Bismillah
Saya terpanggil bagi mengulas
tentang rancangan terbaharu YAB Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif
Abdul Rahman yang disiarkan di sebuah akhbar tempatan baru-baru bagi membina
persimpangan bertingkat dari Jambatan Sultan Mahmud untuk masuk ke simpang ke
Seberang Takir. Dalam laporan itu juga menyebut persimpangan bertingkat ini
akan dirancang pembinaannya sehingga ke pondok kutipan tol (ciptaan kerajaan BN
Terengganu dahulu yang kemudiannya dihapuskan oleh PAS pada tahun 1999 sehingga
kini) yang menurut beliau pondok itu nanti akan dirobohkan sepenuhnya. Ini kata
beliau, bagi mengurangkan kesesakan untuk masuk ke Seberang Takir dan juga bagi
mengurangkan jumlah kemalangan di kawasan simpang terbabit.
Saya memandang cadangan pembinaan
persimpangan bertingkat ini tidak lebih hanyalah sebagai salah satu cadangan
bagi membina monumen oleh YAB MB untuk ditunjukkan kepada rakyat Seberang Takir
khususnya dan Terengganu umumnya. Tidak pernah dibentangkan di dalam Sidang Dun
ataupun mana-mana laporan khas (seingat saya) tentang dahsyatnya kesesakan di
situ serta betapa banyaknya jumlah kemalangan yang terjadi dek kerana kesibukan
lalulintas di situ. Ya, benar, pernah kita rakyat Terengganu yang biasa menggunakan
jalan tersebut melihat keadaan kesesakan yang teruk, tetapi itu hanyalah pada
musim perayaan sahaja. Selepas seminggu perayaan, maka keadaan menjadi seperti
biasa semula. Paling teruk selain daripada musim perayaan ialah ketika waktu
pergi dan pulang dari kerja. Itupun hanya beberapa jam sahaja.

Kita memahami perasaan YAB MB sekarang
yang agak tertekan kerana sekurang-kurangnya dalam masa yang singkat sebelum
kekalahan BN ini insyaAllah, beliau, mahu tidak mahu, mesti membina satu tugu
sebagai kenangan yang beliau pernah menjadi MB. Sebagaimana yang telah
dilakukan oleh kedua-dua mantan MB BN yang lalu, yang sempat membina monumen
seperti Zoo Bukit Takal, Kawasan Bebas Cukai Kenyir, Masjid Kristal dan juga
Monsoon Cup. Tetapi dengan keadaan belanjawan negeri yang sentiasa defisit, ekonomi
yang lembab begini, harga minyak terus jatuh, sekaligus mengurangkan pendapatan
negeri, maka kelakuan YAB MB ini sangat mengecewakan rakyat yang sebenarnya
sedang menanti pelan tindakan ekonomi yang mantap bagi kerajaan negeri berikan
kepada rakyat bagi menghadapi masalah harga barang naik dan juga GST yang bakal
mengetuk pintu rumah rakyat nanti. Itu belum lagi kita bincangkan hal-hal
berkaitan kontrak, kepada siapa kan dianugerahkan nanti.
Kepada rakyat Terengganu, anda
semua perlulah membuka bukan sahaja mata, tetapi juga minda anda. Tidak sekadar
itu sahaja, tetapi yang lebih utama, hasil dari keterbukaan mata dan minda ini,
bertindak bagi menyekat sikap membazir oleh pemimpin-pemimpin BN yang sentiasa
gagal dalam menjaga amanah yang diberikan. Inilah titik perubahan yang perlu
kita pusatkan kepadanya bagi mengnyahkan pemimpin yang tidak tahu menjaga
kepentingan rakyat dikala rakyat kesempitan dan seterusnya membantu menaikkan
pemimpin yang telah terbukti menjaga amanah dengan bersungguh-sungguh kerana
takutkan Allah, sebagaimana kerajaan PAS lakukan dahulu.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan
Perhubungan PAS Terengganu
15 Jamadil Awal 1436 bersamaan 6
Mac 2015.
0 comments:
Post a Comment