Bismillah
Setelah
agak lama harga minyak di negara kita ini menuruni tangga ke bawah selepas
pengumuman kerajaan terhadap harga runcit petrol yang ditetapkan berdasarkan
harga pasaran minyak dunia yang turun, rakyat masih ternanti-nanti bilakah
agaknya mereka akan juga dapat merasai tempias nikmat penurunan harga minyak
ini. Jika sebelum ini, tempias “nikmat” kenaikan harga barang kerana kenaikan
harga minyak, rakyat sentiasa terpaksa menerimanya walaupun tidak meminta dan
tidak menyukai kenaikan paksa rela ini. Maka persoalan mulai timbul dalam benak
pemikiran rakyat, kenapa penurunan harga barang tidak juga berlaku setelah
harga minyak jatuh walaupun setelah puas rakyat meminta dan meminta? Di sini
saya ingin mengajak rakyat sekelian agar kita sama-sama cuba menjejaki atas
alasan apakah harga barang-barang ini masih berada di takuk lama.
Kerajaan
berkuasa mengadakan sekatan ataupun undang-undang bagi mengawal harga barang.
Walaupun dikatakan para peniaga dari kaum tertentu yang menguasai pasaran,
tetapi kerajaan tetap entiti tunggal yang mempunyai kuasa dalam mengawalnya.
Namun begitu, bagi menutupi kelemahan dan kegagalan mereka, pelbagai cerita
direka sehinggakan tergamak mengajak rakyat memboikot kaum tertentu bagi
mengawal harga. Sama seperti cicak, apabila tersepit, Umno mula memutuskan
ekornya iaitu ekor perkauman. Selain daripada menggunakan isu perkauman,
pimpinan Umno juga menuduh pembangkang pasif dengan tuntutan penurunan harga
barang. Sedangkan jelas dapat dilihat rakyat, PR adalah konsisten aktif menentang
kenaikan harga barang dengan mengadakan kempen penurunan harga barang. Bukan
sahaja kempen kesedaran biasa, malahan juga dengan cara agresif. Tetapi agak
pelik jika pihak kerajaan pula yang berdemo bagi memaksa peniaga menurunkan
harga barang. Lebih pelik, peniaga buat tak layan dan teramat pelik, langsung
tiada pula tindakan keatas peniaga.
Lihat
sahaja ketika musim perayaan, apabila berlaku kenaikan keatas barang-barang
kawalan, apa yang dilakukan oleh kerajaan BN? Kronologi yang sama berulang
iaitu barang kawalan “hilang” dari pasaran. Kemudian muka menteri dengan
bengisnya muncul di TV dan akhbar dan menegaskan akan mengambil tindakan keras
keatas peniaga yang menyembunyikan barang kawalan. Selepas itu muncul pula sang
menteri yang diambil gambarnya di pasar-pasar dengan muka yang masih garang dan
memaklumkan kerajaan telah berjaya mendapatkan kembali bekalan barangan
terkawal yang diimport dari negeri Pasir Berdengung dan memberikan peringatan
dan amaran yang lebih keras kepada para peniaga untuk tidak menaikkan harga.
Namun
harga tetap naik, malah lebih mahal. Maka setelah tidak beberapa lama, timbul
kembali muka menteri dengan wajah yang agak “cool” dan memaklumkan bahawa harga
barang terpaksa dinaikkan dan berjanji bahawa kenaikan itu tidak membebankan
rakyat yang sememangnya sudah lama terbeban. Kemudian amaran sekali lagi
dikeluarkan tetapi tidak sekeras dahulu, bagi peniaga yang menaikkan harga
melebihi sepatutnya. Dan rakyat diminta membuat laporan jika ada peniaga yang
menaikkan harga barangan. Namun akhirnya tiada laporan kenaikan harga yang
diterima kata menteri. Kemudian bos menteri mengangkat seekor ayam dan kata bos
menteri, harga ayam ini ialah RM1. Rakyat sepatutnya bijak mencari kedai yang
murah tegasnya yang menyebabkan rakyat terlopong mendengar kemurahan harga itu
dan kerana kepandaian bos menteri memilih kedai harga yang begitu murah.
Sehinggakan ketika tulisan ini ditulis, rakyat masih gagal mengesan mana
letaknya kedai itu. Begitulah kitaran pembodohan berlaku berulang-ulang kepada rakyat.
Disebalik
semua itu, kegagalan mengawal harga barang, dikembalikan kepada rakyat kerana
kegagalan rakyat mencari kedai yang menjual dengan harga murah. Sedangkan tiada
tindakanpun yang diambil terhadap tauke-tauke besar yang ada diantaranya dengan
sewenang-wenangnya menaikkan harga barang dan tanpa rasa takut kepada kerajaan
walaupun ada amaran, ugutan dan boikot oleh kerajaan. Jelas sekali menjadi
bukti bahawa kerajaan sebenarnya pengecut dan takut bagi mendesak tauke-tauke
besar ini walaupun kuasa ada pada kerajaan. Ataupun mungkin ada kepentingan
mereka dalam perniagaan tauke-tauke ini? Moga ianya dijauhkan Allah.
Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang diketuai oleh bekas Menteri Luar Syed Hamid
Albar semalam pula menjelaskan bahawa, pengusaha bas tidak semestinya
menurunkan harga tambang bas semata-mata kerana penurunan harga minyak kerana
bukan minyak sahaja yang menjadi faktor kenaikan tambang, tetapi beberapa
faktor lain turut perlu diambil kira. Faktor minyak katanya hanya kira-kira 10
peratus sahaja bagi keseluruhan kos pengendalian pengangkutan awam. Ditambah
jangkamasa kenaikan ini mungkin hanya sekejap, jadi tiada keperluan tambang
diturunkan. Sayangnya kaedah dan alasan ini tidak pula terpakai ketika mereka
meminta dinaikkan kadar tambang dahulu, hanya semata-mata kenaikan harga minyak
yang mereka tekankan, maka Syed Hamid bersetuju untuk naikkan tambang sambil
menunding jari kepada ibu bapa yang didakwa beliau tidak membantah. Lihatlah,
apabila bekas menteri yang memahami setakat mana tindakan yang akan diambil
oleh kerajaan diatas isu ini, bertindak demikian. Bermakna dia tahu setakat
mana kesungguhan “ugutan” kerajaan itu. Tiada rasa takut, tiada rasa bimbang,
tiada rasa bersalah, menunjukkan dia mahir dan tahu apa yang dia dan kerajaan
lakukan. Malah bertindak seperti pelindung kepada pengusaha kenderaan awam
pula. Maka rakyatlah yang pasti menjadi mangsa mereka.
Bagi
nelayan pula, dilaporkan ada sesetengah mereka yang cuma memperolehi kira-kira
RM500 sebulan. Juga dengan penoreh yang masih bergelut dengan harga getah yang
tidak sampai RM2 sekilogram, cuba anda fikirkan kesan daripada kenaikan harga
barang-barang keatas golongan ini yang tidak pernah tahu untuk berhenti
walaupun harga minyak turun. Kepada siapa hendak mereka mengadu? Golongan
nelayan ini nyata telah dirampas kedua-dua hak mereka. Hak mereka di laut,
dirampas oleh sebahagian nelayan asing dan hak mereka di darat ditarik oleh
kerajaan mereka sendiri. Dan paling menghiris hati mereka, majoriti nelayan
adalah penyokong tegar Umno. Inilah balasan Umno kepada mereka. Dan bagi
mengurangkan kepedihan itu, maka timbullah pak lebai Umno menjaja dalil taat
kepada pemerintah dan redha dengan ketentuan harga naik.
Oleh
itu, janganlah kita terpedaya dengan lakonan Umno serta rakan-rakan mereka
dalam isu ini. Airmata mereka adalah airmata buaya, keperihatinan mereka
hanyalah ketika pilihanraya, perkelahian palsu mereka atas dasar bangsa untuk
mengalihkan isu sahaja, perdamaian mereka adalah muslihat kepada masyarakat,
agama pula diguna secara terpilih, jika ada terkena pada mereka, didiamkan.
Jika mereka rugi, rakyat yang kena pikul. Maka lihatlah wahai rakyat, kepalsuan
Umno dan kuncu-kuncunya dalam kesungguhan bagi menyelesaikan permasalahan
rakyat ini. Ia adalah penyelesaian terpilih dan penuh muslihat. Wallahua’lam.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
Rabu 28 Rabiu’lAkhir 1436 bersamaan 18 Februari 2015
Ketua Penerangan PAS Terengganu
Rabu 28 Rabiu’lAkhir 1436 bersamaan 18 Februari 2015
0 comments:
Post a Comment