HEADER

HEADER

Wednesday, January 21, 2015

Kenyataan Media : Program bertembung, suratan, kebetulan atau ketakutan?

 
 
Bismillah
 
Saya ingin menarik perhatian pembaca mengenai isu pertembungan dua program besar iaitu anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Himpunan Harapan Semua (HARAP) yang menumpukan kepada program kemasyarakatan, dengan satu lagi program Karnival Transformasi Terengganu Baharu 2015 anjuran kerajaan Negeri Terengganu. Secara kebetulannya kedua-dua program itu akan berlangsung pada tarikh, waktu dan di Dun yang sama. Malah untuk menjelaskan dengan lebih spesifik lagi tempatnya, kedua-dua program besar itu hanya kira-kira 500 meter sahaja jaraknya antara satu sama lain iaitu Harap di Telaga Daing, sementara program satu lagi di Bangunan Penyelaras Dun Seberang Takir.
 
Jangkaan kesan program Harap ini kepada rakyat Terengganu khususnya di Seberang Takir, nampaknya sungguh mengerikan sesetengah pihak kerana jangkaan kekuatan atau impaknya itu, telah menyebabkan ada pihak yang berada di dalam ketakutan yang amat sangat. Kelihatannya transformasi politik iaitu rukun ketiga yang diwar-warkan dalam Transformasi Terengganu Baharu oleh YAB Menteri Besar jelas telah dibakul sampahkan oleh beliau sendiri dengan membenarkan pertembungan program ini berlaku. Amat naïf jika MB mengatakan “saya tidak tahu” kerana sikap itu jelas menggambarkan satu sikap yang pentingkan dan menyombongkan diri. Pemikiran politik rimba begini seharusnya telah dibuang jauh-jauh dari dalam pemikiran ahli politik supaya semua parti politik dapat bersaing dengan baik dan matang.
 
Pertembungan ini jika tidak dapat ditangani dengan baik, boleh menyebabkan sesuatu yang serius akan terjadi. Dan jika ianya berlaku, sepatutnyalah pencabar kepada program Harap inilah yang mesti dipertanggungjawabkan. Juga apabila pertindihan program ini diteruskan juga, maka tidak mustahil pada masa akan datang, jika BPPNT menganjurkan pula program besar, maka akan turun pula lagi lawan BPPNT bagi menganjurkan program di kawasan yang berdekatan. Saya memahami tekanan yang dialami oleh YAB MB kerana walaupun sudah lebih lapan bulan diberi kepercayaan oleh Umno bagi menerajui Terengganu, beliau masih terkial-kial mencari identitinya sendiri setelah beliau cuba lari dari bayangan Idris Jusoh dan Ahmad Said. Tetapi suka saya menasihati beliau, cara ala provokasi ini bukanlah caranya yang betul bagi membina identiti, malah ia sangat mirip mengikut gaya pemerintahan Idris Jusoh sebenarnya.
 
Dimaklumkan juga bahawa ada satu lagi program anjuran kerajaan negeri, iaitu karnival ICT yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak. Jika benar-benar YAB MB ingin mengimplitasikan transformasi politik tajaan beliau, kerajaan negeri seharusnya menumpukan hanya kepada program karnival ICT itu sahaja yang juga berlangsung pada tarikh yang sama. Akan tetapi disebalik semua cabaran ini, saya juga turut berbangga dan berfikiran positif kerana ini secara tidak langsung, BPPNT sebenarnya telah dinobatkan menjadi satu lawan yang sangat kuat sehinggakan kerajaan negeri terpaksa turun bagi “melawan” BPPNT yang tiada apa-apa kekuatan melainkan kekuatan berpegang kepada Islam. Saya juga berterima kasih kepada Umno yang mana dengan respon mereka ini sebenarnya telah menggerakkan juga ahli-ahli PAS untuk bangkit menentang Umno dan mereka sedang bersiap sedia untuk hadir ke program Harap itu nanti.
 
 
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT
1 Rabiulakhir 1436 bersamaan 22 Januari 2015

0 comments:

Post a Comment