HEADER

HEADER

Saturday, August 23, 2014

Sokongan kepada cadangan memecat keahlian dua Adun PAS Selangor

Bismillah
Saya selaku Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) menyokong penuh saranan Pesuruhjaya BPPNT YB Ustaz Satiful Bahari Mamat, bagi memecat keahlian dua orang Adun PAS dari Selangor iaitu Adun Hulu Kelang YB Shaari Sungib dan Adun Morib, YB Hasnul Baharuddin berkaitan isu menyokong Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor tanpa perbincangan dan persetujuan PAS Pusat baru-baru ini.
Hal ini adalah kerana mereka telah menyalahi adab berjemaah yang mana mereka telah mendahului keputusan PAS dalam krisis yang besar seperti ini. Maka jelas sekali mereka telah melanggar disiplin parti PAS yang sepatutnya dipatuhi, apatah lagi sebelum itu Majlis Syura Ulamak telah memutuskan agar semua Adun PAS di Selangor menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar kerana tiada kesalahan syarie yang beliau telah lakukan.
Kedua-dua Adun ini juga telah menunjukkan nilai yang sangat buruk sebagai pimpinan terutama kepada golongan bawahan dan juga kepada mereka yang baru mengenali PAS yang terkenal dengan sikap wala’ kepada pimpinan. Mereka jelas memutarbelitkan maksud wala’ dalam bertahaluf bersama PKR dan DAP. Dalam PR, PAS hanya bertahluf bagi kepentingan Islam dan bukan wala’ kepada pihak lain. Sedangkan wala’ di dalam PASlah yang memberikan kelainan dan keyakinan masyarakat kepada PAS berbanding dengan parti-parti politik lain di Malaysia.
Keghairahan dua Adun ini melakukan “ijtihad” tanpa merujuk kepada pihak tertinggi iaitu Majlis Syura Ulamak, telah memberikan kesan kepada parti pada pandangan orang luar, bahawa MSU boleh dilangkau dan ahli PAS boleh melakukan “ijtihad” sewenang-wenangnya walaupun bertentangan dengan kehendak badan tertinggi parti. Lebih jauh dari itu Shaari juga sanggup untuk keluar parti jika PAS terus menyokong Tan Sri Khalid. Budaya mengugut sudah menular di dalam PAS dan dibawa oleh bekas calon PKR ini.
Jika pimpinan tertinggi PAS tidak bertindak, maka saya yakin dan percaya hal ini akan menjadi ikutan kepada yang lain bagi melakukan tindakan biadap dan tidak wajar kepada pimpinan PAS. Ditambah lagi Presiden kita  baru-baru ini telah dilantik menjadi Naib Ketua Ulamak Dunia, menunjukkan penghormatan dunia kepada beliau, sedang di kandang sendiri beliau diperlekehkan. Mungkin di dalam JIM, mereka memang mengamalkan budaya kurang ajar dengan ketua mereka, tetapi kita sesekali tidak akan membenarkan budaya biadap ini menjadi amalan PAS.
Oleh itu amat wajar kedua-dua Adun ini dipecat kerana mereka dengan jelas dan sengaja melanggar disiplin, menyusah dan meresahkan ahli PAS yang lain. PAS tidak memerlukan ahli yang tidak mampu menurut atau membawa kehendak dan aspirasi parti apatah lagi dalam ketika PAS sedang menghadapi serangan luar dan dalam.

YB Ustaz Mohd Nor
Ketua Penerangan BPPNT

28 Syawal 1435 bersamaan 24 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment