Pelbagai gaya yang ditunjukkan oleh peserta ketika menaikkan wau masing-masing
Wau bulan adalah
satu nama yang tidak asing lagi kepada masyarakat Malaysia terutama kaum Melayu
dan ianya adalah salah satu daripada kebudayaan dan kesenian rakyat Malaysia.
Permainan ini
sangat diminati pada suatu masa dahulu, terutamanya bagi mereka yang berkerja
sebagai pesawah yang menunggu musim hujan sebelum memulakan semula tanaman padi
mereka suatu ketika dahulu.
Malah, permainan
wau ini bukan sahaja tertumpu kepada golongan pesawah, ianya turut disertai
oleh golongan nelayan, peniaga dan hampir kesemua lapisan masyarakat sekeliling
pada waktu itu.
Ketika musim
kering dan berangin kencang seperti sekarang ini, ia menjadikannya waktu yang sangat
sesuai bagi melangsungkan pertandingan
ataupun pesta wau terutama bagi penduduk di sekitar pantai timur.
Seni budaya
turun temurun ini masih dipertahankan oleh golongan tua yang memperturunkan
kemahiran cara membuat wau, kemahiran menaikkan wau dan sebagainya yang
berkaitan kepada golongan muda.
Mengambil
langkah demi untuk mempertahankan seni khazanah melayu ini maka, Pemuda PAS Dun
Bukit Payong telah mengadakan Pertandingan Wau Bulan Tegak di Kampung Surau
Haji Mat Zin baru-baru ini.
Ianya bersempena
Program Cakna Wakil Rakyat iaitu satu program yang dibuat bagi mempereratkan
lagi hubungan antara wakil rakyat dan pengurusan PAS di cawangan-cawangan di
Dun Bukit Payong dengan penduduk setempat.
Menurut Ketua
Penyelaras Pemuda PAS Dun Bukit Payong, Ustaz Zakaria Ismail, pertandingan ini
adalah salah satu cara Pemuda PAS membantu mengekalkan keindahan seni budaya
agar tidak luput ditelan zaman.
Tambah beliau
lagi, bukan dari aspek kesenian sahaja, pertandingan ini juga sekaligus
merapatkan lagi hubungan sesama penduduk terutama pemuda selari dengan tema
pertandingan iaitu Pemuda Penggerak Perubahan.
Sebanyak lebih
360 buah wau disenaraikan dalam pertandingan itu bagi merebut hadiah
keseluruhan berjumlah RM 1200.
Untuk mengetahui
bagaimana pemenang ditentukan, pertandingan ini dimainkan berdasarkan wau yang
paling tegak naiknya dengan diukur menggunakan kayu pancang serta pembaris
beberapa kali dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
Daripada
bacaan-bacaan itu, perserta akan memilih bacaan tertinggi untuk dibandingkan
dengan bacaan peserta-peserta lain.
Dalam
pertandingan ini juga, tali tidak dibolehkan dipanjangkan atau dipendekkan
sesuka hati oleh peserta ketika membuat bacaan dan pengadil telah menandakannya
bagi menyeragamkan panjang tali.
Dengan
meletakkan busur bertali di leher wau bulan itu, maka bunyi wau akan dihasilkan
akibat geseran tali busur dengan angin yang mengujakan peserta dan penonton
sekaligus memberikan lebih kemeriahan pertandingan ini.
Pertandingan ini
telah dirasmikan oleh wakil rakyat Dun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
manakala majlis penutupan serta penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh
Ustaz Zakaria Ismail.