Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Thursday, May 15, 2014

Terima Kasih Cikgu

Bismillah

Dinyatakan didalam sebuah hadis diriwayatkan oleh At Tabarani daripada Abi Bakrah maksudnya, “Jadilah kamu seorang yang alim, atau yang suka belajar, atau yang suka mendengar (ilmu-ilmu agama), atau menjadi golongan yang cinta kepada tiga golongan di atas, tetapi jangan kamu jadi golongan kelima”. Begitulah antara penghargaan yang telah dinukilkan oleh Islam kepada guru iaitu orang yang berilmu yang memberikan tunjuk ajar kepada manusia sejagat agar dapat keluar daripada kepompong kejahilan adalah dalam kelas pertama.
Dahulu, pemimpin masyarakat atau orang yang bertanggungjawab menyedarkan masyarakat dengan ilmu dan mengetahui akan tipu helah penjajah, ramai daripada mereka adalah dari kalangan guru dan ustaz. Tugas dan tanggungjawab mereka berat, tetapi dilakukan dengan penuh tanggungjawab demi mendidik anak bangsa agar berilmu. Tiada kekayaan yang dikejar, ikhlas kerana Allah, sanggup berhabis duit demi anak murid itu adalah ciri-ciri guru yang berkhidmat pada ketika itu.
Islam memandang kerjaya guru ini adalah satu bentuk kerjaya yang sangat mulia. Namun mutakahir ini, peranan pendidik dilihat terlalu ditekan oleh pemerintah dengan bebanan kerja yang kian meningkat. Ditambah dengan apa yang dipanggil Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sistem ini dilihat sebagai beban tambahan yang tidak perlu yang telah diletakkan ke atas bahu para pendidik.
PAS memandang hal ini sebagai satu pemerasan ke atas golongan pendidik, dan percaya sebarang bebanan yang tidak perlu, yang akan menghasilkan lebih tekanan hidup. Perkara ini mesti dibuang bukan sahaja bagi meletakkan sistem pendidikan kita kembali gemilang tetapi memberikan lebih ruang bagi guru itu sendiri membina kualiti dalam hidup mereka dan keluarga mereka. Itu belum dikira tekanan politik yang mana dalam banyak kes guru yang berkeluarga dipisahkan dari keluarga mereka hanya kerana memilih ideologi yang berlainan daripada ideologi kerajaan memerintah, sekaligus menambahkan lagi tekanan hidup mereka.
PAS juga percaya bahawa sistem pendidikan bukanlah satu alat ujikaji semborono yang mana guru dan pelajar menjadi bahan ujikaji. Sebagai mana kata-kata dari Profesor DiRaja Engku Aziz, kalau tidak kerana tangan-tangan gatal yang mengganggu system pendidikan kita, maka ia tidak akan menjadi caca marba. Ini terbukti apabila pada tahun 2012, dalam Dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa) 2012, Malaysia berada pada kedudukan kedua tercorot di kalangan negara Asia Tenggara di belakang Singapura, Thailand dan Vietnam.
Oleh itu PAS percaya kekuatan mental guru akan terjejas kerana bebanan yang tidak perlu, sekaligus akan melemahkan prestasi mereka kerana tekanan kerja dan pastilah yang menjadi mangsa keadaan ialah anak-anak kita. Dan ini perlu kita hapuskan demi untuk kesejahteraan guru kerana mereka adalah Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi
Terima kasih cikgu, jasamu ku kenang keakhir hayat……

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu
16 Rejab 1435 bersamaan 16 Mei 2014

Monday, May 12, 2014

GST dan Islam

Bismillah

Saya ingin mengajak rakyat agar berfikir tentang kesan Cukai Barangan dan Perkhidmatan - Goods and Services Tax (GST) yang telahpun diluluskan bagi menggantikan cukai Jualan dan Perkhidmatan - Sales and Services Tax (SST) dan ianya bakal menemui rakyat Malaysia pada tahun depan dengan nilai sebanyak 6%. Walaupun ahli parlimen dari Pakatan Rakyat telah berusaha berhujah dan melawan kehendak kerajaan ini dengan bersungguh-sungguh, akan tetapi kerana PR tiada majoriti di Parlimen, maka ianya diluluskan juga.

Apa yang difahamkan GST ini telah diperkenalkan oleh seorang pakar ekonomi Perancis sejak tahun 50-an lagi dan telah diamalkan oleh kebanyakan negara-negara lain sejak sekian lama. Ianya satu sistem percukaian yang dikatakan lebih efektif berbanding dengan SST. Sistem ini adalah seperti kerajaan mewakilkan pihak peniaga untuk mengutip cukai daripada rakyat bawahan. Ia juga turut dikatakan akan mengemaskan lagi sistem dan data peniaga dengan terpaksa menyimpan semua rekod dan bil-bil mereka bagi semakan percukaian.

Contohnya senang, iaitu pengilang membuat produk, akan dicaj oleh kerajaan sebanyak 6%. Oleh itu, pengilang apabila menjual produknya kepada pembekal, akan menaikkan harganya daripada harga dahulu sebanyak 6%. Kalau harga jual barang itu kepada pembekal dahulu ialah RM100, sekarang sudah menjadi RM106. Si pembekal pula akan menjual barang itu kepada peruncit juga dengan harga tambahan sebanyak 6% daripada harga dulu. Dan akhirnya peruncit akan menjual kepada pengguna dengan keadaan harga barang itu telah naik dan menjadi 6% lebih daripada harga dahulu. Untuk pengisytiharan cukai itu pula, semua peniaga mestilah menyimpan resit jual beli mereka bagi rujukan.
Tidakkah kita melihat kesan berantai cukai itu yang akhirnya akan dikenakan kepada pengguna? Itu belum dikira kepada asas harga barang yang sudah berubah naik. Nilai 6% bagi RM100 berbeza dengan 6% bagi RM200.

Dan lebih malang lagi cukai itu tidak mengenal sesiapapun samada miskin atau kaya. Walaupun diberikan jaminan bahawa GST ini hanya keatas barang mewah sahaja dan tidak akan dikenakan kepada barangan perlu seperti beras, gula, tepung dan sebagainya, tetapi percayalah, tiada jaminan yang ianya tidak akan dikenakan pada masa akan datang. Seperti biasa, apabila BN berjanji “TIDAK AKAN NAIK” maka tunggulah masanya, ia “AKAN NAIK”, pasti! Contoh trbaik ialah kenaikan harga petrol, gula, ayam dan sebagainya yang berlaku selepas PRU walaupun masa berkempen BN berjanji tidak akan naikkan harga. Rakyat faham atau tidak, GST tetap dilaksanakan kerana anggaran cukai yang bakal diperolehi oleh kerajaan ialah sebanyak satu billion lebih selepas GST dilaksanakan.

Mari kita bandingkan pula dengan sistem muamalat dalam Islam. Dalam Islam kita juga ada cukai seperti jizyah, kharaj, usyur. Akan tetapi cukai-cukai ini adalah berkadar terus dengan pendapatan orang yang dikenakan cukai itu, makin kaya dia, makin banyak jumlah cukai. Tetapi ianya TIDAK dikenakan kepada orang miskin. Apa yang menjadi masalah ialah GST atau cukai lain yang dilaksanakan oleh kerajaan terkena keatas semua rakyat miskin ataupun kaya.

Lihat sahaja cukai pintu dikenakan sehingga beratus peratus. Ini adalah kezaliman kerana rumah ialah benda asasi, juga dikenakan cukai. Sedangkan semua manusia memerlukan tempat tinggal. Dalam kitab yang al-Kabaair tulisan Imam az-Zahabi, antara dosa besar yang disebut ialah al-Maksu ialah cukai-cukai yang zalim (mengikut satu tafsiran) kerana mengambil secara zalim.

Dalam Islam, kita tidak hanya bermuamalat di atas dunia sahaja, tetapi juga di akhirat. Cukai ini adalah perkara yang bukan sahaja berkait dunia tetapi hingga akhirat. Orang miskin tidak dikenakan cukai, kecuali kerana dharurat yang mencengkam seperti perang. Mengapa begitu bersungguh-sungguh kerajaan mahukan GST ini? Jawapannya ialah negara kita sentiasa bocor kantungnya sehingga tidak diketahui kemana hilangnya duit negara. Inilah sebab utamanya.

Tapi sayang, bukan ini caranya untuk kerajaan mengutip cukai dan lebih parah mereka memberikan alasan-alasan memperbodohkan rakyat bagi menghalalkan cukai itu dikutip. Kemana hilangnya dua billion bajet tahunan bagi negeri Terengganu? Kenapa pula hutang negara semakin lama meningkat sebegitu tinggi? Laporan Audit Negara saban tahun membuktikan kepincangan pengurusan wang rakyat, tetapi laporan tinggal laporan, tiada pendakwaan dan hukuman.

Lihatlah kejahilan kita sanggup mengagungkan sistem yang dicipta barat yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam kita yang tinggi dan mulia. Apabila kita cuba mahu menengakkan Islam, maka riuh rendahlah khalayak ramai bersuara menentang, tidak adil, kuno, berlawan dengan hak asasi manusia dan sebagainya, walaupun sistem kafir yang jauh lebih menindas, ianya akan dihiasi dengan pelbagai alasan agar rakyat menerimanya. Tiada ruh dalam sistem kapitalis yang menindas lebih-lebih lagi keatas golongan yang miskin dan lemah.

 Oleh itu kebimbangan kita ialah ketika di akhirat kerana tiada perlindungan kepada orang yang menganiaya orang lain. Dalam satu hadis Muslim, dosa penzina lebih ringan dari dosa orang yang mengenakan cukai secara zalim dan tidak sebenar ke atas rakyat. Ianya kerana dosa penzina tidak melibatkan orang ramai, tetapi dosa mengenakan cukai secara zalim ialah dosa yang melibatkan rakyat yang ramai. Pelakunya mesti bertaubat dengan menghentikan cukai yang zalim ini, mohon ampun kepada Allah dan lebih utama kepada rakyat kerana dosa ini. Wallahua'lam

Bekas MB Terengganu, Ahmad Said keluar UMNO

Petikan : Astro Awani

KUALA LUMPUR: Beberapa jam selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada Isnin, Datuk Seri Ahmad Said telah mengumumkan keluar dari parti UMNO.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal kini berdiri sebagai ADUN bebas.

"Dimaklumkan bahawa saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuatkuasa serta-merta.

Saya juga mengisytihar keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas bagi DUN Kijal," katanya dalam surat tersebut.

Keluar UMNO Ahmad Said
Surat keluar parti Datuk Seri Ahmad Said yang diemailkan kepada AstroAWANI.

Seorang lagi ADUN dari UMNO, iaitu Ghazali Taib yang merupakan ADUN Ajil juga telah isytihar keluar dari parti tersebut.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Ahmad Said dalam satu email kepada Astro AWANI.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said telah meletakkan jawatannya berkuatkuasa Isnin.

UMNO Keluar
Surat keluar parti ADUN Ajil, Ghazali Taib yang diemailkan kepada AstroAWANI.

Beliau digantikan oleh ADUN Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dalam satu majlis angkat sumpah.

Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu malam tadi.

Dengan perkembangan terbaru ini, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat masing-masing menguasai 15 kerusi daripada 32 kerusi DUN Terengganu di mana PAS menguasai 14 kerusi DUN manakala PKR pula satu kerusi.

Baki dua lagi adalah calon bebas.

Sunday, May 11, 2014

Anak nyaris kena hempap pokok

Petikan : Sinar Harian
 

Anak nyaris kena hempap pokok
Keadaan pokok leban yang tumbang menimpa bumbung bahagian depan
rumah seorang penduduk di Kampung Surau Haji Mat Zain.       
 
MARANG - Sebuah keluarga di Kampung Surau Haji Mat Zain, di sini, melalui detik cemas apabila rumah mereka dihempap pokok ketika angin kencang dan hujan melanda kampung berkenaan, kira-kira jam 3 petang, kelmarin.

Mismida Sidek, 40, berkata, ketika kejadian, enam anaknya sedang duduk dan ada yang sedang bermain di bahagian depan rumah.

Menurutnya, sebelum itu, dia terdengar bunyi angin kencang agak luar biasa ketika hujan melanda kawasan berkenaan.

“Saya rasa tak sedap hati dan memang nak panggil anak-anak masuk ke dalam rumah. Tapi belum sempat panggil mereka, tiba-tiba pokok leban berhampiran rumah tumbang menimpa atap tempat mereka duduk dan bermain,” katanya.

Ketika itu, Mismida berkata, dia berada di bahagian dapur rumah manakala suaminya, Roslan Abdul Rahman, 45, tiada di rumah kerana bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Kampung Bukit Sawa.

“Saya segera keluar dan tergamam seketika kerana terkejut lihat pokok itu sudah tumbang menimpa atap bahagian depan rumah, mujurlah anak-anak yang berada di situ sempat lari selamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, sekumpulan anggota dari Pasukan Sukarelawan Bomba dan Penyelamat Sri Payong, di sini, bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat.

Pegawai pasukan, Hamzah Long, 48, berkata, enam anggota sukarelawan yang tiba di tempat kejadian kemudian membantu menebang pokok dan membersihkan sisa pokok tumbang yang menimpa rumah mangsa.

Menurutnya, tenaga anggota sukarelawan itu bukan hanya ditagih apabila berlaku kebakaran, tetapi mereka turut membantu masyarakat bersesuaian dengan objektif penubuhan pasukan sukarelawan itu.

“Ini bukan perkara baru bagi kami anggota bomba sukarelawan Sri Payong.

"Selain membantu pihak Bomba dan Penyelamat Marang dan daerah lain, kerja-kerja sosial seperti ini adalah satu amalan diterapkan dalam kalangan sukarelawan kami,” katanya.

Tunggang kapcai ke Krabi

Petikan : Sinar Harian
Tunggang kapcai ke Krabi
Seramai 50 ahli ARC sanggup tunggang kapcai ke Krabi sambil melawat
Madrasah Darul Aitam Wal Masakin Lilbanat di Pattani.
MARANG - Seramai 50 ahli Alternatif Riding Club (ARC) Terengganu menaiki 37 motosikal kapcai meredah perjalanan sejauh kira-kira 1,800 kilometer berkonvoi sambil melawat golongan memerlukan perhatian di Krabi, Thailand.

Pengarah programnya, Wan Ahmad Riduan berkata, program membabitkan 50 ahli ARC yang dipilih dari seluruh negeri itu dianjurkan bukan sekadar sukasuka, tetapi mempromosikan ARC di negara jiran.

Menurutnya, jelajah menggunakan motosikal berkuasa rendah dan tinggi selama lima hari itu turut melawat pelajar pondok Anharul U Loom di Krabi dan melawat madrasah anak yatim iaitu Madrasah Darul Aitam Wal Masakin Lilbanat di Pattani.

“Program ini telah lama dirangka dan ia diadakan bertujuan meningkatkan lagi ukhuwah dalam kalangan ahli ARC dari seluruh negeri dan dalam masa sama untuk mempromosikan ARC ke negara jiran.

“Kita buat program ini bukan semata-mata melawat tempat menarik di Thailand seperti Krabi, Hadyai dan Songkla tetapi terdapat pengisian yang jelas iaitu melawat pelajar pondok dan madrasah di kawasan tersebut,” katanya.

Wan Ahmad Riduan berkata, perjalanan menggunakan motosikal berkuasa rendah dengan diiring pacuan empat roda amat mencabar kerana mereka berada di sebuah negara yang sedang bergolak.

“Namun, Alhamdulillah berkat doa dan ketabahan peserta, kita dapat menjayakan program konvoi ini. Malah ARC Terengganu turut bercadang untuk ke Indonesia tahun hadapan dengan matlamat yang sama seperti lawatan ke Thailand kali ini,” katanya.

Santuari Gajah RM8 juta Ditutup!

Petikan : Buletin Online
 
HULU TERENGGANU – Santuari Gajah Sungai Ketiar yang dibina sejak tahun 2008 dan mula dibuka kepada umum pada 29 Januari 2010 sudah tidak beroperasi lagi.
 
Tinjauan yang dibuat mendapati, tidak ada aktiviti di pusat perlindngan gajah yang terletak di jalan Tasik Kenyir ke Felda Aring itu.
 
Laman sosial Santuari tersebut telah memaklumkan, ia ditutup sempena perpindahan ke Pusat Konservasi Gajah Terengganu di Sungai Deka.
 
ahmad said santuari gajah“Terima kasih atas sokongan anda semua, harap maklum, page ini akan ditutup sempena perpindahan ke Pusat Konservasi Gajah Terengganu di Sungai Deka,” menurut laman Santuari sebagaimana dikemaskini pada 29 Mac lalu.
 
Menteri Besar, Dato’ Sei Ahmad Said pernah berkata Santuari Gajah di Sungai Ketiar yang dibina dengan perbelanjaan R8 juta itu adalah antara produk pelancongan yang akan ‘dijual’ sebagai tarikan utama di Terengganu.
 
Katanya, kawasan perlindungan ini akan dibahagi kepada tiga kompatmen dan setiap kompatmen (5,000 hektar) akan dikawal menggunakan pagar elektrik dan dibuka secara berasingan.
 
“Perbelanjaan dijangka mencecah lebih RM8 juta bagi membina pagar elektrik di sekeliling kawasan perlindungan gajah,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat di pusat tersebut pada Mac tahun 2000.
 
Kerajaan negeri turut dilaporkan membuka sebuah lagi pusat gajah yang dinamakan sebagai ‘Perkampungan Gajah'.
 
Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lalu, kerajaan negeri Terengganu menyatakan konsep Santuari Gajah adalah untuk melindungi dan menyelidik binatang tersebut.
 
Ia berbeza dengan pengurusan ‘perkampungan gajah’ yang menjurus kepada eko pelancongan.
 
santuari gajahtutup1“Perbezaannya ia dari segi konsep pengurusan dimana ‘perkampungan gajah’ adalah menjurus kepada ekopelancongan dan pendidikan,
 
“Manakala santuari gajah lebih menjurus kepada melindungi dan melakukan penyeleidikan gajah dihabitat asalnya,”sebagaimana dinyatakan kerajaan, pada kertas jawapan kepada soalan-soalan bertulis sidang DUN.
 
Kerajaan menyatakan demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh ADUN Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah
Kos bagi pembangunan Perkampungan Gajah pula dinyatakan berjumlah RM14, 853, 334.52.

Friday, May 9, 2014

Desas-desus pertukaran MB Terengganu


Bismillah
Saya mengikuti dengan cermat berita hangat ketika ini, iaitu berkaitan dengan desas desus pertukaran Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri  Ahmad Said yang dikatakan telah berjanji dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengemudikan Kerajaan Terengganu selama setahun sahaja bermula selepas menang PRU 13.
Saya sebagai rakyat Terengganu, merasakan berhak untuk mengemukakan beberapa persoalan agar jelas, apakah masalah yang sedang melanda Kerajaan Negeri Terengganu ini. Sebagai wakil rakyat, saya telahpun menjalankan tanggungjawab saya dengan mengemukakan soalan di dalam Sidang Dun baru-baru ini berkenaan pertukaran MB ini. Malangnya soalan saya ditolak oleh Dun. Oleh itu saya dengan penuh rasa bertanggungjawab mengemukakan soalan di sini agar kita, rakyat Terengganu, sama-sama dapat memikirkan masalah negeri kita. Pas sudah lama menyatakan kepincangan dalam pentadbiran Ahmad Said, tetapi sayang, ramai yang tidak mahu menerimanya.
Apakah kesalahan Dato’ Ahmad Said sebenarnya, sehinggakan beliau hendak diturunkan dari tahta MB ini? Jika kerana berlaku penyelewengan dalam pentadbirannya seperti yang PAS nyatakan dahulu, rakyat tidak boleh tidak, mesti dimaklumkan. Jika ada bukti, dakwa beliau di mahkamah, lakukan pendedahan terbuka. Undang-undang kita tidak mengenal sesiapa, besar atau kecil, bukan alasan untuk dia tidak didakwa. Kecuali pimpinan Umno negeri yang tidak sebulu dengan Ahmad, memilih untuk menjadi pengecut dengan mendiamkan semua penyelewengan itu, jika ada. Oleh itu ahli Umno yang mengaku cintakan keadilan, mesti bangkit bagi membongkar segala kepincangan ini suapya rakyat dapat menilai dan membuat satu kata putus yang betul dalam PRU yang akan datang.
Rakyat Terengganu, saya yakin, mereka telah muak dengan drama bersiri perbalahan dalaman Umno terutama antara “Team Utara” dan “Team Selatan” yang kelihatannya tiada berkesudahan pasca PRU 12, pada tahun 2008 (Kes Tuanku Sultan Terengganu digelar binatang). Sesiapa sahaja daripada Umno yang dipilih sebagai MB, dia akan melangsungkan agenda pembaziran wang rakyat. Oleh itu pertukaran MB ini saya percaya tidak ubah seperti menyapu sampah ke bawah karpet, tidak akan menyelesaikan masalah. Suatu masa, sampah itu akan menimbun dan kelihatan juga. Melainkan pembubaran Dun dibuat bagi rakyat diberi mandat untuk memilih semula kerajaan dan sekaligus untuk MB yang baru.
Sikap membisu Ahmad Said juga, menambahkan lagi persoalan-persoalan ini, dan adakalanya seperti dia mengiyakan kebenaran berita yang dicanang ini. Ini ditambah dengan sikap pimpinan Umno negeri memperlihatkan seolah-olah mereka sedang menunggu “hari bersejarah” yang dikatakan itu. Apatah lagi dengan kegagalan Karnival Kenyir yang sangat memalukan Ahmad dan juga dengan kenaikan cukai pintu oleh MBKT sehingga beratus kali ganda, memperkuatkan lagi suara-suara yang mencadangkan ianya seperti sabotaj dari pihak-pihak tertentu bagi memalukan pentadbiran Ahmad untuk melengkapkan jalan cerita ini.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu
8 Rejab 1435 bersamaan 8 Mei 2014