Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER
Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts

Tuesday, April 1, 2014

Kenyataan Media : Pembelian Amphicoach , satu lagi bakal projek pembaziran Umno

Bismillah

1 – Saya merujuk satu laporan akhbar yang melaporkan Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri dalam proses membeli dua buah ‘Amphicoach’ ataupun Bas Amfibia (dua alam) berharga tiga juta ringgit setiap satu bagi menjadi tarikan terbaru pelancong di Pulau Bebas Cukai di Tasik Kenyir.
2 – PAS Terengganu memandang langkah pembelian ini sebagai satu perkara yang tidak penting, tidak mendesak dan  tidak perlu diberi keutamaan. Ini kerana  sepatutnya kerajaan lebih mengutamakan pengusaha-pengusaha bot yang telah sekian lama menjalankan perniagaan mereka di situ. Langkah memperkenalkan Amphicoach ini hanya akan mengundang ketidakpuashatian para pengusaha sedangkan matlamat industri pelancongan adalah bagi meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
3 – Alasan MB dengan menyatakan pembelian ini adalah strategi serampang dua mata iaitu ianya boleh digunakan juga bagi operasi menyelamat banjir adalah dangkal dan tidak berpijak di bumi nyata. Jika sekiranya ketika banjir, ianya hanya ingin digunakan untuk mengangkut orang ramai ke tempat yang lebih selamat, banjir baru-baru ini telah membuktikan yang kita tidak memerlukan Amphicoach ini yang bernilai jutaan ringgit bagi kerja-kerja menyelamat. Kita hanya perlu kepada bot-bot kecil yang lebih mudah untuk masuk ke kawasan-kawasan sempit bagi tujuan menyelamat. Kenyataan ini membuatkan kita tertanya-tanya, adakah MB juga pakar dalam bidang ‘Emergency Response’ kerana sepatutnya kenyataan berkaitan dengan kerja-kerja penyelamat ini datangnya dari pihak berkaitan seperti JPAM atau JBPM setelah kajian dilakukan. Ini adalah kali kedua dalam masa terdekat, MB cuba menjadi jurucakap pakar setelah baru-baru ini beliau dilihat seolah-olah bercakap bagi pihak saintis ketika menjawab persoalan tujuan lawatan beliau ke Antartika menggunakan wang rakyat.
4 - Juga yang perlu diambil kira ialah tentang penyelenggaraan samada dari kos dan juga alat ganti dimana kita sedia maklum, kenderaan ini hanya ada dua buah di Malaysia, jadi bayangkan dimana hendak dicari alat gantinya. Hal ini boleh memberi ruang berlakunya penyelewengan seperti yang pernah terjadi keatas kenderaan kerajaan yang mana kos penyelenggaraannya diluar jangkaan sehingga menjadi kes polis.
5 – Ketika kehidupan rakyat makin tersepit dengan kenaikan kos barangan dan juga pendapatan yang tidak seberapa sehinggakan ada penoreh yang bersabung nyawa diserang beruang di Merchang semata-mata ingin mencari sedikit wang bagi menyara keluarga, pembelian dengan harga jutaan ringgit ini adalah sesuatu yang memperlihatkan kurangnya sensitiviti kerajaan atas kesusahan hidup rakyat ketika ini. Sepatutnya penumpuan kepada masalah kehidupan rakyat perlu dititikberat dan diutamakan.
6 - Dengan rekod beberapa siri kegagalan projek di Kenyir ini seperti projek Taman Burung yang mana burung-burung berharga ribuan ringgit seekor, telah banyak ‘hilang’ ditelan pemangsa. Maka PAS percaya alasan pembelian Amphicoach berharga enam juta ringgit yang dikatakan bagi tujuan tarikan pelancongan dan kerja-kerja penyelamat ketika banjir ini tidak lebih hanyalah sebagai kosmetik sahaja bagi ‘menghalalkan’ duit rakyat diambil kerana terdapat laporan Amphicoach ini sebenarnya hanya berharga sekitar tiga juta ringgit dua buah. Ini menimbulkan tanda tanya besar, bagaimanakah kiraan pembelian ini menjadi enam juta? Adakah wang rakyat akan menjadi seperti burung di Taman Burung Tasik Kenyir yang ‘hilang’ ditelan pemangsa tanpa dapat dikesan?
7 – Oleh itu PAS yakin dan percaya wang rakyat dapat diselamatkan jika sekiranya kerajaan negeri membatalkan pembelian ini yang pada pendapat PAS ianya tidak ada bezanya dengan kisah pembaziran-pembaziran sebelum ini seperti stadium runtuh, Lawatan ke Antartika, Projek Ubi Gadong, Projek Kambing Kaprima, Fertigasi Mega, kelewatan projek LPT  dan banyak lagi projek-projek yang kita boleh senaraikan sebagai pembaziran wang rakyat yang tidak sedikit malah mencapai bilion ringgit yang mana akhirnya pembuat onar terselamat tetapi duit rakyat tetap juga hangus.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
2 Jamadil Akhir bersamaan 2 April 2014

Sunday, March 30, 2014

Majoriti Pesakit Tidak Solat- Sesuatu yang memalukan Negeri Terengganu Darul Iman

1. Solat adalah wajib atas setiap muslim yang mukallaf walau apa jua keadaan sekalipun. Sehinggakan Islam telah menetapkan tatacara solat bagi orang yang sakit. Solat adalah menjadi fardu ain kepada semua muslim. 

2. Saya terkejut dengan pendedahan yang telah dibuat oleh Persatuan Pembelajaran Perubatan Pasca Siswazah (PGMES) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang menyebut hanya 20 peratus pesakit beragama Islam menunaikan solat semasa mendapatkan rawatan di wad HSNZ. Menurut pengerusinya, Dr Nujaimin Uidin berkata, sebanyak 80 peratus pesakit yang ditempatkan di wad hospital berkenaan pula memberikan pelbagai alasan untuk tidak melaksanakan solat sedangkan menunaikan solat adalah wajib walaupun ketika sakit.

3. Kenyataan tersebut amat mendukacitakan Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu (BPPNT) yang bercita-cita mendaulatkan agama Islam di negeri ini. Saya difahamkan juga bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan satu konsep yang diberi nama Hospital Mesra Ibadah (HMI) lebih 5 tahun yang lepas. Akan tetapi perlaksanaan bagi merealisasikan konsep tersebut jauh terkebelakang. Ianya nampak tidak kemas dan tiada penegasan dari pihak hospital itu sendiri. 4. Adakah anggota hospital yang telah dilatih setiap tahun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melaksanakan protokol atau tatacara dari HMI tersebut? Jika HMI ini dilaksanakan sepenuhnya, sudah tentu pesakit akan termotivasi bagi melaksanakan ibadah fardu ain mereka. Disamping itu saya melihat, suasana wad di HSNZ tidak kondusif untuk memudahkan pesakit melaksanakan ibadah harian mereka. Sebagai contohnya, sistem tandas yang tiada pengasingan antara tandas dan tempat mengambil wudhuk. Begitu juga tiada debu tayammun disediakan oleh pihak berwajib bagi membolehkan setiap pesakit yang terhalang mengangkat wudhuk dengan air.

5. Difahamkan HSNZ adalah salah sebuah hospital ‘Rakan Bayi’ dan telahpun berjaya dengan kempen-kempen program tersebut dengan memberikan maklumat dan kefahaman bagi ibu-ibu untuk menyusu badan. Oleh itu tiada alasan bagi pihak hospital untuk tidak melakukan program yang sama keatas solat dengan menekankan kembali perlaksanaan secara serius konsep Hospital Mesra Ibadah dengan meletakkan pegawai-pegawai agama dan kelengkapan dan keperluan solat serta kempen-kempen yang berterusan bagi membantu pesakit-pesakit melaksanakan solat ketika mendapat rawatan kerana solat adalah tiang agama, jauh lebih penting dari segala-galanya. Menurut tinjauan yang dilakukan, pihak hospital tidak proaktif dalam memberi penerangan kepada pesakit mengenai kepentingan ibadah solat. Bahan-bahan bermanfaat yang menerangkan tatacara solat semasa sakit juga tidak diwujudkan secara komprehensif.

6. Oleh itu kami BPPNT menggesa agar kerajaan negeri dan pihak Kementerian Kesihatan bersikap proaktif dalam mengangani masalah pesakit yang tidak solat ini agar kita semua tidak didakwa oleh Allah di akhirat nanti.




YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT
15 Jamadil Awwal 1435 bersamaan 18 March 2014

Jaga kesihatan semasa jerebu

1. Pas Negeri Terengganu memandang serius dengan suasana jerebu yang melanda seluruh negara ketika ini. Sehingga minggu lepas, angka terkini Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar mendapati bahawa majoriti negeri-negeri di Malaysia mengalami jerebu tahap kedua (IPU : 51 - 100 habuk halus). Manakala di beberapa tempat di negeri Selangor mengalami paras tidak sihat dengan IPU melebihi 200 habuk halus. Sehingga kenyataan ini ditulis, sebanyak 131 buah sekolah di daerah Klang telahpun diarahkan tutup. Negeri Terengganu juga tidak terkecuali mengalami masalah jerebu ini. Bacaan terkini IPU di Kemaman ialah 55. Di daerah-daerah lain seluruh Terengganu, alhamdulillah mencatatkan bacaan baik setakat ini. 2. Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan menganggarkan bahawa akan berlaku cuaca panas terik sehingga pertengahan Mac ini. Suhu pada siang hari boleh mencecah sehingga 40 darjah selsius. Keadaan ini boleh menimbulkan gejala 'heat stroke' kepada individu yang melakukan aktiviti terdedah dibawah panas terik matahari.
3. Pas Negeri Terengganu menyeru seluruh rakyat Malaysia amnya dan seluruh rakyat Terengganu khasnya agar menjaga kesihatan diri dan keluarga. Meminum air masak secukupnya (lapan gelas air sehari). Mengurangkan pengambilan minuman berkafein dan makanan yang masin, berpakaian agak longgar. Memilih untuk melakukan aktiviti dalaman, mengurangkan aktiviti luar terutamanya aktiviti yang terdedah kepada cahaya matahari dan dalam suasana jerebu ini. Keadaan ini boleh memberi kesan kesihatan yang teruk kepada pengidap asma. Tidak terkecuali juga penyakit-penyakit lain yang tidak boleh terdedah kepada cuaca panas dan berjerebu. Rakyat juga diminta mendapatkan info kesihatan dari semasa ke semasa daripada pihak yang berwajib. Sekian Yb Ustaz Mohd Nor Hamzah Ketua Lajnah Penerangan BPPNT 11 Jamadil Awwal 1435 bersamaan 14 Mac 2014

Isu keracunan makanan : Rakyat berhati-hati, peniaga terjejas

Marang : Rakyat negeri Terengganu kebanyakannya mengambil sikap berhati-hati, menunggu apakah hasil siasatan oleh pihak berwajib berkaitan kes keracunan makanan yang dipercayai dibeli di Pasar Minggu Taman Syahbandar minggu lepas. Ini penting bagi rakyat Terengganu kerana isu yang melibatkan kesihatan orang ramai bukanlah sesuatu isu yang boleh diambil mudah oleh sesiapapun apatah lagi jika ianya melibatkan nyawa orang yang tidak bersalah. Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika ditemubual baru-baru ini berkata, sememangnya rakyat perlu mengambil langkah berhati-hati dalam hal ini. Beliau menambah, jika semakin lama rakyat menunggu, maka akan semakin banyaklah lagi khabar angin yang akan tersebar yang boleh memberikan keadaan tidak selesa kepada masyarakat. “Sekurang-kurangnya bagitahulah sedikit maklumat bagi rakyat memahami keadaan agar menutup ruang bagi pihak yang tidak bertanggungjawab dari membuat spekulasi. Tambah-tambah lagi dengan adanya teknologi di tangan seperti Facebook, Twitter,WhatsApp, blog dan lain-lain lagi, amat mudah berita disebar,” katanya.
Beliau ditemui ketika membuat lawatan ke Pasar Malam Atas Tol yang baru dipindah lokasinya dari Kampung Atas Tol ke perkarangan Pasar Kedai Buloh yang baru. Tapak tersebut dipindahkan kerana mengelakkan ganguan trafik serta lebih bersih, teratur dan menarik lagi dan ianya dipersetujui oleh persatuan peniaga. YB Ustaz Mohd Nor yang juga Wakil Rakyat Dun Bukit Payong berkata pihaknya juga menerima banyak keluhan para peniaga pasar malam yang mendakwa perniagaan mereka terjejas dengan kes keracunan makanan ini. Menurut aduan yang diterima oleh pihaknya, ramai pelanggan ketika ini mengurangkan aktiviti membeli belah terutamanya makanan di pasar-pasar malam kerana isu ini. Ini menyebabkan para peniaga yang bergantung sepenuhnya dengan hasil jualan makanan di pasar-pasar malam mengalami kejatuhan jualan yang agak teruk dan sekaligus menjejaskan pendapatan mereka. Beliau berkata lagi, rakyat bertindak sedemikian kerana kekurangan maklumat dan yang menjadi mangsa adalah peniaga-peniaga yang jujur, bersih serta yang mengamalkan etika berniaga dengan betul. “Yang kasihan ialah peniaga-peniaga yang jujur yang kita tahu kejujuran mereka,” ujar beliau. Oleh itu beliau menggesa agar pihak yang berkenaan tampil memberikan maklumat-maklumat bagi memahamkan orang ramai berkaitan isu ini.
Sementara itu beliau juga berharap agar tapak pasar malam yang baru ini akan memberikan lebih keselesaan kepada para peniaga serta pelanggan. Beliau juga mendoakan agar semua kira-kira 40 orang peniaga itu mendapat keberkatan dalam perniagaan mereka di tapak yang baru. Seorang peniaga Suhana Hussin 35, berharap agar perniagaan akan lebih maju lagi di tapak baru ini dan kejadian keracunan makanan itu tidak berulang lagi.

PAS Terengganu rakam ucapan dukacita kepada DSAI

Bismillah. Saya mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), ingin merakamkan ucapan dukacita yang teramat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan keluarga beliau diatas keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman keatas DSAI lima tahun penjara setelah menerima rayuan pendakwa dalam Kes Liwat 2. Kami menganggap keputusan ini tidak boleh diterima kerana bercanggah dengan hukum Islam dan kes ini sepatutnya diadili di Mahkamah Syariah dan bukannya sivil. Dengan sistem pembuktian yang kuat yang digunakan dalam Islam dalm kes Qazaf sebegini, maka saya yakin DSAI tidak akan dizalimi sepertimana sistem keadilan ciptaan manusia. Kami juga yakin dan percaya bahawa ini adalah keputusan yang dirancang bagi menamatkan karier politik DSAI di Malaysia. Jelas, ini adalah bayangan ketakutan Umno-BN kepada aura DSAI dan Pakatan Rakyat. Oleh sebab itu, mereka sanggup menggunakan segala jentera yang ada bagi mengekalkan kuasa mereka. Kami konsisten dengan pegangan kami iaitu akan membantu sedaya upaya kami ke atas mereka yang dizalimi. Sesungguhnya kami takut dengan doa orang-orang yang dianiaya. Kami bersama jentera-jentera kami, insyaAllah akan berjuang bagi menghapuskan kezaliman ini kerana Allah. Kami berdoa dan berharap agar Datin Seri Wan Azizah serta anak-anak dikurniakan ketabahan di atas ujian yang berat ini. Semoga Allah membantu DSAI serta keluarga mengharungi ujian ini. YB Ustaz Mohd Nor Hamzah Ketua Penerangan BPPNT 05 Jamadil Awwal 1435 bersamaan 08 Mac 2014

PAS memandang serius kejadian keracunan makanan di Kuala Terengganu

1. PAS Negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Mohd Ilme Mat Adam atas kematian anak lelakinya, adik Muhammad Iqbal Rafie Mohd. Ilme akibat dari keracunan makanan pada hari Isnin, 3 Mac lalu. 2. Kejadian keracunan makanan ini sudah sampai peringkat wabak berlaku di sekitar Kuala Terengganu dengan jumlah mangsa setakat ini telah mencecah 101 orang yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Kami difahamkan bahawa keracunan ini adalah berpunca dari makanan yang dibeli oleh mangsa di Pasar Malam Taman Shahbandar, Kuala Terengganu. Kami ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Haji Anwa Sulaiman atas kepantasan pasukannya bertindak, apabila dimaklumkan bahawa, pihaknya sudahpun mengenal pasti tiga peniaga pasar malam yang terlibat dengan kes keracunan makanan ini. 3. PAS Negeri Terengganu memandang serius kejadian ini dan mendesak tindakan drastik dari pihak MBKT dan juga kerajaan negeri. Langkah-langkah penjagaan kebersihan perlu diperketatkan dengan penguatkuasaan Akta Makanan 1983 & Kebersihan Makanan 2009. 4. Pas Negeri Terengganu menggesa kerajaan negeri memperkemaskan prasarana yang mencukupi di semua lokaliti pasar malam seperti paip bekalan air bersih, tapak pasar minggu yang bertar bagi mengurangkan masalah debu, sistem kumbahan yang teratur dan pembuangan sisa buangan yang sistematik. Disamping itu juga bertindak tegas atas kecuaian dari aspek kebersihan yang dilakukan oleh para peniaga. Kami juga menyarankan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menyiasat mana-mana peniaga yang tidak mematuhi aspek kebersihan ini termasuk tidak mengambil suntikan thypim, agar dikenakan hukuman yang lebih berat, supaya menjadi pengajaran kepada peniaga-peniaga yang lain. Suntikan ini penting bagi memastikan setiap pengendali makanan bukan pembawa kepada kuman berbahaya Salmonella Thypii.
5. Pas Negeri Terengganu juga menggesa MBKT mengazetkan secara khusus lokaliti setiap pasar malam agar setiap pengusaha tidak terpaksa berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat yang tidak terjamin kebersihannya. 6. PAS Negeri Terengganu juga menyeru kepada semua peniaga-peniaga di Terengganu yang majoritinya Islam, agar menitikberatkan soal kebersihan, sesuai dengan saranan Islam, Kebersihan Itu Sebahagian Dari Iman. 7. Kami juga menyeru agar orang ramai mengamalkan sikap yang lebih serius memilih untuk membeli di gerai-gerai atau kedai-kedai yang diketahui benar-benar menjaga kebersihan sahaja bagi mengelakkan kejadian ini dari berulang. YB Ustaz Mohd Nor Hamzah Ketua Penerangan BPPNT 2 Jamadil Awwal 1435 bersamaan 05 Mac 2014