HEADER

HEADER

Thursday, September 18, 2014

Lapan Saranan Istiqomah Presiden PAS

Petikan : Buletin Online
Berita Muktamar PAS Ke-60

 
Bagi mengukuhkan kedudukan dan keaslian dasar perjuangan PAS, maka kita wajib beristiqamah bersama Islam serta berpegang kepada dasar yang digariskan dalam perlembagaan PAS. Ianya menggariskan bahawa hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMA’ ULAMA dan QIYAS.
 
Menurut Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, istiqamah dalam perjuangan ini memberi makna yang jelas bahawa sebarang tindakan kita, samada dalam aspek politik, dakwah, tarbiyah; semuanya mestilah dalam panduan hukum yang tertinggi ini, manakala batasan pegangan PAS ini hendaklah berpandukan konsep Tafaqquh Fi al-Din.
 
Katanya, para pemimpin yang terdahulu daripada kita telah meletakkan asas yang kukuh dalam Perlembagaan PAS menerusi nukilan Fasal 3 dan 7 yang memperincikan tentang Hukum, Kekuasaan dan Majlis Syura Ulama. Ianya diikuti oleh Fasal 8 yang mewajibkan penubuhan Majlis Syura Ulama dengan tugas dan fungsinya yang jelas.
 
“Semuanya wajib difahami dan diamal oleh seluruh ahli dan khususnya kepimpinan di semua peringkat.”kata beliau ketika menyampaikan ucapan dasar dalam majlis perasmian Muktamar PAS kali ke-60 di sini.
 
Beliau telah menyenaraikan lapan saranan istiqamah yang wajib dilaksanakan oleh ahli-ahli dan penyokong PAS, sebagaimana dibawah:
 
ISTIQAMAH TERHADAP DISIPLIN ILMU DAN TARBIYAH
Kita mestilah meletakkan agenda ilmu dan beramal dengan ikhlas, bersama konsep tarbiyah yang sangat penting dalam parti. Tarbiyah mendidik diri masingmasing dengan ilmu dan kefahamannya, mengeratkan hubungan kita dengan Allah, hubungan dengan jamaah sendiri dan ahli, hubungan dengan semua kumpulan Islam dan anggota masyarakat majmuk yang wajib diselamatkan bersama Islam dengan rahmat Allah dan adilnya.
 
Tarbiyah mengikut acuan Allah ialah, ilmu fardu ain dalam aspek aqidah, syariat dan akhlak secara menyeluruh menjadikan kita beristiqamah. Ilmu dan amal yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim dan muslimah, ilmu yng diimani dan di amalkan, serta diperjuangkan demi menegakkannya dengan penuh keikhlasan. Ada pun mendalami Islam secara feqah dan semua ilmu keperluan duniawi berpandukan Islam adalah menjadi fardu kifayah bagi kewajipan yang memampukan kita melaksanakan risalah (mesej) rahmat Islam terhadap semua.
 
Kita telah berjaya menggabungkan semua kalangan ilmuan ini sejak mula ditubuhkan, sehingga PAS kaya dengan semua kepakaran terkini. Namun peningkatannya wajib dilakukan dalam semua aspek ilmu dan tarbiyah secara istiqamah. Untuk mendapat petunjuk dari Allah S.W.T. maka kita wajib memohon pertolongan Allah pada setiap rakaat salat :
 
Engkaulah sahaja (Ya Allah)yang kami sembah dan kepada engkaulah kami memohon pertolongan.Tunjukilah kami jalan yang lurus.Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka,bukanlah (jalan)orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan)orang-orang yang sesat.
 
ISTIQAMAH PAS DALAM MUWAJAHAH SILMIYYAH
 
Kita berada dalam bahtera negara yang sangat mencabar, bukan sahaja dikelilingi gelombang hubungan antara bangsa yang sangat bergelora, bahkan keadaan dalam negara ini sendiri yang sangat bercelaru, kerana tidak diurus dengan baik dan bijak.
 
Walau pun begitu PAS tetap tegas memilih pendekatan muwajahah silmiyyah bersama konsep Demokrasi walau pun banyak ketempangannya. Apa yang nyata ialah kita menghadapi kelemahan dalaman umat sendiri dan tanahair tempat kita berpijak, sangat berbeza dengan musuh asing yang datang menyerang dan menjajah. Inilah sabda Rasulullah S.A.W :
 
(Bandingan orang yang tegak di atas sempadan Allah dengan orang yang menceroboh ke dalamnya laksana satu kumpulan yang menaiki kapal bahtera. Maka ada kalangan berada di atas dan ada kalangan yang berada di bawah. Jadilah kalangan berada di bawah itu kalau memerlukan air terpaksa melalui kalangan yang berada di atas mereka. Lalu mereka berkata : “Kalau kita tebukkan sahaja kapal ini tanpa mengganggu sesiapa yang ada di atas kita ?. Kalau dibiarkan kapal ditebuk mengikut kemahuan itu, nescaya semuanya binasa (tenggelam), kalau dihalangnya daripada menebuk kapal, nescaya semuanya selamat”.
 
Di sinilah PAS beristiqamah sehingga kita bersyukur apabila mencapai kejayaan walau pun sedikit peluang dan masanya, dan bersabar apabila belum mencapai kejayaan kerana banyak halangannya. Namun PAS tidak menjadikan rakyat yang lemah sebagai mangsa yang disalahgunakan untuk mendapat kuasa, atau sama ada kerana ingin menang dengan gopoh, atau tidak bersabar menunggu kemenangan yang dijanjikan oleh Allah, sehingga sanggup melakukan apa sahaja, walau pun rakyat yang lemah menjadi mangsa ditipu, dibeli dan dikacau atau tanahair ini menjadi bahtera yang ditenggelamkan.
 
Ahli – ahli PAS wajib teguh dan bersabar walau pun terpaksa menghadapi kesulitan perjalanan yang jauh kerana amalan demokrasi yang tidak adil dan berdepan dengan rakyat yang jahil ilmu dan maklumat . Cabaran ini semua wajib dihadapi dengan istiqamah dan bersabar dengan penuh kebijaksanaan.
 
Perjalanan yang sangat mencabar ini, sebenarnya membersihkan Jamaah Islam seperti PAS daripada anasir hipokrit dan yang lemah imannya, dari individu yang tidak sabar dalam tindakan sehingga tidak istiqamah dalam perjuangan ini.

Mereka sebenarnya adalah golongan yang tidak sabar dalam perjuangan. Marilah kita menghayati firman Allah :
 
Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah
dengan (nama) Allah: “”Jika kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu”” Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta. [at-Taubah : 42]
 
MEMAHAMI IJTIHAD PAS : ISTIQAMAH DALAM TAHAALUF SIYASI
 
Sejarah perjuangan panjang PAS dalam persada politik tanahair bukan sahaja membekalkan kepada kita ilmu bahkan pengalaman yang tidak banyak diperolehi oleh gerakan Islam lain. Penglibatan PAS dalam sistem demokrasi memberi ruang kepada kita untuk melebar sayap pengetahuan tentang sistem politik Islam kepada rakan – rakan gerakan Islam lain di seluruh dunia. Manakala pengalaman kita mengadakan pelbagai tahaaluf dengan hampir semua parti politik utama dalam negara sejak tahun lima puluhan, dan terkini tahaaluf bersama Pakatan Rakyat, di samping penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), adalah merupakan khazanah kekayaan sistem politik Islam yang sangat mahal harganya.
 
Tahaaluf yang dilaksanakan ini mestilah memperkuatkan parti, dan bukan sebaliknya. Amat malang bagi kita sekiranya tahaluf ini menyebabkan ada pihak yang cuba melemahkan kita, mengkucar – kacirkan kita, sehingga ada yang pening dan mabuk lantaran sanggup berlawanan sesama sendiri.
Kerjasama politik bukan bermakna kita menyerap masuk ke dalam sistem lain, atau parti lain, sehingga hilang prinsip dan jati diri kita, atau hanya menjadikan ukuran kemenangan semata-mata sebagai matlamat, sehingga menghilangkan dasar parti bagi pelaksanaan Islam. Matlamat kemenangan mesti digunakan bagi memperteguhkan prinsip Islam yang bersifat syumuliyyah.
 
Saya ingin mengingatkan pimpinan dan ahli parti, bahawa perjuangan kita adalah kerana Allah. Perjuangan kita kerana Islam, perjuangan kita adalah mata rantai sejak zaman Rasulullah S.A.W. Perjuangan ini mestilah berada di atas landasan syarak dan memperolehi pahala di sisi Allah. Bukan sekadar politik biasa sebagaimana yang difahami oleh Barat. Paksi perjuangan kita mestilah teguh dan kukuh kerana ianya berpaksikan kepada aqidah tauhid.
 
Inilah keindahan siyasah Islam kerana membenarkan tahaaluf antara mana – mana golongan yang tidak memusuhi Islam. Prinsip tahaaluf ini membuktikan Islam bukanlah agama ekstrem sebagaimana yang dijaja oleh media barat. Sebagai sebuah gerakan yang berpaksi kepada al-Quran dan Sunnah, maka setiap langkah tahaaluf kita mestilah mempunyai sandaran dan terikat dengan syarat-syarat tahaaluf yang berpaksi kepada kedua sumber tersebut, tanpa merugikan kepentingan Islam. Firman Allah :
 
Maksudnya : “Bertolong bantulah kamu dalam kebaikan dan taqwa, dan jangan kamu bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya” [al-Maaidah : 102]
 
Oleh yang demikian, dengan merujuk kepada syarat – syarat tahaaluf yang diputuskan oleh majlis Syura Ulama PAS serta hukum tertinggi PAS, maka PAS akan terus istiqamah dengan tahaaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat selama mana tidak berlaku pelanggaran syarat yang telah digariskan. Justeru Nabi Muhammad saw telah mengajar kita :
 
“Seorang muslim wajib menunaikan persyaratan yang telah disepakati kecuali persyaratan yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.” (HR. Muslim).
 
Sepanjang sejarah perjuangan PAS, kita tidak pernah khianat kepada rakan tahaaluf kita, maka kita minta rakan tahaaluf kita juga tidak mengkhianati tahaaluf ini. Sebagai sebuah parti politik besar, apa jua rancangan besar mestilah diputus bersama sebelum ianya dilaksanakan.
 
Dalam masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa tohmahan kononnya PAS mahu menyertai UMNO atau bergabung dengan UMNO menyertai BN adalah api fitnah yang dicetus oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk merosakkan reputasi perjuangan Islam dan memecah belahkan keutuhan jamaah kita. Namun sebagai sebuah jamaah Islam yang membawa rahmat kepada semua, kita tetap berpegang kepada prinsip Islam dan terus beristiqamah untuk memelihara perpaduan ummah berasaskan tali Allah.
 
PAS juga tetap menghubungkan silaturrahim dengan semua pihak berpandukan kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah, saling bantu membantu dalam usaha menegakkan syariat, membuka ruang dialog dan wacana demi kebaikan dan masa depan ummat Islam Firmah Allah :
 
Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. [al-Imran : 103]
 
ISTIQAMAH DALAM MENYANTUNI MASYARAKAT MAJMUK
 
Walau pun tanahair kita ini mempunyai sumber alam kurnia Allah yang kaya raya, tenaga manusia masyarakat majmuk berbagai kaum, budaya dan kebolehan, namun ianya masih diolah dengan cara yang salah oleh kepimpinan negara kita. Sepatutnya dengan sumber – sumber yang ada dan kemampuan yang tersedia, ianya akan membolehkan kita merdeka dari berkiblatkan kepada timur dan barat. Tetapi apabila ianya tidak dimanfaatkan dengan cara yang betul, maka sumber yang berfaedah itu menjadi sia-sia dan masa sudah lama terbuang, walau pun dikatakan merdeka daripada penjajahan asing sejak lebih daripada setengah abad.
 
Inilah akibatnya apabila kita masih meneruskan agenda penjajah yang dijadikan pusaka oleh kalangan tertentu yang masih bertapak mempertahankan kuasa dengan apa sahaja tanpa melakukan perubahan dan islah walau pun tanpa maruah diri kerana sarat dengan kesalahan dan kelemahan. Akhirnya kita berterusan berada dalam kepompong sistem warisan penjajah walau pun bebas daripada penjajah ketenteraan dan imperialis asing, namun kita masih dibelenggu dengan penjajahan pemikirannya.
 
Masyarakat majmuk yang sengaja diatur oleh penjajah dahulu adalah bertujuan untuk meneruskan masalah perpecahan kaum yang sentiasa diapi-apikan, bagi mengekalkan peluang mereka menjajah lagi secara halus. PAS menerima kepelbagaian masyarakat dalam negara kita ini sebagai jalan untuk saling kenal mengenal dan memperkuatkan di antara satu sama lain. Sepatutnya kita berpegang kepada konsep berbagai kaum yang ditunjuk oleh Al Quran :
 
(Wahai manusia !, Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan kami jadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku kaum, supaya kamu berkenalan di antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia kalangan kamu di sisi Allah, ialah orang yang paling bertaqwa (mentaati Allah). Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha mendalam pengetahuannya) [al-Hujurat : 13].
 
Islam juga memperkenalkan konsep masyarakat madani secara sejagat, dalam amalan politik, ekonomi dan social, dengan ilmu dan berakhlak tanpa paksaan dalam perkara agama dan budaya dan saling mengerti. Kita juga sedar bahawa ada perbezaan bangsa dan agama serta pertembungan budaya dan tamadun di antara satu sama lain, tetapi Islam berjaya menyelesaikan masyarakat majmuk melalui pendekatan banyaknya titik persamaan dari segi fitrah kemanusiaan dan keperluan hidup bermasyarakat.
 
Diantaranya ialah memperkenalkan konsep adil terhadap semua yang menjadi ciri ketakwaan dalam ajaran Islam yang meninggikan martabat manusia di sisi Allah.Firman Allah :
 
Wahai orang-orang yang beriman, Jadilah kamu orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan jangan sekali-kali dengan sebab kebencian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dengan mendalam apa-apa sahaja yang kamu kerjakan [al-Ma’idah : 8].
 
Sebab itulah kedatangan Islam ke negara lain dinamakan Futuhat (pembukaan untuk pembebasan daripada kezaliman), bukannya Isti’mar (penjajahan). Kerana pemerintah Islam tidak memperhambakan rakyat dan merampas harta rakyat dan harta negeri yang dikuasai, konsep yang sangat berbeza dengan penjajahan (Imperialisme) yang dilaksanakan oleh penaklukan barat terhadap negara lain, dan kerajaan zalim daripada bangsa sendiri.
 
ISTIQAMAH TERHADAP PRINSIP DALAM BERNEGARA
 
Islam juga telah memberi sumbangan besar kepada tamadun dunia yang maju pada hari ini dengan mengambil segala yang baik dan positif daripada tamadun semua bangsa sebelumnya yang bertembungan, bertukar kepada pertautan dengan konsep menerima segala yang ma’aruf dan menghapuskan segala yang mungkar dalam seluruh kehidupan manusia, serta mencari dan mengekalkan kebijaksanaan kaum lain, walau pun daripada kalangan bukan Islam, kerana sabda Rasulullah S.A.W :
 
Kebijaksanaan itu laksana barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana sahaja dia menemuinya, maka dialah yang berhak (mengambilnya).
 
Islam tidak memaksa perkara yang haram dalam ajaran Islam terhadap pihak lain dan mereka juga diwajibkan menjaga sensitiviti umat Islam. Amalan menghormati agama lain ini telah berlaku dalam masyarakat Islam terhadap bukan Islam sehingga kini. Hal ini dapat difahami oleh penganut Islam yang sebenar walau pun dalam keadaan negaranya tidak beramal dengan syariat Islam yang sempurna.
 
Di zaman Islam menjadi kuasa besar dunia, berbagai bahasa termasuklah bahasa Arab, Turki, Farsi, Urdu pernah menjadi bahasa rasmi negara berkenaan, bahkan bahasa Melayu tulisan jawi menjadi bahasa rasmi alam Melayu. Tamadun Islam pula berjaya ditegakkan dengan kemajuan ilmu semasa. Mengapa kini kita tidak mampu memperkasakan bahasa Melayu yang hanya diisytiharkan menjadi bahasa kebangsaan, tetapi dalam pelaksanaannya dipinggirkan ?. Walau pun bahasa ini telah menjadi bahasa perantaraan di rantau ini. Ini adalah salah satu contoh kegagalan kerajaan yang ada ini setelah memerintah lebih dari setengah abad.
 
Apa yang sepatutnya berlaku ialah, bahasa asing ini digunakan untuk mendapat dan memperluaskan ilmu, dan bukannya dipaksakan ke atas semua rakyat. Ada pun mengilmukan rakyat hendaklah dengan bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda kaum masing-masing. Firman Allah :
 
"Dan di antara tanda-tanda (ketuhanan Allah) ialah ciptaan langit dan bumi, dan berbagai-bagai bahasa dan warna kalangan kamu. Sesungguhnya itu semua adalah menjadi dalil-dalil yang ditunjukkan kepada orang-orang yang berilmu"[ar- Rum : 22].
 
Islam juga mengharamkan assobiyyah. Assobiyyah bermakna taksub terhadap kaum dan bangsa sendiri walau pun berlaku zalim. Perkara ini ditegaskan oleh sabda Rasulullah S.A.W.
 
"Bukan daripada kalangan kita orang yang mengajak kepada asobiyyah, bukan daripada kalangan kita orang yang berperang diatas dasar asobiyyah dan bukan daripada kalangan kita orang mati kerana asobiyyah".
 
ISTIQAMAH MERUBAH KONSEP YANG SALAH
 
Pemisahan agama daripada urusan kehidupan manusia (way of life) dengan sistem pelajaran, pendidikan dan media maklumat adalah merupakan satu konsep ciptaan sekularisma barat yang tidak mampu menangani pekembangan ilmu sains dan teknologi yang berlaku dalam tamadun barat di waktu ini. Dasar, sistem dan konsep pendidikan sedia ada pula masih gagal membangun insan yang sebenar, kerana membekal ilmu tanpa roh, iman dan akhlak.Semuanya kerana melaksanakan sistem pendidikan mengikut acuan sekularisme yang memisahkan ilmu daripada iman dan akhlak, dunia dan akhirat. Urusan keduniaan dipisahkan daripada agama. Pada hal Allah telah meletakkan acuannya dalam wahyu pertama kepada Rasulullah S.A.W.Bacalah dengan nama Tuhan mu yang telah menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah (campuran mani lelaki dan perempuan).
 
Bacalah dengan nama Tuhan mu Yang Paling Mulia. Dia telah mengajar manusia dengan kalam (alat tulis). Dia telah mengajar manusia apa-apa yang manusia tidak tahu. [al-‘Alaq : 1- 4].
 
Allah Tuhan pencipta alam seluruhnya, mencipta manusia dengan sifat fitrah yang diletakkan di alam bumi dengan tugas hamba Allah yang memakmurkannya dengan rahmat dan adil. Allah juga telah menetapkan kepada manusia, acuan ilmu yang mentarbiyah mengikut fitrahnya, disertakan kemampuan dan panduan yang betul. Konsep dan sistem yang menghubungkan manusia sesama mereka dan juga dengan makhluk yang lain di alam langit dan bumi, berprinsipkan iman kepada Tuhan pencipta alam dan beriman kepada adanya hari akhirat.
 
Kemusnahan semua kuasa besar yang paling kaya, kuat dan maju adalah apabila terkeluar daripada acuan Allah yang dibawa oleh para Rasul a.s. Maka PAS wajib beristiqamah di atas acuan Islam, tanpa peduli sama ada orang lain percaya atau tidak. Apa yang paling menyedihkan kita ialah, di atas sifat gagalnya kita mendalami khazanah sumber Islam yang kaya itu, maka ada di kalangan masyarakat kita beranggapan bahawa ideologi ciptaan manusia seperti komunisme, sekularisma, sosialisma, kapitalisma dan seumpamanya ini sebagai tidak bersalahan dengan panduan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, maka PAS mestilah menjadi benteng umat Islam dari dirosakkan oleh penularan ideologi ciptaan manusia dari bercambah dalam masyarakat kita ini.
 
ISTIQAMAH MEMPERJUANGKAN SYARIAT ALLAH
 
Ketidak stabilan politik, ekonomi dan sosial berlaku apabila adanya manusia yang berlagak Tuhan yang maha suci daripada segala kelemahan dan kekurangan.Keadaan ini berlaku apabila acuan sekularisma menjadikan kefahaman bahawa urusan dunia dipisahkan daripada agama yang meletakkan aspek kuasa Allah dan adanya kepercayaan hari akhirat dengan perhitungan dosa dan pahala. PAS mengajak seluruh manusia dan umat Islam secara khusus supaya kembali kepada Syariat Islam yang sempurna tanpa kongkongan terhadap akal, pengalaman dan kajian ilmu kurnia Allah kepada mereka.
 
Islam menggalakkan kepada menggunakan akal, menuntut ilmu dan membuat kajian di seluruh pelusuk bumi dan angkasa lepas, namun Allah yang memberi rahmatNya melimpah ruah terhadap manusia tidak membiarkan mereka hanyut dengan sebab kelemahan makhluk yang tetap ada pada diri mereka. Maka kitab Allah yang dibawa kepada umat ini iaitu Al Quran, adalah kurnia Allah yang wajib menjadi petunjuk yang di imani dan diamalkan. Hanya orang-orang yang beristiqamah sahaja menerima petunjuk ini. Firman Allah :
 
Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab dengan benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.
 
Berasaskan kepada hakikat inilah, maka PAS tetap istiqamah dalam memperjuangkan isu syariat Islam, termasuklah juga isu-isu pendidikan dalam negara kita, isu hubungan federalism yang lebih adil, pengagihan kekayaan dan sumber negara secara lebih adil, isu royalti petroleum ke negeri-negeri yang berterusan menjadi agenda penting, memupuk perpaduan kaum, dan menolak undang-undang yang bersifat zalim dan menindas. Agenda-agenda ini akan diteruskan menerusi Lajnah-Lajnah, PAS Negeri dan menerusi pembentukan jawatankuasa yang berkaitan.
 
ISTIQOMAH MENGISLAH EKONOMI NEGARA
 
Kerajaan baru sahaja mengumumkan prestasi terkini ekonomi Malaysia iaitu pertumbuhan 6.4% untuk separuh pertama tahun 2014. Namun secara keseluruhannya daya tahan ekonomi Malaysia masih belum kukuh dan mempunyai daya tahan yang sepatutnya. Ini mengambil kira hutang sektor awam yang masih tinggi dan defisit bajet negara yang masih tinggi. Secara umumnya, Pas istiqamah untuk membangunkan sebuah sistem ekonomi berteraskan khazanah Islam yang sangat luas sehingga benar-benar dapat memobilisasi sumber-sumber kekayaan negara dengan baik dengan menggunakan ‘modal insan yang terlatih’ dan berakhlak, sehingga lahirnya kemakmuran dalam negara dan kesejahteraan rakyat.
 
PAS istiqomah dalam mendukungi matlamat membangunkan sebuah ‘Negara Berkebajikan’ yang bakal melahirkan suasana kemakmuran yang dikecapi oleh semua golongan rakyat. PAS sekaligus komited untuk terus berusaha membenteras kewujudan jurang kaya-miskin yang semakin melebar serta pembolotan kekayaan negara oleh segelintir manusia yang tersangat-kaya akibat dari amalan memanipulasi pasaran. Inilah yang menyebabkan tidak berlakunya persaingan sihat dan terbuka serta diparahkan lagi dengan amalan kronismenepotisme dan terbelenggu dengan penyakit ketirisan seperti yang laporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara saban tahun.
 
PAS mendesak supaya kerajaan membatalkan pelaksanaan GST kerana ekosistem ekonomi Malaysia dan suasana mikro/makro ekonomi Malaysia masih tidak bersedia untuk GST. PAS mahukan sistem cukai pendapatan dikaji semula kerana wujud ketidakadilan dari segi cukai yang dikenakan kepada golongan berpendapatan sederhana (middle-income) berbanding yang sangat kaya. Kesemua ini, termasuk menghentikan pemberian AP kepada kroni-kroni, pastinya mampu menjana hasil untuk negara daripada langkah GST yang membebankan semua rakyat secara langsung.
 
Pengumuman Perdana Menteri tentang pertumbuhan KDNK 6.4% dalam suku kedua 2014 serta pengisytiharan yang dibuat seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa pendapatan purata rakyat Malaysia telah mencecah RM5,900 sebulan adalah “propaganda angka” yang biasa sahaja dilakukan kerajaan BN. Apakah makna angka-angka ini kepada rakyat teramai ?.
 
Kepada rakyat teramai, mereka mahu tahu mengapa negeri-negeri seperti Sabah, Sarawarak, Terengganu dan Kelantan, adalah negeri-negeri termiskin di Persekutuan Malaysia, sedangkan negeri inilah yang paling kaya di segi hasil minyak dan dan gas serta kayu-kayan dan logam? Mereka tak mahu tahu tentang angka yang tidak ada erti dengan kehidupan mereka yang terbeban dengan kos saran hidup yang tinggi dan bakal di ’Gasak Sampai Tumbang’ oleh GST tahun depan?
 
PAS mahu Kerajaan bertanggungjawab terhadap menguruskan kekayaan negara supaya tidak berulang tadbir-urus yang memalukan seperti ditunjukkan oleh syarikat penerbangan negara kita, MAS, yang pernah menjadi kebanggaan rakyat dan menggondol pelbagai pingat dan anugerah. Jumlah hutang MAS berada pada tahap RM10 bilion kepada bank-bank tempatan dan RM2.5 bilion kepada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dalam bentuk sukuk.
 
Kita sama-sama lihat bagaimana kerajaan yang memiliki MAS pada masa itu telah memberikan kontrak yang sangat tidak adil seperti kontrak selama 25 tahun bernilai RM6.25 bilion yang antaranya mengenakan harga RM45 sebungkus nasi lemak, sebagai paling tidak wajar dan ‘zalim’ kepada rakyat untuk diteruskan. Inilah antara gaya tadbir-urus pemerintahan UMNO-BN yang menjahanamkan asset-aset negara dan membawa kerosakan dan kemungkaran dalam ekonomi dan pembangunan.
 
Secara keseluruhannya dan prinsipnya, adakah kerajaan BN sendiri sebenarnya tidak yakin kepada ekonomi berkat dengan sifat takwa iaitu meninggalkan yang haram dan amalan haram seperti rasuah, dan salah laku dan boros ?. Firman Allah SWT :
 
Jika sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya [al-A’araf 96]

0 comments:

Post a Comment