Bismillah
Menelusuri
perjalanan hijrah rasulullah dan para sahabat baginda r.a, kita terpaksa
mengakui kegetiran yang dihadapi mereka tiadalah bandingannya dengan apa yang
kita lalui sekarang sebagai pengorbanan di jalan Allah. Ujian yang ditempuhi
mereka, bukan sahaja melibatkan kekuatan fizikal, malah turut terpaksa
mengorbankan harta benda, meninggalkan tanah air tercinta dan juga saudara
mara. Apakah yang mereka dapat dari penghijrahan ini? Jika dilihat dari
kacamata dunia, perkara ini adalah sia-sia. Menyusahkan diri dengan
meninggalkan keempukan tempat berehat, harta yang bertimbun, wanita-wanita yang
cantik, yang kemudiannya ditukar dengan kemiskinan,
penderitaan dan keperitan.
Namun begitu,
jika dilihat dari kacamata Islam, dari kehendak Allah dan rasul serta sasaran
akhirat, maka ianya adalah satu perniagaan yang sangat menguntungkan. Ibarat
menanam modal dengan segala harta benda, dan modal itu dijamin untung berlipat
kali ganda oleh Allah, apakah lagi yang perlu kita cari setelah dijamin
keuntungan oleh Allah? Sebagaimana keyakinan Shuhaib al-Rumi, yang tertinggal
dan sanggup mengejar gerombolan sahabat-sahabatnya yang berhijrahke Madinah,
dia begitu yakin dan tegas untuk membunuh sesiapa sahaja yang ingin menghalang
perjalanan hijrahnya, semata-mata yakin dan percaya bahawa pengorbanannya di
jalan Allah tidak akan sia-sia. Maka beruntunglah perniagaan Shuhaib, kata
rasulullah, kerana dagangannya telah dibeli Allah.
Para sahabat ini
adalah generasi yang terbaik yang pernah wujud di dunia ini. Allah telah
merakamkan keadaan mereka sebelum dan selepas memilih untuk berhijrah dari
kejahilan kepada keredhaan. Mereka disifatkan Allah berada di tepi jurang
neraka disebabkan kejahilan mereka sebelum kedatangan Islam dan mereka juga
dipuji Allah sebagai ummat terbaik kerana memilih Islam dan bukan sahaja
melaksanakan, malah mengajak manusia kepada kebaikan dan menjauhi serta
melarang manusia dari kejahatan. Lihatlah kualiti hijrah mereka, yang memenuhi
kehendak dunia dan akhirat. Mereka lahir hasil dari saringan ujian yang sangat
getir dari Allah atas jalan Islam yang menuntut segala-galanya untuk
dikorbankan hatta nyawa sekalipun, namun mereka tetap dan terus beristiqamah di
atas jalan Allah.
Tetapi ada orang
Islam dizaman mutakhir ini, memandang sepi kisah pengorbanan hijrah ini, seumpama
melihat kosong ke dalam air layaknya, tiada tersentuh perasaan mereka langsung.
Apa yang bermain di minda mereka ialah ianya kisah sejarah yang lalu, tiada kaitannya
dengan kisah sekarang. Lebih malang, apa itu hijrah pun tiada mereka ketahui. Sekarang
apa yang perlu ditumpukan ialah kenaikan kos harga barang yang sedang rancak
naik hasil dari kenaikan harga minyak. Walaupun dikatakan GST akan dilaksanakan
tahun depan, tapi minyak sudahpun memungut GST nya sendiri dengan kenaikan ini,
kenaikan melebihi 6 peratus berbanding perolehan sepatutnya dari GST ini. Tidak
dapat disalahkan juga masyarakat apabila mereka semakin jauh dari agama ataupun
tidak mengambil peduli untuk mengubati jiwa mereka yang tenat dengan wahyu
Allah kerana pemerintah mengajar bahawa, yang penting dalam hidup ini ialah
duit, duit dan duit. Dengan duit akan ada nama, dengan duit akan ada kuasa,
dengan duit akan ada pengaruh. Dengan duit manusia boleh berbuat apa sahaja.
Inilah yang ditanam pemerintah dalam pemikiran rakyat.
Pemikiran
sebegini jelas mengheret kepada merendahkan akal manusia ke tahap yang sangat
hina kerana perumpamaan haiwan ternakan adalah lebih layak disamakan kepada
manusia yang hanya tahu makan, minum, tidur,
berseronok dan keselesaan, tanpa mereka berusaha untuk menghidupkan jiwa
bagi menjadikan mereka hamba kepada Allah dan bukannya hamba dunia. Tetapi
inilah malang yang kita hadapi kerana pemimpin kita sebenarnya tidak berjaya
ataupun tidak mahu membawa masyarakat keseluruhannya kembali ke jalan Allah.
Jika manusia sedar dan insaf, maka mereka akan kehilangan kuasa, wang, pangkat
dan segala-galanya yang menyeronokkan nafsu mereka. Bukti pemerintah tidak mahu
rakyat celik agama Allah, lihat sahaja kepada peruntukan bagi membangun nilai
insan menerusi wahyu Allah iaitu sekolah agama dalam Bajet 2015 baru-baru ini,
hanya RM25 juta sahaja berbanding RM50 juta bagi sekolah mubaligh kristian dan
Permata RM700 juta lebih. Apa yang mampu diterjemahkan ke jalan Allah dan untuk
membentuk generasi yang patuh kepada Allah dengan jumlah RM25 juta ini? Jelas
pemerintah acuh tak acuh dengan sistem pendidikan Islam.
Jika ini
dibiarkan dari tahun ke tahun, maka kita akan menghasilkan lebih banyak lagi
manusia-manusia yang semakin jauh dari Allah. Lihat sahajalah kepada
permasalahan liberalisme yang sedang merebak dalam negara kita sekarang.
Masalah yang suatu ketika dahulu dianggap remeh, sekarang sudah menjadi wabak
yang jika tidak berjaya ditangani sekarang, maka tidak mustahil ianya akan
memusnahkan Islam di Malaysia. Dengan idea-idea islamisasi yang baru seperti
Islam tanpa syariat, kesamarataan jantina, kebebasan bersuara atas apa-apa
tajuk, termasuklah agama dan berbagai lagi kegilaan yang lahir dari pemikiran
liberal yang merosakkan ini, pemikiran rakyat perlahan-lahan berjaya
diselewengkan. Ditambah lagi dengan tafsiran-tafsiran songsang yang terkadang
datang dari mereka yang dipanggil “ulamak”, sudah tentu remaja yang kosong
dari agama, adalah mangsa termudah dan terbanyak kepada pemikiran liberal ini.
Jangan nanti ada diantara kita beriparkan kristian atau bermenantukan hindu
semata-mata mengikut langkah liberal ini. Moga Allah menjauhkan hal ini.
Oleh itu sedarlah
wahai umat, bangkitlah dari lenamu yang panjang, dari hanya memikirkan
kehidupan dunia yang tidak kekal kerana dibodohkan pemerintah yang tidak pernah
kontang idea dan tenaga bagi mengekalkan kuasa mereka, walaupun umat terpaksa
menjadi bahan korban kerakusan nafsu mereka, kepada menyerahkan diri hanya
kepada Allah. Ayuhlah kita berhijrah dari seorang yang sentiasa menjadi hamba
kepada material dan dunia kepada hamba yang benar-benar taat kepada Allah,
kerana dengan menjadi hamba kepada Allah maka kita akan menjadi manusia yang
merdeka, sebagaimana sahabat-sahabat yang berhijrah memerdekakan minda mereka
dari perhambaan kepada manusia kepada perhambaan total hanya kepada Allah. Kita
tentunya tidak akan dapat menyamai pengorbanan para sahabat tetapi percayalah
Allah menyukai golongan yang sentiasa berusaha mengubah nasib mereka dengan
mengikut jalan Allah. Hijrah ini ialah
ujian bagi membuang nafsu kita dari menjadi hamba yang menuruti pemimpin yang
rakus dan memperbodohkan rakyat kepada hamba yang menurut suruhan Allah. Dan
apabila kita sudah berjaya berhijrah, maka teruslah beristiqamah. Wallahua’lam
YB Ustaz Mohd
Nor Hamzah
Ketua Penerangan
BPPNT
29 Zulhijjah 1435
bersamaan 24 Oktober 2014