YB Ustaz Mohd Nor Hamzah sibuk melayan tetamu samada di meja tetamu kenamaan atau tetamu di meja orang ramai
Dalam masa kira-kira tiga jam
Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Bukit Payong diadakan, bermula dari jam 11 pagi
hingga jam 2 petang, seramai lebih daripada 3000 orang pengunjung telah hadir bagi
sama-sama memeriahkannya.
Pun begitu, walaupun sudah
melebihi jam 2 petang, masih ada lagi kelihatan tetamu yang baru hadir ke
majlis tersebut.
Kemeriahannya itu diserikan lagi dengan kehadiran YB Ustaz Mohd
Nor Hamzah, Adun Bukit Payong sebagai tuan rumah serta kehadiran tetamu-tetamu
jemputan seperti Yang DiPertua PAS Kawasan Marang Haji Yahaya Ali serta Ahli
Jawatankuasa PAS Kawasan.
Turut hadir ialah bekas
Timbalan Mufti Terengganu, Tuan Haji Zainal Abidin, Timbalan Ketua Dewan
Himpunan Penyokong PAS, Encik Jefry Chua dan juga Pengerusi DAP Negeri
Terengganu Encik Ng Chai Heng.
Rumah Terbuka Aidilfitri DUN
Bukit Payong telah diadakan pada hari Sabtu 2 Ogos lalu di perkarangan Madrasah
Darul Iman, Titian Baru, Kampung Kedai Buloh.
Selain daripada menu utama nasi
berlaukkan gulai daging kawah, para tetamu juga dihidangkan dengan hidangan
laksa Terengganu, lemang, ketupat serta kuih muih.
Bagi tetamu cilik pula aiskrim
turut disediakan untuk mereka selain daripada duit raya yang menjadi hadiah
yang ditunggu-tunggu golongan ini.
Dalam ucapan alu-aluannya, Ustaz
Mohd Nor mengucapkan berbanyak terima kasih diatas kehadiran tetamu yang begitu
ramai dan terdiri dari pelbagai golongan itu.
Beliau juga turut mengucapkan
terima kasih kepada para petugas dari kalangan AJK MTD dan juga penduduk
kampung yang bertungkus lumus melakuakan persiapan bagi menjamin perjalanan
majlis berjalan lancar.
“Saya mengucapkan jutaan terima
kasih kepada tetamu yang hadir ke majlis ini.
Saya juga memohon kemaafan jika
ada yang terkurang daripada majlis ini, kerana kadang-kadang kehadiran diluar
jangkaan.
Kita telah mencuba sedaya upaya
memuaskan hati semua dan kita berharap agar para tetamu berpuashati dengan apa
yang kami sediakan.
Saya juga turut mengucapkan
jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat bagi membantu menjayakan majlis
ini, semoga Allah memberikan sebaik-baik balasan,” kata beliau.
Selain daripada hidangan makanan,
tetamu turut dipersembahkan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan pelajar
dari Madrasah Darul Iman.
Tidak dilupakan ketika bergembira
meraikan kemeriahan aidilfitri ialah nasib yang menimpa saudara kita seislam di
Gaza.
Sehubungan dengan itu, jawatankuasa
penganjur juga menyediakan tabung derma bagi membantu saudara kita di Gaza.
Rata-rata petugas yang ditemui
melahirkan rasa kepuasan kerana dengan jumlah kehadiran yang begitu ramai
membuatkan mereka rasa gembira dan hilang rasa penat melayan tetamu.
Walaupun mungkin ada kekurangan
tetapi tetamu memahaminya dan para petugas berjanji akan memperbaiki segala
kelemahan dimasa akan datang bagi memuaskan hati para jemputan semaksima mungkin.
0 comments:
Post a Comment