HEADER

HEADER

Monday, April 14, 2014

“Ini bukan DUN Selangor, ini DUN Terengganu...!!!”


Wakil Dun Bukit Tunggal Dr. Alias Razak menempelak wakil Dun Air Putih Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar ketika wakil Air Putih itu cuba mengganggu ucapan menjunjung kasih beliau kepada Titah DiRaja.
Kejadian berlaku ketika Dr. Alias membicarakan masalah kesihatan rakyat yang bagi beliau agak teruk situasinya sekarang terutama kes denggi yang bertambah berbanding tahun lepas dengan banyak sekali.
Dalam titah ucapan Tuanku Sultan, laporan menyebutkan bahawa kes denggi di Terengganu mencatatkan peningkatan dari 48 kes tahun lepas kepada 232 kes tahun ini, satu angka yang sangat besar.
Wakil Air Putih kemudiannya bangun dan cuba membuat perbandingan dengan negeri Selangor dalam kes denggi itu dengan mengatakan dalam makluman beliau kes denggi di Selangor lebih banyak berbanding dengan Terengganu.
Dr. Alias yang kelihatan agak serius ketika menyampaikan ucapannya, membalas gangguan yang cuba dilakukan oleh wakil Air Putih itu dengan menegaskan bahawa perbahasan ini adalah dalam Dun Terengganu bukannya Selangor.
“Kita bukan dalam Dun Selangor, ini Terengganu, hak rakyat Terengganu.
Kalau Air Putih nak pergi Selangor, silakan, silakan,” tegas beliau yang membuatkan wakil Air Putih terdiam.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Terengganu turut membangkitkan isu berkaitan dengan wakil rakyat pembangkang yang dipilih secara sah dalam pilihanraya tetapi tidak mendapat penghormatan yang sesuai sebagai wakil rakyat.
Dr. Alias kemudianya mencadangkan agar wakil rakyat pembangkang turut diberikan tempat seperti dalam Majlis Pembangunan Daerah kerana mereka adalah wakil yang sah yang dipilih rakyat dan bukannya pihak lain.
Beliau bagaimanapun memuji tindakan Majlis Istiadat Dan Adat Istiadat Melayu (Maidam) yang menurut beliau memberikan hak yang sama kepada wakil rakyat pembangkang dalam menamakan penerima wang zakat.
Manakala wakil Tepoh pula, YB Hishamudin Abdul Karim menyentuh isu berkenaan perlunya diwujudkan Jawatankuasa Hisbah (pemantau) bagi memastikan nilai-nilai integriti dalam pentadbiran kerajaan dipertahankan.
Mengambil contoh pembaziran pembinaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, ketelusan dan kesungguhan kerajaan dipersoalkan apabila kos pembinaan dan baik pulih mencecah ratusan juta dan kes itu kelihatan masih tergantung.
Sebagai cadangan penyelesaian, Hishamudin kemudiannya mengajak kerajaan agar kembali kepada sistem pentadbiran Islam dengan mewujudkan sistem hisbah sebagaimana yang ditunjukkan oleh rasulullah s.a.w pada zaman baginda.
Beliau mencadangkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberikan ruang yang besar bagi mereka menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan lagi.

0 comments:

Post a Comment