Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Thursday, January 29, 2015

Solat hajat dan tahlil buka Program HARAP 3.1:


Program Himpunan Harapan Semua (HARAP) 3.1 yang julung-julung kalinya diadakan bagi menggantikan program PAS Ganti Umno (PGU) sebentar tadi dimulakan dengan solat isyak berjemaah dan disusuli dengan solat hajat.
Solat tersebut dipimpin oleh Ketua Dewan Ulamak Negeri Terengganu Dato’ Hussein Awang itu kemudiannya diakhiri dengan majlis bacaan tahlil.
Majlis tahlil adalah acara khas bagi berkongsi kedukaan atas kemangkatan almarhumah nenda Tuanku Sultan Terengganu, YMM Tengku Ampuan Tua Terengganu Tuanku Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar Setia Raja.
Kira-kira 300 orang ramai turut serta dalam solat dan tahlil tersebut yang diadakan di tengah-tengah kawasan HARAP 3.1.
Berlangsung sekarang ialah majlis forum perdana yang bertajuk Islam : Harapan Semua yang dipengerusikan oleh YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Penerangan PAS Terengganu.
Para panelis pula terdiri daripada YB Ustaz Idris Ahmad Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Ustaz Mokhtar Senik Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang.
Program bersambung esok dan akan dimulakan dengan kuliah dhuha oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus Dr. Khairuddin Attakiri Aman Razali pada jam 9.00 pagi dan diikuti dengan pelbagai lagi acara menarik sepanjang program berlangsung.
HARAP 3.1 yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari berakhir Sabtu 31 Januari, akan dirasmikan oleh Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada malam esok Jumaat 30 Januari jam 9.00 malam.
Ahli-ahli serta penyokong PAS yang berdekatan, dijemput hadir bagi memeriahkan lagi program Harap 3.1 ini yang mana tujuan program ini ialah bagi menunjukkan harapan rakyat adalah disandarkan kepada PAS.

Wednesday, January 21, 2015

Kenyataan Media : Program bertembung, suratan, kebetulan atau ketakutan?

 
 
Bismillah
 
Saya ingin menarik perhatian pembaca mengenai isu pertembungan dua program besar iaitu anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Himpunan Harapan Semua (HARAP) yang menumpukan kepada program kemasyarakatan, dengan satu lagi program Karnival Transformasi Terengganu Baharu 2015 anjuran kerajaan Negeri Terengganu. Secara kebetulannya kedua-dua program itu akan berlangsung pada tarikh, waktu dan di Dun yang sama. Malah untuk menjelaskan dengan lebih spesifik lagi tempatnya, kedua-dua program besar itu hanya kira-kira 500 meter sahaja jaraknya antara satu sama lain iaitu Harap di Telaga Daing, sementara program satu lagi di Bangunan Penyelaras Dun Seberang Takir.
 
Jangkaan kesan program Harap ini kepada rakyat Terengganu khususnya di Seberang Takir, nampaknya sungguh mengerikan sesetengah pihak kerana jangkaan kekuatan atau impaknya itu, telah menyebabkan ada pihak yang berada di dalam ketakutan yang amat sangat. Kelihatannya transformasi politik iaitu rukun ketiga yang diwar-warkan dalam Transformasi Terengganu Baharu oleh YAB Menteri Besar jelas telah dibakul sampahkan oleh beliau sendiri dengan membenarkan pertembungan program ini berlaku. Amat naïf jika MB mengatakan “saya tidak tahu” kerana sikap itu jelas menggambarkan satu sikap yang pentingkan dan menyombongkan diri. Pemikiran politik rimba begini seharusnya telah dibuang jauh-jauh dari dalam pemikiran ahli politik supaya semua parti politik dapat bersaing dengan baik dan matang.
 
Pertembungan ini jika tidak dapat ditangani dengan baik, boleh menyebabkan sesuatu yang serius akan terjadi. Dan jika ianya berlaku, sepatutnyalah pencabar kepada program Harap inilah yang mesti dipertanggungjawabkan. Juga apabila pertindihan program ini diteruskan juga, maka tidak mustahil pada masa akan datang, jika BPPNT menganjurkan pula program besar, maka akan turun pula lagi lawan BPPNT bagi menganjurkan program di kawasan yang berdekatan. Saya memahami tekanan yang dialami oleh YAB MB kerana walaupun sudah lebih lapan bulan diberi kepercayaan oleh Umno bagi menerajui Terengganu, beliau masih terkial-kial mencari identitinya sendiri setelah beliau cuba lari dari bayangan Idris Jusoh dan Ahmad Said. Tetapi suka saya menasihati beliau, cara ala provokasi ini bukanlah caranya yang betul bagi membina identiti, malah ia sangat mirip mengikut gaya pemerintahan Idris Jusoh sebenarnya.
 
Dimaklumkan juga bahawa ada satu lagi program anjuran kerajaan negeri, iaitu karnival ICT yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak. Jika benar-benar YAB MB ingin mengimplitasikan transformasi politik tajaan beliau, kerajaan negeri seharusnya menumpukan hanya kepada program karnival ICT itu sahaja yang juga berlangsung pada tarikh yang sama. Akan tetapi disebalik semua cabaran ini, saya juga turut berbangga dan berfikiran positif kerana ini secara tidak langsung, BPPNT sebenarnya telah dinobatkan menjadi satu lawan yang sangat kuat sehinggakan kerajaan negeri terpaksa turun bagi “melawan” BPPNT yang tiada apa-apa kekuatan melainkan kekuatan berpegang kepada Islam. Saya juga berterima kasih kepada Umno yang mana dengan respon mereka ini sebenarnya telah menggerakkan juga ahli-ahli PAS untuk bangkit menentang Umno dan mereka sedang bersiap sedia untuk hadir ke program Harap itu nanti.
 
 
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT
1 Rabiulakhir 1436 bersamaan 22 Januari 2015

Sunday, December 28, 2014

‘Konvoi Besar’ misi bantuan Marang ke Kelantan

IMG-20141228-WA0250
 
Oleh : NHA

MARANG – Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah melepaskan ‘Konvoi besar’ Misi Bantuan Banjir PAS Kawasan Marang telah bergerak dari masjid Rusila menuju ke Jajahan Pasir Mas dan Kuala Kerai, Kelantan Darul Naim.
 
Perjalanan mereka bermula dari masjid Rusila dekat sini pada pagi Ahad 28 Disember telah selamat menyampaikan sumbangan dan bantuan berupa makanan dan pakaian serta wang ringgit kepada kedua-dua jajahan yang dilanda banjir itu.
 
Ketua Penerangan PAS Ustaz Mohd Nor Hamzah yang turut menyertai konvoi tersebut bersyukur kerana ianya berjaya disempurnakan.
 
“Alhamdulillah, walau diuji dengan pelbagai kesulitan dan komunikasi yang mengganggu, kita dapat menghulurkan bantuan di Kuala Krai dan Pasir Mas.
 
“Saya mewakili urusetia konvoi ini memohon maaf dengan segala kekurangan untuk misi pertama ini. Kita akan perkemaskan lagi perjalanan misi ini yang akan diadakan dalam masa terdekat,”ujarnya, yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Marang, ketika ditemui selepas menamatkan misi tersebut.
 
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para dermawan yang menjadi penyumbang sehingga misi tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.
 
Ustaz Mohd Nor yang juga ADUN Bukit Payong turut memberikan semangat dan motivasi kepada sukarelawan yang menyertai misi tersebut agar meningkat usaha dan berlumba-lumba melakukan kebajikan.
 
Misi yang dianggap besar itu turut disrtai oleh pemuda, muslimat, 4WD PASAK, Unit Amal, Ameerah, ARC dan NGO We Care, yang membawa bersama empat buah lori, sarat dengan muatan.
 
Selain itu, sebanyak 40 buah kenderaan pacuan empat roda 4WD berangkaian dengan empat buah bot untuk digunakan sebagai alat membantu dan menyelamat mangsa banjir.
 
Sehubungan itu, Ketuai ‘Konvoi’ itu, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia adalah misi bantuan yang pertama yang akan diikuti oleh misi kedua dan yang ketiga.
 
“Konvoi pertama kali ini akan menyampaikan sumbangan orang ramai dari pelbagai pihak terutamanya dari kawasan Marang. Mereka juga akan dibahagikan tugas mengikut ketentuan pihak PAS Kelantan sendiri,”ujar beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia merangkap Ketua Pemuda PAS Marang.

Sunday, December 14, 2014

Rehlah Tarbawi : Pelancongan berilmu yang menyeronokkan



Bersempena cuti persekolahan akhir tahun yang agak panjang, ramai dari kalangan rakyat Malaysia memilih untuk menghabiskan cuti ini bersama keluarga melancong ke destinasi terpilih bagi mengeratkan kasih sayang mereka sekeluarga.
Tidak ketinggalan juga kepada ahli PAS Kawasan Marang yang telah mengadakan program yang dinamakan Rehlah Tarbawi iaitu konvoi peserta program ini dari Rusila, Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Dalam program ini, peserta sebenarnya dibawa melancong, tetapi didalam melancong itu, mereka dihidangkan dengan pelbagai majlis ilmu samada ilmu ataupun pengetahuan am berkenaan negeri Kelantan.
Peserta dilepaskan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di perkarangan Masjid Rusila, peserta kemudiannya bergerak ke Madrasah Dewan Ulamak Kelantan (MADU) di Machang.
Setibanya di MADU, peserta telah disambut oleh Adun Pulai Chondong, YB Zulkifli Mamat yang mana telah mengadakan dialog penerangan sedikit sebanyak berkenaan perkembangan terkini politik Kelantan.
Program ini juga mengadakan sesi berta’ruf (berkenalan) sesama mereka dan keluarga mereka bagi mengeratkan lagi silaturrahim sesama ahli.
Pada keesokan harinya yang jatuh pada hari Jumaat, jadual perjalanan telah dirancang untuk mendengar kuliah subuh oleh Tuan Guru Mursyidul Am, Dato’ Bentara Setia, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan beramah mesra dengan ikon PAS Malaysia itu.
Tetapi agak malang bagi peserta kerana beliau keuzuran bagi memberikan kuliah subuh apatah lagi mahu berjumpa dengan peserta.
Turut serta dalam konvoi ini ialah Yang DiPertua PAS Kawasan Marang, Haji Yahaya Ali, Timbalannya, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan hampir keseluruhan AJK PAS Kawasan Marang serta ahli keluarga mereka.
Selepas bersarapan di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa, sebahagian daripada peserta yang terdiri dari Pemuda PAS Marang, telah dilepaskan pula ke Pulau Pinang bagi menyertai Ijtimak Tarbawi oleh Haji Yahaya.
Peserta-peserta yang tinggal, kemudiannya berkonvoi pula ke Medan Ilmu di Jalan Dato’ Pati, bagi mendengar perkongsian ilmu oleh penceramah-penceramah jemputan.
Kebetulannya penceramah jemputan pada hari itu ialah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan juga Timbalan Pesuruhjaya 3 Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh.
Peserta kemudiannya dijemput pula oleh kerajaan negeri ke kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR 10, seusai mendengar kuliah Jumaat itu dan peserta disambut oleh Setiausaha Politik MB Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yusof.
Sekali lagi penerangan berkenaan negeri Kelantan telah diberikan, tetapi kali ini lebih terperinci dengan kebanyakan perancangan kerajaan yang sedang dan telah dibuat.
Selesai menjamu selera dengan hidangan yang telah disediakan oleh kerajaan negeri Kelantan, para pesertapun berpecah membawa haluan masing-masing bagi acara bebas bersama keluarga.
Menurut Haji Yahaya, aktiviti ini adalah sangat baik kerana bukan sahaja menghidangkan ilmu pengetahuan malah jauh lebih utama ialah kegembiraan peserta bersama keluarga apatah lagi yuran yang dikenakan sangat murah iaitu RM30 bagi satu kereta.
Sebanyak 37 buah kereta telah menyertai program Rehlah Tarbawi ini.

Tuesday, December 9, 2014

Bajet : MB tidak sensitif isu royalti

Pembentangan bajet 2015 bagi negeri Terengganu semalam dilihat tidak begitu memberangsangkan kerana masih banyak lompang yang terdapat didalamnya terutama dalam isu berkaitan jumlah bajet, bonus dan juga royalti.

Jumlah bajet keseluruhan lebih besar dari negeri Selangor itu dilihat tidak berkadar terus dengan pembangunan serta bonus setengah bulan kepada kakitangan kerajaan, berbanding Selangor yang memperuntukan sebulan setengah gaji.
Demikian ulasan Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika mengulas tentang bajet yang dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
Menurut beliau lagi, pemberian wang kepada pelajar cemerlang juga sepatutnya dalam bentuk tunai, bukan simpanan semata-mata kerana mungkin ibu bapa pelajar itu miskin dan mahu menggunakannya bagi tujuan persekolahan pelajar-pelajar.
“Yang pertama bajet negeri Terengganu lebih tinggi dari bajet negeri Selangor, diwaktu yang sama, bonus yang diberikan kepada kakitangan kerajaan hanya gaji separuh bulan dan minimum RM500, sedangkan Selangor, sebulan setengah.
Yang kedua, kerajaan hanya memberi sesuatu kepada pelajar dalam erti kata tidak boleh digunakan, dalam bentuk simpanan semata-mata, sedangkan kadang-kadang keperluan segera perlu ada pada keluarga mereka (pelajar),” kata beliau.
Pembentangan bajet negeri Terengganu dilakukan oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu semalam.
Sidang dewan dijadualkan belangsung selama empat hari bermula Isnin 8 Disember dan dijangka berakhir pada Khamis 11 Disember ini.
Manakala dalam hal pelaburan bijih besi dan silicon, tiada maklumat yang diberikan berkenaan peruntukan dan hasil dari kedua-dua industri ini kepada rakyat Terengganu, termasuklah anggaran peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu.
Cadangan untuk mewujudkan kawasan perindustrian baru juga dilihat sebagai usaha yang kurang munasabah kerana masih banyak lagi kawasan-kawasan industri yang ada belum dibangunkan sepenuhnya seperti di Bukit Kor, Marang.
Mengulas tentang transformasi yang diwar-warkan oleh kerajaan negeri, ternyata menurut beliau, kerajaan negeri hanya beretorik dengannya kerana kerajaan jelas takut untuk mengikut jejak Selangor.
Selangor baru-baru ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM200 ribu bagi pembangunan disetiap Dun tanpa mengira Dun itu diwakili oleh kerajaan ataupun pembangkang.
“Sebenarnya kerajaan bawah menteri besar baru ini tidak berani untuk melakukan transformasi, islah yang beliau laung-laungkan.
Untuk memberikan bajet langsung kepada wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi, pilihanraya yang diperakui oleh perlembagaan kerajaan Malaysia.
Oleh kerana itu, sebenarnya transformasi tidak wujud secara jelas melainkan hanya untuk mewujudkan imej barunya dan menaikkan imej barunya agar dia dianggap sebagai menteri besar yang hebat,” tegas beliau.
Beliau juga melahirkan kekesalan apabila menteri besar ketika pembentangannya menyebut bahawa kerajaan negeri tidak peduli apa juga nama yang diberikan samada royalti, dana khas ataupun wang ehsan.
Yang penting bagi mereka ialah wang itu disalurkan secara tetap kepada kerajaan negeri, sedangkan kata beliau lagi royalti lima peratus petroleum itu adalah hak Terengganu.
Oleh itu menurut beliau lagi, ini menjadi bukti bahawa kerajaan seolah-olah tidak mengambil berat tentang hak rakyat Terengganu sedangkan ianya sepatutnya diperjuangkan untuk rakyat Terengganu.
Bajet yang berjumlah kira-kira 2.4 billion itu adalah bersumberkan 88 peratus dana khas dari kerajaan pusat.

Monday, December 8, 2014

Khatan beramai-ramai bagi tahun ke 26 :


Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Payong melalui Lajnah Kebajikan, telah mengadakan program berkhatan beramai-ramai bersempena cuti sekolah akhir tahun baru-baru ini.
Program tersebut telah disertai oleh kira-kira 55 orang kanak-kanak dari seluruh Dun Bukit Payong dan mengambil masa dua hari bagi mengkhatankan kesemua peserta tersebut.
Menurut seorang petugas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Bukit Payong, Aziz Mamat, program kali ini ialah program kali ke-26 sejak ianya dimulakan pada tahun 1988.
Program ini juga menurut beliau ialah program kebajikan yang mana yuran yang dikenakan sangat berpatutan iaitu RM50 bagi anak-anak ahli, RM70 bagi bukan ahli, manakala bagi anak-anak yatim, ianya percuma.
“Program ini ialah kali ke-26 sejak 1988. Kita Cuma nak bantu keluarga dan disamping beri semangat kepada kanak-kanak.
Biasanya kalau dia tengok ramai yang bersunat, mereka jadi berani.
Yuran yang kita kenakan sangat berpatutan, lebih murah dari yang di luar sana,” kata beliau.
Menurutnya lagi, walaupun jumlah kanak-kanak yang turut serta berkurangan dari tahun lepas, namun kemeriahan tetap dirasakan oleh kanak-kanak.
Lebih meriah apabila Adun Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah turut hadir bagi menyampaikan cenderahati kepada peserta.
Seperti tahun-tahun yang lepas, adegan kejar-mengejar segelintir peserta yang ketakutan adalah salah satu perkara lucu yang mencuit hati ibu bapa dan para peserta dalam program seperti ini.

Sunday, December 7, 2014

TTB masih menyekat elaun imam dan bilal


Konsep Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang sedang diterapkan oleh kerajaan Terengganu pimpinan Menteri Besar baharu, Datuk Abdul Razif Abdul Rahman dilihat masih menekan pihak-pihak tertentu.
Ini dapat dilihat dengan jelas apabila sehingga kini, masih terdapat sebahagian imam dan bilal yang disekat elaun bulanan mereka oleh kerajaan negeri walaupun mereka berkhidmat sepenuh masa di masjid-masjid kerajaan negeri.
Wakil Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang bangun bagi kali kedua pada Sidang Dun Terengganu hari ini untuk mengemukakan soalan tambahan, bertanyakan berkaitan isu imam dan bilal yang tidak dibayar elaun bulanan itu.
Menurut beliau, isu ini sudah lama berlarutan dan sehingga kini imam dan bilal berkenaan masih belum menerima bayaran elaun mereka.
“Saya melihat masih ramai lagi imam, bilal yang seolah-olah ditangguhkan atau dihentikan elaun-elaun mereka, sedangkan ramai dikalangan mereka terus bertugas, masih lagi bertugas.
Apakah kerajaan tidak mahu untuk buat satu dasar baru ataupun memulakan satu langkah baru tahun ini, ataupun Januari ini untuk mengembalikan semula elaun-elaun imam-imam dan bilal-bilal yang ditangguhkan?
Yang sewajarnya tidak dikenakan tindakan sehingga satu kariah ataupun satu masjid, seluruh imam dia, seluruh bilal dia, dihentikan elaun dia tanpa apa-apa sebab yang munasabah,” tanya beliau.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas YB Ghazali Taib menjelaskan bahawa kerajaan sedang meneliti isu tersebut dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) akan bertindak menyelesaikannya
Namun jawapan ringkas beliau itu, tanpa kenyataan yang menafikan yang masalah itu sememangnya  terjadi.
Soalan asal berkaitan masalah imam dan bilal ini telah dikemukakan oleh wakil Jabi, Iskandar Jaafar.