Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Tuesday, July 22, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 19 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah

Surah at-Taubah mengandungi 129 ayat dan diturunkan di Madinah. Dinamakan dengan at-Taubah adalah kerana ia berkait dengan satu peristiwa satu kumpulan kecil sahabat rasulullah yang telah diterima taubatnya oleh Allah kerana salah laku mereka tidak menyertai perang Tabuk. Juga dinamakan surah Baraa’ah (Pemutusan Tanggungjawab) iaitu yang bermaksud Pembatalan Perjanjian. Antara intisari penting dalam surah ini ialah Islam tidak boleh dipermain-mainkan apabila pihak kafir memutuskan perjanjian dan mereka diberi amaran dan tempoh selama empat bulan atau mereka akan dihapuskan. Juga membincangkan mengenai kriteria golongan munafik. Inilah surah yang tiada Bismillah pada permulaannya.

Islam tegas dalam prinsipnya apabila dipermain-mainkan oleh pihak musuh seperti membatalkan perjanjian, Allah melalui rasulullah langsung memberikan amaran agar mereka menyerah atau berlawan dengan orang Islam (tidak seperti sekarang, Islamlah yang diugut apabila terjadi sesuatu walaupun bukan salah dari pihak Islam). Pengisytiharan ini diputuskan oleh Allah dan rasul pada hari Haji Akbar. Dengan itu musyrikin adalah lepas dari tanggungjawab orang-orang Islam kecuali mereka yang mengadakan hubungan damai dan tidak mencabulinya, maka wajib orang Islam menghormati perjanjian itu.

Setalah sampai tempoh empat bulan pengisytiharan itu dan jika musyrikin itu masih berdegil, maka bolehlah diperangi dan dibunuh mereka itu kecuali jika mereka bertaubat dan masuk Islam. Juga jika ada musyrikin yang meminta perlindungan, maka boleh kita melindungi mereka dan mesti mengajarkan Islam kepada mereka, sebab mereka tidak tahu mengenai Islam. Diterangkan orang musyrik ini jika menguasai kita, mereka akan mengkhianati kita dan keluarga kita. Kenapa harus kita memerangi kaum musyrik yang melampau ini tidak lain hanyalah untuk menghentikan mereka dari kekufuran dan bagi mereka bertaubat. Tidak patut kita takut kepada mereka yang musyrik yang mencabuli perjanjian. Allah lah yang patut kita takut dan Dia berjanji akan menolong kita menghapuskan kaum musyrik itu.

Orang kafir tidak layak memakmurkan masjid-masjid Allah (Baitullah), hanyalah orang yang beriman dan bertaqwa yang layak memakmurkan masjid Allah. Orang musyrikin menyangka kerja memberi minum kepada jemaah haji adalah sama nilainya dengan keimanan orang-orang Islam, mereka ternyata silap. Orang yang beriman, berjihad serta sanggup berhijrah kerana Allah, syurgalah balasannya tetapi musyrikin akan ke neraka. Allah memberikan amaran kepada sesiapa yang hatinya masih menyayangi dunia melebihi sayangnya kepada Allah, azab Allah akan menanti.

Dikisahkan dalam perang Hunain, tentera Islam hampir mengalami kekalahan kerana serangan hendap oleh musuh. Ini kerana mereka merasakan dengan bilangan tentera Islam yang ramai ketika itu, mereka tidak akan mampu dikalahkan oleh sesiapapun. Allah memberikan pengajaran bahawa bilangan yang ramai tidak membawa apa-apa makna jika kita merasa megah dan ketaqwaan kepada Allahlah yang menjemput bantuan dari Allah. 

Orang-orang musyrikin itu itu adalah najis dan diharakan keatas mereka dari memasuki masjidil Haram. Namun timbul rasa takut perniagaan akan terjejas, maka Allah memberikan mereka jaminan rezeki. Perangi golongan kafir sehingga mereka tunduk kepada kita dengan membayar jizyah.

Yahudi mengatakan Uzair adalah anak Allah manakala Nasrani pula mengatakan Isa anak Allah. Ini kerana mereka mengikut membabi buta ajaran pendita-pendita yang telah menyelewengkan kitab-kitab Allah. Sedangkan tiada dalam kitab mereka arahan supaya mengangkat Isa sebagai tuhan. Mereka ingan memadamkan cahaya Allah, tetapi gagal. Dan Allah tetap mengekalkan kemurnian Islam melalui ajaran dari rasulNya walaupun orang kafir membencinya.

Jangan kita ikut perangai ahli kitab yang suka memakan harta dengan cara yang salah. Juga kita mesti mengeluarkan zakat kerana Allah berjanji akan mengazab sesiapa yang tidak mahu mengeluarkan zakat. Wallahua’lam.

Saturday, July 19, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 18 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah

Masih dalam surah al-Anfaal pada permulaan juzuk ke 10. Allah memberitahu cara pembahagian harta rampasan perang iaitu padanya ada bahagian Allah dan rasul, ahlul bait, anak-anak yatim, orang miskin serta ibnus sabil. Diingatkan lagi oleh Allah bahawa pertemuan yang tidak dijangka antara tentera musyrikin dengan tentera Islam itu sebenarnya untuk membinasakan kaum musyrikin dan menghidupkan golongan Muslim bagi membuktikan kebenaranNya.
Apabila bertemu musuh, kita orang Islam mesti teguh pendirian bagi menentang mereka. Mesti ikut perintah Allah dan rasul dengan sebenar-benarnya supaya menjadi kuat kerana orang yang derhaka kepada Allah dan rasulnya akan menjadi lemah. Sepertimana yang terjadi kepada Abu Jahal yang berlagak sombong supaya orang memujinya, tetapi akhirnya hancur di musnahkan oleh tentera Islam yang tawadhuk. Dan bersabarlah dalam peperangan itu kerana Allah bersama orang yang sabar.
Dalam perang Badar, syaitan datang menyamar menjadi manusia dan menghasut tentera musyrikin dengan mengatakan bahawa mereka adalah kuat dan berada di pihak yang benar. Tetapi kemudiannya dia lari dan berlepas diri dari tentera itu setelah dia melihat azab Allah datang. Dalam perang ini juga didedahkan sikap sebenar puak munafik. Diceritakan malaikat mengambil nyawa tentera kafir dalam keadaan azab yang tidak tergambarkan. Sama seperti Fira’un keadaan mereka kerana kufur dengan ayat-ayat Allah. Sejahat-jahat manusia di atas muka bumi ini ialah orang kafir yang tidak mahu beriman. Mereka suka melanggar perjanjian, maka jika bertemu di medan perang, bunuhlah mereka agar orang kafir lain yang melihat, merasa gerun dan insaf.
Wajib kita memperlengkapkan kekuatan tentera kita dengan sebaik-baiknya bagi menentang musuh. Segala perbelanjaan yang kita hulurkan untuk kekuatan tentera ini, pastinya tidak akan sia-sia di sisi Allah. Tetapi jika musuh cenderung kepada perdamaian, maka kita patut menerimanya dan Allah mengetahui keadaan sebenar jika mereka cuba menipu serta Allah akan melindungi kita. Allah memberitahu, jika manusia membelanjakan segala harta di dunia ini, nescaya tidaklah dapat manusia menyatukan hati-hati mereka kerana hanya Allah sahajalah yang dapat menyatukan hati-hati manusia.
Allah berikan motivasi untuk berperang dengan janjiNya bahawa jika ada 100 orang beriman yang sabar nescaya dapat mengalahkan 200 orang musuh yang kafir, jika ada 1000 orang yang sabar pula, akan dapat menewaskan 2000 orang kafir. Dalam ayat ke 67, Allah menegur rasulullah kerana tidak membunuh tawanan perang Badar kerana dengan pembunuhan itu, ia akan menggerunkan musuh-musuh Islam. Rasulullah diriwayatkan menangis kerana teguran ini kerana tidak mengambil cadangan Saidina Umar telah mencadangkan untuk dibunuh kesemua tawanan itu.
Allah memuji golongan yang berhijrah kerana Allah. Mereka telah mengorbankan segala kesenangan, meninggalkan harta mereka di Mekah, menghadapi ugutan bunuh dari musyrikin Mekah. Begitu juga pujian Allah kepada kaum Ansar yang membantu kaum muhajirin dalam menyediakan kemudahan tempat tinggal, makan, minum, kewangan serta ada juga yang sanggup menceraikan isterinya untuk dinikahkan dengan kaum muhajirin yang telah dipersaudarakan oleh rasulullah. Mereka menjadi seperti saudara yang menjadi penyokong dan pembela antara satu sama lain. Manakala orang Islam yang masih belum berhijrah, tiadalah tanggungjawab ke atas rasulullah bagi membela mereka sehingga mereka berhijrah. Tetapi jika mereka meminta pertolongan wajiblah ditolong kecuali jika bertembung dengan kaum yang ada perjanjian setia dengan rasulullah.
Bagi golongan yang berhijrah awal serta berjihad di jalan Allah dan orang-orang Ansar, sekali lagi Allah menyebutnya dan kali ini dijanjikan keimanan yang sebnar-benarnya serta mendapat keampunan dan limpah kurnia. Tetapi walaupun mereka seperti saudara, mereka masih terikat dengan hukum Allah terutama berkaitan pewarisan kerana mereka bersaudara atas dasar bantu-membantu bukan secara keturunan. Saudara secara keturunan adalah berhak terhadap pewarisan harta benda mereka menurut hukum dari Allah. Tamat surah al-Anfaal. Wallahua’lam.

Friday, July 18, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 17 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah

Surah al-Anfal (Harta Rampasan Perang) diturunkan di Madinah sebanyak 75 ayat. Dinamakan al-Anfal kerana di dalam surah ini diterangkan perihal peperangan dan perdamaian. Pun begitu, ditegaskan jalan perdamaian adalah lebih diutamakan kerana Islam itu agama perdamaian. Peperanagn berlaku hanya kerana Islam disekat dan diceroboh. Maka Allah perintahkan penceroboh itu diperangi sehingga mereka dilenyapkan.
Ketika pasukan tentera Islam menang di medan Badar, maka banyaklah harta rampasan perang yang telah diperolehi. Berlegarlah persoalan, kepada siapakah akan dibahagikan harta itu, berapa bahagian mereka? Maka Allah menjelaskan melalui firmanNya bahawa harta itu terserah kepada Allah dan rasulNya untuk dibahagikan dan diperintahkan mereka agar mentaatinya kerana mereka semua itu adalah orang yang beriman, dimana apabila disebut nama Allah maka gementarlah hati mereka kerana takutkan Allah dan bertambah mantap iman mereka apabial mendengar ayat-ayat Allah, mendirikan solat serta suka bersedekah. Merekalah ahli-ahli syurga.
Allah menegur sebahagian tentera yang pada mulanya keberatan untuk berperang, tetapi apabila melihat harta, mereka mula berkira-kira bahawa diri merekalah yang sepatutnya dapat lebih. Sedangkan mereka telah dimaklumkan akan bertemu antara dua pasukan samada Abu Sufian iaitu rombongan perdagangan ataupun Abu Jahal, pasukan tentera. Ada dikalangan mereka yang lebih suka untuk bertemu dengan Abu Sufian, tetapi Allah telah menetapkan bahawa mereka akan berperang dengan Abu Jahal supaya agama Allah yang benar ditegakkan dan kesyirikan serta kekufuran dihapuskan.
Allah membantu tentera Islam dengan menghantar seribu malaikat setelah Dia memperkenankan doa rasulullah. Tidak sekadar itu, Allah juga menurunkan juga rasa mengantuk (untuk tentera Islam tidur dengan cukup) dan hujan agar tanah menjadi keras serta mudah bagi mereka berperang. Diberikan pula perasaan gerun kepada kaum musyrikin dalam perang itu. Mereka dibunuh oleh kerana kejahatan mereka menentang Allah dan rasul, itulah azab mereka di dunia ini.
Haram kita lari dari perang kecuali sebagai tipu helah bagi menyusun semula pasukan. Allah memberi ingat bahawa Dialah yang menentukan segala perlakuan tentera Islam dan keputusan perang itu serta membinasakan pasukan musyrikin. Dalam tafsir al-Alusi, diriwayatkan nabi berdoa kepada Allah dan melemparkan pasir dan dengan bantuan Allah pasir itu terkena mata para tentera musyrikin lalu mereka dapat dikalahkan. Jelas Allah telah menunjukkan mana hak dan mana yang batil kerana Allah memberitahu bahawa tentera musyrikin juga berdoa agar ditunjukkan kemenangan kepada pihak yang benar.
Allah memberi ingat, jika kita melakukan dosa (juga jika membiarkan perkara mungkar berlaku tanpa sekatan), maka azab dan bala yang datang tidak akan tertimpa kepada golongan pendosa itu sahaja tetapi kepada semua. Jangan kita meninggalkan amanah dari Allah dan rasul hanya kerana perkara dunia, seperti kerana anak-anak kerana Allah menjanjikan pahala yang besar bagi yang taat kepadaNya. Bertaqwalah kepada Allah kerana dalam ketaqwaan itu ada petunjuk yang membezakan antara yang hak dan batil serta dihapuskan dosa orang-orang yang bertaqwa.
Tiada yang berkuasa menjalankan kejahatan atau tipu daya lebih daripada apa yang Allah rancangkan. Oleh itu tiada gunanya melayan mereka yang memperolok-olokkan al-Quran serta mencabar agar diturunkan azab dari langit kerana Allah mempunyai perancangan lain. Golongan kafir ini menyekat orang Islam bersembahyang di Masjidil Haram sedangkan mereka tidak bersembahyang tetapi hanya bertepuk sorak dan bersiul sahaja. Kafir musyrikin juga membelanjakan harta mereka bagi memusnahkan Islam, tetapi hanyalah yang ada penyesalan kerana kerugian setelah kalah. Nanti mereka akan bersatu dengan golongan penentang Islam yang lain dan kemudiannya dihumbankan ke neraka. Sedangkan Allah begitu pemurah, membuka pintu taubat bagi mereka bertaubat dan Allah berjanji akan mengampunkan mereka.
Tetapi jika mereka berdegil, maka Allah perintahkan agar diperangi mereka semua sehingga tiada lagi fitnah terhadap Islam dan tiada lagi kesyirikan. Allah berjanji pasti akan melindungi golongan yang benar (Islam) daripada dicerobohi oleh kumpulan penentang Islam kerana Dialah sebaik-baik penolong yang akan menyelamatkan orang Islam. Wallahua’lam.

Thursday, July 17, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 16 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah
(Surah al-A’raaf). Bani Israel yang tinggal bersama nabi Harun, telah membuat patung berupa anak lembu daripada emas dan mengeluarkan suara. Malah mereka telah mengugut nabi Harun untuk membunuhnya jika melarang. Nabi Harun terpaksa mendiamkan dirinya. Sekembalinya nabi Musa, baginda tersangat marah dan hampir-hampir memukul nabi Harun. Tetapi setelah jelas nabi Harun diugut maka nabi Musa memohon keampunan ke atas nabi Harun. Pembuat dan penyembah patung-patung itu kemudiannya dikenakan kehinaan oleh Allah di dunia lagi. Kecuali orang yang diterima taubatnya.
Nabi Musa membawa 70 orang dari kaumnya untuk memohon taubat kepada Allah keatas kaumnya. Mereka telah diuji oleh Allah dengan gempa yang kuat kerana kemurkaan Allah (hal ini berlaku kerana mereka yang ada ketika peristiwa penyembahan anak lembu itu berlaku, tidak mengamalkan dasar amar ma’ruf nahi mungkar. Oleh itu semua daripada mereka kena murka Allah). Hanya ada sebahagian kecil dari kaum Musa yang menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar ini.
Allah menegaskan lagi akan kenabian Muhammad saw dan kelebihan-kelebihan yang telah diberikan kepadanya seperti baginda buta huruf tetapi mempunyai kitab, namanya ada dalam Taurat dan Injil. Al-Quran yang diturunkan kepada baginda juga meringankan hukuman-hukuman berat daripada kitab-kitab terdahulu.
Dikisahkan kepada rasulullah kisah Bani Israel yang dilarang Allah menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka membuat helah menahan jaring pada hari Jumaat agar dapat menangkap ikan tetapi bukan pada hari Sabtu. Maka segolongan kaum mereka menghalang pekerjaan ini dengan menyebut larangan-larangan Allah. Tetapi sebahagian lain dari mereka pula melarang kumpulan yang melarang itu dengan kata mereka mengapa perlu melarang golongan yang Allah akan binasakan? Maka jawab kumpulan yang melarang itu, ini adalah untuk melepaskan diri kami dari Allah nanti.Maka jadilah golongan yang derhaka itu kera yang hina (ayat 166).
Dalm ayat ke 167, Allah memaklumkan akan menghantar kaum-kaum yang akan menimpakan sengsara kepada kaum Yahudi kerana kekufuran mereka. Kaum Yahudi jadi berpecah-pecah dan berpuak, bertaburan di dunia. Ada yang taat kepada Allah dan ada yang derhaka. Kemudian mereka akan diganti dengan keturunan yang jahat yang mewarisi Taurat tetapi mengambi kehinaan dunia sambil berkata dosa mereka akan diampunkan. Sedangkan mereka telah mengetahui yang mana baik dan buruk dari Taurat.
Yahudi pernah diugut oleh Allah kerana melanggar perjanjian mengamal ajaran Taurat dengan mengangkat gunug Tursina ke awang-awangan di atas mereka. Ketika itu mereka takut dan percaya gunung itu akan terhempas, maka mereka sujud dan berjanji lagi.
Di alam ruh kita telah bersaksi bahawa Allah adalah tuhan kita. Nanti ia menjadi dalil kepada Allah bahawa peringatan telah diberikan dan kita tiada alasan untuk mengelak (ditambah dengan kehadiran para rasul dan kitab). Orang yang diberi kitab tetapi memilih untuk tidak mematuhinya dan mengikut syaitan serta bermati-matian mengejar dunia dan menurut nafusnya, Allah mengibaratkan dia seperti anjing yang termengah-mengah dengan lidah yang terjulur, samada kita halau atau tidak. Begitulah hinaya bandingan yang diberikan. Ada orang Allah beri petunjuk kerana kesungguhannya mencari kebenaran, ada juga yang disesatkan kerana keingkaran dia sendiri.
Ahli neraka adalah mereka yang tidak menggunakan hati bagi memahami al-Quran serta tidak mahu menggunakan panca indera bagi melihat kebesaran Allah. Mereka ini disamakan dengan binatang ternak, malah jauh lebih sesat.

Pelajarilah dan ambillah manafaat dari asmaa’ullah al-Husna (nama-nama Allah yang baik). Berdoalah kepada Allah dengan menggunakan nama-nama Allah itu. 

Ada kumpulan manusia yang memberi petunjuk dengan kebenaran dan menjalankan keadilan. Ada pula yang sebaliknya. Mereka yang derhaka ini akan ditarik oleh Allah sedikit demi sedikit ke jurang kebinasaan. Sahabat-sahabat rasulullah dituduh gila oleh kaum musyrik kerana mengikut ajaran rasulullah, tetapi Allah menafikan. Pastinya kaum musyrik ini tidak akan beriman kerana mereka menolak al-Quran yang dibawa oleh rasulullah. Sesiapa yang disesatkan kerana keingkaran mereka sendiri, maka tiada siapa yang boleh menolong dan Allah biarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan itu.

Hanya Allah mengetahui bilakah saatnya kiamat itu. Rasulullah juga tidak mengetahuinya tetapi hanya baginda menerangkan, kiamat ini menggerunkan dan tidak ia datang melainkan dalam keadaan mengejut. Rasulullah hanya manusia biasa yang tidak boleh mendatangkan manafaat dan menolak keburukan. Semua itu kuasa Allah. Baginda hanyalah pesuruh bagi Allah yang memberi ingatan kepada manusia sifat baik dan keji yang mereka lakukan terhadap Allah. Antara sikap manusia ini ialah, apabila mereka berada dalam keadaan berharap atau cemas, mereka memohon kepada Allah dan apabila terselamat atau berjaya, maka mereka mensyirikkan Allah.

Sedangkan semua benda yang mereka sekutukan dengan Allah itu langsung tidak dapat menolong mereka sendiri apatah lagi orang lain? Allah mencabar kepada semua musyrikin untuk mereka membuktikan sembahan mereka itu memberi manafaat kepada mereka jika mereka benar. Oleh itu kita semestinya berpaling dari golongan yang jahil dan mintalah perlindungan dari Allah dari hasutan syaitan (membaca ta’awwuz). Orang bertaqwa bila dihasut syaitan akan sentiasa ingat kepada Allah. Manakala orang yang sesat akan terus menerus melakukan kesesatan dengan bantuan syaitan.

Jangan kita mempersendakan ayat-ayat al-Quran seperti mana kaum musyrikin lakukan sedangkan ianya adalah wahyu Allah. Dengarlah dengan teliti serta diamlah ketika al-Quran dibacakan untuk mendapat rahmat. Berzikirlah dengan merendah diri dan penuh takut kepada Allah dan tidak menyaringkan suara, kerana malaikat yang berada di sisi Allah sentiasa bertasbih, bersujud kepada Allah dan tidak merasa angkuh. Tamat surah al-A’raaf. Wallaua’lam

Wednesday, July 16, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 15 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah

Juzuk sembilan bermula dari ayat 88 surah al-A’raaf. Antara yang jelas jika diperhatikan ialah semua kaum yang derhaka ini sering mencabar dan meminta azab diturunkan segera atas dosa mereka itu daripada para rasul yang diutuskan. Allah tidak menimpakan azab keatas sesuatu kaum kecuali diutuskan rasul kepada mereka. Bila Allah berikan kesenangan setelah kesusahan (untuk mereka bersyukur) tetapi mereka jadi lupa diri, sesat dan sombong. Maka Allah turunkan azab setelah diberi peringatan. Sedangkan jika mereka beriman dan bersyukur, maka Allah akan beri lebih keberkatan.
Orang-orang derhaka ini tidak sepatutnya merasa aman dari azab Allah kerana sudah jelas kepada mereka bala yang telah Allah timpakan kepada kaum-kaum terdahulu sehinggakan hilang lenyap dari muka bumi kerana kederhakaan mereka. Ini kerana setelah datang rasul-rasul dengan mukjizat serta janji mereka (orang-orang derhaka) untuk taat kepada Allah, sebaliknya mereka memperolok-olokkan rasul-rasul itu. Mereka itu semuanya fasik.
Allah memberikan contoh Fira’un yang meminta mukjizat dari Nabi Musa. Ketika nabi Musa mahu membebaskan Bani Israel dari Fira’un. Apabila baginda mencampakkan tongkat dan bertukar menjadi ular kemudian tangan  baginda menjadi putih bersinar, maka dikatakan Fira’un bahawa nabi Musa seorang tukang sihir. Maka dicari ahli sihir serata Mesir bagi melawan mukjizat nabi Musa. Fira’un berjanji akan memberikan kedudukan yang tinggi kepada ahli-ahli sihir itu jika berjaya mengalahkan nabi Musa (perkara yang sama bagi manusia zaman sekarang, mengejar pangkat dan kedudukan tanpa kira dosa pahala).
Setalah dicampak tongkat dan tali-tali oleh ahli-ahli sihir itu, maka giliran Musa mencampakkan tongkatnya setelah diberi wahyu oleh Allah, seterusnya menelan semua sihir-sihir itu. Setalah melihat itu, segeralah ahli-ahli sihir itu tunduk sujud serta menyatakan keimanan mereka kepada tuhan Musa dan Harun. Fira’un lantas mengugut menyeksa ahli-ahli sihir ini dengan memotong tangan dan kaki mereka secara bersilang kemudian dipalang. Hebatnya, mereka itu tidak merasa gentar sedikitpun dengan ugutan Fira’un itu. Malah mereka meminta keampunan kepada Allah dan memohon agar diberikan kesabaran dan mati dalam keadaan beriman kepada Allah.
Semakin kuat cengkaman Fira’un ke atas Bani Israel, dan mereka ketakutan. Maka kepada Allahlah Musa menyuruh Bani Israel memohon pertolongan. Nabi Musa berharap agar Allah memusnahkan Fira’un. Maka diturunkan oleh Allah bala bencana kepada Fira’un dan pengikut-pengikutnya seperti musim kemarau yang memusnahkan hasil tanaman. Bukan itu sahaja, malah bala seperti taufan, serangan belalang, serangan katak, kutu dan juga darah. Ketika bala ini sudah tidak dapat ditahan oleh Fira’un dan sekutunya, maka dimohonkan kepada Musa agar berdoa kepada Allah supaya menghilangkan bala itu, disertakan janji-janji mereka untuk beriman dan melepaskan Bani Israel. Dan apabila bala diangkat oleh Allah maka mereka memngkiri janji mereka. Ditenggelamkan Fira’un oleh Allah di Laut Merah kerana mendustakan Allah.
Terselamatnya Bani Israel dari penindasan Fira’un kerana janji Allah keatas orang-orang yang sabar ketika ujian ditindas. Apabila sampai Bani Israel ke seberang Laut Merah, mereka lihat ada satu kaum yang menyembah berhala. Maka merekapun meminta agar Musa membuatkan berhala untuk mereka sembah. Itulah kejahilan Bani Israel, walaupun baru diselamatkan dari kekejaman Fira’un, mereka masih mencari tuhan lain selain Allah. Sedangakan penyembah berhala itu akan dihancurkan kerana kesyirikan dia. Sedangkan Allah telah memberikan berbagai kenikmatan (kepada Bani Israel ketika itu), patutkah mereka mencari tuhan lain?
Nabi Musa dijanjikan Allah untuk menerima Taurat dan dia diberikan penghormatan dengan dapat bercakap dengan Allah (dalam keadaan selayaknya) dalam masa 40 malam urusan penerimaan Taurat itu. Sementara itu nabi Harun menggantikan tempatnya bagi mengetuai Bani Israel. Nabi Musa memohon untuk melihat Allah tetapi Allah tidak dapat dilihat di dunia ini (di akhirat, orang beriman boleh melihat Allah) sebab hancur gunung apabila Allah menzahirkan kebesarannya (Tajalla) yang membuatkan nabi Musa jatuh pengsan langsung memohon taubat dan hatinya dimantapkan lagi dengan keimanan.
Allah telah memilih nabi Musa melebihi orang lain pada zamannya dengan mengurniakan Taurat. Taurat telah diturunkan kepada Musa dalam keadaan bertulis pada “Lauh-Lauh” (seperti papan tulis) yang menjelaskan dasar-dasar dan syariat-syariat bagi umat nabi Musa dan Allah menyuruh kaum nabi Musa berpegang kepada isi Taurat itu dengan bersungguh-sungguh dan akan dibinasakan jika ingkar. Allah akan memalingkan hati orang yang sombong takbur dari perkara baik dan hati mereka menjadi gembira dengan kesesatan. Orang yang mendustakan ayat-ayat Allah akan gugurlah amalan baiknya di akhirat nanti.

Tuesday, July 15, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 14 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah

Masih dalam surah al-A’raaf. Manusia diberi ingat agar tidak mengikut pedaya syaitan seperti mereka memperdayakan Adam hingga dikeluarkan dari syurga. Orang tidak beriman suka mengikut nenek moyang mereka walaupun perkara itu keji. Allah menyuruh mengikhlaskan diri beribadat kepadaNya semata-mata. Allah mengurniakan nikmat makan, pakai, perhiasan untuk digunakan tetapi jangan melampau dan menyombong.
Golongan yang taat tiada kebimbangan di akhirat nanti. Sementara golongan yang ingkar akan mendapat bahagian mereka di dunia sehinggalah malaikat maut mencabut nyawa mereka dan bertanya kemanakah patung-patung yang mereka sembah di dunia dulu. Mereka akan dimasukkan ke neraka dalam keadaan saling menyalahkan sesama sendiri atas sebab kesesatan mereka. Orang yang sombong, doa mereka tidak diterima dan ruh mereka tidak diterima langit sehingga “unta masuk di lubang jarum”.
Manakala ahli syurga, akan dicabut dari hati mereka perasaan dendam dan dengki dan mereka pula tetap menyatakan syukur dengan nikmat hidayah dari Allah itu. Mereka berseru kepada ahli neraka mengatakan bahawa mereka telah mendapat nikmat apa yang Allah janjikan sedang orang-orang yang zalim mendapat laknat. Ini kerana mereka bukan sahaja sesat, tetapi juga menyesatkan orang lain.
Ayat 46, al-A’raaf ialah satu tembok diantara syurga dan neraka. Di atas tembok itu ada segolongan lelaki yang mengenal ahli syurga dan neraka. Mereka memberi salam kepada ahli syurga dan tidak sabar untuk masuk syurga. Dan bila melihat ahli neraka mereka berdoa supaya Allah menjauhkan mereka dari menjadi ahli neraka. Mereka mendapati segala kemewahan ahli neraka ketika di dunia dulu tidak dapat menolong mereka sebaliknya ahli syurga yang mereka hina dulu sekarang beroleh rahmat dari Allah. Dan Allah telah mengharamkan makanan dan minuman dari syurga kepada ahli neraka.
Golongan yang sengaja melalaikan agama Allah, Allah akan biarkan mereka pada hari akhirat. Kitab Allah adalah petunjuk bagi orang-orang yang beriman. Ketika hari kiamat nanti, barulah orang-orang derhaka ini mencari syafaat para nabi yang mereka tentang dulu. Mereka juga mohon kembali ke dunia untuk beramal kerana menyesal.
Allah telah menciptakan langit dan bumi dalam masa enam hari, kemudian bersemayam atas ‘Arasy. Dia juga mencipta malam, siang, matahari, bulan, bintang yang tunduk kepada perintahNya. Allah menyuruh manusia supaya berdoa dengan merendah diri dan suara yang perlahan. Allah juga menyuruh agar kita sentiasa berharap dan takut jika doa kita tidak diterima dan ini juga adalah cara membaiki amalan kita.
Allah menghidupkan bumi yang gersang dengan mengurniakan hujan. Dia membandingkan antara tanah yang baik yang menumbuhkan tanaman dengan hasil yang baik dengan tanah yang gersang yang menumbuhkan pokok-pokok yang bantut. Menurut Ibnu Abbas, ini adalah bandingan antara orang mukmin dengan orang yang ingkar dan dibandingkan dengan turunnya al-Quran itu denga turunnya hujan. Jika ruh yang baik, akan menyerap ajaran al-Quran itu dan jika ruh yang jahat, tiada kesan walaupun mereka mendengar al-Quran.
Bermula ayat 59 sehingga ayat 87 (pengakhir juzuk kelapan) ini, ianya banyak berkisar tentang perihal dakwah para rasul yang diutuskan kepada kaum mereka. Faedah daripada kisah-kisah ini antaranya, penentangan terhadap rasul oleh manusia, sudah lama bermula dan sudah menjadi kebiasaan. Allah sentiasa memberitahu akibat perbuatan ingkar manusia ini akan berakhir dengan azab seksa dari Allah di akhirat. Manakala bagi yang taat dan beriman, akan beroleh syurga dan berbahagia selama-lamanya.
Kisah-kisah yang dinukilkan Allah dalam surah ini ialah kisah nabi Nuh dengan banjir besar serta bahteranya, nabi Hud dengan kaumnya ‘Aad yang berkebolehan memahat bukit, nabi Soleh dengan kisah kaumnya Tsamud dan unta mukjizatnya, nabi Luth dengan kaumnya yang gilakan homoseks serta nabi Syuaib dengan kaumnya yang suka menipu dalam timbangan mereka. Kesemua rasul ini menerima tentangan dari kaum mereka sendiri apabila mereka mengajak kaumnya bertaqwa kepada Allah dan meninggalkan perkara keji yang dibenci Allah. Sehingga kaum mereka menuduh para rasul inilah sebenarnya yang sesat. Dan hampir kesemua tentangan dan tuduhan kepada rasul-rasul ini datang dari pemimpin-pemimpin kaum mereka yang mempunyai pengaruh. (Tamat juzuk lapan) Wallahua’lam.

Monday, July 14, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 13 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah

Surah al-An’aam ayat 111, juzuk lapan mendedahkan  perihal orang-orang yang kafir, yang meminta didatangkan mukjizat kepada mereka tetapi Allah maha mengetahui bahawa jika mukjizat itu datang sekalipun, mereka tidak akan beriman. Dijadikan musuh para nabi itu terdiri dari syaitan manusia dan jin yang sentiasa membisikkan keraguan dan orang yang tidak beriman akan mempercayainya. Sehingga ada yang sanggup mencari hakim selain dari Allah kerana ragu sedangkan kitab Allah itu sangat jelas dan nyata, tiada siapa yang boleh memindanya.
Disuruh untuk kita memakan makanan yang halal, akan tetapi yang haram jika terpaksa, kita boleh memakannya. Orang yang dapat hidayah Allah akan dapat membezakan antara yang benar dan salah. Mereka juga merasa lapang dada. Tetapi bagi yang kafir mereka merasakan dada mereka menjadi sesak dan sempit, melihat maksiat yang mereka buat adalah baik. Allah turut memberitahu disetiap tempat akan ada golongan berpengaruh yang jahat yang melakukan kejahatan.
Jalan yang lurus ialah Islam. Di akhirat pengikut jalan syaitan akan ke neraka. Allah telahpun mengutuskan rasul kepada jin dan manusia untuk jadi hujah Allah di akhirat untuk memberikan hukuman. Orang yang zalim, tidak akan memperolehi kemenangan.
Orang musyrikin membuat peraturan sendiri berkenaan hasil tanaman dan binatang ternak yang mana untuk Allah yang mana untuk berhala. Ketua-ketua mereka juga menghasut rakyat mereka dengan ritual-ritual sesat seperti bunuh anak, menentukan yang mana binatang ternak dan sembelih sesuka hati mereka, mana binatang yang halal sedangkan amat rugilah orang yang membunuh anak mereka dan yang mengharamkan makanan yang Allah halalkan serta berdusta atas nama Allah. Sehingga Allah mencabar musyrikin itu melalui rasulullah yang mana satu sebenarnya binatang yang mereka dakwa diharamkan, ataupun adakah mereka hadir ketika (yang mereka kata) Allah yang menentukan semua itu kepada mereka atau datuk moyang mereka (berkenaan pengharaman yang mereka dakwa itu)?
Antara makanan yang diharamkan bagi orang Islam ialah bangkai, darah yang mengalir, daging babi dan binatang yang disembelih atas nama selain dari Allah. Manakala bagi Yahudi binatang yang berkuku dan lemak dari lembu dan kambing. Inilah hukuman bagi orang-orang Yahudi atas sikap derhaka mereka.
Sikap musyrikin Mekah ini mereka-reka pengharaman yang mereka dakwa dari Allah tetapi tidak mahu pula meninggalkan menyembah berhala, zina, membunuh anak dan sebagainya  yang sememangnya haram dari Allah. Sedangkan jalan lurus Allah inilah yang mesti diturut. Diturunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk dan keterangan agar tidak menjadi dalih bagi mereka yang tidak mahu beramal.
Amalan yang baik akan diganda 10 kali dan hanya sekali bagi amal kejahatan. Maka beri’tiqadlah bahawa semua ibadat, hidup dan mati kita, hanyalah untuk Allah yang mentadbir sekelian alam. Tiada sekutunya dan dengan itu kita menjadi orang yang berserah diri (islam) kepada Allah. Tiada tuhan yang lain yang berhak disembah melainkan Allah. Allah lah yang menjadikan kita sebagi khalifah di bumi dan meninggikan sesetengah kama atas sesetengah yang lain kerana hendak menguji kita. Tamat surah al-an’aam.
Surah al-A’raaf. Diturunkan di Mekah mengandungi 206 ayat. Dinamakan al-A’raaf (Tembok Yang Tinggi) yang memisahkan antara syurga dan neraka. Surah ini menceritakan kisah-kisah kaum yang derhaka, kisah keingkaran Iblis, gambaran apa yang berlaku antara ahli syurga dan neraka serta Allah memujuk rasulullah dan mememrikan semangat untuk tidak bimbang dan berdukacita dalam berdakwah.
Al-Quran adalah kitab yang benar, jangan menaruh syak atau keraguan atasnya. Ianya untuk diamalkan bukan sekadar suka-suka untuk mencari nama. Banyak kaum yang telah diazab kerana bersikap zalim dan tidak mahu menurut kehendak Allah. Mereka akan disoal dan juga rasul-rasul mereka juga disoal. Siapa yang timbangan kebaikannya berat, beroleh kejayaan dan jika sebaliknya, menjadi orang-orang yang rugi. Kerana Allah memberikan kekuasaan di bumi suapaya manusia bersyukur, tetapi sedikit sahaja yang bersyukur.
Iblis sombong tidak mahu sujud kepada Adam walaupun itu arahan Allah kerana merasakan dia lebih baik dari segi penciptaannya iaitu dari api berbanding Adam dari tanah. Iblis bersumpah untuk menyesatkan manusia selama-lamanya sehingga datangnya kiamat. Terdedah aurat Adam dan Hawa apabila melakukan maksiat dengan memakan buah larangan. Adam dan Hawa memohon keampunan dan Allah menurunkan mereka ke bumi dengan ingatan sesetengah keturunan mereka akan menjadi musuh sesama mereka. Manusia akan dimatikan dan dibangkitkan pada hari kiamat. Allah mengurniakan pakaian bagi menutup aurat dan sebagai perhiasan, tetapi pakaian taqwa adalah yang sebaik-baiknya. Wallahua’lam.