Bismillah
Surah al-Baqarah diturunkan di
Madinah ialah surah terpanjang yang mengandungi sebanyak 286 ayat di dalamnya.
Dikategorikan sebagai “Tujuh Surah Panjang” ataupun Assabuththiwaa.
Keistimewaan surah ini dinyatakan dalam Sahih Muslim yang bermaksud “ Bacalah
kamu surah al-Baqarah kerana sesungguhnya menerima ajarannya mendatangkan
berkat (kebajikan yang banyak) dan membiarkannya (mencuaikannya) menyebabkan
timbul perasaan sesal kecewa. Dan orang-orang yang menceburkan diri dalam
keadaan yang batil (salah) tidak akan dapat menggunakan ajarannya.
Dinamakan al-Baqarah (lembu
betina) kerana dalam ayat ke 67-74 diceritakan kisah bani Isael yang degil dan
bodoh dalam menyempurnakan arahan penyembelihan lembu oleh Allah. Secara
keseluruhan surah ini menceritakan perihal hukum-hukum seperti solat, puasa,
zakat, haji, hukum jinayah, muamalat, wasiat, dan munakahat. Antara intipati
penting dalam surah (dalam juzuk pertama sahaja) ini ialah al-Quran adalah
sempurna, tiada syak di dalamnya dan menjadi petunjuk bagi orang-orang
bertaqwa. Iaitu orang yang beriman dengan perkara-perkara ghaib seperti syurga,
neraka, dosa dan pahala. Berlawanan dengan mereka yang kufur yang tidak percaya
dan memperolok-olokkan al-Quran ini.
Manusia diciptakan menjadi
khalifah Allah, untuk memakmurkan bumi melalui syariat yang ditetapkan Allah.
Iblis yang sombong tidak mahu sujud kepada Adam sebagaimana diperintahkan Allah
adalah musuh manusia yang utama yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia.
Bani Israel adalah satu contoh
kaum yang tidak pernah mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan. Beberapa kali
Allah memperingatkan agar mereka mengenang kembali nikmat yang telah Allah
berikan kepada bangsa mereka tetapi mereka tetap keras kepala. Bukan satu atau
dua nabi yang mereka ingkari bahkan lebih dari itu sehingga mereka sanggup
membunuh nabi-nabi walaupun dari keturunan mereka.
Mereka pernah dikurniakan Allah
makanan al-Mann (sejenis makanan seperti madu) dan al-Salwa (sejenis burung) dari
langit, mendapat teduhan awan dari panas mentari di padang pasir, mendapat 12
mata air setelah nabi Musa memukul tongkat baginda ke batu, diselamatkan dari
kekejaman Firaun melepasi Laut Merah dan lain-lain lagi, tetapi mereka tetap
dengan kekufuran mereka setelah mereka terselamat.
Mereka bukannya bersyukur dengan
makanan yang diberikan bahkan meminta makanan lain pula seperti bawang putih,
mentimun, sayur-sayuran dan kacang. Mereka menyembah patung anak lembu semasa
ketiadaan nabi Musa, mengubah kitab Allah, melanggar perintah Allah untuk tidak
menangkap ikan pada hari sabtu dan meminta untuk melihat Allah. Hasil dari
kedegilan kaum Yahudi ini maka Allah telah menghinakan mereka menjadi bangsa
yang papa kedana dan pada satu peristiwa lain, mereka diubah oleh Allah menjadi
babi dan kera. Mereka juga dibenci oleh kebanyakan kaum lain atas sikap mereka
itu.
Khusus dalam ayat 67-74 iaitu
kisah nama surah ini diberikan, Bani Israel adalah satu golongan yang suka
berlebih-lebih dalam bertanya dan cuba melengah-lengahkan suruhan Allah. Sikap
ini telah menghancurkan mereka kerana bermula dari suruhan mudah untuk mencari
lembu, akhirnya mereka terpaksa bersusah-payah dan hampir-hampir gagal
menemuinya. Nabi Musa sendiri meminta berlindung kepada Allah dari golongan
yang jahil ini. Kerasnya hati Yahudi ini walaupun telah diberikan kitab,
mukjizat dan kenikmatan yang tidak didapati oleh orang lain, mereka tetap kufur
kepada Allah.
Dalam tafsir al-Maraaghi dinyatakan
tiga kesalahan besar oleh pendita-pendita dan penulis-penulisnya iaitu meminda
isi Kitab Taurat dengan mengubah keterangan sifat-sifat nabi Muhammad saw di
dalamnya, berdusta atas nama Allah dengan rekaan-rekaan yang mereka tulis dan
mengambil upah atas kerja jenayah yang mereka lakukan itu. Allah memberitahu
bahawa Yahudi dan Nasrasni tidak akan sekali-kali redha dengan ajaran yang
dibawa oleh nabi Muhammad saw sehinggalah kita mengikut mereka. (sekarang ini
terlalu ramai umat Islam yang telahpun mengikut mereka dalam semua bidang).
Turut dinukilkan dalam juzuk ini
ialah, sejarah berkaitan nabi Ibrahim bersama anaknya nabi Ismail yang
diperintahkan Allah bagi menjadikan Baitullah sebagai tempat ibadat kepada
agama Islam. Nabi Ibrahim berwasiat kepada anak cucunya agar tidak mati
melainkan dalam keadaan Islam. Semua rasul-rasul adalah sama, tiada beza antara
mereka, mereka mentauhidkan Allah. Allah menafikan dakwaan Yahudi dan Nasrani
bahawa nabi Ibrahim, Ismail, Ishaq dan Yaakub adalah beragama Yahudi atau Nasrani
kerana para rasul ini telahpun ada agama mereka iaitu Islam sebelum kehadiran
Yahudi dan Nasrani ini.
Marilah kita sama-sama merenung
isi kandungan juzuk ini dan cuba mengambil pengajaran daripadanya. Wallahua’lam.