Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Sunday, June 21, 2015

Tadabbur Ringkas Quran 23 : Bacaan Tiga Minit

Muqaddimah Surah Yunus. Dinamakan Yunus bersempena dengan nama salah seorang rasul iaitu Nabi Yunus. Diturunkan di Mekah dan mengandungi 109 ayat. Seperti kebiasaan, surah yang diturunkan di Mekah, isi kandungannya banyak berkaitan dengan soal aqidah manusia. Diketengahkan juga perihal kebenaran al-Quran ini sehinggakan sependek-pendek surah sekalipun, manusia tidak dapat membuat standing dengannya. Sirah para nabi ialah berjuang di jalan Allah dan pasti  mendapat tentangan dari manusia yang ingkar. Oleh itu para pejuang agama Allah mesti melupakan tentangan-tentangan ini demi mencapai kemenangan yang Allah janjikan. Bag orang yang menentang, para nabi dan rasul, tidak akan dibebankan ke atas mereka dengan penolakan itu, sebaliknya merekalah yang rugi.
Dalam ayat ke-2, kaum musyrik merasa hairan kenapa seorang manusia yang dipilih Allah bagi menyampaikan wahyuNya dan bukan malaikat. Sehingga akhirnya mereka menuduh bahawa al-Quran itu adalah sihir kerana apabila mendengar bacaan al-Quran oleh rasulullah, mereka menjadi lemah dan terus mengatakan bahawa itu adalah sihir.
Allah menyatakan langit dan bumi ini diciptakan dalam masa enam hari dan setiap masa tersebut, hanya Dia yang mengetahui dan kemudiannya bersemayam di atas Arasy (dengan yang selayakNya). Tanpa keizinanNya, tiada siapa yang dapat meberi syafaat kepada sesiapapun. Maka dengan kehebatan Dia mentadbir dan memelihara manusia, selayaknyalah Dia disembah dan dituruti akan perintahNya. Akhirnya, kepada Dialah semua makhluk kembali, membalas segala perbuatan mereka, beriman atau kufur sebagai memenuhi janji balasanNya. Manakan tidak hebat, Dialah yang mengatur segala pergerakan matahari, bulan, planet yang beredar mengikut orbitnya bagi manusia mengira masa dan semua kejadian itu ada gunanya, tiada yang sia-sia. Ini sebagai tanda untuk manusia memikirkannya.
Tetapi jika manusia memilih untuk lalai dari mengambil peringatan ini, serta merasakan tiada hidup selepas mati, maka nerakalah tempat kembalinya. Bagi orang yang beriman, Allah akan menjadi pemimpin mereka untuk ke syurga. Ketika melihat nikmat, mereka mengucapkan pujian kepada Allah. Manusia adakala sifatnya gopoh dalam meminta sesuatu dari Allah, marah apabila lambat permintaannya dimaqbulkan Allah, sedangkan semua itu adalah hak Allah, Dia yang berkuasa member atau menahannya. Dan orang yang sesat, akan dibiarkan Allah meraba-raba dalam kesesatannya. Satu lagi sifat buruk manusia ialah apabila mendapat bala atau ujian, maka merintihlah mereka memohon kepada Allah. Dan apabila ditarik ujian dan bala itu, seolah-olah tidak pernah mereka berdoa kepada Allah sebelum itu, bersikap sombong angkuh pula.
Allah mengingatkan sudah banyak kaum yang zalim dihapuskan oleh Allah sebelum ini. Dan dijadikan umat Muhammad sebagai khalifah menggantikan umat terdahulu bagi diuji oleh Allah. Sesetengah manusia yang melawan rasulullah, meminta Quran yang lain kerana tidak percaya kepada Allah. Tetapi rasulullah tetap dengan pendiriannya bahawa itulah Quran yang diwahyukan kepadanya, tiada kuasa dia menukarkannya dan baginda takut dengan azab Allah. Sedangkan jika kaum kafir itu memikirkan yang rasulullah adalah seorang ummiy (buta huruf), telah lama terkenal dengan sifat amanahnya, maka mereka sepatutnya tahu bahawa Quran itu adalah wahyu Allah. Tetapi mereka tetap mendustakan rasulullah, jelas kezaliman mereka.
Kaum kafir tetap menyembah patung yang tiada member mudharat dan manafaat kepada mereka dan yakin bahawa mereka akan mendapat syafaat dari patung-patung itu, sedangkan Allah suci dari segala sekutu. Manusia pada mulanya hanya beragama Islam, tetapi setelah disesatkan oleh syaitan dan nafsu mereka berselisih. Tetapi Allah tidak menyegerakan hukuman kepada mereka. Banyak alasan kaum musyrik untuk tidak beriman seperti meminta mukjizat. Pernah Mekah dilanda kebuluran dan musyrikin Mekah meminta rasulullah berdoa kepada Allah. Apabila doa rasulullah supaya dihapuskan kebuluran dimaqbulkan, segera mereka berpaling dan kembali menentang Allah dan rasul. Begitu juga dengan perumpamaan yang Allah berikan ketika sebuah kapal dilanda rebut, penumpangnya berdoa dengan seikhlasnya kepada Allah. Dan apabila rebut berhenti, mereka mula melakukan kerosakan di muka bumi tanpa alas an yang benar. Dan perbuatan derhaka mereka itu adalah bala kepada mereka sendiri tanpa mereka sedar.
Kehidupan dunia ini diibaratkan sebagai air hujan yang turun, menyuburkan tanaman dan bunga-bungaan, memberikan keindahan, menumbuhkan tanaman, memberikan makanan kepada manusia, melekakan manusia dan tiba-tiba pada satu waktu, semuanya diragut dari mereka hancur lebur, seolah-olah ia tidak pernah wujud. Bagi manusia yang berfikir, mereka tahu dunia ini tidak akan kekal. Oleh itu, jika kita ikut jalan Allah yang lurus, maka kita selamat. Ahli syurga adalah orang yang sentiasa membaiki amalannya, berseri wajahnya dan akan dapat melihat dzat Allah. Berlawanan dengan ahli neraka, wajahnya hitam, hina, tiada pelindung dan kekal dalam neraka. Wallahua’lam

Saturday, June 20, 2015

Tadabbur Ringkas Quran 22 : Bacaan Tiga Minit

Juzuk ke-11 masih lagi dalam surah at-Taubah. Golongan munafik bersegera mengadap rasulullah sebaik sahaja rasulullah pulang dari Perang Tabuk. Mereka memberikan pelbagai alasan berserta sumpah dengan nama Allah. Tetapi sebenarnya rasulullah telah mengetahui cerita disebaliknya. Maka rasulullah diperintahkan oleh Allah untuk menolak semua alasan mereka dan mengisytiharkan bahawa mereka tidak akan diterima lagi untuk menyertai pasukan tentera Islam. Dan tempat mereka ialah neraka jahannam. Dalam golongan munafik itu, termasuklah juga kaum A’arab iaitu badawi yang lebih jahil dari golongan lain. Kriteria mereka juga sama. Tetapi ada juga orang-orang A’arab ini beriman kepada Allah.
Allah mengisytiharkan keredhaanNya ke atas dua golongan iaitu Kaum Muhajirin dan Ansaar kerana keredhaan mereka kepada Allah dan jasa-jasa mereka kepada membantu rasulullah menegakkan agama Allah. Bagi golongan yang berdosa, Allah menyuruh rasulullah mengambil zakat dari mereka agar dengan zakat dan sedekah itu, akan menjadi asbab keampunan Allah ke atas mereka. Kerana hanya Allah lah yang menerima taubat. Dikisahkan juga ada beberapa orang sahabat yang ditangguhkan penerimaan taubat mereka oleh Allah. Mereka dipulaukan kerana tidak turut serta berperang sedang mereka dalam keadaan sihat.
Masjid Dhirar, adalah satu masjid yang didirikan oleh orang-orang munafik bagi tujuan memecah belahkan kesatuan umat Islam serta juga menajdi pusat intipan bagi pihak musuh. Pun begitu, mereka tetap menyatakan bahawa masjid mereka itu hanyalah untuk mencari kebaikan sedang Allah mengetahui isi hati mereka. Maka Allah mengangkat Masjid Qubaa’ sebagai masjid yang didirikan atas dasar taqwa kepada Allah yang telah dibina pada hari-hari awal rasulullah sampai di Madinah serta juga Allah memuji jemaahnya dan Allah melarang rasulullah bersolat selama-lamanya di Masjid Dhirar. Maka Masjid Dhirar itu diruntuhkan dan golongan munafik sekali lagi kecewa kerana rancangan mereka tidak menjadi kenyataan.
Orang-orang beriman berjual beli dengan Allah samada menggunakan harta mereka ataupun nyawa mereka sebagai barangan jualan. Allah membeli jualan mereka kerana keikhlasan mereka berjuang di jalan Allah. Ini telah dinyatakan dalam kitab-kitab terdahulu iaitu Injil dan Taurat dan jual beli inilah yang memberikan kuntungan yang sangat besar kepada orang-orang yang diterima jualan mereka oleh Allah. Ciri mereka ialah sentiasa bertaubat, beribadat, memuji kepada Allah, menuntut ilmu, bersolat, mengamalkan amar ma’ruf nahi mungkar.
Dalam surah ini juga ada terdapat larangan meminta keampunan kepada orang-orang musyrik, walaupun mereka dari kalangan kaum kerabat kita. Sehinggakan nabi Ibrahim sendiri berlepas diri atas kemusyrikan bapanya setelah lama berharap agar ayahnya diampunkan. Allah berikan pedoman kepada semua manusia agar manusia memilih baik buruk sesuatu perkara. Akan tetapi manusialah yang memilih keburukan kerana menolak keterangan Allah.
Kaum Muhajirin dan Ansaar pernah suatu ketika bergoncang keimanan mereka bila diuji Allah dan hampir terpesong hati mereka dari menuruti rasulullah, tetapi mereka bertaubat dan Allah menerima taubat mereka. Begitu juga kisah tiga orang sahabat yang tidak turut serta dalam perang Tabuk, mereka dipulaukan sehinggakan Kaab Bin Malik, isterinya juga diperintahkan meninggalkan dia keseorangan yang menyebabkan mereka merasakan dunia ini amat sempit bagi mereka. Dan setelah lama bertaubat, maka Allah menerima taubat mereka. Allah menegaskan bahawa rasulullah sepatutnya ditemani oleh orang-orang Madinah jika pergi berperang kerana segala pengorbanan mereka dalam melawan pihak kuffar, akan dicatat sebagai amalan soleh oleh Allah dan akan dibalas dengan hal yang lebih baik.
Tetapi dalam berperang itu, tidaklah seharusnya semua orang keluar berperang. Orang-orang yang sedang menuntut ilmu, atau guru-guru agama hendaklah meneruskan pembelajaran mereka supaya ada golongan yang akan mewarisi ilmu dan mengembangkannya nanti. Orang kafir musyrik yang memerangi kita, wajib diperangi bagi mereka merasakan kesakitan.
Penyakit memperolok-olok al Quran adalah penyakit orang munafik. Mereka jika ada menerima ayat-ayat baru yang diwahyukan, akan bertanya sesama mereka, siapakah yang bertambah iman mereka dengan ayat ini? Sedangkan Allah menambahkan iman kepada orang-orang mukmin. Yang berpenyakit kufur, akan menambahkan lagi kekufuran mereka dengan isi al-Quran. Golongan ini, walaupun dikenakan bala bencana berkali-kali, tetap begitu juga keadaan mereka. Bagi golongan munafik, mereka didedahkan oleh Allah tentang perangai mereka sehingga mereka dapat dikesan dan akan melarikan diri kerana malu apabila al-Quran menyebut perihal perangai mereka. Tercengang-cengang mereka kerana berfikir ada dari kalangan mereka yang membocorkan rahsia mereka. Sedangkan kalau mereka tahu, rasulullah itu sebenarnya diturunkan dalam keadaan sangat-sangat mengasihi umatnya dan sentiasa inginkan kebaikan kepada umatnya. Tetapi jika kita ingkar dengan rasulullah, ketahuilah Allah ada bersama baginda dan cukuplah Allah itu yang memelihara dia, dan yang rugi adalah kita yang menolak seruan rasulullah. Wallahua’alam tamat surah at-Taubah.

Wednesday, June 17, 2015

Tadabbur Ringkas Quran 21 : Bacaan Tiga Minit

Alhamdulillah bertemu lagi kita dalam siri tadabbur ringkas Quran di blog Dun Bukit Payong. Kita menyambung tadabbur kita pada siri yang ke 21 setelah tahun lalu kita membawa 20 siri tadabbur. Bacaan tadabbur ini insyaAllah akan mengambil masa sekitar tiga minit sahaja untuk dihabiskan. Anda digalakkan untuk menyebarkan tulisan ini untuk kebaikan bersama. Untuk siri ke 21 ini kita menyambung perbincangan di dalam surah at-Taubah ayat ke 73.
Allah telah memerintahkan rasulullah agar berjihad memerangi kaum munafik dan kafir. Dan bagi mereka (kafir dan munafik) balasannya adalah neraka. Orang munafik suka membuat sumpah palsu dan mereka adalah golongan yang kafir setelah Islam, berniat ingin membunuh nabi. Tetapi Allah memberikan peluang bagi mereka mendapat kebaikan dengan bertaubat. Akan tetapi Allah juga member amaran yang mereka akan mendapat seksa api neraka jika ingkar dan tiada seorangpun yang dapat menolong mereka.
Ayat-ayat biasa dari kaum munafik ialah, berjanji jika Allah beri limpah kurnia, maka mereka akan bersedekah dan jadi orang yang soleh. Tetapi bila dapat, mereka mungkir janji. Akibatnya perasaan munafik itu Allah kekalkan hingga mereka mati. Mereka lupa yang Allah tahu semuanya yang ada dalam hati-hati mereka. Diceritakan dalam perang Tabuk, ada dari kalangan penderma yang menderma hanya sedikit sahaja kerana tidak mampu. Hal ini menjadi bahan ejekan oleh kaum munafik. Tetapi Allah memuliakan penderma yang menderma dengan ikhlas itu dan akan membalas ejekan kaum munafik itu dengan balasan neraka.
Rasulullah tidak mampu meminta ampun bagi kaum munafik setelah Allah memberitahu kepada rasulullah bahawa sama sahaja jika rasulullah meminta ampun bagi pihak munafik sehingga 70 kalipun, tetapi oleh kerana kefasikan mereka, maka Allah tidak akan mengampunkan dan memberikan hidayah kepada mereka. Munafik juga gembira bila tidak bersama rasulullah dalam perang Tabuk. Malah menghasut pula orang lain agar jangan pergi kerana ketika itu musim panas. Tetapi Allah memberitahu bahawa api neraka itu jauh lebih panas daripada musim panas itu. Maka ketawalah sedikit mereka di dunia dan pastinya akan menangis dengan banyaknya di akhirat nanti. Mereka juga tidak diterima lagi untuk turut serta pergi berperang bersama rasulullah, tidak disembahyangkan mayat mereka, bahkan tidak dibenarkan rasulullah untuk duduk di tepi kubur mereka kerana mereka mati dalam keadaan fasik. Maka janganlah kita terpedaya melihat kekayaan orang munafik kerana tidak boleh menolong mereka di akhirat. Ditutup hati mereka daripada melihat kebaikan dunia dan akhirat.
Sementara orang-orang mukmin yang sejati itulah golongan yang benar-benar berjaya, mendapat jaminan syurga. Manakala golongan yang lemah seperti tua, sakit, miskin, mereka diberi perlepasan untuk tinggal di Madinah dan tidak berdosa bagi mereka. Mereka sebenarnya ingin turut pergi, tetapi terhalang dengan keadaan mereka dan Allah mengetahuinya. Sehinggakan ada dari kalangan orang miskin yang sangat beriya-iya untuk turut serta tetapi tiada kenderaan yang mampu rasulullah berikan kepada mereka. Menyebabkan bercucuran airmata mereka, sedih mengenangkan nasib mereka yang tidak dapat mengikuti pasukan jihad itu pergi. Akan tetapi bagi orang yang kaya yang suka mengada-ngadakan cerita untuk mengelak daripada turut serta dalam pasukan perang, maka hati mereka dipaterikan oleh Allah sehingga tidak dapat mebezakan kebaikan.Inilah antara inti pati keterangan berkenaan ayat-ayat dalam surah at-Taubah. Menceritakan perangai munafik dan orang beriman. Tamat Juzuk 10. Wallahua’lam.

Tuesday, May 26, 2015

Program ziarah Dun Bukit Payong eratkan rakyat dengan pemimpin

Satu program yang dinamakan Program YB Cakna Rakyat, telah dianjurkan oleh jawatankuasa Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Payong baru-baru ini dengan pengisian utamanya ialah ramah mesra rakyat dengan Wakil Rakyat dan pimpinan MTD.
Inisiatif yang diambil oleh MTD Bukit Payong bagi merapatkan silaturahim diantara rakyat di sekitar Dun Bukit Payong dengan pimpinan Dun itu, adalah satu langkah yang sangat baik dan perlu diberi pujian kerana berjaya melaksanakan kerja kebajikan bagi penduduk setempat.
Jelas langkah proaktif ini bukanlah kerana mahu meraih undi tetapi kerana tanggungjawab bersama jawatankuasa MTD yang merasakan perlunya usaha mengeratkan hubungan diantara pimpinan dan rakyat dijalankan secara berterusan dan bukan bermusim.
Ini jelas dapat dilihat walaupun tarikh pilihanraya yang masih jauh, ianya ternyata bukan alasan bagi jawatankuasa MTD berehat dari melakukan kerja-kerja mesra rakyat ini kerana hanya menunggu pilihanraya untuk melakukan kerja.
Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan ketika program berlangsung ialah ziarah orang-orang sakit, mengagihkan bantuan asas makanan kepada orang-orang miskin yang dikenal pasti, sukan serta makan malam bersama orang muda dan kuliah agama.
Menurut Pembantu Wakil Rakyat Bukit Payong, saudara Ahmad Sahrizan Yahya, program sebegini sememangnya sentiasa diadakan bagi memberikan peluang rakyat untuk bertemu dengan lebih dekat lagi pimpinan MTD terutamanya Wakil Rakyat sendiri bagi sebarang permasalahan.
Walaupun Pusat Khidmat Adun sentiasa terbuka, terkadang ada penduduk merasa malu untuk datang bertemu dengan Wakil Rakyat, dan kesempatan program seperti inilah membuka peluang untuk beramah mesra, bertanya khabar ataupun mengadu masalah mereka.
“Kita membuat lawatan ini kesemua cawangan-cawangan yang ada di seluruh Bukit Payong.
Untuk minggu lepas dan minggu ini, sebanyak enam cawangan telah kita selesaikan untuk program ini.
Kita akan cuba menghabiskan kesemua lapan cawangan sasaran daripada keseluruhan 19 cawangan yang kita ada sebelum Ramadhan ini, kerana dalam bulan Ramadhan nanti kita mempunyai jadual yang lebih ketat,” kata Sharizan.
Selain Shahrizan, turut sama turun mengiringi Adun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ialah Ketua Pemuda Dun, Ustaz Bunyamin, Setiausaha Dun, Saudara Asraf Aziz dan ahli jawatankuasa cawangan-cawangan terbabit.
Dalam kebanyakan kuliah dan ucapan YB Ustaz Mohd Nor di enam cawangan bagi program itu, beliau sentiasa menekankan agar golongan muda terutamanya tidak terjebak dalam penagihan pil kuda, dadah dan seumpamanya, kerana kesannya sangat dahsyat.
Ucapan berbentuk kasih saying beliau ini juga mengajak supaya semua golongan berusaha untuk mengadakan satu waktu paling kurang dalam seminggu bagi menghadiri majlis ilmu, supaya mereka akan lebih terikat dengan Allah dan tidak mudah diperbodohkan.
Gesaan beliau itu dibuat memandangkan firnah yang sangat teruk berlegar ketika ini keatas agama Islam yang mana jika tersalah pilih, boleh menyesatkan pemikiran dan pegangan orang Islam kerana ketiadaan ilmu.
Enam cawangan yang sudah selesai diziarahi ialah Cawangan Tok Dir, Gong Kubur, Sena Rendang, Titian Baru, Surau Panjang dan Kampung Laut, manakala Padang Tanjung pula dijangka pada Jumaat ini ziarah akan dilakukan.

Saturday, May 23, 2015

Ikhlas, sokongan keluarga pendorong kejayaan


Keikhlasan tanpa memikirkan ganjaran yang akan diperolehi serta sokongan dari keluarga tercinta adalah faktor utama Puan Khamisah Mohammed tetap bertahan sebagai guru Pasti yang sehingga kini telah memasuki tahun ke-29.
Segala usaha dan penat lelah beliau sebagai guru Pasti akhirnya telah mendapat penghargaan oleh Pasti Negeri Terengganu setelah beliau dianugerahkan sebagai Guru Cemerlang Pasti Negeri Terengganu 2015.
Beliau memperolehi anugerah itu dalam Majlis Sambutan Hari Guru Pasti Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Terengganu Equestrian Resort Kuala Ibai, dan disampaikan oleh Adun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Memulakan kariernya di Pasti al-Ulum, Hulu Takir dalam kawasan Kuala Nerus pada tahun 1986 sehingga sekarang, beliau ternyata masih belum puas melayani karenah anak didiknya yang dianggap seperti anak sendiri itu.
Ibu kepada lima orang anak itu berkata beliau berasa bersyukur atas pengiktirafan itu dan menganggap ianya adalah penghormatan kepada semua guru-guru Pasti dan bukannya kejayaan beliau seorang.
Sambil mengucapkan jutaan terima kasih kepada keluarga yang memberikan galakan kepada beliau, beliau juga berterima kasih kepada semua rakan-rakan dan jawatankuasa pemilihan yang memilih beliau sebagai pemenang bagi tahun ini.
Puan Khamisah juga berharap agar guru-guru Pasti yang baru berkecimpung dalam bidang ini agar bersabar dan mengikhlaskan diri mereka kerana jawatan guru Pasti ini bukanlah jawatan yang menjanjikan kemewahan.
Sebaliknya, mereka cuma mengharapkan agar pekerjaan ini dikira sebagai amal soleh kerana kepayahan dalam melaksanakan tugas ini, sebenarnya adalah satu kemanisan dalam memertabatkan anak bangsa.
“Kepada anak-anak muda pelapis guru Pasti, buatlah kerja ikhlas kerana Allah dalam semua perkara, samada sebagai guru Pasti ataupun apabila berkhidmat kepada masyarakat.
Walaupun kita payah nak bercuti tetapi jangan fikirkan sangat, termasuklahjuga dengan pendapatan kita yang kecil kerana ianya satu perjuangan dan pengorbanan kita kepada masyarakat.
Sebenarnya manis berkhidmat dengan Pasti walaupun kadangkala ianya berat,” tegas beliau.
Sementara itu, penerima Anugerah Khas Pengarah Pasti Terengganu, Puan Rosimah Md Saleh pula berkata, mengakui merasa gembira dengan anugerah itu, tetapi bukan perasaan bangga kerana dia berkhidmat untuk masyarakat.
Sama seperti Puan Khamisah, Puan Rosimah juga menekankan keikhlasan berkhidmat adalah perkara utama dan bukannya ganjaran dunia yang beliau impikan kerana jauh lebih penting, syiar Islam dapat diketengahkan dalam masyarakat.
Beliau yang telah berkhidmat semenjak tahun 1986 lagi di Pasti al-Hayyu Kuala Besut, mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam membantu kerjayanya sebagai guru Pasti.
Azlinda Mohd Ali @ Ariffin dari Pasti at-Tajdid Kuala Paka yang dianugerahkan sebagai Guru Harapan Pasti Terengganu pula, berharap agar pengiktirafan ini akan menjadikan beliau lebih bermotivasi untuk mendidik anak-anak dengan lebih baik lagi.
Kesemua pemenang dipilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan iaitu selain daripada cemerlang dalam pengajaran, mereka juga mesti aktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Guru Pasti Murabbi Ummah


Guru Pasti Murabbi Ummah, begitulah slogan yang dipilih bagi, Majlis Sambutan Hari Guru Pasti 2015 Peringkat Negeri Terengganu semalam yang diadakan di Terengganu Equestrian Resort Kuala Ibai.
Majlis yang dirasmikan oleh YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), berlangsung hampir tiga jam dengan kehadiran seramai kira-kira 450 orang tetamu.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Ustaz Mohd Nor mengingatkan kepada guru-guru Pasti agar benar-benar mengikhlaskan diri bagi membina ummah agar masyarakat akan hidup berpedomankan ajaran  Islam.
Beliau juga percaya, diantara murid-murid Pasti itu, salah seorang daripadanya akan menjadi pemimpin masyarakat dan guru Pastilah dari kalangan orang yang pertama mendidik mereka selain daripada ibu bapa mereka sendiri.
“Betul, walaupun susah dengan bayaran yang agak kecil, tetapi inilah pengorbanan anda untuk anak bangsa.
Kita masih jauh bandingannya dengan perjuangan wanita-wanita di Palestin, Syiria atau Yaman, yang terkadang terpaksa mati kerana berjuang.
Tetapi sekurang-kurangnya inilah yang kita mampu buat dan saya harap semoga anda semua terus ikhlas dalam kerjaya yang mulia ini.
Saya yakin, dalam ramai-ramai pelajar ini, akan ada paling kurang seorang dua yang akan menjadi pemimipin besar negara kita, dan andalah guru pertama diluar rumah mereka,” kata beliau dengan penuh keyakinan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pasti Negeri, Ustaz Sulaiman Sulong pula berkata,tema yang digunakan ini sangat bersuaian sebagai cerminan betapa mulianya dan mustahaknya pendidikan terutamanya pra-sekolah seperti Pasti ini.
Asas pendidikan di Pasti kata beliau, mencangkupi semua aspek seperti mental, fizikal, spiritual  dan emosi kanak-kanak bagi mempersiapkan mereka mencapai matlamat insan rabbani yang sangat diperlukan masyrakat.
Disebalik keruntuhan moral masyarkat sekarang, Pasti muncul dengan penuh komitmen daripada guru-gurunya untuk mengekang keruntuhan akhlak yang disifatkan beliau sebagai membimbangkan.
Dalam majlis itu juga, Pasti Terengganu telah mengurniakan beberapa anugerah kepada beberapa guru Pasti yang cemerlang sebagai penghargaan dan galakan kepada usaha guru-guru Pasti ini yang tidak mengenal penat lelah.
Tiga anugerah utama yang telah diberikan ialah Tokoh Guru Cemerlang Pasti Terengganu yang dianugerahkan kepada Puan Khamisah Mohammed dari Pasti al-Ulum, Hulu Takir dari kawasan Kuala Nerus.
Manakala Anugerah Khas Pengarah Pasti diberikan kepada Puan Rosimah Md Saleh dari Pasti al-Hayyu, Pacakan, Kuala Besut dan Anugerah Guru Pasti Harapan jatuh kepada Puan Azlinda Mohd Ali @ Ariffin dari Pasti at-Tajdid Kuala Paka, Dungun.

Wednesday, May 13, 2015

CCTV rosak : Membazir, boleh akibatkan jenayah meningkat


Televisen Litar Tertutup (CCTV) yang dipasang oleh kerajaan di beberapa kawasan yang difikirkan sesuai, didapati mengalami kerosakan dan tidak dapat berfungsi dengan baik.
Menjawab soalan dari wakil Alor Limbat, YB Ariffin Deraman yang bertanyakan adakah benar CCTV di Stesen Bas Terengganu tidak berfungsi ketika berlakunya jenayah pada 5 Mei lalu, YAB Menteri Besar Dato’ Sri Ahmad Razif Abdul Rahman mengesahkannya.
Berikutan kepada pengesahan oleh Menteri Besar itu, YB Ariffin melahirkan rasa kebimbangannya kerana kadar jenayah sekarang agak merisaukan dan meminta MB menyatakan kriteria tempat-tempat yang diutamakan pemasangannya.
Soalan asal wakil Alor Limbat ialah berapakah jumlah pemasangan CCTV di kawasan-kawasan yang kerap berlaku jenayah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
Penjelasan dari MB ialah kerajaan negeri mengutamakan tempat-tempat yang sememangnya dikenali sebagai kawasan ‘panas’ dan berpotensi menjadi ‘panas’.
Dalam soalan tambahan YB Ariffin lagi, beliau meminta untuk diberikan maklumat adakah berlaku penurunan kadar jenayah di tempat-tempat yang telah dipasang CCTV tersebut.
Namun begitu, MB tidak mempunyai statistik berkenaan penurunan kadar jenayah di tempat-tempat yang dipasang CCTV untuk diberikan kepada DUN.
Beliau yang ditemui selepas sidang menyatakan kebimbangannya apabila penyelenggaraan CCTV itu tidak dibuat dengan baik, selain dari tidak boleh berfungsi, sekaligus ianya membazirkan wang rakyat.