Bismillah
Kita bakal menyambut hari
kemerdekaan negara Malaysia bagi yang ke 57 kalinya. Kita dikatakan telah bebas
dan merdeka dari penjajahan dan kita telah menjadi negara yang berdaulat hasil
dari kemerdekaan ini. Secara teori kita sepatutnya telah bebas zahir dan batin
dari penjajahan bangsa luar. Kita bangga dengan kebebasan ini dan kita sedaya
upaya akan mempertahankannya. Alhamdulillah sehingga kini kita masih menyedut
udara kebebasan ini.
Dengan adanya kemerdekaan ini,
kita boleh membina negara kita sendiri dengan acuan yang kita kehendaki. Kita
mengamalkan sistem demokrasi raja berpelembagaan yang menjadi sebahagian amalan
negara-negara Komanwel (negara-negara yang pernah dijajah British) dan
undang-undang kita berasaskan kepada asas yang telah dibentuk oleh Suruhanjaya
Lord Reid. Sudah tentu sistem demokrasi dan undang-undang ini, ianya bukan
undang-undang Islam yang mana sepatutnya menjadi asas kepada perundangan di
negara Islam.
Pun begitu, kita terpaksa
menerimanya dalam kadar kelemahan kita yang menahan mudharat yang lebih besar.
Kita tidak pernah dan tidak ingin memilih jalan kekerasan. Tetapi PAS tetap
akan memperjuangkan undang-undang Islam agar daulah ini ditegakkan dengan asas
syariat Allah dengan saluran yang ada dan semampu kita.
Dalam kita meneliti sistem
demokrasi ini, kita melihat ada sedikit ruang yang boleh kita praktikkan iaitu
hak kesamarataan ataupun penghormatan kerajaan kepada wakil atau parti yang
telah dipilih oleh rakyat. Hak itu sepatutnya diberikan sepenuhnya bagi
menghormati keputusan majoriti rakyat di sesuatu kawasan yang telah memilih
wakil mereka, tanpa mengira dari parti manakah dia berasal. Namun, amat malang
di negara kita ini, penghormatan itu tidak terjadi, malah rakyat yang memilih
wakil yang berlawanan dengan parti yang memerintah turut diugut, diperbodohkan
dan terkadang tidak dipedulikan.
Bagaimanakah kita mahu melahirkan
sebuah cinta kepada negara kita jika ugutan, dendam, amarah, pembodohan dan
lain-lain lagi amalan buruk masih diamalkan? Apakah benar minda kita sudah
merdeka dari kongkongan pemikiran politik kekampungan dan dayus ini? Malang
berganda kepada kita rakyat Malaysia kerana praktik ini bukan sahaja dilakukan
secara berleluasa oleh pimpinan bertaraf kampung, malah juga dilakukan secara
meluas oleh pimpinan negara ini. Contoh teragung ialah penarikan balik royalti
petroleum bagi negeri Terengganu. Sehinggakan ketika berakhir era BN memerintah
melalui Dato’ Seri Ahmad Said yang lalu, royalti itu masih belum dikembalikan.
Setelah lebih 14 tahun ianya dirampas secara zalim. Sedang dalam waktu yang
sama, kerajaan negeri Sarawak telah sebulat suara kerajaan bersama pembangkang,
bersetuju bagi meminta kerajaan pusat memberikan mereka royalti sebanyak 20
peratus.
Merdekakah minda kita dengan
layanan kelas terbawah yang telah diberikan oleh pemerintah hanya kerana rakyat
memilih untuk memberi peluang kepada parti Islam memerintah? Jika ini diteruskan,
apa bezanya dengan cara British melayan kaum pribumi ketika mereka menjajah
kita dahulu? Apa yang dikesalkan ialah setelah puluhan bilion wang royalti
diperolehi, dibelanjakan atas nama projek-projek pembangunan, rakyat Terengganu
masih berada diantara senarai teratas carta kemiskinan negara. Projek-projek
yang dicipta atas nama pembangunan kepada rakyat, banyak yang menjadi projek
gajah putih.
Apa yang akan terjadi kepada
projek-projek seperti di Kenyir, Kemaman dan lain-lain tempat yang telah dibuat
ataupun sedang berjalan hasil daripada kelulusan oleh menteri besar yang lalu
setelah kuasa secara paksa bertukar tangan? Adakah ianya akan di teruskan oleh
menteri besar yang baru ataupun wang rakyat sekali lagi akan dihumbankan ke
poket-poket kontraktor yang sudah pastinya tidak akan memikirkan berjaya atau
tidaknya projek itu, tetapi berjaya atau tidak tuntutan perbelanjaan bagi
projek mereka dari kerajaan yang mengunakan wang rakyat. Apalah malangnya nasib
rakyat yang tinggal di tanah merdeka yang bertuah ini? Pilu juga turut dirasa,
apabila pampasan yang dijanjikan kepada penduduk di sekitar kampung Pasir Putih
Merchang kerana isu pengambilan tanah bagi melebarkan jalan, masih belum diterima
mereka.
Isu-isu muda-mudi seperti rempit
dan gejala sosial yang lain, masih berada ditahap yang tidak memuaskan. Ini
kerana pembentukan jiwa mereka tidak dilakukan melalui jalan yang benar iaitu
jalan Islam. Kita mengajar fardhu ain, dalam masa yang sama kita membuka
pusat-pusat hiburan dan membuka taman-taman pada malam hari sehinggakan mereka
merasakan selesa untuk melepak dengan kawan-kawan bercampur lelaki dan
perempuan. Kita membuka pintu ilmu tetapi gagal menutup pintu maksiat yang
terbuka lebih besar dari pintu ilmu ini. Formula manakah yang kita guna
sekarang ini bagi menghapuskan gejala sosial?
Kehadiran merdeka tahun ini
disambut sederhana mengenangkan beberapa peristiwa demi peristiwa hitam yang
berlaku kepada negara pada tahun ini. Ketentuan Allah bagi kita, diterima
dengan redha. Semoga segala kedukaan ini menjadi pengajaran bagi kita agar
melihat kedudukan kita dengan Allah. Isu hidangan arak dalam penerbangan dan
aurat kakitangan MAS perlu diambil berat oleh kerajaan kerana ianya sudah
menjadi isu nasional dengan desakan demi desakan telah dilakukan dari semua
pihak yang cintakan Islam. Ingatlah
apabila bala Allah hadir, ia tidak akan terkena kepada sebahagian sahaja,
tetapi semua yang ada berdekatan.
Maka tema PAS pada tahun ini
amatlah bersesuaian dengan keadaan semasa iaitu Malaysiaku Minda Merdeka. Kita
mengharapkan bukan sahaja fizikal yang merdeka tetapi minda juga turut
dimerdekakan secara keseluruhannya. Buanglah kekekolotan minda yang tersumbat
dengan agenda jahat dan khianat. Masukkan ke dalam minda kita agenda kasih
sayang kerana Allah, melaksanakan amanah dengan sempurna ke atas yang berhak
dan menjadikan Islam sebagai satu-satunya jalan membina negara ini agar merdeka
kita semuanya bukan sahaja terselamat dari dijajah di dunia ini malah jauh
lebih dari itu, merdeka dari api neraka di akhirat insyaAllah. Merdeka,
merdeka, merdeka. Allahuakbar.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT
4 Zulqaedah 1435 bersamaan 30
Ogos 2014.
0 comments:
Post a Comment