Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Friday, July 4, 2014

Tadabbur Ringkas al - Quran 6 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah

Surah an-Nisaa’ (Perihal Perempuan) 176 ayat. Diturunkan di Madinah. Dinamakan an-Nisaa’ kerana banyak sekali hukum-hukum berkenaan kaum perempuan disebutkan di dalamnya. Kandunganya banyak berkisar tentang hukum kekeluargaan seperti poligami, cerai, nusyuz, perdamaian jika berlaku perselisihan, pembahagian pusaka dan lain-lain.
Allah menyeru manusia agar bertaqwa yang telah menjadikan manusia daripada satu (Adam) dan daripada Adam itu dijadikan pula Hawa dan membiakkan keturunan mereka. Kita dari benih Adam, maka kekalkanlah silaturrahim antara kita. Anak yatim yang baligh, serahkan harta kepada mereka jangan ditukarkan kepada yang buruk. Lelaki dibenarkan berkahwin sehingga empat jika mampu, tetapi jika takut tidak berlaku adil, satu adalah memadai.
Allah larang makan harta anak yatim dengan cara yang salah. Bagi penjaga anak yatim yang miskin boleh mengambil harta itu sedikit untuk meneruskan kehidupan sahaja. Bagi yang kaya hendaklah menahan diri dari mengambilnya. Serahkan harta anak yatim bila mereka baligh dan adakan saksi bagi penyerahan itu. Mesti amanah dalam menjaga anak yatim sebagaimana kita tidak mahu orang lakukan khianat kepada anak-anak kita jika kita mati. Orang yang khianat terhadap harta anak yatim adalah sebenarnya menelan api neraka ke dalam perutnya.
Pembahagian harta pusaka dengan panjang disebutkan di dalam surah ini. Secara ringkasnya pusaka diuruskan setelah selesai wasiat dan hutang simati. Allah menyatakan bahawa pembahagian pusaka ini adalah batas-batas syariat Allah dan Allah maha mengetahui akan ketetapan ini. Dan sesiapa yang taat akan dimasukkan ke dalam syurga Allah. Manakala yang derhaka akan diazab dalam neraka.Jika berdosa maka taubat hendaklah dilakukan dengan segera dan bukannya ketika sudah hampir mati.
Peraturan zaman jahiliyyah dahulu, apabila suami meninggal, balunya boleh diwarisi oleh waris simati. Maka Islam melarang perwarisan ini dalam ayat 19. Bergaullah dengan isteri dengan cara yang baik, jika ada benci, bersabarlah moga Allah jadikan kebaikan atas perkara yang kita benci itu. Nikahi mereka dengan cara baik dan jika menceraikan mereka juga hendaklah dengan cara baik. Dan jika kita telah membayar harta yang banyak kepada isteri yang diceraikan itu, maka janganlah mengambil (harta) itu kembali.
Pengharaman dan penghalalan mengahwini orang-orang tertentu disebutkan dalam ayat ke 23 dan 24. Ini adalah untuk menunjukkan kepada manusia syariat yang telah dilakukan oleh nabi-nabi dan orang soleh untuk diikuti. Allah ingin membersihkan dosa manusia yang bertaubat dan bagi orang yang fasik hanyalah ingin membawa penyelewengan kepada orang lain.
Jangan kita makan harta dengan cara yang salah dan berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Jika kita menjauhkan diri dari dosa besar, maka Allah juga akan mengampunkan dosa kecil yang kita lakukan.
Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita  kerana Allah telah lebihkan lelaki dengan beberapa keistimewaan. Hak suami wajib dijaga oleh isteri. Antaranya pelihara maruah. Jika isteri nusyuz, maka nasihatilah mereka, jika masih nusyuz pulaukan mereka di tempat tidur. Dan dibenarkan memukul mereka dengan pukulan ringan sebagai pengajaran. Jika mereka taat, maka janganlah menyusahkan mereka. Boleh melantik pendamai jika berlaku krisis rumahtangga.
Orang bakhil dan orang yang menderma tetapi dengan tujuan menunjuk-nunjuk sebenarnya tiada kerugianpun jika mereka melakukan kebajikan itu kerana Allah. Dan Allah tidak menganiaya manusia sekalipun seberat zarrah. Dan jika ada seberat zarrah kebaikan itu, maka Allah akan gandakannya dengan pahala yang sangat besar. Orang kafir di akhirat nanti mahu mereka ditelan bumi sahaja kerana tidak dapat menyembunyikan apa-apapun dari pengetahuan Allah.
Kewajipan mengambil tayyamum bagi menggantikan wudhu, disebut dalam ayat 43.
Orang Yahudi bukan sahaja menukar keterangan al-Quran malahan juga memutarbelitkan perkataan “Raa’ina” (dengan maksud menyeleweng) bagi menghina nabi dan Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka dan sangat sedikit daripada mereka yang beriman. Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik. Yahudi juga memberitahu kepada musyrikin Mekah bahawa musyrikin Mekahlah yang  benar, sementara nabi Muhammad yang salah. Yahudi jika dapat memerintah, pasti tiada kebaikan yang mereka akan berikan kepada manusia. Wallahua’lam.

Thursday, July 3, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 5 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah

Masih dalam surah A-li-‘Imran juzuk keempat. Allah telah menetapkan tanda aras kebajikan dan kebaktian yang sempurna ialah dengan mendermakan apa yang kamu sayangi (dengan melakukan ini kita telah berjaya membuang sifat bakhil dan kedekut).
Rumah ibadat yang mula-mula dibina ialah Baitullah di Mekah. Di situ ada tanda-tanda kemuliaan yang nyata seperti makam Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya akan merasa tenteram. Allah telah mewajibkan haji bagi sesiapa yang mampu tetapi jika mereka yang mampu itu enggan, maka Allah tidak berkehendak apa-apapun daripada mereka.
Kita mestilah bercita-cita dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mati dalam Islam. Kita juga mesti berpegang teguh dengan tali Allah (agama islam) dan jangan bercerai berai. Kaum Ansar dan Muhajirin dahulunya diibaratkan Allah berada di tepi jurang neraka (kerana kekufuran dan kejahilan mereka)dan mereka diselamatkan Allah kerana memilih Islam dan kemudiannya menjadi bersaudara atas dasar Islam.
Sifat orang-orang yang berjaya yang Allah jelaskan ialah menyuruh kepada kebaikan (ma’ruf) dan mencegah kemungkaran. Ini juga sifat sebaik-baik umat yang dilahirkan (golongan sahabat). Berbanding dengan sikap Yahudi dan Nasrani yang bercerai berai setelah diberikan keterangan. Orang yang kufur akan hitamlah wajahnya manakala orang yang dirahmati akan berseri-serilah wajahnya di akhirat. Yahudi dan Nasrani adalah golongan yang penakut dan kufur kepada Allah.
Ahli kitab yang memeluk Islam akan mendapat segala kebaikan yang dijanjikan sepertimana orang Islam yang lain. Orang yang kafir, tiada apa yang dapat menyelamatkan mereka. Kebaikan yang mereka lakukan sama seperti angin yang membawa udara sejuk yang merosakkan kerana mereka tidak beriman.
Bersegeralah melakukan kebaikan untuk mendapat keampunan Allah seperti menderma harta dalam keadaan senang ataupun susah, menahan marah, memaafkan kesalahan orang serta bertaubat daripada dosa-dosa mereka dengan sebenar-benar taubat. Orang sebegini akan medapat balasan syurga. Allah menyuruh kita berjalan melihat keadaan kaum yang dimurkai Allah akibat daripada kedegilan mereka.
Jangan kita merasa lemah dalam menjalankan kerja menegakkan Islam kerana kita yang menjalankan kerja-kerja Islam ini adalah tinggi di sisi Allah. Kemenangan di Badar adalah bagi menghina orang kafir. Sama sahaja kesakitan yang kita rasai juga dirasai oleh musuh Allah. Kekalahan dalam perang adalah bagi memberi ujian keimanan. Ketika berjuang, banyakkan berdoa sebagaimana para nabi dan orang-orang beriman terdahulu lakukan.
Nabi Muhammad adalah seorang rasul. Jika baginda wafat, maka janganlah berpaling dari agama yang baginda bawa kerana agama ini dari Allah. Allah menyuruh bersikap lemah lembut dengan ahli jemaah jika ada kekhilafan, bermesyuarat dan bertawakkal (iktibar perang Uhud). Munafik sikap mereka sentiasa bercakap apa yang tiada dalam hati mereka. Ketika ada yang terbunuh dalam perang mereka memainkan sentimen “kalau tidak pergi perang, nescaya tidak mati” sedangkan Allah larang berkata “kalau” untuk perkara yang telah terjadi. Lalu rasulullah mencabar mereka untuk mengelak dari mati (jika mereka betul-betul tahu apa yang akan terjadi dimasa depan).
Orang yang yang syahid, diberi makan oleh Allah dan hidup gembira dengan nikmat yang Allah berikan. Ketika hidup mereka adalah orang-orang yang berani. Apabila mendengar berita tentera musyrikin ingin menyerang, mereka semakin bertambah iman dan berkata “ cukuplah Allah untuk menolong kami”. Manakala pembuat propaganda menakut-nakutkan orang Islam dengan kekuatan musuh adalah adalah syaitan. Allah pasti akan memisahkan golongan beriman dengan munafik.
Orang bakhil menyangka sikap bakhil mereka itu baik bagi mereka. Sebaliknya harta mereka itu akan menjadi azab kepada mereka di akhirat nanti. Orang Yahudi berkata bahawa Allah miskin dan merekalah yang kaya. Mereka meminta mukjizat korban yang dimakan api daripada rasulullah. Tetapi Allah mendedahkan bahawa mukjizat itu telah diberikan kepada kaum mereka suatu ketika dulu oleh rasul-rasul mereka tetapi sebaliknya rasul-rasul itu pula yang dibunuh. Dan Allah menyuruh rasulullah agar tidak sedih dengan penolakan ini kerana sudah ramai rasul-rasul yang mereka perlakukan begitu.
Setiap yang hidup pasti akan mati dan akan dibalas perbuatan mereka. Setiap ciptaan Allah seperti malam siang ada tanda kebijaksanaan Allah bagi orang yang berakal. Mereka dalam apa keadaan sekalipun berzikir menyebut dan mengingati Allah. Kerana mereka tahu semua ciptaan Allah itu tiada yang sia-sia. Mereka berdoa bagi memohon keampunan dari Allah dan Allah telah berjanji tidak akan mensia-siakan golongan beriman ini yang benar-benar beramal kerana Allah. Segala keperitan, kepayahan yang mereka alami dalam hidup mereka kerana Allah, Allah janjikan syurga. Orang beriman mestilah menguatkan kesabaran mereka ketika menghadapi kesukaran dalam melakukan kerja-kerja di jalan Allah dan dalam menghadapi musuh. Tamat surah A-li-‘Imran. Wallahua’lam.

Wednesday, July 2, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 4 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah

Surah A-li ‘Imran. Dinamakan surah ini bersempena dengan perihal keluarga Imran yang ada disebutkan dalam ayat ke 33. Ada diantara kita salah menyebut al-Imran. Harap kesalahan sebutan ini diperbaiki. 

Dalam ayat pertama sehingga ayat ke 91 ini banyak berkisar tentang perdebatan ketuhanan nabi Isa oleh nasrani dengan rasulullah, penyelewengan isi kandungan kitab-kitab oleh pendeta yahudi dan nasrani. Sehingga dalam ayat ke 61 rasulullah mengajak wakil nasrani bersumpah laknat berkaitan dengan kebenaran yang dibawa.

Isi kandungan penting antaranya ialah perihal ayat muhkamat (yang tetap tegas dan nyata maksudnya menjadi perkara pokok) dan mutasyabihat (yang kurang jelas maksudnya). Oleh itu terkadang ada golongan yang berniat serong memberikan makna lain dan menyeleweng dari kehendak sebenar.  Inilah golongan yang sesat. Manakala golongan yang menetapkannya dengan kehendak Allah merekalah golongan yang beriman.

Manusia sememangnya dihiaskan perasaan dan nafsu mereka kepada perkara-perkara keduniaan yang menyeronokkan. Mereka tertarik kepada wanita, emas, perak, binatang ternak dan kenderaan hebat. Semua ini tidak salah asalkan betul jalannya. Akan tetapi yang lebih baik daripada semua itu ialah syurga yang disediakan bagi orang-orang bertaqwa iaitu orang yang sentiasa berdoa memohon keampunan Allah dan menggunakan harta mereka ke jalan yang benar.

Agama yang benar di sisi Allah adalah Islam dan ini dimaklumi oleh ahli kitab. Tugas rasul adalah menyampaikannya sahaja. Tetapi ia ditolak oleh ahli kitab dan mendakwa akan masuk neraka beberapa hari sahaja.

Allah berkuasa menaik dan menurunkan kuasa seseorang itu. Menghidup dan mematikan sesuatu.

Keluarga ‘Imran diberikan beberapa kelebihan oleh Allah. Nazar isterinya yang mengharapkan anak lelaki untuk berkhidmat kepada Allah sebaliknya mereka beroleh anak perempuan Maryam yang mendapat banyak keistimewaan dari Allah. Maryam juga dipilih Allah untuk mengandungkan nabi Isa tanpa bapa bagi menunjukkan kuasaNya. Nabi Zakaria yang menjaga Maryam juga dikurniakan seorang anak lelaki nabi Yahya, walaupun dia sudah tua dan isterinya mandul. Allah berkuasa keatas sesuatu.

Nabi Isa dikurniakan banyak mukjizat dengan izin dari Allah seperti dapat berkata-kata ketika bayi menghidupkan orang yang mati, mengubati sakit buta dan sopak, menjadikan burung dari tanah liat dan lain-lain lagi. Ini semua bagi membuktikan kenabiannya dan bagi menyambung kebenaran dari kitab Taurat. Baginda dalam menegakkan agama Allah ini dibantu oleh sekumpulan sahabatnya yang digelar Hawariyyuun. Tetapi sebaliknya musuh-musuhnya ingin membunuhnya dan Allah telah menyelamatkannya dengan mengangkat baginda ke langit.

Allah menegaskan bahawa tiada bezanya kejadian nabi Adam dengan kejadian nabi Isa. Adam dijadikan dari tanah dan Allah berkata “jadi” maka jadilah ia. (Oleh itu jika Nasrani menganggap nabi Isa itu tuhan kerana cara kelahirannya, maka bagaimana dengan nabi Adam?). 

Dalam ayat ke 61 rasululllah telah mencabar wakil ahli kitab dari kalangan nasrani bagi bersumpah laknat dengan baginda mengumpulkan seluruh keluarga baginda agar laknat tertimpa keatas pihak yang berbohong tentang ketuhanan. Akan tetapi sumpah itu tidak disahut oleh ahli kitab. Rasulullah juga menyeru agar ahli-ahli kitab itu kembali kepada kalimah yang satu iaitu mentauhidkan Allah.

Kedegilan ahli kitab mempertengkarkan akan agama nabi Ibrahim dijawab dengan nabi Ibrahim beragama (Islam) terlebih dahulu daripada kedatangan agama yahudi dan nasrani. Nabi Ibrahim tegas Allah adalah seorang yang mentauhidkan Allah (muslim) dan bukan dari kalangan musyrik. Maka selayaknya orang orang yang mewarisi agama nabi Ibrahim ialah orang Islam.

Ahli kitab juga mencampur adukkan kandungan kitab dan bercita-cita untuk menyesatkan orang Islam, tetapi sebaliknya merekalah yang sesat. Didedahkan juga sikap tidak amanah mereka bukan sahaja dalam penafsiran kitab tetapi juga dalam hal jual beli, perjanjian, sanggup mencabuli sumpah dan sebagainya. 

Sebahagian mereka juga ada yang mahu manusia menyembah mereka. Ada juga yang menjadikan malaikat dan nabi-nabi sebagi tuhan. Sedangkan mereka telah berikrar dengan nabi masing-masing akan kerasulan nabi Muhammad saw.

Oleh itu Allah menegaskan tidak akan diterima orang yang mencari selain dari Islam. Bagi mereka yang ingkar akan ditimpa laknat dari Allah, malaikat dan juga manusia yang beriman. Kecuali bagi mereka yang bertaubat dan membaiki kesilapan mereka.

Tetapi bagi yang tetap mati dalam keadaan kafir tidak akan diterima Allah walaupun mereka cuba menebus dengan emas sepenuh bumi agar tidak diazab diakhirat nanti. Tiada bagi mereka penolong. Wallahua’lam

Tuesday, July 1, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 3 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah

Kita insyaAllah akan menghabiskan tadabbur bagi surah al-Baqarah dalam siri ini. Dalam permulaan juzuk kedua, Allah menempelak orang-orang bodoh dari kalangan Yahudi, munafik dan musyrikin Mekah dalam isu penukaran arah kiblat. Kerana walau kearah manapun dihadapkan, bumi ini milik Allah, samada timur atau barat. Kiblat sebenar adalah Kaabah serta ia dimaklumi oleh ahli kitab dan Allah ingin menguji manusia dengan arahan ini. Tetapi biarpun ahli-ahli kitab ini mengetahui ditambah pula mengenali sifat dan keperibadian rasulullah melalui kitab taurat dan injil, mereka tetap kufur.

Allah menyatakan sesiapa yang berjuang dan mati di jalan Allah, mereka tetap hidup dan tidak mati. Itulah kelebihan orang berjihad. Tetapi kesukaran adalah satu perkara yang mesti ditempuhi oleh pejuang-pejuang ini. Sifat mereka ialah meminta pertolongan dari Allah dengan jalan sabar dan mendirikan solat serta bersedia untuk kembali kepada Allah.

Diakhirat nanti manusia masing-masing akan berlepas diri dari dosa yang dilakukan di dunia ini apabila mereka melihat azab. Syaitan sentiasa menyuruh manusia melakukan  perkara keji serta dusta. Ini termasuklah golongan yang menolak agama Islam kerana tetap berpegang dengan agama nenek moyang mereka walaupun mereka tidak tahu asal agama nenek moyang mereka (semata-mata ikut-ikutan sahaja). Apabila diseru mereka berdegil dan Allah mengumpamakan keadaan mereka ini sama seperti binatang yang tidak faham bahasa manusia, pekak, bisu, buta dan tidak berakal.

Allah dedahkan ada manusia yang sanggup menjual akhirat demi kepentingan dunia. Dan tidaklah sebenarnya mereka itu melainkan sedang mengisi perut mereka dengan api neraka. 


Kewajipan menjalankan hukum Qisas (ayat 178) adalah sama seruannya dengan kewajipan menjalankan ibadah puasa (ayat 183). Tetapi kenapa kewajipan qisas dipandang sepi? Sedangkan dalam ayat yang lain dalam surah ini Allah ada bertanya adakah kita hendak beriman dengan sebahagian kitab dan kufur sebahagian lagi? Itulah perangai ahli kitab. Allah menyuruh kita masuk ke dalam Islam dengan menyeluruh (ayat 208) dan tidak mengikut jejak langkah syaitan. (Dapatkah kita fikirkan kenapa penolakan hukum ini berlaku?)


Allah membenarkan pembunuhan jika kita yang berada di jalan Allah diserang walupun dalam bulan haram. Dosa fitnah (mengganggu, hasutan kekacauan) keatas orang-orang beriman yang dilakukan oleh musyrikin Mekah adalah lebih besar dari membunuh.

Dalam surah ini juga diterangkan juga manasik haji yang betul dari Allah agar tidak menyamai ritual-ritual haji yang dilakukan oleh golongan musyrikin yang sesat itu. Juga diterangkan hukum-hukum munakahat bagaimana kewajipan menjaga waris setelah ketiadaan bapa mereka (ramai yang mengabaikan saudara mara mereka yang bernasib malang sebegini). Disuruh juga kita berwasiat (sehingga kini berbillion harta pusaka orang Islam tidak dapat diselesaikan kerana kegagalan berwasiat).

Tujuan Allah mengutuskan rasul adalah bagi membezakan antara hak dan batil. Manusia dahulunya bersatu (ummatan wahidan) sebelum mereka berselisih. Orang-orang kafir kemudiannya menjadi sombong dan berbangga dengan harta dunia mereka sedangkan orang-orang mukminlah yang sebenarnya lebih tinggi martabat mereka kerana ketaqwaan. Orang-orang beriman akan pasti diuji dengan sakit, kemiskinan serta digoncangkan keimanaan mereka. Dan Allah akan menolong orang-orang yang sabar.

Kedegilan Bani Israel sekali lagi dinyatakan apabila mereka dengan sombong menolak perlantikan Talut oleh Allah melalui nabi mereka kerana Talut miskin. Sedangkan Talut adalah orang yang berilmu dan perkasa dari kalangan mereka. Mereka juga melanggar perintah agar tidak meminum air di sebatang sungai yang mereka tempuhi ketika perjalanan kecuali yang dibenarkan hanya seceduk tangan mereka sahaja. Akibatnya mereka tidak mampu untuk berperang. Namun baki mereka itu walaupun sedikit tetapi kuat iman mereka, tetap menang melawan tentera Jalut yang ramai.

Kisah Nabi Ibarahim berhujjah dengan kaumnya apabila baginda menyuruh kaumnya yang menafikan kewujudan Allah, menerbitkan matahari dari barat yang membuatkan kaumnya tercengang. Dan juga kisah baginda yang dapat menyaksikan burung-burung dihidupkan kembali oleh Allah setelah dicincang ada juga dinyatakan dalam surah ini.

Allah melarang kita membangkit-bangkitkan pemberian kita kepada orang lain kerana itu menghapuskan pahala yang Allah janjikan sehingga 700 kali ganda. Tetapi dibenarkan menzahirkan sedekah. Bakhil adalah sifat keji dari syaitan yang menakut-nakutkan kita dengan kemiskinan jika bersedekah. Akhlak tidak meminta-minta adalah akhlak yang baik sehingga orang tidak tahu seseorang itu miskin kerana dia menahan diri dari meminta-minta.

Riba adalah haram. Allah mengibaratkan pemakan-pemakan riba seperti mengisytiharkan perang ke atas Allah dan rasul. Dibolehkan mengambil kembali wang pokok yang kita laburkan jika kita mahu keluar dari riba. Diakhirat nanti pemakan-pemakan riba ini akan berdiri seperti orang dirasuk syaitan. Allah memberkati zakat dan tidak memberkati riba. Manakala ayat terpanjang dalam surah ini ayat 282 yang menyebut berkaitan tatacara berhutang.


Kita hendaklah menjadi hamba yang bukan sahaja mendengar arahan dan suruhan Allah melalui rasul tetapi juga mestilah taat kepada suruhan itu. Dan Allah tidak memberatkan hambanya dengan apa yang mereka tidak mampu menanggungnya kerana Allah maha pengasih dan penyayang terhadap hamba-hambanya. Tamat surah al-Baqarah. Wallahua’lam.

Monday, June 30, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 2 : Bacaan tiga minit

Bismillah

Surah al-Baqarah diturunkan di Madinah ialah surah terpanjang yang mengandungi sebanyak 286 ayat di dalamnya. Dikategorikan sebagai “Tujuh Surah Panjang” ataupun Assabuththiwaa. Keistimewaan surah ini dinyatakan dalam Sahih Muslim yang bermaksud “ Bacalah kamu surah al-Baqarah kerana sesungguhnya menerima ajarannya mendatangkan berkat (kebajikan yang banyak) dan membiarkannya (mencuaikannya) menyebabkan timbul perasaan sesal kecewa. Dan orang-orang yang menceburkan diri dalam keadaan yang batil (salah) tidak akan dapat menggunakan ajarannya.
Dinamakan al-Baqarah (lembu betina) kerana dalam ayat ke 67-74 diceritakan kisah bani Isael yang degil dan bodoh dalam menyempurnakan arahan penyembelihan lembu oleh Allah. Secara keseluruhan surah ini menceritakan perihal hukum-hukum seperti solat, puasa, zakat, haji, hukum jinayah, muamalat, wasiat, dan munakahat. Antara intipati penting dalam surah (dalam juzuk pertama sahaja) ini ialah al-Quran adalah sempurna, tiada syak di dalamnya dan menjadi petunjuk bagi orang-orang bertaqwa. Iaitu orang yang beriman dengan perkara-perkara ghaib seperti syurga, neraka, dosa dan pahala. Berlawanan dengan mereka yang kufur yang tidak percaya dan memperolok-olokkan al-Quran ini.
Manusia diciptakan menjadi khalifah Allah, untuk memakmurkan bumi melalui syariat yang ditetapkan Allah. Iblis yang sombong tidak mahu sujud kepada Adam sebagaimana diperintahkan Allah adalah musuh manusia yang utama yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia.
Bani Israel adalah satu contoh kaum yang tidak pernah mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan. Beberapa kali Allah memperingatkan agar mereka mengenang kembali nikmat yang telah Allah berikan kepada bangsa mereka tetapi mereka tetap keras kepala. Bukan satu atau dua nabi yang mereka ingkari bahkan lebih dari itu sehingga mereka sanggup membunuh nabi-nabi walaupun dari keturunan mereka.
Mereka pernah dikurniakan Allah makanan al-Mann (sejenis makanan seperti madu) dan al-Salwa (sejenis burung) dari langit, mendapat teduhan awan dari panas mentari di padang pasir, mendapat 12 mata air setelah nabi Musa memukul tongkat baginda ke batu, diselamatkan dari kekejaman Firaun melepasi Laut Merah dan lain-lain lagi, tetapi mereka tetap dengan kekufuran mereka setelah mereka terselamat.
Mereka bukannya bersyukur dengan makanan yang diberikan bahkan meminta makanan lain pula seperti bawang putih, mentimun, sayur-sayuran dan kacang. Mereka menyembah patung anak lembu semasa ketiadaan nabi Musa, mengubah kitab Allah, melanggar perintah Allah untuk tidak menangkap ikan pada hari sabtu dan meminta untuk melihat Allah. Hasil dari kedegilan kaum Yahudi ini maka Allah telah menghinakan mereka menjadi bangsa yang papa kedana dan pada satu peristiwa lain, mereka diubah oleh Allah menjadi babi dan kera. Mereka juga dibenci oleh kebanyakan kaum lain atas sikap mereka itu.
Khusus dalam ayat 67-74 iaitu kisah nama surah ini diberikan, Bani Israel adalah satu golongan yang suka berlebih-lebih dalam bertanya dan cuba melengah-lengahkan suruhan Allah. Sikap ini telah menghancurkan mereka kerana bermula dari suruhan mudah untuk mencari lembu, akhirnya mereka terpaksa bersusah-payah dan hampir-hampir gagal menemuinya. Nabi Musa sendiri meminta berlindung kepada Allah dari golongan yang jahil ini. Kerasnya hati Yahudi ini walaupun telah diberikan kitab, mukjizat dan kenikmatan yang tidak didapati oleh orang lain, mereka tetap kufur kepada Allah.
Dalam tafsir al-Maraaghi dinyatakan tiga kesalahan besar oleh pendita-pendita dan penulis-penulisnya iaitu meminda isi Kitab Taurat dengan mengubah keterangan sifat-sifat nabi Muhammad saw di dalamnya, berdusta atas nama Allah dengan rekaan-rekaan yang mereka tulis dan mengambil upah atas kerja jenayah yang mereka lakukan itu. Allah memberitahu bahawa Yahudi dan Nasrasni tidak akan sekali-kali redha dengan ajaran yang dibawa oleh nabi Muhammad saw sehinggalah kita mengikut mereka. (sekarang ini terlalu ramai umat Islam yang telahpun mengikut mereka dalam semua bidang).
Turut dinukilkan dalam juzuk ini ialah, sejarah berkaitan nabi Ibrahim bersama anaknya nabi Ismail yang diperintahkan Allah bagi menjadikan Baitullah sebagai tempat ibadat kepada agama Islam. Nabi Ibrahim berwasiat kepada anak cucunya agar tidak mati melainkan dalam keadaan Islam. Semua rasul-rasul adalah sama, tiada beza antara mereka, mereka mentauhidkan Allah. Allah menafikan dakwaan Yahudi dan Nasrani bahawa nabi Ibrahim, Ismail, Ishaq dan Yaakub adalah beragama Yahudi atau Nasrani kerana para rasul ini telahpun ada agama mereka iaitu Islam sebelum kehadiran Yahudi dan Nasrani ini.  
Marilah kita sama-sama merenung isi kandungan juzuk ini dan cuba mengambil pengajaran daripadanya. Wallahua’lam.

Sunday, June 29, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 1: Bacaan tiga minit


Kita mungkin boleh membaca dan menamatkan al-Quran dalam bulan Ramadhan ini. Jika kita duduk beramai-ramai membaca al-Quran dengan dibimbing oleh seorang atau beberapa orang guru, maka ia dinamakan tadarrus.
Tetapi berapa ramai yang bertadarrus itu memahami al-Quran yang dibaca itu? Janganlah kita hanya mengejar untuk khatam tetapi dalam masa yang sama tidak tahu apakah kehendak al-Quran itu. Membaca dan memahami isi kandungan al-Quran itu dinamakan tadabbur. Oleh itu pihak kami cuba mengambil inisiatif bagi membantu masyarakat memahami kehendak al-Quran supaya hidup kita tetap berada di atas landasan yang Allah tetapkan melalui al-Quran. Jom kita bertadabbur al-Quran secara ringkas. 
Bismillah
Beberapa perkara yang mungkn kita tak tahu mengenai al-Quran. Bagaimana sahabat-sahabat khatam al-Quran pada kebiasaan dizamannya. Hari ini juzuk pertama iaitu mengandungi al-Fatihah dan al-Baqarah. Mari kita lihat ringkasannya. Kita mulakan dengan surah al-Fatihah.

Al-Quran yang biasa dibaca oleh sahabat rasulullah saw dan ialah mereka khatam seminggu sekali iaitu dengan membaca surah :

Aus bin Huzaifah -rahimahullah- berkata: Aku bertanya kepada para sahabat Rasulullah saw, “Bagaimana caranya kamu membahagikan Al-Qur`an untuk dibaca setiaphari?” Mereka menjawab:


نُحَزِّبُهُ ثَلَاثَ سُوَرٍ وَخَمْسَ سُوَرٍ وَسَبْعَ سُوَرٍ وَتِسْعَ سُوَرٍ وَإِحْدَى عَشْرَةَ سُورَةً وَثَلَاثَ عَشْرَةَ سُورَةً وَحِزْبَ الْمُفَصَّلِ مِنْ قَافْ حَتَّى يُخْتَمَ

“Kami bahaginya menjadi(tujuh bahagian yakni): Tiga surah lima surah, tujuh surah, sembilan surah, sebelas surah, tiga belas surah, dan hizb al-mufassal iaitu dari surah Qaf sampai akhir (mushaf).” (HR. Ahmad no. 15578).

Hari pertama: Mereka membaca surah “al-fatihah” hingga akhir surah “an-nisa`”.
Hari kedua: Dari surah “al-maidah” hingga akhir surah “at-taubah”.
Hari ketiga: Dari surah “Yunus” hingga akhir surah “an-nahl”.
Hari keempat: Dari surah “al-isra” hingga akhir surah “al-furqan”.
Hari kelima: Dari surah “asy-syu’ara” hingga akhir surah “Yasin”.
Hari keenam: Dari surah “ash-shaffat” hingga akhir surah “al-hujurat”.
Hari ketujuh: Dari surah “qaaf” hingga akhir surah “an-nas”.

Adapun pembahagian juzuk-juzuk sehingga 30 ini adalah hasil dari pemikiran Hajjaj al-Yusuf as-Tsaqafi.

Surah al-Fatihah dinamakan sebagai As-Saba’ul Matsani iaitu tujuh ayat yang diulang-ulang. Diturunkan di Mekah.

Beberapa perkara penting tentang ketauhidan Allah ditekankan dalam al-Fatihah ini antaranya ialah tentang kewujudan Allah, tentang sifat-sifatNya yang agung seperti al-Rahmaan, al-Rahiim.

Juga diberi peringatan akan pembalasan kepada perbuatan manusia diakhirat nanti. Jadi usaha kita bukan sekadar untuk hidup di dunia sahaja tetapi akhirat nanti kita akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kita lakukan di dunia ini.

Didalam surah ini juga terkandung konsep tauhid rububiyyah iaitu keesaan Allah dalam mencipta, mengatur atau dalam kata lain Dia berkuasa melakukan segala-galanya keatas alam ini atas kehendakNya.

Juga konsep Uluhiyyah iaitu hanya Allah sahaja ilah yang berhak disembah, tiada sekutu bagiNya.Dan inilah kemuncak kepada tauhid makhluk kepada Allah.

Menerangkan akan hanya Allah lah yang menjadi tuhan yang disembah dan hanya kepada Dialah tempat kita memohon pertolongan, tiada yang lain.

Memohon taufik dan hidayah dari Allah agar dimasukkan ke jalan-jalan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin dan juga semoga terselamat dari jalan-jalan yang Dia murkai dan sesat seperti yang telah terjadi keatas Yahudi dan Nasrani.

Rasulullah menyatakan bahawa “Tidak ada dalam kitab-kitab yang telah diturunkan oleh Allah satu surah sama kelebihannya dengan Ummul Quran”.

Surah al-Fatihah ini wajib dibaca dalam solat sebanyak 17 kali sehari jika tidak bermusafir, menunjukkan kepentingannya yang sangat utama.

Sekurang-kurangnya kita mestilah memahami makna-makan bacaan al-Fatihah ini sebagai menunjukkan kita juga menjunjung ayat yang penting ini dan bukan sahaja membaca tanpa memahami maknanya. Wallahua’lam.

Wednesday, June 25, 2014

PAS Marang lancar program “Ramadhan Bulan Tarbiyah”



PAS Marang baru-baru ini telah melancarkan satu program keagamaan bagi memeriahkan lagi sambutan kehadiran bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan.
Program ini bermatlamatkan bagi melahirkan insan bertaqwa sesuai dengan jaminan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183.
Pelancaran  program “Ramadhan Bulan Tarbiyah” itu telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor YB Iskandar Abdul Samad sebaik sahaja beliau selesai menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung PAS Kawasan Marang.
Dalam program tarbiyah ini, ia bakal menjelaskan lagi dengan lebih lanjut bagaimana bentuk amalan yang terbaik yang semestinya dipersembahankan kepada Allah bagi merangkul gelaran insan bertaqwa itu.
Dalam kata aluan Yang DiPertua PAS Kawasan Marang, Haji Yahaya Ali menekankan perlunya pentabiyahan kepada umat Islam agar tidak menjadi malas dan lemah dengan alasan berpuasa.
Beliau juga mengambil contoh rasulullah dan para sahabat yang berperang dalam bulan puasa tanpa memberikan alasan berpuasa.
Selain itu juga, program ini diharap dapat membantu umat Islam melepasi ujian kesabaran dan menyempurnakan ibadat puasa dengan penuh keikhlasan kepada Allah agar ibadat puasa tidak menjadi sia-sia.
Sambil mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa Lajnah Tarbiyah PAS Kawasan Marang atas usaha ini, beliau melihat kerjasama dalam menyusun program ini juga adalah satu bentuk tarbiyah bagi jawatankuasa itu sendiri.
Antara aktiviti-aktiviti harian yang akan diadakan bersempena program ini ialah tazkirah ramadhan, solat tarawikh, tadarus al-Quran, qiamullai, majlis berbuka puasa, bersahur, infaq, bersedekah, beri’tikaf serta kuliah subuh.
Sementara itu Ketua Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Kawasan Marang, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, melahirkan rasa bersyukur diatas kejayaan jawatankuasa lajnahnya menerbitkan buku panduan bagi menghadapi Ramadhan.
Al-Quran jelas beliau telah menyatakan bahawa bulan Ramadhan ini adalah bulan tarbiyah bagi membentuk dan melahirkan muslim yang bertaqwa melalui aspek rohani dan jasmani yang sesuai menurut kehendak al-Quran.
“Al-Quran telah berjaya melahirkan manusia jahiliyah yang berubah bagaikan malaikat yang bertubuh manusia.
Proses tarbiyah al-Quran yang hebat ini mesti dikembalikan untuk melahirkan pimpinan dan pejuang-pejuang Islam yang berupaya membebaskan dunia ini daripada kezaliman dan kemungkaran.
Al-Quran berperanan untuk merawat penyakit ummah dengan tiga ciri utama syifa’ ataupun penawar, rahmat dan hidayah,” jelas beliau yang dipetik daripada ucapan aluannya di dalam buku program.
Tambah beliau lagi program ini adalah agenda utama parti dan aspirasi lanjutan daripada murabbi agung iaitu Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan berharap agar semua ahli merebut peluang program ini.
Beliau kemudiannya menyeru kepada semua lapisan masyarakat agar turut serta dalam program yang sangat baik bagi menghayati Ramadhan.