Bismillah
Setelah dua minggu kita
‘menikmati’ dan dalam kita cuba menilai sejauh manakah keberkesanan GST dalam
memenuhi hasrat yang digariskan oleh kerajaan atas apa yang kerajaan gelarkan
sebagai cukai yang memberikan kemakmuran, menurunkan harga barang, memudahkan
system percukaian dan banyak lagi ‘kelebihan-kelebihan’ GST yang kerajaan
gariskan ketika memulakan GST dulu. Tidak hanya dengan semua ini, dikhabarkan
juga rakyat gembira dengan GST ini serta menjadikan mereka lebih berjimat
cermat, pandai memilih kedai dan membandingkan harga jualan sebelum membeli,
ternyata hanyalah omong kosong belaka.
Kita sangat memahami
kenyataan-kenyataan separuh masak dari pimpinan Umno terutamanya dalam
menghadapi kemarahan rakyat tidak lebih hanyalah sebagai ulang tayang
alasan-alasan lapuk yang dikitar semula untuk disuapkan ke mulut-mulut rakyat
dengan sangkaan rakyat lebih bodoh daripada mereka. Sangat jarang kita dengar
pujukan-pujukan bodoh pimpinan MCA atau MIC kepada penyokong mereka atas nama
GST ini yang mana mungkin mereka juga tidak bersetuju dengan Umno ataupun
mungkin lebih daripada itu, mereka tidak sanggup memperbodohkan pengikut mereka
sebagaimana yang dilakukan oleh Umno kepada penyokong mereka.
Dengan persoalan-persoalan yang
bertubi-tubi timbul bukan sahaja daripada pembangkang, orang atas pagar, malah
penyokong Umno-BN sendiripun mempersoalkan keberkesanan perlaksanaan GST ini
oleh kerajaan Umno-BN. Jelas ini adalah isyarat yang besar betapa mereka juga
membenci GST. Dengan jaminan harga barang akan turun selepas perlaksanaan GST, bagaimana
mungkin rakyat dapat menahan amarah kerana sebaliknya berlaku ialah kenaikan
harga. Janji atas 4000 barangan tidak akan dikenakan GST berlalu begitu sahaja.
‘Top up’ telefon dikenakan GST, ada sesetengah stesen minyak kenakan GST keatas
RON 95 dan banyak lagi kes-kes yang mengelirukan rakyat berlaku. Tiada
mekanisma yang ditunjukkan oleh kerajaan dalam menurunkan dulu harga barang
iaitu sebanyak 10-15 peratus atas cukai SST tetapi terus dinaikkan sebanyak
enam peratus atas SST dan GST. Dan cukai berganda ini mengenai semua rakyat
tidak kira penyokong Umno atau bukan. Laporan dari Fomca menyatakan bahawa harga barang naik 30 peratus selepas GST.
Bagi yang tidak dilayakkan
oleh kerajaan untuk mengenakan GST kepada pelanggan, mereka tidak bersusah
hati, mereka ada cara percukaian mereka sendiri. SPAD contohnya telah menaikkan
harga tambang sebanyak lebih kurang 40 peratus, hampir tujuh kali ganda GST
sebelum GST itu sendiri muncul. Yang tertekan ialah peniaga-peniaga kecil yang
dikenakan GST oleh pengedar. Mereka tersepit antara mahu menyerap GST atau
mengenakannya kepada pelanggan. Dengan syarat jualan tahunan melebihi RM500
ribu, maka mustahil bagi peniaga-peniaga kecil akan mendaftarkan diri mereka
dengan Kastam. Disinilah terjadinya dilema. Sehinggakan ada yang berbalah
dengan pelanggan. Ini semua hasil dari ketololan kerajaan kerana melaksanakan
GST tanpa menurunkan harga barang terlebih dahulu. Namun, bagaimana kerajaan
boleh diharap untuk menurunkan harga barang sedangkan apabila terjadi penurunan
harga minyak contohnya, mereka gagal dan mungkin tidak mahu menurunkan harga
barang kerana jelas sekarang ini, kantung kerajaan hampir kering disedut.
Dengan masalah hutang kerajaan
yang mencecah hampir 750 billion, huru-hara pengurusan 1MDB, pemborosan
pembelian jet kerajaan dengan nilaian jutaan ringgit, skandal yang melibatkan
individu yang bukan dari kerajaan dalam 1MDB, cadangan menaikkan umur bagi
pengeluaran KWSP adalah tanda-tanda jelas kewangan negara dalam keadaan bahaya.
Kesannya akan dirasakan oleh semua lapisan rakyat termasuk penyokong tegar
Umno-BN, kecuali menteri-menteri Umno yang mungkin masih boleh menggadaikan
jam-jam mewah mereka jika terdesak. Sangat jelas isyarat kejatuhan system
kewangan kita sehinggakan Tun Dr Mahathir sendiripun sekarang sedang menghalakan
senapang perangnya kepada Dato’ Seri Najib kerana menurutnya, Najib sedang
membawa masalah kepada negara.
Oleh itu saya menyeru kepada
semua untuk turun pada hari Jumaat ini 17 April jam 5 petang di Pantai Awam
Batu Burok, bagi menyatakan bantahan terhadap kegilaan cukai ini yang telah
memberikan kesan buruk yang besar kepada rakyat walaupun hanya pada permulaan
pengenalannya. Bayangkan jika ianya berterusan, maka rakyat akan terus
terhimpit dengan masalah kewangan, seterusnya membawa kepada masalah-masalah
lain seperti sosial, jurang kemiskinan yang melebar, jenayah dan lain-lain lagi
gejala negatif di dalam negara kita ini yang sememangnya ketika ini telahpun
berhadapan dengan gejala-gejala negatif itu. Oleh itu, himpunan bantahan ini
adalah tanggunggjawab kita bersama sebagai rakyat Malaysia dan bukannya
penyokong parti atau mana-mana gerakan. InsyaAllah kita bertemu di Batu Burok
17 April jam 5 petang ini dengan berpakaian hitam.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan
Perhubungan PAS Terengganu
25 Jamadilakhir 1436 bersamaan
15 April 2015