Menteri Besar Terengganu yang
baru Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini memberi jaminan akan mengkaji
cadangan bagi mengagihkan terus peruntukan kewangan kepada wakil rakyat dari
Pakatan Rakyat.
Jaminan itu diberikan sebagai
respon kepada soalan tambahan oleh wakil dari Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor
Hamzah dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)
Terengganu kali ke-13 hari ini.
Ustaz Mohd Nor bertanyakan akan
konsep transformasi yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri itu, adakah akan
dilakukan juga perubahan terhadap layanan kerajaan terhadap wakil rakyat bukan
kerajaan khususnya PR.
Razif seterusnya memberi alasan
bahawa hal ini memerlukan kajian yang lebih teliti kerana beliau tidak mahu
ianya dimanipulasikan oleh pihak-pihak lain, tanpa beliau menjelaskan maksud
manipulasi pihak yang lain itu.
Ditemui selepas sidang berehat
tengahari, Ustaz Mohd Nor berharap ianya menjadi kenyataan dan bukannya hanya
kajian yang tidak berkesudahan kerana ini melibatkan kepentingan rakyat.
“Kita akan tunggu dalam bajet
tahun 2015, agar dimasukkan cadangan ini dan seterusnya dilaksanakan secepat
mungkin kerana banyak hal berkaitan rakyat akan dapat dilaksanakan.
Dan jika sekiranya tidak ada
apa-apa tindakan susulan dan jangka masa terdekat, kita menganggap transformasi
yang dilaung-laungkan oleh MB hanyalah retorik atau slogan pengenalan sebagai
menteri besar yang baru dilantik sahaja,” ujar beliau.
Sidang Dun Negeri Terengganu akan
berlangsung selama dua hari bermula 23 September sehingga 24 September.
0 comments:
Post a Comment