Bismillah
Saya ingin mengambil kesempatan bagi
mengulas kenyataan Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkaitan
dengan kenaikan peratusan kadar jenayah juvana 2014 di Terengganu iaitu
sebanyak 11.28 peratus berbanding tahun 2013. Dalam kenyataan beliau yang
diterbitkan oleh Bernama dan disiarkan juga dalam Facebook Polis DiRaja
Malaysia (PDRM), beliau menyatakan bahawa peningkatan ini ialah dari 133 orang
pelajar pada tahun 2013 kepada 148 pelajar pada tahun lepas.
Dalam kenyataan itu lagi turut
disentuh ialah antara sebab utama berlakunya jenayah dikalangan juvana ini ialah
pengaruh rakan dan kemiskinan. Antara jenayah yang dilakukan ialah pecah rumah
dan mencuri motorsikal. Dan PDRM katanya lagi akan berkerjasama dengan pihak
sekolah bagi membendung jenayah ini dengan mengadakan sekolah angkat dan juga
ceramah-ceramah bagi memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar untuk tidak
terpengaruh dengan anasir-anasir jahat.
Jelas di sini bermaksud jika sekiranya
kadar kemiskinan tinggi maka kadar jenayah juga akan meningkat. Secara mudahnya
ia boleh dikaitkan dengan kegagalan kerajaan Terengganu membendung kemiskinan,
sekaligus statistik jenayah turut bergerak naik. Bayangkan dengan bajet tahunan
sebanyak lebih dua billion, kemiskinan masih menjadi igauan ngeri rakyat
Terengganu yang kurang lebih berjumlah 1.1 juta ini yang masih teguh berada di
tempat senarai negeri termiskin di Malaysia. Sekiranya kerajaan Terengganu
benar-benar berusaha, kemiskinan ini insyaAllah ianya dapat dikurangkan.
Sekaligus kadar jenayah dapat diturunkan jumlahnya. Akan tetapi kemanakah
perginya perancangan kepada sasaran rakyat yang benar-benar layak mendapatkan
bantuan tanpa mengira fahaman politik itu pergi? Inilah antara perkara yang
rakyat Terengganu perlu kaji dan selidiki.
Namun, tidak semestinya atas alasan
miskin untuk mereka melakukan jenayah. Jika mereka kaya sekalipun, tetapi tidak
dilindungi dengan agama secukupnya, maka peluang bagi terjadinya jenayah itu
sangat besar. Apa yang penting ialah didalam Islam diajar untuk manusia
takutkan Allah samada di tempat tersembunyi mahupun terbuka. InsyaAllah mereka
tidak akan melakukannya walaupun dipujuk kawan dan walaupun dia miskin. Inilah
kuncinya. Kita perlu melihat kepada akar permasalahan ini iaitu agama. Inilah Islam,
ibu bagi segala penyelesaian masalah kehidupan kita.
Saya mencadangkan agar PDRM mengadakan
kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi membincangkan
modul khusus mata pelajaran keagamaan bagi ditekankan kepada semua
pelajar-pelajar Islam kita (sudah tentulah di Terengganu majoriti pelajar
adalah melayu Islam). PAS Terengganu dengan kepakaran yang ada, sedia
berkerjasama dgn PDRM, JHEAT dan Kementerian Pelajaran bagi membincangkan
isi kandungan modul subjek agama itu demi masa depan anak-anak muda di
Terengganu khasnya. Tidak cukup dengan ceramah kesedaran yang diadakan secara
bermusim sahaja kerana berapa banyak sekolah dan berapa ramai pegawai PDRM yang
ada bagi melaksanakan program ceramah itu? Akan tetapi jika subjek khusus
keagamaan diadakan, ianya akan lebih mudah untuk membentuk pelajar-pelajar yang
ada. Ini insyaAllah bukan sahaja dapat memberi kesan penurunan kepada kadar
jenayah juvana tetapi juga akan menurunkan kadar umat Islam yang buta ilmu
agama dimasa depan.
Tidak dilupakan juga, peranan ibubapa
yang mutakhir ini kelihatannya hanya menyerahkan anak-anak mereka kepada
guru-guru tanpa mereka membantu guru-guru itu bagi membentuk disiplin dalam
diri anak-anak mereka. Ibubapa terlalu sibuk mengejar harta kerana hambatan
kehidupan dan harga barang yang mahal serta juga bagi memberikan kehidupan yang
selesa kepada keluarga yang mana akhirnya terkadang, anak-anak menjadi mangsa
keadaan. Ini sebenarnya bala dari Allah, keperitan hidup yang terpaksa dilalui
sehingga mengabaikan agama dan keluarga masing-masing, secara tidak langsung
rantaian ini bersambung dengan rantaian anak-anak kehausan terhadap kasih
sayang dari ibubapa, ditambah dengan kejahilan dan kemudiannya akan mencari
jalan keluar mengikut hawa nafsu kerana ketiadaan agama yang ditanam oleh
ibubapa dalam jiwa anak-anak. Maka terhasillah jenayah-jenayah ini yang mana
terkadang bukan lahir kerana kemiskinan, tetapi kerana inginkan perhatian dan
juga kejahilan dalam agama.
Oleh itu ibubapa adalah faktor
terpenting bagi membentuk remaja yang bebas jenayah, yang takutkan Allah serta
mempunyai rasa tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara. Namun tidak
dapat tidak, kerajaan juga mesti dipertanggungjawabkan atas kerosakan rantai
kehidupan ini kerana jika kerajaan benar-benar fokus serta berusaha
bersungguh-sungguh bagi menjaga kebajikan rakyat dengan segala sumber yang ada
di dalam negara ini, sepatutnya kadar jenayah ini akan menjadi minima. Bukan
hanya tahu menyalahkan bangsa lain jika berlaku kenaikan harga barang contohnya. Skrip
sama yang diulang-ulang bagi mendapat sokongan, melagakan rakyat dengan
sentimen bangsa.
"Apabila kita hendak melihat
wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini,
sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak
dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah
negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah
untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku." Itulah kata
kata yang lahir daripada Profesor Doktor Yusuf Al-Qardhawi. Apakah yang kita
nampak pada remaja-remaja kita di Malaysia sekarang? Dapatkah kita meneka masa
depan negara kita? Moga Allah melindungi kita semua dari kebinasaan atas
kejahilan dan kelemahan kerajaan kita. Saya menyeru kepada semua, agar kembali
kepada Islam dengan sebenar-benarnya.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS
Terengganu (BPPNT)
Sabtu 17 Rabiu’lAkhir 1436 bersamaan 7
Februari 2015
0 comments:
Post a Comment