuan mengajar yang biasa digunakan untuk kanak-kanak normal dan ada juga peralatan yang khusus untuk mereka.

“Kami di PDK Bukit Payong turut melatih ibu bapa bagaimana untuk mendidik anak Sindrom Down dengan cara yang kami amalkan supaya mereka juga boleh berdikari pada masa depan,” katanya.

Bagaimanapun Zaini berkata, pihaknya hanya melatih dan tidak mengajar seperti guru di sekolah.

"Kita di sini hanya melatih mereka agar berkemahiran mengendalikan diri seperti pandai pergi ke tandas dan membersihkan diri sendiri serta boleh bercakap dengan baik.

“Perkara yang diajar itu cukup penting sebagai persediaan awal kepada mereka meneruskan kehidupan kelak,” katanya.

PDK Bukit Payong menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sumbangan daripada pihak swasta.

Bagaimanapun pusat itu masih memerlukan bantuan ikhlas untuk membiayai kos tambahan lain.

0 comments:

Post a Comment