Bismillah
Saya melihat keputusan kerajaan
BN Terengganu baru-baru ini yang telah meneruskan perlaksanaan dan
penguatkuasaan beberapa bahagian daripada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah
(Takzir) (Terengganu) 2001 yang diluluskan oleh Kerajaan PAS dibawah pimpinan
Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan telah mendapat perkenan Tuanku
Sultan Terengganu pada penggal 1999-2004 yang lalu, sebagai satu pengiktirafan
kerajaan sekarang terhadap kesungguhan perlaksanaan syariat Islam dizaman
pemerintahan kerajaan PAS di Terengganu dahulu.
Alhamdulillah PAS yang telah
berusaha sekian lama bagi memartabatkan undang-undang al-Quran ini yang gagal
dilaksanakan oleh BN yang setelah 58 tahun memerintah negara ini, telah berjaya
meletakkan asas undang-undang ini kembali ke dalam tampuk pentadbiran kerajaan
Terengganu ketika zaman pemerintahannya setelah ianya dibuang selepas tahun
1940-an oleh British. Sebelum itu undang-undang Islam telahpun dilaksanakan
oleh Sultan Zainal Abidin III bersama penasihatnya yang juga seorang ulamak
tersohor, Tok Ku Paloh, dengan undang-undang yang diberi nama Itqan al-Muluk bi
Ta’Dil as-Suluk kira-kira 100 tahun yang lalu. Nyata di sini, peranan dan
kesungguhan ulamak seperti Tok Ku Paloh dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi, membantu
sultan dalam pentadbiran mendekati kepada keredhaan Allah.
Dengan perlaksanaan sebahagian
enakmen ini, saya yakin dan percaya sudah sampai waktunya dan mendesak agar
kerajaan pimpinan YAB Dato’ Ahmad Rafiz Abdul Rahman meneruskan kepada
undang-undang hudud pula. Sebab dengan tertegaknya hudud, tumpuan tidak hanya
kepada kesalahan-kesalahan kecil seperti kes pakaian yang mencolok mata dan
seumpamanya sahaja, tetapi jauh daripada itu, ianya mencangkupi kesalahan-kesalahan
besar seperti pecah amanah, penyelewengan, pembaziran seperti kes stadium
runtuh, selain daripada kes-kes hudud yang sudah dikenali seperti mencuri dan
berzina serta qisas (hukum balas) seperti yang telah dijelaskan dalam al-Quran.
Jika tidak, maka hukuman dari enakmen ini hanyalah terpilih dan tidak
menyeluruh kerana sang penyeleweng tidak diberikan pendidikan dan hukuman, tetapi
hanya kepada rakyat biasa yang berpakaian tidak senonoh.
Bagi memperkukuhkan lagi cadangan
perlaksanaan hudud ini, saya juga mendesak agar kerajaan sedia ada memperkuatkan
lagi fungsi mahkamah syariah, hakim-hakimnya, pendakwaraya-pendakwaraya
syarienya serta penguatkuasaannya, supaya kekuatan enakmen ini dapat dilihat
dengan jelas kewujudan ruh Islam didalamnya. Perlu diingat, hukuman Allah
adalah untuk mendidik bukan menghukum, maka tindakan memperkasakan fungsi
mahkamah syariah ini adalah bayangan kepada mendidik masyarakat tentang betapa
seriusnya kerajaan dalam melaksanakan enakmen ini. Dengan dilaksanakan segala
ini, maka jelaslah kepada kita bahawa undang-undang ini bukanlah hanya wayang untuk
diperlakonkan kepada masyarakat, tetapi ianya adalah hukum tetap yang wajib
yang telah diperintahkan oleh Allah kepada manusia untuk dilaksanakan tidak
kira siapapun kita.
Akhirnya saya menyeru kepada
rakyat Terengganu agar melihat ini adalah satu pengiktirafan oleh kerajaan BN
kepada usaha serta pengorbanan kerajaan PAS dahulu dan saya juga menyeru agar
rakyat kembali meletakkan kerajaan PAS mentadbir semula negeri Terengganu ini setelah
terbukti undang-undang Islam yang telahpun tertegak di negeri Terengganu sejak
lama dahulu, mendahului kerajaan Islam Melaka. Jelas, undang-undang Islam yang berjaya
diwujudkan dalam sistem pemerintahan kerajaan Islam Terengganu pada awal dan
akhir abad lalu, adalah kerana kesungguhan tokoh-tokoh ulamak seperti Tok Ku
Paloh dan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan
Perhubungan PAS Terengganu
9 Jamadil Awwal 1436 bersamaan 28
Februari 2015
0 comments:
Post a Comment