HEADER

HEADER

Wednesday, April 30, 2014

Pelbagai program meriahkan Cakna Wakil Rakyat




Bukit Payong : Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Payong baru-baru ini telah berjaya mengadakan satu program kemasyarakatan yang dinamakan Cakna Wakil Rakyat.
Program itu berlangsung selama lima hari, bermula pada 23 April hingga 27 April lalu, bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara penduduk Bukit Payong dengan wakil rakyat mereka serta pengurusan cawangan-cawangan.
Menurut Pengarah Program ini Haji Zamri Sulaiman, ianya meliputi beberapa kawasan Unit Peti Undi (UPU) yang telah dipilih kali ini iaitu UPU Pekan Bukit Payong, Paya Resak, Sekolah Bukit Payong dan Mak Kemas.
Manakala bagi UPU-UPU yang lain program ini akan dirancang selepas ini kerana tidak mempunyai masa yang cukup bagi menghabiskan program ini bagi semua UPU.
Pelbagai program kebajikan telah dirancang bagi memenuhi acara bagi program ini seperti menghulurkan bantuan serta ziarah golongan yang kurang bernasib baik dan tidak ketinggalan acara sukan seperti pertandingan wau.
Manakala bagi acara keagamaan pula pihak MTD telah mengadakan kuliah ilmu, usrah, bacaan Yaasin dan tidak lupa juga ramah mesra wakil rakyat dengan penduduk seperti sarapan pagi bersama dengan wakil rakyat.
Bagi program ziarah, seramai 12 orang yang kurang bernasib baik telah dikunjungi dan bantuan serta sumbangan dihulurkan sendiri oleh Wakil Rakyat Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Sementara bagi acara sukan pula, YB Ustaz Mohd Nor telah merasmikan Pertandingan Wau Bulan Tegak yang diadakan di Kampung Surau Haji Mat Zin dengan disertai lebih daripada 320 penyertaan.
Menurut YB Ustaz Mohd Nor, beliau gembira dengan program ini, berharap agar ianya diteruskan dimasa hadapan yang mana dengan program ini, cawangan juga akan bekerja dengan lebih kuat lagi bagi mencari mereka yang kurang bernasib baik.
“Apa yang penting khidmat kita kepada masyarakat mestilah berterusan.
Walaupun tiada peruntukan khusus dari kerajaan, namun itu bukanlah satu alasan bagi kita untuk berpeluk tubuh sahaja.
Kita sebagai ahli kepada parti Islam, mestilah memberikan khidmat kerana Allah, nescaya kita akan dibantu oleh Allah dari sumber yang tidak disangka-sangka,” pesan beliau kepada para sukarelawan parti.
Biarpun dalam kesibukan dengan urusan sebagai wakil rakyat selain turut menjadi pimpian PAS negeri, YB Ustaz Mohd Nor sebelum ini, sememangnya sentiasa mengadakan ziarah terutama keatas penduduk yang kurang bernasib baik apabila dimaklumkan.
Namun dengan pogram yang terusun sebegini, memberikan lebih ruang bagi rakyat mendekati wakil rakyat kerana ianya diadakan di tempat terbuka dan juga program ini dimaklumkan terlebih dahulu kepada rakyat.
Ini jelas dapat diperhatikan apabila disemua tempat yang disinggahi oleh beliau, orang ramai tidak melepaskan kesempatan untuk bersalam ataupun bertegur sapa dengannya termasuklah dari kalangan ahli Umno sendiri.

0 comments:

Post a Comment