Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Tuesday, May 12, 2015

Abang MB lakukan kerja-kerja yang tidak sepatutnya dalam bilik Permai Inn?

Setelah setahun menduduki kerusi tertinggi dalam pemerintahan kerajaan negeri, Dato’ Sri Ahmad Razif Abdul Rahman sebenarnya ada persoalan yang yang melibatkan integriti yang mesti beliau jelaskan kepada rakyat Terengganu.
Setelah tersebar baru-baru ini berita berkenaan pembaikian rumah MB, semalam timbul pula cerita berkaitan dengan abang beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Azmi Abdul Rahman yang dikatakan mempunyai pejabat di Permai Park Inn.
Hal ini telah ditimbulkan oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Dato Sri Ahmad Said ketika menyampaikan ucapan menjunjung kasih Titah Ucapan Perasmian oleh Tuanku Sultan Terengganu pada 11 Mei lalu.
Beliau dalam ucapannya itu mendedahkan bahawa MB telah melantik abangnya menjadi salah seorang Board of Director(BOD) untuk Terengganu Incorperated (TI).
Tetapi yang beliau inginkan penjelasan, siapakah yang membayar bilik yang dikatakan sebagai bilik operasi di Permai Park Inn bagi melakukan kerja-kerja yang menurut Ahmad, tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang bergelar abang kepada MB.
“Saya minta maaf, penglibatan, ini melibatkan soal integriti. Saya sedar bahawa YAB MB telah melantik abang YAB sendiri sebagai seorang BOD untuk TI, Terengganu Inc.
Tapi masalahnya saya ingin tahu, siapakah yang membayar bilik 1001 di Permai Inn, ketika bermula YAB menjadi MB, yang mana abang YAB sendiri yang mana saudara Tuan Haji Azmi Abdul Rahman, membuka bilik itu sebagai bilik operasi.
Untuk melaksanakan kerja-kerja yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang bergelar abang kepada MB,” kata beliau.
Namun beliau tidak menjelaskan dengan lebih lanjut apakah ‘kerja-kerja yang tidak sepatutnya dilakukan’ yang dikatakan telah dilakukan oleh abang MB itu.
Sidang DUN Terengganu bagi Penggal Ketiga dijadulkan berlangsung selama tiga hari bermula Selasa 12 Mei sehingga Khamis 14 Mei ini.

TTB : Bekas MB dukacita slogan lain, laksana lain.


 
Dato’ Seri Ahmad Said semalam melahirkan rasa amat dukacitanya dengan konsep Transformasi Terengganu Baharu kerana pada pandangan beliau, beberapa perlaksanaannya tidak menggambarkan apa yang yang dikatakan.
Sambil mengambil contoh tentang nasib pekerja-pekerja di Syarikat Percetakan Yayasan Terengganu (SPYT) beliau menjelaskan kepada Dewan bahawa nasib mereka terumbang ambing sekarang kerana ada syarikat lain yang mengambil alih kerja percetakan itu.
Menurut sejarah SPYT yang diberitahu Ahmad kepada Dewan, PYT adalah sebuah syarikat kerajaan negeri yang hampir muflis dan terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan melibatkan lebih 100 orang pekerja yang kebanyakkannya datang dari Kuala Nerus.
Tambah beliau lagi, setelah banyak kontrak diberikan kepada SYPT, maka akhirnya SYPT mendapat keuntungan dan sehinggakan berkemampuan membayar bonus kepada kakitangannya dan zakat kepada kerajaan.
Akan tetapi, beliau mendapat maklumat sekarang ini banyak kontrak-kontrak itu telah bertukar tangan kepada syarikat baru bernama NSR yang boleh menyebabkan nasib kakitangan SPYT kembali terumbang ambing.
“Apabila kita perkenalkan satu konsep baru, kita arahkan semua kerja-kerja percetakan, termasuk memasang banner, iklan dan sebagainya dibuat oleh SYPT ini, akhirnya syarikat ini mengalami keuntungan.
Boleh membayar bonus kepada pekerjanya dan sehingga boleh membanyar zakat kepada kerajaan negeri.
Tapi hari ini, saya dimaklumkan, kerja-kerja ini telah ditarik balik daripada SYPT dan diberikan kepada beberapa syarikat termasuk yang mendominasikannya ialah NSR.
Apakah ini benar? Dan apakah akan terjadi kepada masa depan kepada lebih 100 orang pekerja ini, dan akhirnya terpaksa ditanggung balik oleh kerajaan negeri,” soal beliau.
Namun apabila wakil Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar,bangun  meminta penjelasan kepunyaan siapakah Syarikat NSR itu, beliau menyerahkan kepada kerajaan untuk menjawabnya.
Turut disentuh oleh beliau ialah berkenaan isu wifi percuma yang perbelanjaannya mencecah RM10 juta yang dilaksanakan oleh Top IT, sebuah syarikat kepunyaan kerajaan negeri, tetapi telah beralih tangan kepada sebuah syarikat dari luar Terengganu.
Sedangkan menurut Ahmad, Top IT mempunyai ramai tenaga mahir dan pakar dalam IT maka perkara itu tidak seharusnya berlaku dan beliau meminta justifikasi yang sepatutnya dari kerajaan.
“Tetapi malangnya, saya dimaklumkan, hari ini, kerja-kerja pemasangan wifi percuma ini, telah diserahkan kepada sebuah syarikat berasal daripada Klang (Selangor) yang bernama EGN Network Sdn Bhd.
Apakah justifikasinya,” soal belliau kepada kerajaan negeri.
Beliau turut melahirkan kebimbangan yang mana berkemungkinan ada pihak yang cuba mengambil peluang apabila kontrak-kontrak yang sepatutnya boleh dilaksanakan oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri, diberikan kepada orang-orang tertentu.
Sidang DUN Terengganu bagi Penggal Ketiga dijadulkan berlangsung selama tiga hari bermula Selasa 12 Mei sehingga Khamis 14 Mei ini.

Kos LPT2 dan status Bertam antara ledakan soalan Ahmad Said:


Bekas Menteri Besar Terengganu dalam Sidang Dun Terengganu semalam telah mengemukakan pertanyaan berkenaan jumlah sebenar Dana Khas kerajaan negeri  yang telah digunakan dalam pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2.
Jelas beliau, jumlah keseluruhan kos pembinaan pada asalnya ialah sebanyak RM1.8 billion dan 50 peratus daripada jumlah itu, diambil daripada dana khas kerajaan negeri Terengganu.
Beliau mendakwa, ketika beliau mula menduduki kerusi Menteri Besar, beliau tidak mengizinkan wang tambahan tersebut diambil bagi pembinaan LPT2 itu, hanya sekadar apa yang telah dibelanjakan sahaja.
Tambah beliau lagi, permintaan menambah perbelanjaan bagi pembinaan LPT2 dan menggunakan duit Dana Khas Terengganu itu adalah tidak adil kerana di negeri-negeri lain, kosnya ditanggung oleh kerajaan pusat atau swasta.
Soalan itu dikemukakan kerana katanya, beliau sendiri tidak mengetahui berapakah kos sebenar pembinaan LPT2 itu kerana beliau dimaklumkan LPT2 bernilai RM4 billion.
Oleh kerana dilaporkan pada September ini PLUS akan mula mengutip tol di LPT2, beliau mahu mengetahui berapakah pulangan yang akan dikembalikan kepada kerajaan negeri atas penggunaan Dana Khas itu.
Soalan kedua daripada Dato’ Sri Ahmad Said ialah berkenaan status telaga minyak Bertam yang didakwanya milik Terengganu yang hanya terletak 120 km dari Pantai Geliga Kemaman, tetapi dinafikan oleh Perdana Menteri.
“Yang kedua, mengenai sikap kerajaan negeri sendiri mengenai penemuan minyak Bertam 307 yang terletak 120 km dari Pantai Geliga, yang mana YAB Perdana Menteri telah menyebut bahawa Bertam 307 adalah ditemui di Pahang.
Dan saya menafikan (dakwaan PM itu), dan ini adalah hak Terengganu. Pahang ada sedikit 307 A dan B, Bertam A, B tapi sedikit sahaja.
Dan syarikat yang menemui minyak ini ialah ‘company’ nya nama Landing daripada Sweden dan telahpun mengeluarkan hasilnya pada empat haribulan empat 2015 jam 10 malam, pengeluaran pertama minyak ini.
Dan sekarang menghasilkan kira-kira empat hingga lima ribu barrel sehari,” terang beliau kepada Dewan.
Menurutnya lagi, itu hanya melibatkan empat telaga daripada 15 telaga minyak di kawasan berkenaan dan maksimum pengeluaran ialah 18 ribu barrel sehari.
Beliau seterusnya meminta agar Menteri Besar memikul amanah rakyat Terengganu dengan mendapatkan kepastian daripada perdana menteri berkenaan status Bertam 307 itu.
Beliau memaklumkan kepada Dewan,  ketika dia menjadi Menteri Besar, beliau pernah menulis surat kepada Petronas dan Petronas hanya mendiamkan diri.
Beliau juga menimbulkan isu kenapa kerajaan pusat membayar Dana Khas dengan kadar lebih rendah kepada kerajaan negeri pada enam bulan pertama.
Jika kerana alasan harga minyak jatuh, maka kenapa ketika harga minyak naik, kerajaan pusat tidak membayar lebih kepada kerajaan negeri kerana pembayaran itu berasaskan anggaran harga minyak ialah sebanyak 75 dollar sebarrel.
Sidang DUN Terengganu bagi Penggal Ketiga dijadulkan berlangsung selama tiga hari bermula Selasa 12 Mei sehingga Khamis 14 Mei ini.

Kalau MB masuk, saya masuk


“Kalau YAB MB masuk, saya masuk,” kata Pesuruhjaya PAS Terengganu Ustaz Satiful Bahri ketika membalas usikan YAB Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dalam ucapan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Terengganu.
Menteri Besar yang bangun meminta penjelasan dari Ustaz Satiful adakah YB Paka boleh masuk ke dalam sarang burung itu lantas dijawab oleh Ustaz Satiful, beliau akan ikut MB jika MB boleh masuk ke dalam lalu disambut gelak ketawa sidang dewan.
Perkara itu terjadi ketika Ustaz Satiful membangkitkan isu berkenaan saiz sarang burung yang diberikan kepada golongan miskin terlalu kecil dan tidak munasabah bagi memanggil burung walit masuk ke sarang tersebut itu.
Saiz yang diberikan ialah 16 kaki kali 10 kaki yang kecil dan rendah, kemudiannya Ustaz Satiful secara sinis mengatakan kerana saiz itu, burungpun tidak sanggup masuk kedalam lalu membangkitkan kemarahan adun-adun BN.
Wakil Ajil yang berang, kemudiannya bangun meminta Ustaz Satiful memberikan nama agensi yang dikatakan menyediakan sarang burung itu tetapi ditolak oleh Ustaz Satiful dengan alasan wakil Ajil bukan exco pertanian.
Menurut beliau lagi, produk pertanian yang dikatakan bernilai tinggi itu, dilihat tidak serius dan kadangkala hanya menjadi bahan ketawa sahaja perlaksanaannya.
Pada pendapat beliau, beliau yakin jika sekiranya dibuat projek sarang burung dalam skala yang besar dan dibuat secara berkelompok dan kemudiannya dibahagikan lot-lot tersebut kepada peserta, ianya akan lebih bermakna kepada peserta.

Ada cubaan cagarkan hasil gas dan minyak Terengganu : Mantan MB


Dewan hari ini dikejutkan dengan pendedahan-demi pendedahan oleh mantan Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said ketika menyampaikan ucapan menjunjung kasih titah Ucapan PerasmianTuanku  Sultan Terengganu.
Paling mengejutkan ialah pendedahan beliau berkaitan cubaan pihak yang ingin mencagarkan hasil gas dan minyak Terengganu dan akhirnya dibatalkan atas bantahan pihaknya dan menyebabkan dia “diturunkan” dari jawatannya.
Beliau menyentuh perkara itu ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Wakil Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkenaan kaitan 1MDB dengan kerajaan negeri Terengganu.
Wakil Kijal itu menjelaskan beliau akan mendedahkan dengan lebih banyak lagi pada masa akan datang tetapi buat masa ini, beliau hanya akan mendedahkan sebahagian sahaja sambil mengakui kebenaran kaitan kerajaan negeri dan 1MDB yang dibangkitkan itu.
Tambah beliau lagi 1MDB pada asalnya ialah Terengganu Investment Authority (TIA) tetapi menarik diri apabila terjadi permasalahan yang tidak dapat beliau terima, iaitu cubaan mencagar hasil minyak dan gas di perairan Terengganu.
“Saya memohon maaf, buat masa ni saya tidak dapat menjawabnya, tapi saya tunggu masa yang sesuai. Dan saya akui, betul, 1MDB asalnya TIA, Terengganu Investment Authority bukan Agency yang modalnya berbayar dan saya dan kerajaan negeri yang bayar.
Tetapi apabila kita dapati “hanky panky” (perkara tidak betul), ada permasalahan yang tak boleh kita terima,  termasuk saya boleh sebut di sini buat permulaan ini dulu, mereka nak cagar minyak dan gas di laut Terengganu ketika itu.
Inilah satu sebab kenapa saya dimarah oleh Perdana Menteri, termasuk kes-kes yang lain, akhirnya kita menarik diri dan kerajaan negeri tidak rugi apa-apa, saya minta balik wang satu juta sebagai modal berbayar ketika itu.
Ini sebagai penjelasan  permulaan, tidak ada yang tidak benar, melainkan yang benar belaka Yang DiPertua,” jelas beliau dengan panjang lebar yang mendapat tepukan dari wakil pembangkang.
Semenjak diturunkan dari jawatan Menteri Besar semenjak setahun yang lalu, inilah kali pertama Dato’ Ahmad Said bangun menyertai perbahasan, namun kesempatan itu, beliau memilih menyerang kerajaan dengan pendedahannya itu.
Sidang DUN Terengganu bagi Penggal Ketiga dijadulkan berlangsung selama tiga hari bermula Selasa 12 Mei sehingga Khamis 14 Mei ini.

Monday, May 4, 2015

“Serangan” terakhir kontijen Terengganu untuk rampas Rompin



Kontijen PAS Terengganu hari ini telah mengerahkan tenaga yang maksimum dalam usaha terakhir bagi membantu PAS menang dalam Pilihanraya Kecil P 91 Rompin esok.
Pesuruhjaya PAS Terengganu YB Ustaz Satiful Bahari Mamat sendiri telah turun hari ini bagi memberikan arahan terakhir serta kata-kata semangat kepada para pertugas setelah beberapa siri kempen yang beliau sertai sebelum ini, membayangkan kesungguhan kontijen Terengganu.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan perlunya istiqamah dalam memperjuangkan agama Allah dan bukan hanya mensasarkan kemenangan di dunia sahaja tetapi lebih dari itu ialah keredhaan Allah di akhirat.
”Kita berjuang ini samada menang dunia ataupun syahid kerana Allah walaupun kita tidak menang, tetapi amalan kita diterima Allah,” tegasnya kepada para pertugas yang hadir.
Beliau juga menekankan bahawa bidang tugas masing-masing tidaklah sama akan tetapi yang lebih utama ialah cara pertugas melaksanakannya dengan berkesan agar memberikan kesan yang maksimum kepada pengundi.
Sambil menyeru agar pertugas-pertugas supaya terus fokus dengan misi berdakwah selain daripada kempen mengundi, beliau turut mengingatkan pertugas agar menjaga tata susila semasa bertemu orang ramai.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 dan 2, YB Dr Alias dan Haji Yahaya Ali serta Pengarah Pilihanraya Terengganu YB Ariffin Deraman, Bendahari Cikgu Shukrimun Shamsudin serta Adun Chukai YB Hanafiah Mat.
Turut berucap ialah Adun Chukai, Haji Hanafiah Mat yang memaklumkan gerak kerja kontijen Terengganu sehingga hari ini mendapat pengiktirafan pertama oleh PAS Pahang kerana kerja yang tersusun.
Kira-kira 100 orang pertugas dari Dewan Muslimat, Pemuda, Ulamak dan kawasan-kawasan tetap bersemangat dan bersedia menjalankan tugas-tugas kempen walaupun ada di kalangan mereka telahpun berhari-hari tinggal di sini.
Kontijen Terengganu diamanahkan untuk menjaga tiga Unit Peti Undi (UPU) di DUN Tioman iaitu Sungai Puteri, Kuala Rompin dan juga Bandar Baru Rompin dengan jumlah pengundi seramai kira-kira 4000 orang di ketiga-tiga UPU tersebut.

Sunday, May 3, 2015

Kekangan kewangan halang bina universiti

Perwakilan dalam Muktamar Dewan Ulamak PAS Terengganu (DUPT) semalam dimaklumkan bahawa kekangan kewangan adalah faktor utama yang menghalang tertubuhnya sebuah universiti kepunyaan parti yang diimpikan oleh ahli PAS.

Penjelasan itu dibuat oleh Ketua DUPT, Dato’ Hussein Awang ketika menjawab pertanyaan perwakilan yang mahukan sebuah universiti yang bertemakan kebajikan kepada pelajar-pelajar seperti Universiti al-Iman di Yaman.
Jelas beliau lagi, universiti itu adalah harapan yang tinggi oleh DUPT, tetapi kewangan yang sangat terhad menjadikan impian bagi membinanya terpaksa ditangguhkan.
Beliau memberikan contoh yuran-yuran yang dikenakan oleh pihak pengurusan sekolah-sekolah kelolaan PAS adalah yang terendah dan mampu dibayar oleh ibu bapa, menunjukkan kesungguhan PAS dalam menjaga kebajikan rakyat.
Namun, sesetengah ibu bapa yang gagal membayar yuran persekolahan anak mereka, menyebabkan guru-guru dan kakitangan sekolah menanggung akibatnya kerana kekurangan dana.
Terkadang tambah beliau, agihan wang saguhati hari raya kepada guru-guru sekolah kelolaan PAS yang berjumlah kira-kira RM300 juga agak sukar diperolehi.
Menurut beliau lagi perancangan bagi menubuhkan yayasan juga masih tertangguh kerana bayaran sebanyak dua juta ringgit yang diperlukan untuk menubuhkan sesebuah yayasan seperti yang disyaratkan adalah terlalu tinggi.
“Rancangan untuk tubuhkan yayasan masih gagal kerana tiada modal dua juta ringgit, syarat untuk tubuh yayasan, bagi melayakkan mengurus harta wakaf,” terang beliau kepada perwakilan.
Difahamkan universiti-universiti di negara-negara arab menggunakan harta wakaf bagi menguruskan universiti-universiti di sana, sehinggakan ada sesetengahnya hamper tiada yuran dikenakan keatas pelajar-pelajar mereka.
Oleh itu agak mudah bagi pengurusan mereka mengendalikan universiti-universiti itu dengan adanya sumber kewangan yang kukuh sekaligus membantu pelajar-pelajar mengurangkan perbelanjaan mereka.
Pun begitu tegas Dato’ Hussein, sekolah-sekolah kelolaan PAS ini juga hebat dalam menghasilkan modal-modal insan yang berkualiti yang dapat membimbing rakyat kearah kebaikan.
Antara nama-nama keluaran sekolah kelolaan PAS ialah seperti Ustaz Nazri Ahmad calon PAS di Rompin, Adun Manir, Ustaz Hilmi Harun,  Adun Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dan ramai lagi.
Menjawab satu lagi persoalan perwakilan berkaitan tentang sabotaj di dalam beberapa program anjuran PAS seperti Ijtimak Antarabangsa baru-baru ini, beliau menjelaskan beliau tiada maklumat berkenaan isu tersebut.