Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Sunday, July 13, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 12 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah

Dalam ayat ke 63 surah al-An’aam, Allah bertanya kepada manusia, siapakah yang telah menyelamatkan manusia dari semua bencana darat dan laut, ketika manusia berdoa secara terang dan tersembunyi. Sedang mereka tahu Allah yang menyelamatkan mereka, mereka tetap mempersekutukan Allah. Allah juga menghantar bala yang menyebabkan manusia berperang sesama sendiri. Kenyataan ini adalah bentuk pengajaran dari Allah supaya manusia berfikir. Masa akan menyerlahkan kebenaran. Maka dengan itu Allah melarang kita duduk dengan golongan yang mempersendakan ayat-ayat Allah kecuali terlupa. Jauhkan juga diri kita dari golongan yang memperdagangkan agama, jika mamapu ingatkanlah mereka tentang azab Allah dimana minuman mereka ialah air panas yang menggelegak.
Tidak patut seorang manusia menyembah sesuatu yang tidak boleh mendatangkan mudharat dan manafaat. Dan tidak patut mengundur kembali ke zaman jahiliyyah setelah mendapat hidayah seperti orang yang disesatkan syaitan sedang Allahlah yang memberi petunjuk. Maka sebagai tanda kehambaan, dirikanlah sembahyang dan bertaqwalah kepada Allah yang menciptakan segalanya.
Nabi Ibrahim dijadikan Allah dapat melihat (berfikir dengan mendalam kejadian-kejadian) kebesaran langit dan bumi, lalu menjadilah dia seorang yang benar-benar yakin dan mentauhidkan Allah. Lalu dia ditentang kaumnya yang mensyririkkan Allah, tetapi dengan beraninya dia menjawab dia tidak takut dengan ancaman manusia jika sekiranya Allah tidak menginginkan sesuatu yang buruk berlaku ke atasnya. Lebih dari itu, dia meminta kaumnya mengemukakan bukti kebenaran tuhan yang mereka sembah itu jika mereka dari kalangan orang benar. Orang beriman di sisi Allah tidak akan sekali-kali mencampurkan keimanan mereka dengan syirik dan Allah kurniakan hujah bagi Ibrahim menentang kaumnya.
Dari Ibrahim lahir keturunannya para rasul yang banyak sekali dan dikurniakan darjat yang tinggi. Ini kerana Allah berkuasa meninggikan darjat sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Tetapi jika ada yang menyengutukan kan Dia, maka gugurlah segala amal kebaikan yang mereka telah lakukan. Para rasul ini telah diberi petunjuk dan jika sesiapa yang ingkar, maka Allah akan menggantikan kaum itu. Para rasul ini bukan diutuskan untuk meminta upah dari kaum mereka, tetapi hanya menyampaikan amanah Allah.
Yahudi ada mengatakan bahawa Allah tidak menurunkan sesuatupun kepada manusia. Jenis golongan celaka ini menipu tidak sepadan dengan penghormatan yang telah Allah berikan kepada mereka suatu ketika dahulu. Alah menempelak pembohongan mereka itu dengan pertanyaan siapakah yang menurunkan kitab-kitab yang mereka ambil dan sebarkan sebahagian kecil darinya dan menyembunyikan sebahagian isi kitab sebenar? Dan al-Quran adalah kitab kebenaran yang mengandungi banyak faedah-faedah dan rasulullah disuruh agar menyebarkan keseluruhan ajaran al-Quran ini. Ada juga kaum yang kufur ini mengaku mendapat wahyu sedangkan Allah tidak pernah memberikannya wahyu. Maka akan ditariknya nyawanya nanti dan diminta supaya mengeluarkan sendiri nyawa mereka atas sebab pembohongan yang mereka lakukan itu.
Allahlah yang menjadikan malam, siang, untuk manusia berehat dan berkerja, bulan dan bintang bagi panduan perjalanan, menjadikan rahim dan tulang sulbi bagi menempatkan zuriat, hujan bagi menumbuhkan tanaman yang berbuah dengan pelbagai rasa. Ini semua adalah bagi menunjukkan kekuasaan Allah dan memberikan ruang untuk manusia berfikir, serta akan menambahkan lagi keimanan bagi orang-orang yang beriman. Tetapi bagi kaum yang kufur, mereka menjadikan jin sebagai sekutu Allah dan berdusta menggunakan nama Allah dengan mengatakan bahawa Allah mempunyai anak. Bagaimana Allah mempunyai anak sedangkan Dia tidak mempunyai isteri?
Allah tidak dapat dilihat oleh mata makhluk sedang Dia dapat melihat semua mahkluknya tanpa batas, maka sembahlah Allah yang menciptakan segala-galanya. Sudah tersedia dalil-dalil dan bukti-bukti bagi manusia menelitinya. Barangsiapa yang menerimanya, faedah itu kembali kepadanya dan sesiapa yang ingkar, bahaya akan menimpa dirinya. Ikutlah wahyu Allah dan berpalinglah dari orang-orang yang syirik. Allah melarang kita mencerca sembahan mereka kerana mereka juga akan mencerca Allah.
Kaum yang derhaka ini sanggup bersumpah dengan bersungguh-sungguh supaya diberikan mukjizat agar mereka beriman. Allah tegas mengatakan bahawa urusan mukjizat adalah urusan Allah dan Allah maha mengetahui jika dibawakan mukjizat itu, mereka tetap tidak beriman kepada Allah. Allah berkuasa memalingkan hati dan pandangan mereka sebagaimana mereka tidak mahu beriman dengan ayat-ayat Allah ketika mula-mula datangnya ayat-ayat itu dahulu dan Allah membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan. Wallahua’lam.

Friday, July 11, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 11 : Bacaan Tiga Minit


Bismilllah
Surah al-An’aam (Binatang Ternak) diturunkan di Mekah, mengandungi 165 ayat dan hal berkaitan nama surah ini disebutkan pada ayat ke 136. Penekanan yang utama surah ini ialah berkenaan aqidah, menolak hal syubhah yang ditimbulkan oleh orang-orang kafir, menafikan bahawa manusia berhak mengharam dan menghalalkan sesuatu, hanya Allah sahaja yang layak, menerangkan keadaan orang kafir mati dan menegaskan bagi orang mukmi, seluruh solat, ibadat, hidup dan mati mereka hanyalah untuk Allah tuhan sekelian alam.
Antara isi penting ialah, Allah yang mencipta langit, bumi. Manusia dicipta dari tanah dan akan dimatikan dalam tempohnya kemudian dibangkitkan semula pada hari kiamat. Allah mengetahui segalan-galanya. Orang kafir selalu menolak keterangan dari Allah, mengejek, mendustakannya sehinggalah mereka ditimba bala atas perbuatan mereka itu, padahal sudah banyak kaum ( walaupun kaya dan kuat) yang Allah telah musnahkan kerana itu.
Rasulullah diperintahkan menjadi orang pertama menyerah diri kepad Allah (Islam) dan tidak menjadi orang musyrik serta tidak patut baginya mengambil pelindung selain dari Allah yang menciptakan semua di alam ini. Tiada yang selamat jika sekiranya bencana dating kecuali Allah yang menyelamatkan mereka. Allah menjadi saksi kenabian nabi Muhammad serta mengurniakannya wahyu yang mengesakan Allah serta menafikan kesyirikan. Tetapi ahli kitab menolak al-Quran dan nabi Muhammad sedangkan mereka mengenali nabi Muhammad selengkapnya melalui kitab-kitab mereka malah mendustakannya.
Di akhirat Allah menyuruh musyrikin untuk membawa benda-benda yang mereka sembah, tetapi dalam keadaan dusta mereka menafikan bahawa mereka telah mempersekutukan Allah sedangkan Allah mengetahui mereka melakukan itu serta mendustakan ayat-ayat Allah. Lebih dari itu mereka juga menghalang orang lain dari mendengar ayat-ayat Allah. Allah menggambarkan ketika golongan ini berada di tepi jurang neraka, mereka ngeri dengan keadaan neraka, meminta untuk kembali ke dunia untuk beriman kepada Allah. Sedangkan Allah tahu, jika mereka dikembalikan semula ke dunia, mereka tetap tidak beriman, mereka hanya berdusta (lihatlah dahsyatnya pendustaan mereka, sehingga di tepi jurang nerakapun, mereka masih meneruskan pendustaan mereka).
Allah menyuruh mereka mengakui, kiamat ini benar dan mereka mengakui, tetapi Allah tidak akan mengembalikan mereka semula ke dunia dan mereka diazab atas dosa mereka sambil mereka merasakan kekesalan yang teramat sangat atas sikap mereka mendustakan ayat-ayat Allah dahulu. Sedangkan kehidupan dunia ini hanyalah sesuatu yang melalaikan sahaja, akhiratlah yang kekal abadi. Oleh itu rasulullah dinasihatkan Allah agar bersabar dengan segala tentangan itu. Allah sifatkan keadaan orang yang tidak mahu menerima ajaran nabi itu adalah orang yang mati. Mereka tiada yang dapat menolong ketika azab Allah datang. Mereka berdegil kerana syaitan telah menghiasi perbuatan kufur mereka itu dengan keindahan. Mereka malah diberikan Allah kemewahan dan kesenangan, tetapi pada satu ketika, Allah menarik semua itu dengan mengejut sehingga ada yang dibinasakan keturunannya.
Sudah banyak keterangan-keterangan yang Allah telah berikan, tetapi kaum yang zalim tetap ingkar. Rasulullah tidak mempunyai perbendaharaan Allah serta tidak tahu perkara-perkara yang ghaib dan baginda bukan malaikat. Tetapi baginda hanya menyampaikan apa yang Allah suruh. Ada dikalangan orang kaya yang sombong dan kufur menghina orang miskin yang bersyukur, tetapi Allah tahu siapa yang bersyukur.
Allah maha menerima taubat hambanya walaupun hambanya datang dengan sepenuh dosa. Allah melarang kita menyembah selain dariNya kerana berada dalam Islam beerti tetap berada dalam kebenaran. Tetapi orang kafir mencabar kebenaran itu dengan meminta azab dengan segera. Rasulullah memaklumkan jika kuasa memberi azab itu ada ditangannya, maka mudahlah diselesaikan. Tetapi kuasa itu ada dalam kuasa Allah kerana dia maha mengetahui segala-galanya sehinggakan setiap helai daun yang gugur, biji yang gugur walau dalm keadaan gelap sekalipun, segalanya telah tercatat di Lauh Mahfuz. Dia juga yang menghidup dan mematikan dan kemudiannya mengadili seluruh manusia atas apa amalan yang dilakukan di dunia. Wallahua’lam.

Wednesday, July 9, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 10 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah

Masih dalam surah al-Maa’idah ayat 51. Jika kita mengambil Yahudi dan Nasrani sebagai teman rapat sebagaimana munafik mengambil mereka sebagai teman, kerana takut ditimpa bencana (yang mana nanti munafik itu terpaksa meminta pertolongan dari rasulullah. Inilah yang mereka tidak mahu) maka kita akan menjadi sebahagian daripada golongan mereka.
Jika diantara kita ada yang murtad, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah kasihkan mereka dan mereka kasihkan Allah, bersifat lemah lembut dengan orang beriman dan tegas dengan kafir, berjuang di jalan Allah dengan bersungguh-sungguh serta tidak takut dengan celaan orang yang mencela. Siapa yang menjadikan Allah dan rasul serta orang-orang beriman sebagai penolong, maka berjayalah mereka kerana golongan inilah yang tetap menang. Jangan diambil kaum yang mengejek-negejek agamamu sebagai penolong.
Ahli kitab dengki dengan nabi Muhammad dan umatnya kerana beriman kepada Allah dan segala yang Allah suruh untuk beriman. Orang yang buruk balasannya di sisi Allah ialah golongan yang dilaknat oleh Allah dan yang dijadikan kera dan babi serta penyembah taghut. Pendita-pendita mereka tidak melarang dari perkara yang haram. Mereka juga mengatakan bahawa “Tangan Allah Terbelenggu” (Bakhil) sedangkan dialah yang bakhil. Allah maha pemurah dalam melimpahkan rezekiNya, tetapi manusia ramai yang semakin menjadi kufur dan melakukan kerosakan di dunia ini.
Jika mereka (ahli kitab) melakukan semua arahan dari kitab yang Allah turunkan maka Allah akan kurniakan rezeki yang mewah. Mereka dikira tiada beragama selagi tidak menurut kitab mereka (berkenaan nabi Muhammad) dan al-Quran. Jika mereka beriman, Allah jamin tiada kebimbangan bagi mereka. Bani Israel dahulunya suka membunuh nabi dan rasul yang dikirim Allah kepada kaum mereka jika apa yang diajar oleh nabi dan rasul itu tidak disukai nafsu mereka. Mereka tidak rasa yang azab akan datang setelah mereka berbuat demikian.
Allah menjelaskan nabi Isa berkata sembahlah Allah, tuhanku dan tuhanmu kepada bani Israel. Dan sesiapa yang menyekutukan tuhan atau berkata al-Masih itu tuhan, maka tempatnya di neraka. Juga kafir jika berkata Allah ialah satu dari tiga tuhan. Tetapi Allah maha penyayang dan masih membuka pintu taubat untuk hambanya yang mahu bertaubat. Allah telah jelaskan kepada ahli kitab  (dengan keterangan-keterangan) bahawa Isa itu seorang nabi dan ibunya seorang perempuan yang benar dan makan minum seperti manusia biasa. Tidak patut menyembah selain dari Allah yang tiada memberi manafaat kepada manusia.
Ahli kitab melampau dalam agama dan menyesatkan orang lain. Sehingga dilaknat oleh lisan nabi Daud dan Isa melalui kitab mereka kerana selalu menderhaka dan menceroboh dan tidak melarang perbuatan mungkar sesama mereka. Paling keras permusuhan dengan orang Islam ialah Yahudi dan dan musyrik. Tetapi bagi Nasrani mereka lebih dekat dengan kita kerana ada diantara mereka pendita dan ahli ibadat serta mereka tidak berlaku sombong (yang dimaksudkan Nasrani di sini ialah Raja Habsyah, Najasi – mengikut pendapat Ibnu Abbas melalui at-Tabraani. Najasi menangis ketika dibacakan surah Maryam kepadanya oleh Jaafar bin Abi Talib dan kemudiannya memeluk agama Islam). Maka Allah menerima keIslamannya.
Dinyatakan dalam ayat ke 89 hukum kafarah bersumpah. Manakala dalam ayat ke 90 pula dinyatakan hukum arak, bertenung nasib, judi serta pemujaan berhala adalah perkara keji dan dari amalan syaitan. Jika kita menjauhinya, maka kita akan berjaya. Ini kerana syaitan hanyalah mahu membuat persengketaan antara manusia atas judi dan arak ini dan supaya kita meninggalkan sembahyang.
Allah sengaja menguji manusia dengan binatang buruan ketika berihram supaya kita tetap patuh dengan larangan Allah. Dinyatakan juga hukum bagi orang berihram yang membunuh binatang.
Kita dilarang dari bertanya berlebih-lebihan atas perkara yang mungkin menjadi kesusahan bagi kita. Kerana sebab terlalu banyak bertanyalah maka ada kaum menjadi kafir. Musyrikin Mekah ada mempunyai binatang-binatang persembahan yang menjadi pantang larang mereka yang tidak berasal dari hukum Allah tetapi dari nenek moyang mereka.
Dinyatakan hukum wasiat dalam ayat 106-108.
Diakahirat, Allah akan bertanya kepada rasul tentang penerimaan umat mereka terhadap ajaran yang dibawa. Ada umat mereka mengatakan mukjizat rasul mereka hanyalah sihir seperti kaum nabi Isa. Kecuali sebahagian dari mereka yang tetap beriman dengan nabi Isa iaitu Hawariyyun yang kemudiannya dikurniakan Allah hidangan dari langit setelah mereka memintanya melalui nabi Isa. Nabi Isa diakhirat nanti akan ditanya Allah adakah dia yang menyuruh kaumnya berkata dia adalah tuhan bersama ibunya MAryam,maka nabi Isa tegas menafikannya serta meminta Allah pula menjadi saksi bahawa dia tidak pernah berkata begitu. Nabi Isa hanya mengatakan kepada umatnya supaya menyembah Allah sahaja tiada sekutu baginya. Tamat surah al-Maa’idah. Wallahua’lam.

Pencapaian apa yang Razif telah capai?

Bismillah

Apabila PM membuat lawatan kerja rasmi bagi  mendengar taklimat pembangunan negeri sebagai input bagi menggubal  Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) (2016-2020) baru-baru ini, antara komen beliau berkaitan negeri Terengganu ialah, beliau berpuas hati dengan pencapaian Menteri Besar Terengganu Datuk Abdul Razif Abdul Rahman yang telah memerintah Terengganu selama hampir dua bulan selepas krisis kepimpinan Umno Terengganu meletus Mei lalu.

Saya masih mencari-cari apakah perkara yang dikatakan sebagai “pencapaian” oleh Datuk Razif yang telah memuaskan hati PM. Sebagai wakil rakyat dari Parti Islam Semalaysia (PAS) saya mahu melihat pencapaian yang diutamakan itu mestilah mengenai kepentingan agama Islam, kemudian permasalahan rakyat yang dhaif yang memerlukan bantuan segera kemudiannya barulah kepada infrstruktur-infrastruktur lain yang dirancang bagi kesejahteraan rakyat. Dan semua itu mesti bebas dari campur tangan politik kepartian.

Tetapi selama dua bulan ini berita yang ada hanyalah pertukaran seramai kira-kia 50 orang kakitangan kerajaan sebaik sahaja MB baru mengambil alih tugas. Ada juga pengumuman penangguhan dan akan menyemak kenaikan cukai pintu yang telah diumumkan oleh MBKT setelah dibantah keras oleh PAS dan NGO. Yang terbaru ialah agihan buah kurma dan air zam-zam ke seluruh masjid di negeri Terengganu. Sementara itu, dasar kepada kerajaan yang baru dan hala tujunya tidak begitu jelas kelihatan. Tiada juga kedengaran sebutan berkenaan pembayaran pampasan kepada penduduk di Kampung Pasir Putih Merchang kerana projek pelebaran jalan Kuala Terengganu - Dungun.

Dari pandangan saya, saya melihat pertukaran Razif sebagai MB ini hanyalah seperti menyambung semula pemerintahan Idris Jusoh . Ini jelas dapat dilihat kerana Razif adalah dari kem Idris yang bermusuh dengan Ahmad Said. Umum sedia maklum bahawa sokongan akar umbi Ahmad Said sangat lemah. Jadi pertukaran ini tiada masalah bagi PM. Sama sahaja sesiapapun yang menjadi MB. Jika dari Umno, maka kroni akan diutamakan. Jika kroni diutamakan, maka duit rakyat akan menjadi mangsa. Lihat sahaja projek-projek “runtuh” dibawah kepimpinan Idris Jusoh dulu. Sehingga sinonim Terengganu dikenali sebagai Darul Runtuh. Jolokan yang menjengkelkan kita sebagai rakyat Terengganu. Senarainya cukup panjang dan jika disebut, mungkin berjela-jela pula jadinya, cukuplah satu soalan untuk dijawab, siapa dari kalangan orang besar yang telah dikenakan hukuman atas kes stadium runtuh di Terengganu?

Dizaman Idris juga, tiada usaha yang serius untuk membawa kembali maruah rakyat Terengganu iaitu royalti petroleum sebanyak 5 peratus yang telah dirampas dengan zalimnya pada tahun 2000 yang kemudiannya dikenali sebagai wang ehsan. Sedangkan baru-baru ini, dewan undangan Negeri Sarawak telah sebulat suara memutuskan untuk meminta royalti bagi negeri Sarawak sebanyak 20 peratus. Begitu tegasnya usaha Sarawak bagi mengambil hak mereka. Mengikut maklumat dari Dato’ Husam Musa, Ahmad Said adalah seorang yang sangat lantang diperingkat pusat dalam mengusahakan royalti agar dikembalikan ke Terengganu. Selepas ini pasti tiada lagi kelantangan suara Ahmad dalam isu mengembalikan royalti ini yang kita anggap sebagai maruah kita. Saya tidak percaya bahawa Razif selantang Ahmad Said bagi meminta semula royalti dikembalikan ke Terengganu sejajar dengan pemikiran Idris Jusoh.

Apabila naiknya seseorang MB baru dari Umno, antara perkara kebiasaan yang akan dilakukan ialah membawa masuk projek-projek pembangunan ke kawasan-kawasan mereka. Nanti boleh kita lihat Seberang Takir akan mendapat limpahan projek. Oleh itu persoalan yang timbul, apa akan jadi dengan duit rakyat yang telah digaul dan ditanam di Bandar Baru Kijal dan Kawasan Bebas Cukai di Kenyir? Apakah nanti kita akan melihat monumen-monumen sejarah (projek tak siap) menggunakan duit rakyat di Kijal dan Kenyir? Ataupun disebalik pelancong mahu melihat gajah di Santuari Gajah, mereka hanya dapat melihat “Gajah Putih” di Kenyir. Bagaimana pula nasib pengurusan dan binatang-binatang di Zoo Bukit Takal yang pernah diisytiharkan oleh Ahmad Said dalam DUN dahulu yang ianya bakal menggantikan industri petroleum jika kita kehabisan sumber itu? Adakah Razif akan menyambung semula kesemua projek itu?

Inilah tanda-tanda yang bakal kita lihat iaitu pembaziran besar duit rakyat Terengganu yang telah dibuat dan kemudian diwarisi perangai ini dari MB Umno kepada MB Umno yang lain. Tiada bezanya siapa MB Terengganu, asalkan dari Umno, maka inilah yang kebiasaannya akan berlaku. 

Oleh itu saya secara serius memandang perkara ini adalah tidak lain hanyalah pertukaran topeng sahaja, tetapi wataknya tetap sama. Dan saya tidak dapat melihat apakah pencapaian yang memuaskan hati PM terhadap apa yang telah dilakukan oleh Razif selama dua bulan ini kecuali, memudahkan lagi kerja golongan-golongan tertentu membaham duit royalti Terengganu ini.

Marilah kita sama-sama dibulan yang penuh keberkatan ini berdoa agar seluruh rakyat Terengganu dan negeri Terengganu ini terselamat dari rancangan yang tidak betul oleh golongan-golongan yang tertentu dalam membelanjakan hasil negeri yang mana ianya adalah amanah dan bukannya ghanimah.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Adun Bukit Payong
11 Ramadhan 1435 bersamaan 9 Julai 2014

Monday, July 7, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 9 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah

Surah al-Maa’idah (hidangan) diturunkan di Madinah dan mengandungi 120 ayat. Dinamakan al-Maa’idah kerana peristiwa mengenainya disebutkan dalam ayat 112-115. Antara isi penting surah ini ialah seruan Allah agar kita menyempurnakan perjanjian samada dengan Allah atau manusia, hukum memburu dalam keadaan ihram walaupun binatang itu halal dimakan pada asalnya. Jangan berbuat sesuka hati dengan syiar-syiar Allah, menghormati bulan-bulan tertentu, juga mengenai kesyirikan yang dilakukan kepada binatang ternak sebagai penyembahan.
Allah melarang hanya kerana benci kepada sesuatu kaum itu, maka kita menceroboh (khianat), disuruh kita bertolong-tolongan dalam perkara taqwa. Selain disebutkan jenis-jenis makanan yang diharamkan, surah ini juga mengharamkan menenung nasib. Allah telah menyempurnakan dan meredhai agama Islam sebagai agama terakhir, agama umat nabi Muhammad saw.
Di sini juga dinyatakan hukum menggunakan binatang bagi tujuan berburu. Juga hukum memakan sembelihan ahli kitab, perkahwinan dengan perempuan ahli kitab. Hukum kewajipan berwudhu’, berjunub dan bertayammum serta tatacaranya dinyatakan dalam ayat ke 6.
Orang Islam mesti bersikap adil kepada sesiapa jua, hatta kepada musuh kerana adil itu lebih dekat dengan taqwa. Allah menerangkan perihal Bani Israel yang memungkiri janji-janji mereka dengan Allah setelah diutuskan 12 pemimpin untuk memimpin golongan masing-masing. Kemudian dijadikan hati mereka keras seperti batu dan mereka dilaknat. Menyeleweng dari maksud sebenar kitab walaupun mereka tahu Allah maha mengetahui. Sama juga dengan Nasrani, sehingga Allah menanamkan sifat permusuhan dan kebencian antara mereka sehingga hari akhirat.
Al-Quran  diturunkan untuk menjadi petunjuk jalan-jalan keselamatan dan kesejahteraan. Maka kafirlah orang yang berkata Allah itu ialah al-Masih ibni Maryam. Sedangkan Allah boleh sahaja menghapuskan semua yang ada di dunia ini termasuklah Isa dan ibunya jika Dia mahu. Yahudi dan Nasrani mendakwa mereka adalah anak-anak kesayangan Allah, akan tetapi mereka ditanya kembali jika begitu, kenapakah mereka diseksa dengan sebab dosa mereka? Sedangkan mereka tidak lain hanyalah hamaba Allah yang sama seperti yang lain dan akan dihukum berdasarkan perbuatan mereka di dunia.
Diutuskan nabi Muhammad kepada manusia diantara masa terputus rasul (selepas Isa) adalah untuk mematahkan hujah ahli kitab dengan berkata tiada datang seorang rasul yang membawa berita gembira dan amaran kepada kami. Nabi Musa pernah mengingatkan Bani Isarel akan nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada mereka dan mengajak untuk masuk ke tanah suci Palestin atas perintah Allah setelah selamat dari Fira’un. Tetapi dijawab mereka supaya nabi Musa pergi berperang menentang kaum dalam kota Palestin itu dengan Allah, sambil mereka menunggu sehingga menang, barulah mereka akan masuk ke Palestin kerana mereka takut berperang dengan askar yang mereka dakwa gagah perkasa yang ada di dalam kota Palestin. Oleh itu, Allah telah mengharamkan golongan yang menolak untuk berperang itu dari memasuki Palesti selama 40 tahun, sesat di padang pasir, sambil nabi Musa memohon untuk dipisahkan dari kaumnya bersama nabi Harun.
Disebutkan juga kisah Habil dan Qabil dua orang anak nabi Adam yang mempersembahkan korban mereka sehingga Habil dibunuh oleh Qabil kerana nafsu jahat menguasainya dan bagaimana Allah mengutuskan burung gagak bagi mengajar Qabil menanam mayat adiknya.
Dijelaskan hukum hudud bagi yang merompak dalam ayat 33 dan hukum mencuri ayat ke 38.
Allah tidak mahu rasulullah berdukacita dengan orang munafik serta ahli kitab yang sentiasa suka berbohong, mendengar cerita bohong dan menyebarkan pembohongan terutama dari kalangan pendita-pendita mereka, sedangkan mereka tidak pernah menemui rasulullah untuk mendengarnya sendiri. Mereka juga suka melakukan rasuah, sehinggakan sanggup menjual ayat-ayat Allah dan memilih-milih hukuman yang Allah turunkan. Allah tegaskan, itulah orang-orang yang zalim.
Diutuskan nabi Isa beserta Injil adalah sebagai kesinambungan dari kebenaran Taurat yang mana Allah menyuruh manusia berhukum mengikut apa yang dibawa oleh rasul melalui kitab-kitab ini. Kemudian diturunkan al-Quran juga sebagai pengesahan kepada kitab-kitab dahulu daripadanya. Allah mampu dan berkuasa untuk menyatukan seluruh manusia dalam satu agama tetapi Allah ingin menguji sekelian manusia. Hukum hakam di dalam kitab-kitab itutelah ditetapkan Allah, maka adakah patut manusia mencari hukum jahiliyyah, padahal jika manusia itu yakin, tiada siapa yang boleh membuat hukuman seperti yang Allah telah putuskan. Wallahua’lam.

Sunday, July 6, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 8 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah

Dalam ayat 127 surah an-Nisaa’, Allah menerangkan perihal hukum-hakam berkaitan perempuan dengan lebih jelas lagi. Antara perkara yang perlu diperhatikan ialah apabila ada konflik, selesaikanlah dengan cara baik dan seboleh-bolehnya janganlah bercerai dan bersifat kedekut. Allah juga mengetahui bahawa manusia tidak akan dapat berlaku adil kepada isteri-isteri mereka (untuk yang berpoligami). Tetapi janganlah sampai mengabaikan terus isteri-isteri yang lain hanya kerana lebihkan sayang kepada isteri-isteri tertentu.
Orang-orang beriman ialah orang yang sentiasa menjadi saksi kepada kebenaran dan menegakkan keadilan sekalipun jika melibatkan kaum kerabatnya. Tetapi orang yang beriman kemudian kufur dan berbolak balik antara iman dan kufur tidak akan mendapat petunjuk dari Allah. Jika ada orang yang memperolok-olokkan ayat-ayat Allah maka janganlah bergaul dengan mereka sehinggalah mereka menukar tajuk perbincangan kerana jika kita terus bersama mereka, maka tiada beza antara kita dengan mereka.
Orang munafik apabila Islam menang, mereka akan datang untuk menuntut hak mereka dengan berbagai alasan. Dan apabila tentera kafir menang, mereka akan menuntut pula dari puak kafir itu bahagian mereka juga dengan berbagai alasan. Orang munafik adalah penipu dan pandai berpura-pura sedang Allah mengetahuinya. Apabila mahu solat, mereka berdiri dengan malasnya dan terpaksa berlakon. Padahal hati mereka tidak mengingati Allah. Keadaan mereka “Muzabzab” iaitu pendirian tidak tetap. Bukan sahaja tidak menyokong terus kepada golongan kafir, malahan kepada Islampun mereka tidak menyokong. Munafik akan diletakkan pada tingkat terbawah api neraka di hari akhirat nanti. Kecuali yang bertaubat dan benar-beanr ikhlas kepada Allah.
Jangan mengeluarkan kata-kata buruk walaupun untuk mendedahkan kesalahan orang kecuali kita dianiaya. Memaafkan kejahatan orang adalah lebih baik. Orang kafir hanya beriman dengan sebahagian rasul dan kufur dengan sebahagian lain sedangkan orang beriman, mereka menerima semua rasul tanpa membezakan mereka. Kaum Yahudi meminta dari nabi Muhammad kitab dari langit sebagai bukti kenabian. Allah mengingatkan rasulullah agar jangan pelik dengan permintaan itu kerana nabi Musa mereka lakukan lebih dari itu, minta lihat Allah, sembah patung anak lembu, langgar larangan hari sabtu, menolak ayat-ayat Allah, membunuh nabi-nabi mereka, menuduh Maryam dengan tuduhan dusta, serta mengambil riba. Mereka dilaknat oleh Allah kerana ini dan pasti disiksa akibat perbuatan mereka ini.
Yahudi juga mendakwa telah membunuh nabi Isa tetapi mereka sendiri keliru adakah benar mereka telah membunuhnya sedangkan Allah telah mengangkat nabi Isa untuk menyelamatkannya. Akan tetapi pada akhir zaman nanti, ahli kitab semuanya akan beriman dengan nabi Isa dan baginda menjadi saksinya. Disebabkan kezaliman Yahudi ini jugalah maka mereka telah diharamkan memakan makanan yang pernah dihalalkan keatas mereka sebelum ini.
Rasul-rasul yang Allah utuskan adalah sama peranan mereka samada yang Allah ceritakan kepada rasulullah atau tidak, tugas mereka memberitahu berita gembira kepada orang yang beriman dan membawa amaran kepada orang yang ingkar. Allah dan malaikat menjadi saksi kebenaran al-Quran ini. Allah menguasai semua benda yang ada di bumi dan di langit dan diantara keduanya. Maka tiada kerugian bagi Allah jika manusia kufur kepadaNya. Allah mengingatkan ahli kitab agar berkata benar berkenaan Allah. Nabi Isa hanyalah pesuruh Allah bukan tuhan dimana ibunya Maryam mendapat tiupan ruhul Qudus kedalam tubuhnya dari  malaikat Jibril dengan perintah Allah. Berhentilah dari mengatakan Allah itu tiga. Allah tidak mempunyai anak, maha suci Allah dari hal itu. Nabi Isa sendiri tidak sombong dan angkuh dan mengakui bahawa dia hanyalah hamba Allah.
Telah datang bukti dari Allah (dengan beberapa mukjizat melalui nabi Muhammad) dan Al-Quran adalah nur yang menerangi kehidupan dunia ini dan yang membahagiakan kehidupan di akhirat. Bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan berpegang teguh dengan al-Quran maka Allah akan memasukkan dia ke syurga dengan rahmat yang tak terkira banyaknya.
Ayat terakhir dari surah an-Nisaa’ ini menerangkan hukum pusaka berkenaan “kalalah” iaitu seorang yang mati lelaki atau perempuan yang tidak mempunyai anak dan bapa sebagai pewarisnya. Tamat surah an-Nisaa’. Wallahua’lam.

Saturday, July 5, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 7 : Bacaan Tiga Minit


Bismillah

Sambungan ayat ke 54 surah an-Nisaa’. Yahudi sebenarnya merasa dengki dengan nabi Muhammad dan umatnya kerana nikmat iaitu kenabian dan Islam kepada mereka oleh Allah. Sedangkan nabi Ibrahim juga telah dikurniakan perkara itu. Sebahagian Yahudi itu ada yang beriman kepada nabi Ibrahim dan sebahagian lagi kufur. Mereka yang kufur ini akan dibakar dalam neraka sehingga hangus dan digantikan dengan kulit baharu supaya azab itu berterusan.

Apabila berhukum, hukumlah dengan adil dan serahkan amanah kepada ahlinya. Taatlah kita kepada Allah, rasul (dalam semua perkara) serta pemimpin kita (ketaatan ini tidak diberikan dalam perkara maksiat) dan jika ada pertikaian, kembalilah kepada al-Quran dan sunnah, menandakan kita ini orang yang beriman. Orang munafik pula, kata mereka,mereka beriman tetapi tetap mengambil taghut sebagai hakim. Jika diajak berhakim kepada al-Quran dan sunnah, orang munafik bukan sahaja berpaling malah turut menghalang orang lain daripada menghampirinya (ayat 61). Allah kenal jenis manusia begini.

Allah menyuruh orang sebegini perlu diberi nasihat. Rasul diutuskan adalah untuk ditaati. Dan tidak dikata beriman seseorang itu sehingga dia memilih rasul menjadi hakim dan tiada sedikitpun keberatan menerima hukuman dari rasul itu. Balasan kepada orang yang taat kepada Allah dan rasulnya ialah syurga.

Diperintahkan supaya mara berperang apabila diseru. Allah memberitahu ada golongan yang lega bila pasukannya kalah kerana dia tidak turut serta dan menyesal apabila pasukannya menang kerana dia tak dapat tumpang hasil . Berjuang di jalan Allah akan dapat syurga. Ada sesetengah munafik meminta untuk berperang tetapi apabila datangnya masa perang, mereka berubah fikiran kerana rasa takut mati sebab mereka merasa masih muda. Sedangkan dunia ini sementara. Di mana-manapun manusia akan mati dalam apa jua keadaan.

Kejahatan Yahudi menuduh rasulullah penyebab apabila mereka ditimpa kesusahan. Sedangkan Allah mengingatkan bahawa semua kebaikan daripada Allah dan semua keburukan itu datang dari kesalahan manusia sendiri. Manakala nabi Muhammad  diutuskan untuk membawa rahmat. Golongan munafik memberikan ketaatan palsu kepada nabi sedangkan Allah mengetahuinya. Ini kerana mereka tidak mahu memikirkan isi kandungan al-Quran.

Pada ayat ke 86 Allah mengajarkan kita agar menjawab ucapan salam dengan yang lebih baik lagi ataupun sama baik.

Orang-orang munafik suka jika orang-orang beriman turut menjadi munafik. Maka jangan dijadikan orang munafik ini teman baik, malah seharusnya mereka ini diperangi. Mereka mohon bantuan kepada kita ketika susah dan akan merancang pula dengan pihak musuh jika diajak. Puak munafik ini boleh dibunuh ketika perang. Tetapi haram kita membunuh sesama mukmin. Maka jika ketika perang, pastikan dahulu musuh kita. Mungkin mereka telah memeluk Islam, tetapi kita tetap membunuhnya untuk mendapat hartanya.

Orang berjihad dengan nyawa dan harta benda diberikan kelebihan berbanding orang yang uzur dan Allah lebihkan dengan pahala yang amat besar berbanding yang tidak berperang tanpa uzur. Orang yang tidak berhijrah bersama rasulullah untuk membela Islam ( Islam pada nama sahaja) dan membiarkan orang kafir menguasai mereka (sehingga sanggup disuruh berperang menentang Islam) akan dimasukkan ke dalam neraka kerana bumi Allah ini luas untuk mereka berhijrah. Sedangkan orang yang berhijrah benar-benar kerana Allah akan mendapat jaminan syurga.

Dinyatakan hukum solat qasar dan solat ketika perang dalam ayat 101 dan 102.

Al-Quran diturunkan bukan untuk membela orang yang khianat. Ada orang pandai menyembunyikan kejahatan mereka. Mereka menuduh pula orang lain yang lakukan kejahatan yang mereka lakukan. Tetapi Allah menyekat usaha jahat mereka. Orang yang pilih jalan yang sesat, Allah beri kuasa untuk mereka memilih melakukan kerja mereka itu di dunia ini. Tetapi di akhirat, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka jahannam. Dosa syirik, tidak diampun oleh Allah. Syirik dengan melakukan penyembahan kepada selain Allah adalah dari syaitan yang telah berjanji untuk menyesatkan anak Adam dengan cara memperindahkan perkara dosa dan mengajak manusia berangan-angan akan ke syurga dengan amalan kesesatan itu.

Sedangkan Allah menegaskan bahawa balasan yang baik, bukan hanya dengan angan-angan sahaja. Kita mesti kerjakan amalan soleh seperti yang dikehendaki agama Islam yang mengajak manusia berserah diri hanya kepada Allah dengan ikhlas serta berusaha mengerjakan kebaikan. Iaitu mengikut agama yang lurus (tetap atas dasar tauhid) dari nabi Ibrahim. (Sehingga ayat 125). Wallahua’lam