HEADER

HEADER

Sunday, December 14, 2014

Rehlah Tarbawi : Pelancongan berilmu yang menyeronokkan



Bersempena cuti persekolahan akhir tahun yang agak panjang, ramai dari kalangan rakyat Malaysia memilih untuk menghabiskan cuti ini bersama keluarga melancong ke destinasi terpilih bagi mengeratkan kasih sayang mereka sekeluarga.
Tidak ketinggalan juga kepada ahli PAS Kawasan Marang yang telah mengadakan program yang dinamakan Rehlah Tarbawi iaitu konvoi peserta program ini dari Rusila, Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Dalam program ini, peserta sebenarnya dibawa melancong, tetapi didalam melancong itu, mereka dihidangkan dengan pelbagai majlis ilmu samada ilmu ataupun pengetahuan am berkenaan negeri Kelantan.
Peserta dilepaskan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di perkarangan Masjid Rusila, peserta kemudiannya bergerak ke Madrasah Dewan Ulamak Kelantan (MADU) di Machang.
Setibanya di MADU, peserta telah disambut oleh Adun Pulai Chondong, YB Zulkifli Mamat yang mana telah mengadakan dialog penerangan sedikit sebanyak berkenaan perkembangan terkini politik Kelantan.
Program ini juga mengadakan sesi berta’ruf (berkenalan) sesama mereka dan keluarga mereka bagi mengeratkan lagi silaturrahim sesama ahli.
Pada keesokan harinya yang jatuh pada hari Jumaat, jadual perjalanan telah dirancang untuk mendengar kuliah subuh oleh Tuan Guru Mursyidul Am, Dato’ Bentara Setia, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan beramah mesra dengan ikon PAS Malaysia itu.
Tetapi agak malang bagi peserta kerana beliau keuzuran bagi memberikan kuliah subuh apatah lagi mahu berjumpa dengan peserta.
Turut serta dalam konvoi ini ialah Yang DiPertua PAS Kawasan Marang, Haji Yahaya Ali, Timbalannya, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan hampir keseluruhan AJK PAS Kawasan Marang serta ahli keluarga mereka.
Selepas bersarapan di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa, sebahagian daripada peserta yang terdiri dari Pemuda PAS Marang, telah dilepaskan pula ke Pulau Pinang bagi menyertai Ijtimak Tarbawi oleh Haji Yahaya.
Peserta-peserta yang tinggal, kemudiannya berkonvoi pula ke Medan Ilmu di Jalan Dato’ Pati, bagi mendengar perkongsian ilmu oleh penceramah-penceramah jemputan.
Kebetulannya penceramah jemputan pada hari itu ialah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan juga Timbalan Pesuruhjaya 3 Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh.
Peserta kemudiannya dijemput pula oleh kerajaan negeri ke kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR 10, seusai mendengar kuliah Jumaat itu dan peserta disambut oleh Setiausaha Politik MB Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yusof.
Sekali lagi penerangan berkenaan negeri Kelantan telah diberikan, tetapi kali ini lebih terperinci dengan kebanyakan perancangan kerajaan yang sedang dan telah dibuat.
Selesai menjamu selera dengan hidangan yang telah disediakan oleh kerajaan negeri Kelantan, para pesertapun berpecah membawa haluan masing-masing bagi acara bebas bersama keluarga.
Menurut Haji Yahaya, aktiviti ini adalah sangat baik kerana bukan sahaja menghidangkan ilmu pengetahuan malah jauh lebih utama ialah kegembiraan peserta bersama keluarga apatah lagi yuran yang dikenakan sangat murah iaitu RM30 bagi satu kereta.
Sebanyak 37 buah kereta telah menyertai program Rehlah Tarbawi ini.

0 comments:

Post a Comment