HEADER

HEADER

Saturday, September 20, 2014

Sesi penggulungan muktamar

Muktamar PAS ke-60

Pengerusi Lajnah Tarbiyyah Ustaz Idris Ahmad, menekankan supaya tarbiyyah dikalangan ahli terutama ahli-ahli yang baru, yang pada pandangan beliau terkeliru kerana kurangnya tarbiyyah ini.
Menurut beliau lagi, ada ahli baru yang masuk PAS terus sibuk dengan tahaluf siyasi tetapi meninggalkan tarbiyyah.
Manakala Pengerusi Lajnah Peneroka Dan Orang Asal, Mazlan Aliman, memohon agar pimpinan menumpukan kepada masalah rakyat dan jangan diabaikan dengan hal pertikaian yang lain agar tidak ditohmah bahawa PAS ini hanya retorik semata2.
Ketua Penerangan PAS pula, Haji Mahfuz Omar menegur perwakilan berkaitan kualiti dan cara membuat usul yang masih lagi dianggap sebagai ketinggalan zaman sedangkan Muktamar telah mencapai ulangtahun ke 60.
Secara jujur, beliau mengajak ahli-ahli supaya bersama Lajnah Penerangan bagi menumpukan usaha memulihkan balik imej PAS yang ternyata telah tercalar disebabkan isu menteri besar Selangor.
Satu rancangan menarik dari Lajnah Kebajikan, dikemukakan oleh Pengerusinya Dr Mariah Mahmud ialah rancangan untuk melaksanakan Dana Murabbitun iaitu dana khusus untuk ahli-ahli PAS yang bertugas sepenuh masa dengan parti yang komited.
Rancangan ini menurut beliau akan dilebarkan lagi ke seluruh negeri, bermaksud khusus bagi membantu petugas-petugas pas sepenuh masa bagi meringankan beban keperluan mereka.
Skim Infaq SMS yang telah dilancarkan pada muktamar ini adalah satu usaha yang diharap dapat menambah disebarluaskan ke seluruh cawangan bagi memberi peluang bagi ramai orang untuk turut sama  menderma kepada PAS.
Bagi menjayakan rancangan ini supaya lebih berkembang, maka Bendahari PAS Pusat Haji Asmuni Awi berharap dapat dijadikan amalan ketika ceramah untuk mengajak pendengar menderma melalui sms ini dengan menaip PAS5 atau PAS3 dan hantar ke 33610.
Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) pula menghargai kepercayaan oleh PAS Pusat kepada DHPP bagi melaksanakan tanggungjawab bersama untuk bergerak ke hadapan bagi membina negara yang lebih baik dari semua sudut.
Bagi DHPP, kepercayaan yang diberikan akan dipikul dengan sebaik mungkin kerana bukan senang untuk mendapat kepercayaan seperti ini.
DHPP juga berharap tiada perpecahan dalaman yang merugikan jemaah kerana masyarakat memerhatikan perkembangan PAS.
Manakala Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat lebih memilih untuk menjawab permasalahan dalaman yang berlaku dan cadangan penyelesaian bagi mengenepikan fitnah yang berlaku.
Dewan Muslimat PAS Pusat (DPMM) pula memberikan ikrar menyokong penuh presiden dan turut mencadangkan supaya diberikan satu tempat khusus kepada DPMM bagi kerusi Naib Presiden.
Sementara itu Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengajak semua ahli agar mengurangkan musuh dengan menghormati keputusan sultan Selangor walau apapun keputusannya.
Dr Mahfuz Mohamad yang mewakili DUPP turut memuji DHPP yang disifatkan beliau semakin mantap kerana pertambahan ilmu yang telah ditunjukkan mereka.
Naib Presiden III Dato’ Paduka Husam Musa mengambil kesempatan menerangkan tentang soalan berkaitan pembinaan Kompleks PAS di Hulu Langat.
Kompleks itu menurut beliau menghadapi masalah sekatan kepada tanah kerana pada asalnya tanah itu adalah dalam kategori status pertanian.
Setelah permohonan bagi menukar status pertanian kepada bangunan diluluskan oleh majlis daerah pada tahun 2014, maka timbul pula masalah berkaitan bayaran premium.
Beliau kemudiannya memohon agar tidak menyebarkan fitnah bahawa hal berkaitan tanah itu supaya keharmonian jemaah terjaga.
Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Naib Presiden II pula menggunakan sepenuhnya masa yang diberikan menasihati ahli-ahli dengan gaya yang sangat menarik, bersahaja tetapi berterus terang selepas sindiran nakal beliau.
Kesimpulan nasihat Dato’ Tuan Ibrahim ialah mengelak segala perbalahan dari dapat dilihat oleh pihak luar kerana perbalahan itu biasa tetapi cara orang memandang perbalahan itu yang akan menimbulkan fitnah kepada ahli-ahli.
Naib Presiden I, Haji Sallehudin Ayub mencabar kepada pihak-pihak yang suka menghentam pihak yang berlainan pendapat dengan mereka supaya diadakan majlis ilmu, perbincangan ataupun debat samada secara terbuka ataupun tertutup.
Bagi beliau cara  itu lebih adil bagi pihak yang dituduh bagi mereka membuktikan fakta atau pendapat mereka adalah benar dan inilah cara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka yang pemberani.
Dato’ Mustaffa Ali sebagai Setiausaha Agung PAS pada ucapan penggulungan beliau telah menepis dakwaan atau fitnah kepada presiden yang mana dikatakan Terengganu, Kedah dan Perak kalah kerana presiden.
Formula Terengganu dedah beliau adalah penyebab kepada kejatuhan Terengganu yang turut mahu digunakan dalam PRU 13 di Selangor tetapi berjaya dihalang.
Antara caranya ialah mereka daftarkan pengundi luar secara beramai-ramai dan menyebabkan Terengganu kalah disamping beliau tidak menafikan adanya kelemahan-kelemahan lain.
Manakala di Perak pula, kekalahan itu berpunca dari dua orang wakil rakyat PKT dan satu dari DAP yang lari kepada BN dan ianya tiada kena mengena dengan presiden PAS.
Sementara itu isu di Kedah, PAS Pusat telah bercadang untuk menukar Ustaz Azizan dengan Datuk Mahfuz Omar tetapi Datuk Mahfuz menolak cadangan bertanding di dua kerusi yang mana perkara ini tidak dimaklumkan kepada ahli.
Sambil beliau menegaskan sekali lagi presiden mempunyai kuasa penentu beliau juga mendedahkan hampir tiada keputusan sebelum isu menteri besar Selangor ini, dilakukan secara berseorangan oleh presiden.
Oleh itu beliau meminta agar semua perselisihan faham dan pertikaian dalaman parti ditamatkan dengan segera dan kembali merapatkan saf kerana jemaah memerlukan semua ahli dan kepakaran mereka bagi menentang kezaliman.
Mengambil tempat penggulungan selepas Setiausaha Agung, Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden menyatakan keterbukaan sikap terhadap semua kritikan dan komen-komen yang ditujukan kepada beliau.
Beliau tidak mahu mengambil peduli tentang hal itu, sebaliknya beliau mahukan semua bersatu bagi menegakkan hukum Allah dan melawan musuh yang sebenarnya.
Nasihat daripada Timbalan Mursyidul Am sungguh mendalam dengan mengajak para perwakilan dan ahli agar menjadi manusia yang mulia kerana tidak ada yang kekal.
Beliau juga menasihatkan agar menginsafi akan sesuatu pakatan atau persefahaman itu tidak kekal sepertimana perkahwinan, ada yang wajib untuk berkahwin dan adakala berlaku perceraian dan ini berlaku tidak terkeluar dari kehendak Islam.
Majlis Syura Ulamak tegas beliau telah berbincang dan mesyuarat sebelum membuat keputusan menerima tahluf siasi yang mana menurutnya lagi selagi ianya tidak dilanggar dan MSU akan pastikan ianya bergerak atas landasan al-Quran dan sunnah.
MSU mengambil peranan bagi meredakan keadaan tegang dalam parti dengan mengadakan segera mesyuarat setelah perkara itu berlaku dan mengutuskan surat nasihat kepada individu-individu yang terlibat.
MSU amat mengharapkan agar memberikan ketaatan kepada arahan MSU dan tidak terpengaruh kepada media baru yang suka membuat fitnah dianggap beliau sebagai merosakkan hubungan sesama ahli PAS.
PAS akan terus kukuh dan berada dalam redha Allah selagi berpegang dengan al-Quran dan sunnah.

0 comments:

Post a Comment