Umno Terengganu sewajarnya menyelesaikan masalah dalaman mereka dengan
baik dan berlapang dada tanpa mencari kambing hitam untuk mengheret pihak lain
dalam kancah permasalahan mereka.
Sikap menyalahkan pihak lain bagi
mengalihkan perhatian masyarakat terhadap isu dalaman mereka adalah sikap yang
tidak bertanggungjawab apatah lagi apabila tuduhan itu dibuat tanpa bukti.
Nasihat itu dinyatakan oleh Ketua
Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) YB Ustaz Mohd Nor
Hamzah bersabit dengan isu yang sedang hangat diperkatakan di Terengganu iaitu
penukaran Menteri Besar.
Dalam satu laporan portal berita
beberapa hari lalu, Exco Terengganu yang juga Adun Hulu Besut Nawi Mohamad
menuduh isu pertukaran MB itu adalah satu isu yang sengaja ditimbulkan oleh
parti lawan.
Nawi yang dikatakan antara nama
yang disebut-sebut bagi menggantikan Ahmad, dahulunya adalah ‘orang’ bekas MB
Terengganu Dato’ Seri Idris Jusoh.
Bagi Ustaz Mohd Nor, perubahan
sokongan dari ‘Team Idris’ kepada ‘Team Ahmad’ ini tidak menghairankan kerana
budaya Umno ialah siapa yang beri makan, dialah ketua.
Ustaz Mohd Nor Hamzah menjelaskan,
satu soalan berkaitan dengan isu pertukaran MB telah diajukan kepada kerajaan
dalam sidang Dun baru-baru ini.
“PAS bersikap ‘gentleman’ apabila
kita mengemukakan persoalan penukaran jawatan Menteri Besar ini di dalam Sidang
Dun baru-baru ini untuk kepastian.
Tapi malang bagi rakyat
Terengganu kerana peluang keemasan bagi kerajaan menjawab khabar angin itu dilepaskan
dengan menolak soalan saya itu sekaligus membuka pintu spekulasi yang tidak
sepatutnya.
Jadi saya nak nasihatkan Adun
Hulu Besut supaya berhati-hati dalam membuat tuduhan dan kelihatan dia hanya
mahu menutup pekung Umno dengan menyalahkan pihak lain.
Mungkin dia lupa dengan usul yang
dibawakan oleh kawan dia dari Kota Putera dalam Sidang Dun lepas untuk menyuruh
kerajaan mengambil tindakan terhadap penyebar khabar angin,” ujar beliau sinis.
Ditanya lanjut pandangan beliau
berkenaan isu ini, Ustaz Mohd Nor berkata, Pas tidak yakin hal (pertukaran) ini
berlaku apabila melihat keadaan semasa dan kekuatan sendiri yang dimiliki oleh
Dato’ Seri Ahmad Said.
Ini dapat diperhatikan dengan
Ahmad masih berleluasa menggunakan kuasa dengan membelanjakan duit rakyat bagi
menjayakan projek-projeknya yang tidak perlu seperti projek di Tasik Kenyir,
Mini Zoo, Bukit Besi, bas dua alam dan lain-lain.
Juga tambah beliau kelemahan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat masih tidak mampu
mengawal Ahmad Said sejak perbalahan terbuka Ahmad dengan Idris.
Hal ini berkemungkinan Ahmad
mempunyai sesuatu yang mungkin boleh dianggap senjata sulitnya untuk menangkis
serangan pihak yang cuba menjatuhkan beliau.
Ini ditambah dengan barisan
kepimpinan Umno Terengganu yang ada sekarang, pada pendapat mantan Ketua Pemuda
PAS Negeri Terengganu itu, masih belum ada yang mampu menandingi kehebatan
Ahmad Said.
“Atas alasan-alasan tersebut,
saya yakin Dato’ Ahmad tidak akan ditukar walaupun terdapat desas desus
sebegitu.
Yang kita takut, khabar ini sengaja
disebarkan oleh pihak yang ingin menjatuhkan Dato’ Ahmad sehingga ditulis dalam
akhbar mereka, Utusan Malaysia.
Jika cerita ini dimainkan Utusan
Malaysia sendiri, adakah lojik ianya datang dari pembangkang?,” tanya Ustaz
Mohd Nor.
0 comments:
Post a Comment