HEADER

HEADER

Thursday, April 17, 2014

Muslimat PAS Marang mengorak langkah PRU 14


Baru setahun Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 berlalu, tetapi semangat bagi menghadapi PRU 14 jelas kelihatan daripada kesungguhan usaha Muslimat PAS Marang setelah berjaya menubuhkan Muslimat Cawangan Sungai Serai.
Dengan tertubuhnya Muslimat PAS Cawangan Sungai Serai ini, maka diyakini usaha bagi menambah sokongan dari kalangan muslimat akan digerakkan dengan lebih kemas dan tersusun.
Majlis perasmian pelancaran itu disempurnakan oleh Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu YB Ustaz Mohd Nor Hamzah bertempat di tingkat atas Surau Sungai Serai kira-kira jam 3.30 petang Khamis lalu.
Menurut Ketua Jawatankuasa Penaja Muslimat Cawangan Sungai Serai Hasniza Ibrahim (kiri), sebelum ini Muslimat Cawangan Sungai Serai bergabung dengan Muslimat Cawangan Gondang kerana kekurangan ahli untuk bergerak.
Oleh kerana masalah itu, maka PAS Cawangan Sungai Serai,selama 14 tahun, terpaksa bergerak tanpa sayap muslimat dan perlu meminta bantuan Muslimat PAS Gondang bagi sebarang aktiviti cawangan yang libatkan wanita.
Tetapi setelah berjaya mengumpulkan kira-kira 60 orang wanita sebagai ahli, Hasniza berkata, mereka mengambil keputusan untuk menubuhkan Muslimat Cawangan Sungai Serai bagi membantu memantapkan lagi organisasi cawangan.
Tambah beliau lagi, ini adalah usaha semua pihak dalam usaha menubuhkan cawangan ini dengan mencari ahli dikalangan wanita dari rumah ke rumah.
Beliau juga yakin pihaknya akan berjaya menambahkan jumlah keahlian dengan lebih ramai lagi berdasarkan sambutan kaum wanita di situ.
Ditanya apakah aktiviti utama yang akan dijalankan oleh mereka, beliau menjawab keutamaan mereka sekarang ini ialah memperkemaskan aktiviti usrah umum bagi membentuk pemikiran ahli-ahli.
Disamping itu juga, aktiviti tahunan ketika bersama Cawangan Gondang iaitu membahagikan hamper kepada beberapa penduduk yang terpilih apabila menjelang Ramadhan akan diteruskan.
“Kita akan buat usrah umum bagi semua ahli dan akan jemput naqibah khas kita.
Biasanya bila tiba bulan Ramadhan, kita bahagi hamper.
Kalau dulu kita bahagi-bahagi dengan Gondang hamper tu, kalau ada 10, mungkin lima di Gondang dan lima di Sungai Serai.
Sekarang tertumpu kepada penduduk Sungai Serai sajalah,” ujar beliau.
Selain itu juga kempen kesedaran politik juga akan dipelbagaikan kerana Sungai Serai adalah kawasan pendalaman dan kaum wanita terutamanya wanita muda kebanyakkannya kurang peduli dengan senario politik semasa.
Cawangan Sungai Serai terletak dalam Dun Pengkalan Berangan, Parlimen Marang iaitu kira-kira 30 km dari bandar Kuala Terengganu.

0 comments:

Post a Comment