Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Friday, May 2, 2014

Demi kasih sanggup bersih najis

Petikan : Sinar Harian
  • Demi kasih sanggup bersih najis
  • Dua petugas PDK Bukit Payong, Yuslaili (kanan) dan Zaleha sedang menunjukkan cara-cara mengubah bunga daripada manik sambil diperhatikan empat pelatih.
                                                                       
MARANG - Jika guru dipuji kerana banyak berkorban untuk mendidik anak bangsa, petugas di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) juga layak menerima pujian sama kerana pengorbanan mereka menguruskan insan istimewa.

Malah pengorbanan mereka bukan dibuat-buat, sebaliknya dilakukan dengan penuh kesabaran, keinsafan dan kasih sayang setanding ibu bapa pelatih itu sendiri.

Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi  itu juga menyebabkan ada petugas PDK sanggup membersihkan najis pelatih yang kebanyakannya adalah OKU.

Berkongsi pengalaman menjadi penyelia di PDK Bukit Payong, Zaini Sidek, 46, berkata, hatinya tersentuh melihat nasib golongan istimewa itu walaupun terpaksa berdepan tingkah laku pelatih yang agak agresif.

“Kadang kala mereka ini bersikap di luar jangkaan kerana kebanyakan mereka yang berumur 20 tahun ke atas ini mempunyai emosi keterlaluan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di PDK Bukit Payong di sini, semalam.


Proses pembelajaran berbeza

Zaini yang mula bertugas sejak 2001 berkata, menjaga dan mengajar pelajar istimewa lebih memenatkan berbanding pelajar normal kerana mereka belajar daripada pengalaman dan perlu ditunjukkan apa yang betul dan salah.

Justeru katanya, proses penjagaan dan pembelajaran pelatih di PDK tidak boleh dilakukan sama seperti mengajar pelajar biasa kerana mereka tidak akan memahaminya memandangkan tahap kognitif mereka berbeza dan terhad.

"Seperkara yang perlu diambil kira ialah bagaimana menangani pelatih yang kebanyakannya adalah anak-anak Sindrom Down.

"Setakat ini PDK Bukit Payong mempunyai 61 pelatih, namun hanya 39 pelatih yang mengikuti latihan di sini," katanya.

Zaini dibantu empat petugas sukarelawan iaitu Yuslaili Jusoh, 36, Zalawati Mustafa, 41,  Azrina Abidin, 31, dan Zaleha Che Ha’ad, 45.

Difahamkan kesemua mereka melatih insan istimewa di pusat tersebut tanpa gaji bulanan dan hanya menerima elaun.


Pelatih diajar berdikari

Kata Zaini, bagi memastikan latihan yang dijalankan berkesan dan paling penting dapat meningkatkan tahap kebolehan pelatih, ibu bapa juga diminta hadir pada masa tertentu untuk melihat anak mereka menjalani latihan.

Menurutnya, latihan dijalankan secara sistematik sambil menanamkan disiplin dalam diri pelatih agar mereka dapat diasuh menjadi individu yang boleh berdikari,  seterusnya mampu menguruskan kehidupan sendiri.

“Pelatih kita menerima latihan bagaimana mempertingkatkan kemampuan kendiri mereka dengan alat bantuan mengajar yang biasa digunakan untuk kanak-kanak normal dan ada juga peralatan yang khusus untuk mereka.

“Kami di PDK Bukit Payong turut melatih ibu bapa bagaimana untuk mendidik anak Sindrom Down dengan cara yang kami amalkan supaya mereka juga boleh berdikari pada masa depan,” katanya.

Bagaimanapun Zaini berkata, pihaknya hanya melatih dan tidak mengajar seperti guru di sekolah.

"Kita di sini hanya melatih mereka agar berkemahiran mengendalikan diri seperti pandai pergi ke tandas dan membersihkan diri sendiri serta boleh bercakap dengan baik.

“Perkara yang diajar itu cukup penting sebagai persediaan awal kepada mereka meneruskan kehidupan kelak,” katanya.

PDK Bukit Payong menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sumbangan daripada pihak swasta.

Bagaimanapun pusat itu masih memerlukan bantuan ikhlas untuk membiayai kos tambahan lain.

Wednesday, April 30, 2014

Pemuda anjur pertandingan wau, hasrat kekalkan seni budaya.


Pelbagai gaya yang ditunjukkan oleh peserta ketika menaikkan wau masing-masing
Wau bulan adalah satu nama yang tidak asing lagi kepada masyarakat Malaysia terutama kaum Melayu dan ianya adalah salah satu daripada kebudayaan dan kesenian rakyat Malaysia.
Permainan ini sangat diminati pada suatu masa dahulu, terutamanya bagi mereka yang berkerja sebagai pesawah yang menunggu musim hujan sebelum memulakan semula tanaman padi mereka suatu ketika dahulu.
Malah, permainan wau ini bukan sahaja tertumpu kepada golongan pesawah, ianya turut disertai oleh golongan nelayan, peniaga dan hampir kesemua lapisan masyarakat sekeliling pada waktu itu.
Ketika musim kering dan berangin kencang seperti sekarang ini, ia menjadikannya waktu yang sangat sesuai  bagi melangsungkan pertandingan ataupun pesta wau terutama bagi penduduk di sekitar pantai timur.
Seni budaya turun temurun ini masih dipertahankan oleh golongan tua yang memperturunkan kemahiran cara membuat wau, kemahiran menaikkan wau dan sebagainya yang berkaitan kepada golongan muda.
Mengambil langkah demi untuk mempertahankan seni khazanah melayu ini maka, Pemuda PAS Dun Bukit Payong telah mengadakan Pertandingan Wau Bulan Tegak di Kampung Surau Haji Mat Zin baru-baru ini.
Ianya bersempena Program Cakna Wakil Rakyat iaitu satu program yang dibuat bagi mempereratkan lagi hubungan antara wakil rakyat dan pengurusan PAS di cawangan-cawangan di Dun Bukit Payong dengan penduduk setempat.
Menurut Ketua Penyelaras Pemuda PAS Dun Bukit Payong, Ustaz Zakaria Ismail, pertandingan ini adalah salah satu cara Pemuda PAS membantu mengekalkan keindahan seni budaya agar tidak luput ditelan zaman.
Tambah beliau lagi, bukan dari aspek kesenian sahaja, pertandingan ini juga sekaligus merapatkan lagi hubungan sesama penduduk terutama pemuda selari dengan tema pertandingan iaitu Pemuda Penggerak Perubahan.
Sebanyak lebih 360 buah wau disenaraikan dalam pertandingan itu bagi merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM 1200.

Untuk mengetahui bagaimana pemenang ditentukan, pertandingan ini dimainkan berdasarkan wau yang paling tegak naiknya dengan diukur menggunakan kayu pancang serta pembaris beberapa kali dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
Daripada bacaan-bacaan itu, perserta akan memilih bacaan tertinggi untuk dibandingkan dengan bacaan peserta-peserta lain.
Dalam pertandingan ini juga, tali tidak dibolehkan dipanjangkan atau dipendekkan sesuka hati oleh peserta ketika membuat bacaan dan pengadil telah menandakannya bagi menyeragamkan panjang tali.
Dengan meletakkan busur bertali di leher wau bulan itu, maka bunyi wau akan dihasilkan akibat geseran tali busur dengan angin yang mengujakan peserta dan penonton sekaligus memberikan lebih kemeriahan pertandingan ini.
Pertandingan ini telah dirasmikan oleh wakil rakyat Dun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah manakala majlis penutupan serta penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ustaz Zakaria Ismail.

Pelbagai program meriahkan Cakna Wakil Rakyat




Bukit Payong : Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Payong baru-baru ini telah berjaya mengadakan satu program kemasyarakatan yang dinamakan Cakna Wakil Rakyat.
Program itu berlangsung selama lima hari, bermula pada 23 April hingga 27 April lalu, bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara penduduk Bukit Payong dengan wakil rakyat mereka serta pengurusan cawangan-cawangan.
Menurut Pengarah Program ini Haji Zamri Sulaiman, ianya meliputi beberapa kawasan Unit Peti Undi (UPU) yang telah dipilih kali ini iaitu UPU Pekan Bukit Payong, Paya Resak, Sekolah Bukit Payong dan Mak Kemas.
Manakala bagi UPU-UPU yang lain program ini akan dirancang selepas ini kerana tidak mempunyai masa yang cukup bagi menghabiskan program ini bagi semua UPU.
Pelbagai program kebajikan telah dirancang bagi memenuhi acara bagi program ini seperti menghulurkan bantuan serta ziarah golongan yang kurang bernasib baik dan tidak ketinggalan acara sukan seperti pertandingan wau.
Manakala bagi acara keagamaan pula pihak MTD telah mengadakan kuliah ilmu, usrah, bacaan Yaasin dan tidak lupa juga ramah mesra wakil rakyat dengan penduduk seperti sarapan pagi bersama dengan wakil rakyat.
Bagi program ziarah, seramai 12 orang yang kurang bernasib baik telah dikunjungi dan bantuan serta sumbangan dihulurkan sendiri oleh Wakil Rakyat Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Sementara bagi acara sukan pula, YB Ustaz Mohd Nor telah merasmikan Pertandingan Wau Bulan Tegak yang diadakan di Kampung Surau Haji Mat Zin dengan disertai lebih daripada 320 penyertaan.
Menurut YB Ustaz Mohd Nor, beliau gembira dengan program ini, berharap agar ianya diteruskan dimasa hadapan yang mana dengan program ini, cawangan juga akan bekerja dengan lebih kuat lagi bagi mencari mereka yang kurang bernasib baik.
“Apa yang penting khidmat kita kepada masyarakat mestilah berterusan.
Walaupun tiada peruntukan khusus dari kerajaan, namun itu bukanlah satu alasan bagi kita untuk berpeluk tubuh sahaja.
Kita sebagai ahli kepada parti Islam, mestilah memberikan khidmat kerana Allah, nescaya kita akan dibantu oleh Allah dari sumber yang tidak disangka-sangka,” pesan beliau kepada para sukarelawan parti.
Biarpun dalam kesibukan dengan urusan sebagai wakil rakyat selain turut menjadi pimpian PAS negeri, YB Ustaz Mohd Nor sebelum ini, sememangnya sentiasa mengadakan ziarah terutama keatas penduduk yang kurang bernasib baik apabila dimaklumkan.
Namun dengan pogram yang terusun sebegini, memberikan lebih ruang bagi rakyat mendekati wakil rakyat kerana ianya diadakan di tempat terbuka dan juga program ini dimaklumkan terlebih dahulu kepada rakyat.
Ini jelas dapat diperhatikan apabila disemua tempat yang disinggahi oleh beliau, orang ramai tidak melepaskan kesempatan untuk bersalam ataupun bertegur sapa dengannya termasuklah dari kalangan ahli Umno sendiri.

Monday, April 28, 2014

Penduduk gotong royong siapkan jalan


Mohamad (kiri) bersama dengan sebahagian penduduk Kampung Alor Parit memberikan isyarat bagus tanda kepuasan di tepi jalan yang mereka bina hasil gotong royong
 
Walaupun tiada peruntukan yang diberikan kepada penduduk di Kampung Alor Parit bagi membina jalan, namun dengan kerjasama seramai kira-kira 30 orang penduduk setempat, maka sebatang jalan sepanjang kira-kira 400 meter berjaya disiapkan.
Menurut Mohamad Ismail, orang yang mengetuai rancangan ini, jalan tersebut dibina demi kerana memudahkan pelbagai pihak berulang alik ke hujung kampung Alor Parit yang mempunyai banyak tanaman di situ.
Tambah beliau lagi, jalan ini juga akan menyenangkan penduduk yang tinggal di hujung kampung untuk terus ke jalan utama Tok Dir dan Undang dan juga memudahkan kerja-kerja pembinaan rumah yang sedang dibina di kawasan itu.
Sebelum adanya jalan ini, penduduk terpaksa melalui jalan kampung yang ada yang sedikit jauh dan kehadiran lori-lori bagi pembinaan rumah yang melalui jalan itu, memberikan sedikit gangguan kepada penduduk.
Jalan yang dibina itu adalah di atas tanah-tanah sawah penduduk kampung yang dengan sukarela menyerahkannya bagi tujuan membina jalan ini.
Ditanya kenapakah tidak memohon peruntukan dari JKKK dari kampung tersebut, beliau menjawab, peruntukan sudah dimohon tetapi setelah dua tahun, tiada peruntukan yang diberikan oleh pihak berkenaan.
“Doh (sudah) mitok (minta) pah (lepas) setahun, setahun.
Tanah orang (kampung) beri belaka doh, saya tadbir belaka, makna mitok stamet (peruntukan) je,” kata beliau.
Beliau berpendapat JKKK gagal memainkan peranannya dengan menyukarkan proses permohonan peruntukan jalan ini dengan pelbagai alasan.
Bertolak dari itu, beliau memutuskan jalan tersebut hanya boleh disegerakan dengan cara gotong royong kerana tiada kerjasama yang baik dengan JKKK dan agensi kerajaan yang lain dalam hal pembinaan jalan ini.
Kira-kira RM6000 telah dibelanjakan bagi membina jalan  yang masih belum ditar ini dan ianya berjaya disiapkan dalam masa sehari sahaja.
Menurut Mohamad, jalan ini sudah lama disiapkan tetapi baharu dirasmikan oleh Wakil Rakyat Dun Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Saturday, April 26, 2014

Tukar MB, Umno cari kambing hitam


Umno Terengganu sewajarnya  menyelesaikan masalah dalaman mereka dengan baik dan berlapang dada tanpa mencari kambing hitam untuk mengheret pihak lain dalam kancah permasalahan mereka.
Sikap menyalahkan pihak lain bagi mengalihkan perhatian masyarakat terhadap isu dalaman mereka adalah sikap yang tidak bertanggungjawab apatah lagi apabila tuduhan itu dibuat tanpa bukti.
Nasihat itu dinyatakan oleh Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) YB Ustaz Mohd Nor Hamzah bersabit dengan isu yang sedang hangat diperkatakan di Terengganu iaitu penukaran Menteri Besar.
Dalam satu laporan portal berita beberapa hari lalu, Exco Terengganu yang juga Adun Hulu Besut Nawi Mohamad menuduh isu pertukaran MB itu adalah satu isu yang sengaja ditimbulkan oleh parti lawan.
Nawi yang dikatakan antara nama yang disebut-sebut bagi menggantikan Ahmad, dahulunya adalah ‘orang’ bekas MB Terengganu Dato’ Seri Idris Jusoh.
Bagi Ustaz Mohd Nor, perubahan sokongan dari ‘Team Idris’ kepada ‘Team Ahmad’ ini tidak menghairankan kerana budaya Umno ialah siapa yang beri makan, dialah ketua.
Ustaz Mohd Nor Hamzah menjelaskan, satu soalan berkaitan dengan isu pertukaran MB telah diajukan kepada kerajaan dalam sidang Dun baru-baru ini.
“PAS bersikap ‘gentleman’ apabila kita mengemukakan persoalan penukaran jawatan Menteri Besar ini di dalam Sidang Dun baru-baru ini untuk kepastian.
Tapi malang bagi rakyat Terengganu kerana peluang keemasan bagi kerajaan menjawab khabar angin itu dilepaskan dengan menolak soalan saya itu sekaligus membuka pintu spekulasi yang tidak sepatutnya.
Jadi saya nak nasihatkan Adun Hulu Besut supaya berhati-hati dalam membuat tuduhan dan kelihatan dia hanya mahu menutup pekung Umno dengan menyalahkan pihak lain.
Mungkin dia lupa dengan usul yang dibawakan oleh kawan dia dari Kota Putera dalam Sidang Dun lepas untuk menyuruh kerajaan mengambil tindakan terhadap penyebar khabar angin,” ujar beliau sinis.
Ditanya lanjut pandangan beliau berkenaan isu ini, Ustaz Mohd Nor berkata, Pas tidak yakin hal (pertukaran) ini berlaku apabila melihat keadaan semasa dan kekuatan sendiri yang dimiliki oleh Dato’ Seri Ahmad Said.
Ini dapat diperhatikan dengan Ahmad masih berleluasa menggunakan kuasa dengan membelanjakan duit rakyat bagi menjayakan projek-projeknya yang tidak perlu seperti projek di Tasik Kenyir, Mini Zoo, Bukit Besi, bas dua alam dan lain-lain.
Juga tambah beliau kelemahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat masih tidak mampu mengawal Ahmad Said sejak perbalahan terbuka Ahmad dengan Idris.
Hal ini berkemungkinan Ahmad mempunyai sesuatu yang mungkin boleh dianggap senjata sulitnya untuk menangkis serangan pihak yang cuba menjatuhkan beliau.
Ini ditambah dengan barisan kepimpinan Umno Terengganu yang ada sekarang, pada pendapat mantan Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu itu, masih belum ada yang mampu menandingi kehebatan Ahmad Said.
“Atas alasan-alasan tersebut, saya yakin Dato’ Ahmad tidak akan ditukar walaupun terdapat desas desus sebegitu.
Yang kita takut, khabar ini sengaja disebarkan oleh pihak yang ingin menjatuhkan Dato’ Ahmad sehingga ditulis dalam akhbar mereka, Utusan Malaysia.
Jika cerita ini dimainkan Utusan Malaysia sendiri, adakah lojik ianya datang dari pembangkang?,” tanya Ustaz Mohd Nor.

Wednesday, April 23, 2014

Tanah Banggol Donas dan Kubang Jela : Sebutan semula pada 30 April


Mahkamah memutuskan untuk menunda kes tuntutan penduduk tanah di Banggol Donas dan Kubang Jela dan  kepada 30 April ini untuk sebutan semula.
Menurut Encik Yasin Aminuddin Anwar, peguam yang mewakili tujuh penama geran tanah tersebut hal itu diputuskan kerana  ketiadaan Penasihat Undang-Undang Negeri yang mewakili kerajaan negeri.
Pihak mahkamah juga memutuskan agar penduduk Kubang Jela diberi ruang yang cukup bagi membuat pengukuran semula dan penduduk dibenarkan melantik juru nilai swasta bagi memuaskan hati mereka.
“Pentadbir tanah hendaklah memaklumkan tarikh pengukuran tersebut dan pada masa itu, diminta semua pihak hadir untuk lihat pengukuran tersebut.
Dengan kehadiran juru nilai swasta itu, boleh mengesahkan pengukuran yang diminta samada seperti dalam perwartaan 1962, adakah tepat, betul atau macamana.
Selepas pengukuran itu baharulah dirujuk semula ke mahkamah samada ada lebihan atau tepat ukuran seperti sekarang dan jika ada lebihan masa itulah diberi tambahan bayaran atau pampasan ,” jelas beliau.
Ditanya samada kes yang difailkan itu menyalahi peraturan mahkamah, beliau menjelaskan, ada sedikit kesilapan teknikal yang tidak menepati kehendak dalam memfailkan kes tersebut tetapi ianya boleh diperbaiki.
Beliau turut menjelaskan kes Banggol Donas ini berlainan dengan kes di Kubang Jela yang mana kes di Kubang Jela telah diambil oleh kerajaan sementara itu di Banggol Donas, penduduk mempunyai geran yang sah.
Mengulas perkembangan terbaharu ini, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Banggol Donas, Salleh Embong berkata penduduk Banggol Donas hanya mempertahankan hak mereka mengikut lunas undang-undang yang ada.
Sambil merasa teraniaya, beliau menegaskan bahawa mereka bukannya komunis yang ingin lawan kerajaan dan perlu dihalau sebegitu rupa iaitu dengan menggunakan pasukan keselamatan di atas tanah mereka sendiri.
Bagi beliau, kerajaan telah melanggar akta dan prosedur pengambilan tanah dan atas keyakinan itu maka penduduk mencabar notis dari Pejabat Tanah dan tidak akan sebegitu mudah menyerah kalah dalam mempertahankan hak mereka.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya 1 Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) Dr. Alias Razak yang turut hadir bagi menyatakan sokongan, kesal dengan apa yang berlaku dan menyifatkan kerajaan gagal mengikut saranan Tuanku Sultan Terengganu.
Dalam Titah Ucapan DiRaja ketika perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu (KDYMM) menyarankan kerajaan perlu mengambil kira masalah rakyat dalam semua aspek.
“Benda ni saya sebut lama dah, benda ni sepatutnya sebelum nak buat jalan, perlu ada rundingan antara rakyat dan kerajaan.
Supaya jajaran tanah yang hendak diambil itu mengambil kira hak dan kepentingan, budaya hidup orang kampung itu.
Sedangkan jalan tu boleh dielakkan dengan adanya baruh (sawah) padi yang kosong,” ujarnya kesal.
Menurut beliau, kegagalan kerajaan mengadakan rundingan dengan penduduk itulah yang menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pampasan yang lebih, berhadapan dengan rakyat, projek dilewatkan yang akhirnya melonjakkan kos.
Dan apa yang dikesalkan tambah beliau lagi, kesan pembaziran inisudah pasti  akan melibatkan duit rakyat.

YB ziarah mangsa kebakaran



Satu kebakaran yang melibatkan sebuah rumah kediaman berlaku di Kampung Laut yang mengakibatkan ianya hangus hampir keseluruhan daripada struktur rumah berkenaan.
Mangsa Noryatimah Mahmud yang ditemui berkata ketika kejadian dia berada di tempat kerjanya di Pasar Payang dan menerima panggilan daripada jirannya kira-kira jam 3.15 petang.
Hanya suaminya sahaja yang berada di rumah ketika kejadian, manakala kesemua anak-anaknya keluar rumah dan beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku walaupun sedih dengan kehilangan harta benda.
“Saya terima panggilan, masa tu saya duduk (berada) kat (tempat) kerja lebih kurang pukul tiga suku.
Suami ada masa tu (dalam rumah) tapi dapat panggilan tu (pemanggil) kata takdok orang, saya kata suami saya ada tidur, balik-balik tengok takdok mende (habis musnah), ginilah keadaan,” kata beliau dengan pilu.
Beliau yang berkerja sebagai jurujual, telah tinggal hampir 30 tahun di kawasan itu turut menerima kedatangan Wakil Rakyat Dun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang segera datang sebaik menerima berita kebakaran itu. 
Ustaz Mohd Nor mengucapkan takziah serta menasihati Noryatimah agar bersabar dan kemudiannya beliau menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meminta bantuan segera daripada JKM.

Sementara itu Ketua Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Haji Mohd Fauzi Muda (kiri) berkata, kebakaran itu berjaya dikawal dalam masa kira-kira 25 minit oleh anggotanya yang seramai 12 orang.
Mereka tiba di tapak kebakaran pada jam 3.30 petang bersama dua buah jentera dan sebuah pacuan empat roda dari balai di Hiliran dan Wakaf Tapai yang sebahagiannya datang dari tapak kebakaran hutan di kawasan lain.
Haji Mohd Fauzi kemudiannya menasihatkan kepada semua lapisan masyarakat agar tidak membakar sampah atau apa-apa tanpa dikawal kerana keadaan sekarang cuaca yang panas dan mungkin boleh menjadi penyebab kebakaran.
Punca dan kerugian kepada kebakaran ini, masih lagi dalam siasatan.