Bismillah
Saya ingin menyeru kepada seluruh
rakyat Malaysia agar mengambil sikap celik ekonomi bagi memahami perkara
sebenar yang sedang berlaku di Malaysia ketika ini, khususnya apabila
pengumuman kerajaan semalam berkaitan harga minyak bagi bulan Mac 2015 telah
dinaikkan sebanyak RM0.25 seliter bagi kedua-dua RON 95 dan 97. Kesan kepada
kenaikan ini bukannya remeh kerana selepas ini pastinya harga barang akan naik
seiring dengan kenaikan minyak ini. Lebih malang, harga barang-barang ini tidak
kenal erti turun ketika turunnya harga minyak tetapi bingkas dan pantas naik
apabila harga minyak naik.
Dahulu jika harga minyak naik,
harga pasaran minyak dunia menjadi rujukan kerajaan bagi mewajarkan tindakan
mereka. Namun semalam, ketika harga minyak dunia masih berada di bawah,
kejatuhan nilai ringgit pula mengambil tempat bagi menjadi alasan kenaikan ini.
Rakyat ditendang ke sana sini dan diperbodohkan, tetapi akhirnya, merekalah
yang terpaksa menanggung segala akibat buruk kesan dari kenaikan ini. Kesan ini
pastinya akan berganda kerana kita sekarang sudah berada di ambang GST yang
mana hasil dari kajian dibeberapa negara yang memulakan GST, harga barangan
menjadi semakin naik.
Rakyat yang sedia miskin, menjadi
semakin miskin, apatah lagi rakyat yang tinggal di kawasan-kawasan yang baharu
selesai dilanda musibah banjir. Para penoreh getah juga antara golongan yang
pasti merasa keperitan ini. Mereka ini makanpun tidak cukup apatah lagi merasai
dandanan rambut bernilai ribuan ringgit. Sikap kerajaan sangat menghairankan
kerana disebalik kaedah pengapungan harga minyak bagi menentukan harga minyak
bulanan hasil dari penarikan balik subsidi kepada rakyat, 1MD pula dilaporkan
rugi berbillion-billion ringgit. Sehinggakan Ketua PAC turut kehairanan. Saban
tahun pula, Jabatan Audit Negara melaporkan kerugian, salah urus harta negara,
kehilangan harta kerajaan. Hasil daripada sikap tidak amanah sesetengah
daripada mereka dalam menguruskan harta rakyat Malaysia.
Dapat dijangkakan nanti, para
menteri akan beramai-ramai meratib ugutan-ugutan kepada kumpulan peniaga yang
menaikkan harga barang mereka. Jika dilihat kepada ugutan itu, pasti penuh
penjara dengan para peniaga tersebut. Juga zikir tentang betapa harga minyak
kita masih berada dibawah harga beberapa negara lain di dunia. Akan tetapi malangnya,
harga barang tetap naik, peniaga tetap bebas, rakyat tetap kena tindas walaupun
mereka digelar mujahidin kerana membayar tol di lebuhraya-lebuhraya. Kerajaan gagal
memikirkan cara mahu berjimat dan selalunya hak rakyatlah yang diambil.
Oleh itu marilah kita
bersama-sama melihat fenomena ini sebagai satu penyakit yang merbahaya kepada
seluruh manusia yang waras. Kita mesti menghentikannya dengan kita sama-sama
bekerjasama bagi menumbangkan Umno dalam mana-mana pilihanraya dan bersama kita
menjadikan PR sebagai kerajaan baru yang menjadikan kebajikan kepada rakyat sebagai
teras pemerintahan mereka. Wallahua’lam.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan
Perhubungan PAS Terengganu
10 Jamadil Awal 1436 bersamaan 1
Mac 2015
0 comments:
Post a Comment