Satu kebakaran yang melibatkan
sebuah rumah kediaman berlaku di Kampung Laut yang mengakibatkan ianya hangus
hampir keseluruhan daripada struktur rumah berkenaan.
Mangsa Noryatimah Mahmud yang
ditemui berkata ketika kejadian dia berada di tempat kerjanya di Pasar Payang
dan menerima panggilan daripada jirannya kira-kira jam 3.15 petang.
Hanya suaminya sahaja yang berada
di rumah ketika kejadian, manakala kesemua anak-anaknya keluar rumah dan beliau
bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku walaupun sedih dengan kehilangan
harta benda.
“Saya terima panggilan, masa tu
saya duduk (berada) kat (tempat) kerja lebih kurang pukul tiga suku.
Suami ada masa tu (dalam rumah)
tapi dapat panggilan tu (pemanggil) kata takdok orang, saya kata suami saya ada
tidur, balik-balik tengok takdok mende (habis musnah), ginilah keadaan,” kata
beliau dengan pilu.
Beliau yang berkerja sebagai
jurujual, telah tinggal hampir 30 tahun di kawasan itu turut menerima
kedatangan Wakil Rakyat Dun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang segera
datang sebaik menerima berita kebakaran itu.
Ustaz Mohd Nor mengucapkan
takziah serta menasihati Noryatimah agar bersabar dan kemudiannya beliau menghubungi
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meminta bantuan segera daripada JKM.
Sementara itu Ketua Operasi Jabatan
Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Haji Mohd Fauzi Muda (kiri) berkata, kebakaran
itu berjaya dikawal dalam masa kira-kira 25 minit oleh anggotanya yang seramai
12 orang.
Mereka tiba di tapak kebakaran
pada jam 3.30 petang bersama dua buah jentera dan sebuah pacuan empat roda dari
balai di Hiliran dan Wakaf Tapai yang sebahagiannya datang dari tapak kebakaran
hutan di kawasan lain.
Haji Mohd Fauzi kemudiannya
menasihatkan kepada semua lapisan masyarakat agar tidak membakar sampah atau
apa-apa tanpa dikawal kerana keadaan sekarang cuaca yang panas dan mungkin boleh
menjadi penyebab kebakaran.
Punca dan kerugian kepada
kebakaran ini, masih lagi dalam siasatan.
0 comments:
Post a Comment