HEADER

HEADER

Friday, September 19, 2014

Pemuda dan Ulamak hangatkan perbahasan sesi petang

Muktamar PAS ke-60 :

Walaupun Timbalan Mursyidul Am telah memberikan nasihat agar menghentikan perbahasan isu-isu berkaitan hal dalam parti, namun masih ada juga ucapan-ucapan yang disifatkan melawan nasihat itu.
Paling ketara apabila wakil Pemuda PAS Malaysia, Sany Hamzah yang dengan agak lantang masih membangkitkan perlakuan beberapa rakan pemuda yang meninggalkan dewan ketika ucapan perasmian oleh Timbalan Presiden PAS tempohari.
Beliau kemudiannya membangkitkan pula isu pemilihan jawatan Menteri Besar Selangor dan mencadangkan supaya PAS menolak jawatan itu sekiranya sultan Selangor  menyerahkannya kepada wakil rakyat PAS.
Hal ini menimbulkan sedikit kekecohan dari perwakilan dan ramai yang menjawab “Tidak” apabila Sany bertanyakan setuju atau tidak dengan cadangannya itu.
Keadaan menjadi sedikit hingar bingar tetapi Pengerusi Tetap Muktamar Ustaz Abu Kassim Abdullah yang kaya dengan pengalaman itu berjaya mengawal keadaan dan semua perwakilan kembali bertenang.
Sementara itu, berlawanan dengan suara pemuda, Dewan Ulamak PAS melalui wakilnya Ustaz
Mokhtar Senik (kanan), mempertegaskan suara ulamak yang menyokong penuh kepimpinan presiden.
Pun begitu, Ustaz Mokhtar turut menjadikan perbahasannya sebagai membalas kutukan-kutukan dari pihak-pihak yang berkepentingan yang beliau anggap sebagai penghinaan kepada golongan ulamak.
Sambil beliau mengumpamakan tindakan sesetengah pihak terhadap ulamak seperti mengangkat bola tanggung dan kemudian melakukan “smash” ke atas mereka.
Namun beliau kembali kepada asas perbahasan dengan menekankan istiqamah jemaah ini dan sikapnya semestinya hanya di dalam Islam dan bukan dengan ideologi-ideologi lain.
“ Apa sebenar sikap kita?,” Soal beliau.
“Bila Erdogan menang di Turki, kita nak jadi Erdogan. Bila PKS menang di Indonesia, kita nak jadi PKS. Bila Jokowi menang, kita nak jadi Jokowi.
(Kita) mesti terus istiqamah walau apapun kemelut yang kita hadapi,” tegas beliau.
Sambil memetik sepotong hadis berkenaan ketaatan kepada pemimpin, beliau mengajak ahli-ahli PAS agar terus berpegang dengan Islam kerana tiada jalan pintas lain bagi mencapai kemenangan selain dari jalan Islam.
Ahli-ahli juga diingatkan agar mematikan segala fitnah berkaitan Unity Government (UG) dihapuskan dengan penegasan presiden dalam ucapan dasarnya bahawa PAS tidak akan bergabung dengan Umno.
Perbahasan capan dasar presiden telah diterima sebulat suara oleh semua perwakilan, walaupun ada kedengaran desas desus ada pihak yang mungkin menolak ucapan dasar itu.

0 comments:

Post a Comment