HEADER

HEADER

Friday, October 24, 2014

Perutusan Maal Hijrah : Hijrah Menuntut Istiqamah

Bismillah

Menelusuri perjalanan hijrah rasulullah dan para sahabat baginda r.a, kita terpaksa mengakui kegetiran yang dihadapi mereka tiadalah bandingannya dengan apa yang kita lalui sekarang sebagai pengorbanan di jalan Allah. Ujian yang ditempuhi mereka, bukan sahaja melibatkan kekuatan fizikal, malah turut terpaksa mengorbankan harta benda, meninggalkan tanah air tercinta dan juga saudara mara. Apakah yang mereka dapat dari penghijrahan ini? Jika dilihat dari kacamata dunia, perkara ini adalah sia-sia. Menyusahkan diri dengan meninggalkan keempukan tempat berehat, harta yang bertimbun, wanita-wanita yang cantik, yang kemudiannya  ditukar dengan kemiskinan, penderitaan dan keperitan.
Namun begitu, jika dilihat dari kacamata Islam, dari kehendak Allah dan rasul serta sasaran akhirat, maka ianya adalah satu perniagaan yang sangat menguntungkan. Ibarat menanam modal dengan segala harta benda, dan modal itu dijamin untung berlipat kali ganda oleh Allah, apakah lagi yang perlu kita cari setelah dijamin keuntungan oleh Allah? Sebagaimana keyakinan Shuhaib al-Rumi, yang tertinggal dan sanggup mengejar gerombolan sahabat-sahabatnya yang berhijrahke Madinah, dia begitu yakin dan tegas untuk membunuh sesiapa sahaja yang ingin menghalang perjalanan hijrahnya, semata-mata yakin dan percaya bahawa pengorbanannya di jalan Allah tidak akan sia-sia. Maka beruntunglah perniagaan Shuhaib, kata rasulullah, kerana dagangannya telah dibeli Allah.
Para sahabat ini adalah generasi yang terbaik yang pernah wujud di dunia ini. Allah telah merakamkan keadaan mereka sebelum dan selepas memilih untuk berhijrah dari kejahilan kepada keredhaan. Mereka disifatkan Allah berada di tepi jurang neraka disebabkan kejahilan mereka sebelum kedatangan Islam dan mereka juga dipuji Allah sebagai ummat terbaik kerana memilih Islam dan bukan sahaja melaksanakan, malah mengajak manusia kepada kebaikan dan menjauhi serta melarang manusia dari kejahatan. Lihatlah kualiti hijrah mereka, yang memenuhi kehendak dunia dan akhirat. Mereka lahir hasil dari saringan ujian yang sangat getir dari Allah atas jalan Islam yang menuntut segala-galanya untuk dikorbankan hatta nyawa sekalipun, namun mereka tetap dan terus beristiqamah di atas jalan Allah.
Tetapi ada orang Islam dizaman mutakhir ini, memandang sepi kisah pengorbanan hijrah ini, seumpama melihat kosong ke dalam air layaknya, tiada tersentuh perasaan mereka langsung. Apa yang bermain di minda mereka ialah ianya kisah sejarah yang lalu, tiada kaitannya dengan kisah sekarang. Lebih malang, apa itu hijrah pun tiada mereka ketahui. Sekarang apa yang perlu ditumpukan ialah kenaikan kos harga barang yang sedang rancak naik hasil dari kenaikan harga minyak. Walaupun dikatakan GST akan dilaksanakan tahun depan, tapi minyak sudahpun memungut GST nya sendiri dengan kenaikan ini, kenaikan melebihi 6 peratus berbanding perolehan sepatutnya dari GST ini. Tidak dapat disalahkan juga masyarakat apabila mereka semakin jauh dari agama ataupun tidak mengambil peduli untuk mengubati jiwa mereka yang tenat dengan wahyu Allah kerana pemerintah mengajar bahawa, yang penting dalam hidup ini ialah duit, duit dan duit. Dengan duit akan ada nama, dengan duit akan ada kuasa, dengan duit akan ada pengaruh. Dengan duit manusia boleh berbuat apa sahaja. Inilah yang ditanam pemerintah dalam pemikiran rakyat.
Pemikiran sebegini jelas mengheret kepada merendahkan akal manusia ke tahap yang sangat hina kerana perumpamaan haiwan ternakan adalah lebih layak disamakan kepada manusia yang hanya tahu makan, minum, tidur,  berseronok dan keselesaan, tanpa mereka berusaha untuk menghidupkan jiwa bagi menjadikan mereka hamba kepada Allah dan bukannya hamba dunia. Tetapi inilah malang yang kita hadapi kerana pemimpin kita sebenarnya tidak berjaya ataupun tidak mahu membawa masyarakat keseluruhannya kembali ke jalan Allah. Jika manusia sedar dan insaf, maka mereka akan kehilangan kuasa, wang, pangkat dan segala-galanya yang menyeronokkan nafsu mereka. Bukti pemerintah tidak mahu rakyat celik agama Allah, lihat sahaja kepada peruntukan bagi membangun nilai insan menerusi wahyu Allah iaitu sekolah agama dalam Bajet 2015 baru-baru ini, hanya RM25 juta sahaja berbanding RM50 juta bagi sekolah mubaligh kristian dan Permata RM700 juta lebih. Apa yang mampu diterjemahkan ke jalan Allah dan untuk membentuk generasi yang patuh kepada Allah dengan jumlah RM25 juta ini? Jelas pemerintah acuh tak acuh dengan sistem pendidikan Islam.
Jika ini dibiarkan dari tahun ke tahun, maka kita akan menghasilkan lebih banyak lagi manusia-manusia yang semakin jauh dari Allah. Lihat sahajalah kepada permasalahan liberalisme yang sedang merebak dalam negara kita sekarang. Masalah yang suatu ketika dahulu dianggap remeh, sekarang sudah menjadi wabak yang jika tidak berjaya ditangani sekarang, maka tidak mustahil ianya akan memusnahkan Islam di Malaysia. Dengan idea-idea islamisasi yang baru seperti Islam tanpa syariat, kesamarataan jantina, kebebasan bersuara atas apa-apa tajuk, termasuklah agama dan berbagai lagi kegilaan yang lahir dari pemikiran liberal yang merosakkan ini, pemikiran rakyat perlahan-lahan berjaya diselewengkan. Ditambah lagi dengan tafsiran-tafsiran songsang yang terkadang datang dari mereka yang dipanggil “ulamak”, sudah tentu remaja yang kosong dari agama, adalah mangsa termudah dan terbanyak kepada pemikiran liberal ini. Jangan nanti ada diantara kita beriparkan kristian atau bermenantukan hindu semata-mata mengikut langkah liberal ini. Moga Allah menjauhkan hal ini.
Oleh itu sedarlah wahai umat, bangkitlah dari lenamu yang panjang, dari hanya memikirkan kehidupan dunia yang tidak kekal kerana dibodohkan pemerintah yang tidak pernah kontang idea dan tenaga bagi mengekalkan kuasa mereka, walaupun umat terpaksa menjadi bahan korban kerakusan nafsu mereka, kepada menyerahkan diri hanya kepada Allah. Ayuhlah kita berhijrah dari seorang yang sentiasa menjadi hamba kepada material dan dunia kepada hamba yang benar-benar taat kepada Allah, kerana dengan menjadi hamba kepada Allah maka kita akan menjadi manusia yang merdeka, sebagaimana sahabat-sahabat yang berhijrah memerdekakan minda mereka dari perhambaan kepada manusia kepada perhambaan total hanya kepada Allah. Kita tentunya tidak akan dapat menyamai pengorbanan para sahabat tetapi percayalah Allah menyukai golongan yang sentiasa berusaha mengubah nasib mereka dengan mengikut jalan Allah. Hijrah  ini ialah ujian bagi membuang nafsu kita dari menjadi hamba yang menuruti pemimpin yang rakus dan memperbodohkan rakyat kepada hamba yang menurut suruhan Allah. Dan apabila kita sudah berjaya berhijrah, maka teruslah beristiqamah. Wallahua’lam

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT
29 Zulhijjah 1435 bersamaan 24 Oktober 2014

0 comments:

Post a Comment