HEADER

HEADER

Sunday, February 8, 2015

Kami mahukan geran - OKU



(Rumah yang baru sebahagiannya masih dalam pembinaan peringkat akhir)
 
Pulau Kerengga : Setelah menduduki selama lebih dari 30 tahun, penghuni perkampungan orang kelainan upaya di Kampung Rahmat, Pulau Kerengga, Marang, mahu agar mereka diberikan hak keatas tanah-tanah tersebut.
Rata-rata penghuni sangat teruja dan menjawab dengan yakin soalan berkenaan hak milik tanah, mereka mahukan geran tanah apabila diajukan soalan adakah mereka mahukan geran tanah bagi tanah yang mereka diami selama ini.
Dalam tinjauan yang dilakukan baru-baru ini, terdapat beberapa rumah baru seperti model rumah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), yang telah siap dibina, yang dikatakan akan menggantikan rumah lama mereka yang sudah usang.
Tinjauan telah dilakukan oleh Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Marang, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, sebagai tindakan susulan beliau yang telah mengenengahkan isu hak pemilikan tanah penghuni perkampungan ini dalam sidang DUN terdahulu.
Bagi Ustaz Mohd Nor, beliau bersetuju agar penghuni dipindahkan ke kediaman baru atas faktor rumah yang sediada didapati sudah usang dan boleh membahayakan terutama rumah-rumah asal yang belum dibaik pulih.
Akan tetapi, tiga isu utama perlu dahulu diselesaikan oleh pihak kerajaan iaitu geran pemilikan kepada penghuni, pampasan mengubah suai rumah pilihan kepada penghuni yang telah mengubah suai rumah mereka.
“Saya berpendapat memang sesuai penghuni untuk berpindah kerana meilhat kepada keuzuran rumah-rumah lama mereka ini, mungkin akan menjadi isu keselamatan pula.
Namun tiga perkara utama mesti diselesaikan oleh kerajaan iaitu perkara utama yang telah saya bangkitkan dalam dewan tempohari berkaitan geran hak milik kepada semua penghuni.
Geran ini penting sebab sudah lebih 30 tahun mereka tinggal di sini.
Keduanya ialah pampasan yang setimpal kepada penghuni yang telah mengubah suai rumah mereka yang diarahkan berpindah ke kediaman baru, mereka telah banyak berhabis wang dan tenaga.
Dan akhir sekali harap kerajaan boleh berikan pilihan kepada penghuni yang sudah mempunyai rumah yang selesa untuk berpindah atau tidak sebab mereka sudah selesa dan ada yang mempunyai anak yang ramai,” tegas beliau.
Mereka dijangka akan dipindahkan secara berperingkat ke kediaman baru mereka dan rumah lama yang using (gambar kiri), akan dirobohkan setelah selesai perpindahan itu.
Apa yang menjadi persoalan bagi mereka sekarang,  bilakah mereka akan berpindah dan adakah tanah rumah baru itu akan menjadi hak milik mereka atau apakah mereka hanya diberikan hak menduduki tanpa hak memiliki seperti sekarang.
Seorang penghuni Kampung Rahmat Mokhtar Jusoh 45, berkata beliau tidak mendapat penjelasan yang jitu dari kerajaan berkenaan perancangan kerajaan atas rumah baru dan lama yang ada di situ kerana tiada program penerangan secara khusus oleh kerajaan.
Beliau tidak kisah jika diarahkan berpindah ke kediaman baru, tetapi beliau benar-benar berharap agar diberikan penjelasan yang tepat berkenaan rancangan kerajaan dan sekaligus mendapat geran hak milik.
“Rumah tu (lama) pun dah senget dah, jadi tak apalah saya pindah rumah baru pun.
Tapi saya musykilkan, kalau balik semua budak-budak  (anak-anak) saya tu, saya rasa memang tak muat juga (rumah baru).
Tapi tak apalah, asalkan jadi hak milik saja, kita boleh buatlah (pembesaran),” kata beliau.
Namun begitu, penama kepada rumah baru itu juga masih belum diketahui, meninggalkan mereka dalam keadaan tertanya-tanya kepada siapakah rumah itu akan diberikan kerana tiadanya penjelasan dari pihak berwajib.
Sementara itu seorang lagi penghuni, Hanafi Abdul Rahman 57 berkata, beliau berharap agar dikecualikan dari rancangan perpindahan ini kerana bagi beliau, rumah yang beliau duduki sekarang (gambar kanan) ini jauh lebih luas dan selesa berbanding rumah baru.
Beliau yang telah banyak menghabiskan wang bagi membesarkan rumahnya kerana mempunyai keluarga yang agak besar, kini mempunyai lima bilik berbanding tiga di rumah yang baru.
Harapan beliau sekiranya tetap diarahkan berpindah, agar kerajaan menimbangkan bagi membayar pampasan pembesaran rumah beliau selain dari diberikan juga hak milik geran tanah.
“Yang ada rumah besar-besar gini, ada lima enam buah lagi di sini.
Saya memang tak kecil hatilah kalau orang tak bagi rumah barupun kalau macam tu gayanya (merujuk kepada saiz rumah baru).
Sebab barang saya banyak, anak saya ramai, nak tidur mana? Tanya beliau.
Terdapat juga penduduk Kampung Rahmat ini yang menjalankan perniagaan, agak keberatan untuk berpindah kerana ruang di rumah baru agak kecil bagi mereka meneruskan perniagaan mereka.
Sama seperti yang lain, mereka mengharapkan geran bagi kediaman baru dan pampasan yang setimpal akan dibayar oleh kerajaan kerana pembesaran rumah lama mereka bagi membuka kedai, tidak sedikit wang yang telah dihabiskan.

0 comments:

Post a Comment