Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Sunday, December 7, 2014

Wakil Bukit Payong bangkitkan masalah banjir


Wakil Rakyat Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah hari ini membangkitkan masalah banjir yang kelihatannya tidak berkesudahan apabila setelah beberapa kali diajukan masalah tersebut dalam Sidang Dun yang lalu.
Beliau yang bangkit mengemukakan masalah tersebut dalam soalan tambahan dari soalan asal berkenaan masalah penduduk tanah rendah dan di tebing sungai sekitar Setiu oleh wakil Langkap YB Dato’ Sabri Mohd Nor.
Ustaz Mohd Nor mengambil contoh jalan utama di simpang empat laluan ke Lebuhraya Pantai Timur di Batu 9, Bukit Payong yang sentiasa ditenggelami air apabila musim tengkujuh dan telah berlarutan sehingga beberapa tahun.
Beliau juga ingin mengetahui siapakah yang bertanggungjawab ke atas laluan tersebut samada JKR ataupun Lembaga Lebuhraya, juga apakah rancangan segera yang telah atau akan dilakukan oleh kerajaan.
“Saya melihat berkali-kali saya sebut dalam sidang dewan, jalan-jalan utama sebagai contohnya di Bukit Payong, di simpang empat Batu 9 exit (keluar) atau untuk masuk ke lebuhraya, merupakan satu jalan yang utama.
Tapi setiap kali hujan lebat dan musim tengkujuh (ia) tenggelam.
Apakah masalah utama sehingga bertahun-tahun berlakunya masalah di simpang empat itu untuk masuk ke lebuhraya itu sehingga seolah-olah Lebuhraya (LLM) ke yang bertanggungjawab ataupun JKR yang bertanggungjawab.
Diwaktu yang sama jalan utama dari Kuala Berang ke Kuala Terengganu di Pekan Bukit Payong yang merupakan jalan utama sehingga seolah-olah tidak ada satu penyelesaian yang paling tepat dan selesai untuk dilakukan.
Walaupun berlaku (banjir) setiap kali, apakah perancangan kerajaan yang segera bagi menyelesaikan masalah ini?,” tanya beliau.
Menjawab soalan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri,  Ir Rosli Othman menjelaskan bahawa kerajaan sedang dan telah membuat beberapa kajian.
Untuk dua hingga tiga tahun mendatang katanya, kerajaan akan membina longkang besar, mengenal pasti jalan yang tersumbat serta yang kurang penyelenggaraan.

Bicara kes saman Presiden PAS, wakil Kosmo hadir


Perbicaraan kes saman melibatkan Presden PAS berkaitan isu pil kuda oleh bekas calon PKR di Dun Bukit Besi Mohd Shamsul Mat Amin, hari ini menyaksikan kehadiran  buat pertama kalinya wakil dari akhbar Kosmo yang gagal hadir sebelum ini.
Lokman Riduan Mohd Nor hadir sebagai wakil Kosmo dan sekaligus bertindak sebagai saksi plaintif setelah sebelum ini dua kali tidak hadir sehinggakan hakim telah mengeluarkan waran.
Prosiding menyoal saksi yang berlangsung kira-kira 10 minit  melibatkan Lokman dan kedua-dua peguam plaintif dan defendan itu, berjalan dalam keadaan lancer dan tenang.
Mahkamah penuh sesak dengan kehadiran hampir keseluruhannya penyokong Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan turut kelihatan hadir bagi mendengar prosiding ialah Shamsul dan beberapa orang penyokongnya.
Berikut adalah transkrip soal jawab diantara Lokman dan peguam-peguam terlibat:
Setelah mengangkat sumpah memberikan keterangan, Lokman ditanya oleh peguam plaintif (PP) dan peguam defendan (PD).
PP: Boleh bagitahu jawatan?
Lokman : Saya adalah wartawan Kosmo di Jalan Chan Sow Lin Kuala Lumpur.
PP: Mohon saudara Lokman mengesahkan keratan akhbar Kosmo bertarikh 23 April 2013.
Lokman : Ya.
PP: Tiada soalan lain Yang Arif.
Soalan dari pihak defendan yang dilakukan oleh Haji Asmuni Awi kepada saksi dari Kosmo.
PD : Siapakah pemberita yang hadir pada malam tersebut?
Lokman : Tak faham.
PD : Adakah saudara Lokman sendiri yang hadir?
Lokman : Tidak.
PD : Siapakah pemberita Kosmo yang hadir?
Lokman : Saya tidak tahu.
PD : Setuju saya katakana wartawan Kosmo tidak hadir pada malam itu?
Lokman : Saya tidak pasti.
PD : Setuju sebenarnya Kosmo sedut berita ini dari sumber lain dan letakkan dalam akhbar?
Lokman : Saya setuju.
PD : Dari sumber mana?
Lokman : Ia diambil dari berita agensi Bernama dan rakaman ceramah yang ditonton oleh pemberita.
PD : Boleh namakan wartawan yang menonton video itu?
Lokman : Ikhwan Azwa Hamidun.
PD : Ada dia hadir?
Lokman : Tiada.
PD : Siapa Ikhwan itu?
Lokman : Ketika itu dia wartawan Kosmo di Kuala Lumpur.
PD : Sekarang dia berada di mana?
Lokman : Telah berhenti kerja.
PD : Boleh sahkan bahawa beliau yang buat berita itu?
Lokman : Kami berdua tidak buat berita itu.
PD : Siapa?
Lokman : Saya dan Ikhwan.
PD : Siapa yang mengarang berita ini?
Lokman : Muka hadapan biasanya pengarang yang bertugas.
PD : Siapa?
Lokman : Saya tidak ingat.
PD : Setuju kehadiran Lokman untuk sahkan berita ini disiarkan oleh Kosmo?
Lokman : Saya setuju.
Mahkamah kemudiannya meneruskan prosiding dengan hujahan oleh kedua-dua belah pihak.
Hakim Yang Arif Dato’ Mohd. Yazid Mustafa kemudiannya menangguhkan perbicaraan sehingga 15 Disember ini bagi membuat keputusan untuk kes ini.

Monday, December 1, 2014

Audit cawangan, gerak kerja kerana Allah

(Jabatan Amal adalah ikon PAS dalam melaksanakan kerja sukarela tanpa mengira masa dan tempat)

Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Payong mengambil langkah proaktif bagi mendepani cabaran pilihanraya umum ke-14 dengan mengadakan program audit cawangan-cawangan PAS yang berada dalam Dun Bukit Payong.
Program audit ini menunjukkan kesungguhan PAS Dun Bukit Payong untuk mengekalkan malah meraih lebih banyak sokongan daripada masyarakat dalam membawa Terengganu ke arah memartabatkan pemerintahan Islam.
Dalam program audit itu, MTD mahu melihat sejauh manakah tindakan-tindakan tahun 2014 yang telah berjaya dilakukan dan juga yang gagal serta keperluan bedah siasat keatasnya termasuk juga perancangan tahun 2015.
Program dibawah Lajnah Pemerkasaan Parti Dun itu turut menekankan pencapaian sasaran daftar pemilih terutamanya anak-anak ahli PAS, tabung kewangan dan penerangan isu-isu oleh cawangan-cawangan.
Pengarah MTD, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah menyeru agar cawangan-cawangan lebih proaktif terutama dalam kerja kebajikan bagi memperlihatkan keindahan Islam iaitu sentiasa mengutamakan kebajikan.
Sikap ini juga sekaligus menunjukkan kesungguhan PAS sebagai sebuah kerajaan menanti dengan tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata yang akhirnya menaikkan imej PAS itu sendiri dan juga Islam.
Akan tetapi lebih dari itu, sikap membantu ini pastinya akan mendapat pahala dari Allah, membezakan PAS dari kumpulan lain yang tidak mengambil dosa pahala sebagai matlamat perjuangan mereka.
“Saya harap semua cawangan mengambil sikap proaktif dengan melakukan kerja-kerja kebajikan secara berterusan dan tidak hanya ketika musim PRU sahaja.
Kita sebagai jemaah Islam sepatutnya merasa senang dengan kerja-kerja begini sebab kita pasti akan dapat pahala, berbeza dengan kumpulan lain.
Jangan harap sangat kerajaan, buat dahulu apa yang kita mampu, nanti masyarakat akan melihat kekuatan kita, kesungguhan kita sebagai jemaah Islam menjadi kerajaan menanti,” ujar beliau.
Justeru itu, tambah beliau lagi, semangat ahli-ahli cawangan perlu dinaikkan bagi memulakan gerak kerja bermula sekarang.
Bagi beliau yang juga Adun Bukit Payong, biar masyarkat menyokong PAS bukan kerana beliau atau sesiapa tetapi kerana PAS itu ialah PAS, iaitu jemaah Islam tulen yang mempunyai akhlak yang baik yang dizahirkan oleh ahli-ahlinya.

Sunday, November 30, 2014

Pelajar cemerlang UPSRI dirai

(Pelajar terbaik akademik keseluruhan DAR di Terengganu Aisha Binti Amzam ditemani ayahnya menerima Anugerah Tuan Guru Dato' Haji Harun Taib dari Dato' Hussain Awang)

Satu majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik bagi pelajar-pelajar yang telah berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam (UPSRI) telah diadakan di Madrasah Darul Iman Titian Baru, Kedai Buloh.
Majlis bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar-pelajar dari seluruh sekolah rendah Islam kelolaan PAS (DAR) kali ke-6 itu telah dirasmikankan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu (DUPT), Dato’ Haji Hussain Awang.
Dalam ucapannya, Dato’ Hussain menegaskan bahawa keperluan mempelajari agama mengikut acuan yang asli iaitu al-Quran dan sunnah agar tidak terpesong perjalanan hidup seseorang manusia itu.
Bertolak dari rasa tanggungjawab itu maka, DUPT telah menubuhkan DAR-DAR ini bagi mengambil tugas membimbing masyarkat ke jalan yang diredhai Allah.
“Pendididkan agama yang tidak mengikut garis panduan yang diajar oleh Allah Taala, melalui rasulullah saw dan diwarisi oleh para ulamak yang sebelum ini dan sekarang ini, akan menyebabkan berlaku kecelaruan.
Dan kehuru-haraan dari sudut pengamalan dan pemikiran serta pemahaman dalam diri seseorang.
Yang akhirnya, berlakulah gejala yang tidak sihat disebabkan ketidak berkatan ilmu tersebut,” kata beliau.
Turut berucap ialah Pengerusi Lajnah Persekolahan DUPT, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang menggambarkan bahawa kecemerlangan pelajar-pelajar dari DAR-DAR ini tidak kurang hebatnya dengan sekolah kerajaan biasa.
Beliau yang turut menekankan perlunya DAR-DAR ini diberikan sokongan oleh ahli-ahli PAS, mengharapkan agar lebih ramai lagi ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah kelolaan PAS.
“PAS telah membuktikan kehebatannya dalam bidang pendidikan dengan pencapain DAR-DAR ini.
12A bukan jumlah yang sedikit dan bandingkan dengan 5A pelajar-pelajar sekolah kerajaan.
Dan lebih membanggakan bukan sahaja ilmu dunia, malah ilmu akhirat juga ditekankan dengan serius di sekolah-sekolah Islam PAS ini.
Oleh itu DAR-DAR ini bukan lagi sebagai sekolah pilihan terakhir tetapi sepatutnya sebagai pilihan utama ibu bapa bagi mencari kejayaan dunia dan akhirat insyaAllah,” kata beliau.
Akan tetapi tambah beliau, hanyalah kekangan kewangan dan juga prasarana yang dimiliki oleh DAR-DAR ini yang mungkin agak kurang berbanding dengan sekolah biasa.
Namun segalanya akan dapat diatasi sekiranya semua ahli mengembeling tenaga bersama-sama menjayakan perancangan DUPT dalam memperkasakan pendididkan Islam dengan memberikan sokongan fizikal dan mental.
Seramai 43 orang pelajar telah disenaraikan sebagai penerima hadiah kecemerlangan daripada lapan buah DAR-DAR dari seluruh negeri Terengganu.
Tokoh terbaik akademik (Anugerah Tuan Guru Dato’ Haji Harun Taib), dianugerahkan kepada Aisha Binti Amzam dari Madrasah Darul Iman dengan memperolehi keputusan 12A.
Manakala Izzudin Al-Qossam bin Fakhruddin dan Zahidah binti Zulkifli, masing-masing mengungguli anugerah tokoh kepimpinan pelajar lelaki dan perempuan.
Anugerah Sekolah Terbaik Pencapaian UPSRI 2014 jatuh kepada Madrasah Darul Ihsan, Manir, Terengganu.

MDI kutip lebih 11 ribu


(YB Alias Harun menyampaikan ucapan perasmian)
 
Lebih RM11 ribu hasil daripada julan kupon makan malam dan juga kutipan daripada derma-derma yang dijalankan sejak beberapa minggu lalu, telah berjaya dikumpul oleh Madrasah Darul Iman (MDI) menerusi program Makan Malam Sambil Menderma.
Majlis makan malam seumpamanya itu telah beberapa kali diadakan sebelum ini dan sentiasa mendapat sambutan hangat daripada penderma baik di sekitar Bukit Payong, mahupun daripada luar kawasan.
Lebih 300 orang yang hadir ke majlis tersebut, menggambarkan sambutan yang amat menggalakkan walaupun dalam keadaan hujan yang sederhana lebat turun, tidak menghalang mereka membantu MDI menyiapkan kompleks pendidikannya.
Adun Rantau Abang, YB Alias Harun telah dijemput sebagai tetamu bagi merasmikan majlis tersebut.
Dalam ucapan perasmiannya beliau memuji kesungguhan ahli-ahli PAS Bukit Payong yang kini sedang membina kompleks pendidikan dan juga telah mempunyai sekolah rendah serta tidak lama lagi akan memilliki bangunan kedai sendiri.
Bagi beliau, pembinaan kompleks ini ialah langkah terawal yang terbaik bagi membina masyarakat yang berilmu agar menjadi manusia yang berguna ke pada agama dan tanahair kerana penyedian ilmu itu adalah tanggungjawab ibubapa.
“Kita kena mula (kepada anak-anak) dengan pendidikan seawal mungkin supaya tidak ditipu.
Orang-orang tua kita dahulu memang selalu ditipu oleh penjajah, selepas penjajah pergi, tinggal anak-anak penjajah (Umno) yang ada sekarang inilah, bila kita sebut Islam sahaja, walaupun dia kata dia nak tegakkan Islam tetapi tak nampakpun,” kata beliau.
Tambah beliau lagi, contoh terbaik ialah tinggalan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Terengganu yang diluluskan oleh PAS pda tahun 2003, Umno bukan sahaja tidak melaksanakan hudud, malah mereka tidak mengambil langkah-langkah ke depan.
Beliau juga melahirkan keyakinan yang tinggi bahawa Dun Bukit Payong akan kekal di bawah PAS dengan adanya kompleks pendidikan sebegini, sama seperti di tempat-tempat lain.
“Saya yakin Dun Bukit Payong, sukar bagi Umno mengambil balik.
Yang saya nampak ialah, bila sekolah ditubuhkan, memang payahlah Umno nak ambil alih.
Sebab di situ terletaknya pendidikan,” ujarnya penuh yakin bahawa ilmu akan dapat membezakan kebatilan.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Adun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Payong, mantan pengarah MTD Ustaz Baharudin Mohammad, serta timbalan-timbalan Pengarah MTD.
Kompleks Pendidikan MDI yang telah dimulakan pembinaannya dan beroperasi semenjak tahun 2008 lagi, kini mengandungi bangunan sekolah rendah dengan dilengkapi surau, dewan utama dan dua blok kelas pembelajaran.
Manakala yang masih dalam pembinaan dan hampir siap ialah bangunan rumah kedai tiga tingkat yang didalamnya akan disiapkan dewan mesyuarat, lot kedai dan juga homestay.
Untuk bangunan pelajar tahfiz dan sekolah menengah Islam pula, ianya masih dalam perancangan dan pihak pengurusan kompleks masih mengumpulkan dana bagi pembinaannya.
Sebarang sumbangan, bolehlah disalurkan ke akaun Maybank atas nama Kompleks Pendidikan Madrasah Darul Iman 5630 1923 3967.

Saturday, November 29, 2014

Ahli gesa PAS kawasan manafaatkan media


Salah seorang ahli PAS yang menjadi peserta Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS ke – 60 bagi Kawasan Hulu Terengganu, menggesa agar PAS kawasan menggunakan sebaik mungkin media sebagai alat bagi memasyarakatkan PAS.
Gesaan itu dibuat oleh wakil dari Ajil,  Abdullah Mohktar (kiri) yang bangun ketika sesi soal jawab dan berkongsi pandangan dengan ahli panel dan peserta lain.
Beliau memberikan contoh Sinar Harian yang cara pemberitaannya agak seimbang walaupun masih berpihak kepada kerajaan, sepatutnya diambil peluang oleh PAS kawasan bagi memperkenalkan parti sekaligus mendekatkan diri dengan masyarakat.
Menurutnya lagi, PAS kawasan tidak semestinya bergantung kepada Harakah semata-mata, tetapi mesti mengembangkan dan mempelbagaikan lagi sumber bagi menaikkan nama PAS di mata masyarakat.
Beliau yang ditemui selepas majlis berkata PAS kawasan seharusnya mengikut jejak langkah Adun Cukai Haji Hanafiah Mat yang menurutnya, berita berkaitannya sering keluar dalam akhbar Sinar Harian.
“Saya cuma ingin PAS kawasan ambil peluang ini melalui Sinar yang cara pemberitaannya sehingga kini agak seimbang walaupun masih ada sikit memihak kepada kerajaan.
Cuba tengok Adun Cukai (Haji Hanafiah) berita dia selalu keluar dalam Sinar, jadi PAS Cukai dikenali.
Tetapi bagi PAS Kawasan Hulu Terengganu, untuk keempat-empat Dun, sebulan sekalipun payah nak tengok berita pasal PAS Hulu Terengganu keluar.
Jadi saya cadangkan untuk PAS kawasan buat sesuatu,” kata beliau.

Munaqasyah Ucapan Dasar, ahli digesa lebihkan usaha


Dr Riduan sedang menyampaikan ucapannya kepada ahli-ahli PAS Hulu Terengganu
 
Satu majlis yang dinamakan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS ke - 60 bagi Kawasan Hulu Terengganu telah berlangsung  di Pejabat PAS Kawasan Hulu Terengganu di Taman Kenangan, Kuala Brang.
Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 100 orang ahli PAS dari seluruh Hulu Terengganu itu bertujuan bagi menerangkan inti pati ucapan dasar presiden bagi ahli-ahli merangka, menyusun dan menjalankan gerakerja parti.
Adun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Noor dijemput sebagai pembentang kertas kerja dalam program anjuran Lajnah Penerangan PAS Pusat itu.
Antara penekanan yang dibincangkan ialah aspek hala tuju pemantapan parti dalam tiga keadaan iaitu pemantapan organisasi parti, peranan PAS dalam negara dan juga peranannya di luar negara.
Dalam ucapan Ustaz Mohd Nor, beliau mengharapkan agar ahli-ahli di Kawasan Hulu Terengganu untuk melipat gandakan usaha memahamkan masyarakat tentang masalah yang dihadapi oleh rakyat dengan wujudnya GST dan kenaikan harga minyak.
Beliau mencadangkan agar ahli-ahli PAS memberikan contoh atau kaedah yang mudah difahami oleh masyarakat bawahan agar turut merasakan bahawa pelanggan seperti merekalah yang dimestikan membayar cukai.
Menurut beliau, faktor geografi dan tahap pemikiran penduduk di kawasan pendalaman, biasanya memberikan sedikit kesukaran bagi PAS menerangkan isu-isu semasa dan keadaan ini pula diambil kesempatan oleh Umno.
“Orang hulu ni faham ke tak pasal cukai baru ni? Ataupun tak tahu jugak pasal harga minyak naik?
Ahli-ahli PAS di hulu ni kenalah berusaha lebih sikit nak bagi kefahaman kepada masyarakat.
Kasihan mereka yang tak faham pasal isu GST ni.
Cubalah kita berikan contoh-contoh mudah untuk masyarakat faham akan isu ini, yang mana enam peratus yang dikenakan GST itu akan dikenakan kepada mereka, sedangkan pembekal dan penjual boleh claim balik dari kerajaan,” kata beliau.
Turut hadir dalam masjlis itu ialah Yang DiPertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, Haji Mahyudin Abdul Rasyid dan Adun Manir YB Ustaz Hilmi Harun.
Sementara itu Dr Riduan Mohd Noor dalam ucapannya, menerangkan tentang pentingnya kesatuan pemikiran dalam jemaah dan menyingkap kembali sejarah parti bagaimana jatuh bangunnya jemaah yang akhirnya mematangkan PAS.
Beliau turut memperingatkan ahli agar tidak terlalu dihambat dengan kemenangan yang akhirnya boleh menyebabkan kerugian kepada Islam itu sendiri, tetapi ahli-ahli mesti memahami bahawa kemenangan itu adalah ujian.