Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Thursday, April 17, 2014

Muslimat PAS Marang mengorak langkah PRU 14


Baru setahun Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 berlalu, tetapi semangat bagi menghadapi PRU 14 jelas kelihatan daripada kesungguhan usaha Muslimat PAS Marang setelah berjaya menubuhkan Muslimat Cawangan Sungai Serai.
Dengan tertubuhnya Muslimat PAS Cawangan Sungai Serai ini, maka diyakini usaha bagi menambah sokongan dari kalangan muslimat akan digerakkan dengan lebih kemas dan tersusun.
Majlis perasmian pelancaran itu disempurnakan oleh Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu YB Ustaz Mohd Nor Hamzah bertempat di tingkat atas Surau Sungai Serai kira-kira jam 3.30 petang Khamis lalu.
Menurut Ketua Jawatankuasa Penaja Muslimat Cawangan Sungai Serai Hasniza Ibrahim (kiri), sebelum ini Muslimat Cawangan Sungai Serai bergabung dengan Muslimat Cawangan Gondang kerana kekurangan ahli untuk bergerak.
Oleh kerana masalah itu, maka PAS Cawangan Sungai Serai,selama 14 tahun, terpaksa bergerak tanpa sayap muslimat dan perlu meminta bantuan Muslimat PAS Gondang bagi sebarang aktiviti cawangan yang libatkan wanita.
Tetapi setelah berjaya mengumpulkan kira-kira 60 orang wanita sebagai ahli, Hasniza berkata, mereka mengambil keputusan untuk menubuhkan Muslimat Cawangan Sungai Serai bagi membantu memantapkan lagi organisasi cawangan.
Tambah beliau lagi, ini adalah usaha semua pihak dalam usaha menubuhkan cawangan ini dengan mencari ahli dikalangan wanita dari rumah ke rumah.
Beliau juga yakin pihaknya akan berjaya menambahkan jumlah keahlian dengan lebih ramai lagi berdasarkan sambutan kaum wanita di situ.
Ditanya apakah aktiviti utama yang akan dijalankan oleh mereka, beliau menjawab keutamaan mereka sekarang ini ialah memperkemaskan aktiviti usrah umum bagi membentuk pemikiran ahli-ahli.
Disamping itu juga, aktiviti tahunan ketika bersama Cawangan Gondang iaitu membahagikan hamper kepada beberapa penduduk yang terpilih apabila menjelang Ramadhan akan diteruskan.
“Kita akan buat usrah umum bagi semua ahli dan akan jemput naqibah khas kita.
Biasanya bila tiba bulan Ramadhan, kita bahagi hamper.
Kalau dulu kita bahagi-bahagi dengan Gondang hamper tu, kalau ada 10, mungkin lima di Gondang dan lima di Sungai Serai.
Sekarang tertumpu kepada penduduk Sungai Serai sajalah,” ujar beliau.
Selain itu juga kempen kesedaran politik juga akan dipelbagaikan kerana Sungai Serai adalah kawasan pendalaman dan kaum wanita terutamanya wanita muda kebanyakkannya kurang peduli dengan senario politik semasa.
Cawangan Sungai Serai terletak dalam Dun Pengkalan Berangan, Parlimen Marang iaitu kira-kira 30 km dari bandar Kuala Terengganu.

Akhirnya Kerajaan Setuju Bayar Penduduk Pasir Putih

Petikan : Buletin Online
KUALA TERENGGANU – Setelah pelbagai kaedah yang dibawa oleh pemimpin PAS dan Jawatakuasa Bertindak Penduduk Kampung Pasir Putih, akhirnya kerajaan negeri khususnya Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said bersetuju untuk memberikan bayaran kepada penduduk yang terlibat.
Dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua (Persidangan) Dewan Undangan Negeri Terengganu yang berakhir semalam, wakil rakyat PAS telah mengemukakan soalan dan menekan kerajaan berikutan keengganan kerajaan membayar wang pampasan berhubung projek pelebaran jalan Kuala Terengganu-Dungun.
datuk Ku Ust M Nor1Ketua Penerangan PAS Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah telah menyampaikan rayuan dan rintihan penduduk Kampung Pasir Putih ketika berucap membahasakan Titah Tuanku.
“mengenai kes projek pelebaran jalan dari Kuala Terengganu ke Kuantan melalui Kampung Pasir Putih, saya mahu menyuarakan rayuan dan rintihan rakyay yang telibat dengan projek itu,
“mereka mengharapkan jasa baik, budi bicara kerajaan, membayar sedikit untuk membantu mereka (kerana) rumah dan kedai yang terpaksa diruntuhkan,”ujarnya.
Beliau yang juga ADUN Bukit Payong berkata, penduduk tidak bersalah kerana mereka tidak menyangka dan menyedari pengambilan tanah sebagaimana yang disebut oleh kerajaan dalam dokumen, sejak tahun 1964.
katanya, tanda batu rezab jalan tdak dialih dan geran baru tidak diberi oleh kerajaan serta kerajaan negeri membenarkan pemberian harta pusaka di pejabat tanah menggunakan geran lama.
Geran baharu telah didaftarkan 15 Januari 2007 tetapi sebahagian penduduk masih belum mengambil geran tersebut dan sebahagian telah pun dipindah milik kepada pemilik baharu, maknanya berlaku urus niaga jual beli.
pembinaan jalan kg pasir putih1Sehubungan itu, Ahmad Said turut mengakui, siasatan jabatan mendapati, pemilik baharu tidak dimaklumkan pengambilan tanah daripada milik asal.
Geran baharu menurutnya, telah didaftarkan 15 Januari 2007 tetapi sebahagian penduduk masih belum mengambil geran tersebut dan sebahagian telah pun dipindah milik kepada pemilik baharu, maknanya berlaku urus niaga jual beli.
ADUN PAS Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar turut bangkit mencelah, merayu agar Menteri Besar membuat keputusan serupa sebagaimana yang dilakukan kepada penduduk di kawasan yang diwakilinya sebelum ini dengan kadar RM5,000 seorang.
Akhirnya, kerajaan akur dan Ahmad Said berkata, kerajaan dengan rela hati dan tiada masalah mempertimbangkan dengan satu kadar yang akan ditentukan bagi membayar penduduk yang terbabit dengan projek pelebaran jalan tersebut.

Tuesday, April 15, 2014

DUN Terengganu tolak bahas usul hudud, keikhlasan Umno diragui

Petikan : The Malaysian Insider  

Adun Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah ketika membawa usul hudud di Dewan Undangan Negeri Terengganu, hari ini.
Adun Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah ketika membawa usul hudud di Dewan Undangan Negeri Terengganu, hari ini.


Walaupun pemimpin Umno di peringkat pusat dan negeri Kelantan berjanji untuk menyokong undang-undang syariah khasnya hudud jika ia dibawa oleh PAS di Parlimen, tetapi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini menolak usul sama dibawa oleh parti Islam itu.

Speaker DUN Terengganu, Mohd Zubir Embong pagi ini menolak usul yang dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah di bawah peraturan mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap DUN.

Bagaimanapun, Zubir mencadangkan semua ahli Parlimen beragama Islam menyokong usul yang akan dibawa oleh Kelantan ke Dewan Rakyat.
Mohd Nor berkata, tindakan menolak usul itu kerana Umno Terengganu cuba melepaskan diri dan takut dengan tekanan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama MCA dan MIC.

"Mereka takut dengan kerajaan pusat," kata Mohd Nor kepada The Malaysian Insider.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub, berkata pihaknya akan membawa rang undang-undang persendirian bagi membolehkan undang-undang sama yang turut diluluskan di Kelantan ke Parlimen.

Ia susulan kenyataan Ketua Pembangkang DUN Kelantan dari BN, Datuk Md Alwi Che Ahmad yang berkata beliau akan tinggalkan Umno jika menolak undang-undang itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga berkata, kerajaan pusat akan mengizinkan undang-undang hudud dilaksanakan di Kelantan dan akan cuba membantu.

Sehubungan itu, PKR mencabar Jamil supaya BN membawa usul ini di Parlimen kalau dia benar-benar ikhlas.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail, berkata BN Terengganu sepatutnya membawa usul itu ke Parlimen.

Ahli Parlimen Ketereh daripada Umno, Tan Sri Annuar Musa, berkata beliau akan melobi semua ahli Parlimen beragama Islam agar menyokong usul itu.

Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng, kemudian berkata DAP akan membantah cadangan itu dan akan melobi agar semua ahli Parlimen bukan Islam daripada BN juga membantah cadangan itu.

Sebelum ini, bekas pengerusi DAP, Karpal Singh, berkata DAP akan membantah cadangan ini.
Perbalahan itu membawa kepada perpecahan antara ahli Parlimen Islam dan bukan Islam di negara ini.

Menurut usul yang dibawa oleh Mohd Nor di DUN Terengganu hari ini, beliau meminta persidangan ditangguh mengikut Fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan dewan merundingkan isu pelaksanaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1432H/ 2002M yang diluluskan oleh dewan itu pada 7 Julai 2002.

Beliau berkata, isu itu adalah perkara tertentu kerana pelaksanaan undang-undang Islam adalah tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah dalam Al-Quran antaranya dalam surah al-Baqarah ayat 178, an-Nur ayat 2 dan surah al-Maidah ayat 38.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1432H/ 2002M diluluskan menjadi undang-undang tertinggi bagi negeri ini, dan mendapat persetujuan Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2 September 2002 serta disiarkan dalam warta negeri Terengganu pada 25 September 2002.

Enakmen itu juga dicatatkan berkuatkuasa bermula pada 27 Oktober 2003 melalui dokumen TR.P.U.10/2003, malah, penemuan batu bersurat di Kuala Berang sebelum ini membuktikan kerajaan Terengganu suatu ketika dahulu mengamalkan undang-undang Islam lebih awal daripada kerajaan Islam Melaka.

Malangnya, sehingga kini ia gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri Terengganu, kata Mohd Nor dalam usulnya. – 15 April, 2014.

Monday, April 14, 2014

Penghakiman Ingkar Diketepikan Kerana Perintah Tidak Sempurna


Petikan : Buletin Online

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu telah mengenepikan perintah penghakiman ingkar sebanyak RM2 juta terhadap Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.
Peguam beliau Asmuni Awi berkata, perbicaraan pada hari Isnin 14 April itu adalah untuk mengenepikan perintah yang diperolehi oleh pihak plaintif Encik Shamsul Amin pada 17 Februari lalu.
Katanya, mahkamah telah mendengar permohonan Ustaz Hadi (defendan) dan telah membenarkan permohonan Ustaz Hadi mengenepikan perintah itu dengan dua alasan.
“Yang pertama, mahkamah bersetuju dengan alasan atau hujah yang diberikan oleh pihak Ustaz Hadi dengan penyampaian writ saman itu sendiri tidak sempurna,
“Kerana ia telah disampaikan kepada pihak yang tidak ‘berotoriti’ untuk menerimanya, dan tidak diketahui kewujudan individu yang menerima writ saman itu, (dan) tidak dapat dibuktikan oleh pihak plaintif,
“Dan yang kedua, diatas dasar penghakiman RM2 juta itu sendiri yang tidak ‘proper’ (dilakukan sebaiknya), yang telah diperolehi oleh pihak plantif secara ‘de-regular’,
“Dan tidak mengikut peraturan mahkamah,”ujarnya kepada pihak media di hadapan kompleks mahkamah disini.
Oleh itu, Pengerusi Lujnah Guaman PAS itu berkata, mahkamah telah memberikan masa selama empat belas bagi pihak defendan untuk memfailkan kehadiran dan memasukkan pembelaan, sebelum tesebut dibicarakan sepenuhnya.
Menjawab soalan pemberita, Asmuni berkata kes ini akan mengmbil masa yang panjang kerana selepas ini akan melalui proses pengurusan.
“Pengurusan kes yang tepaksa melalui beberapa peringkat, sehingga apabila semua sempurna barulah ia akan dibawa kepada pihak hakim mahkamah tinggi.
Yang akan membicarakannya dan akan duduk untuk pendengaran,”ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penyampaian writ saman tidak sempurna kerana ia telah diterima oleh seseorang yang tidak dikenali.
Beliau berkata, maklumat penerima writ tersebut tidak sempurna, apabila didapati nombor kad pengenalannya yang dicatatkan hanya memounyai angka ‘enam digit’ sedangkan nombor kad pengenalan lama adalah tujuh digit.

“Ini bukan DUN Selangor, ini DUN Terengganu...!!!”


Wakil Dun Bukit Tunggal Dr. Alias Razak menempelak wakil Dun Air Putih Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar ketika wakil Air Putih itu cuba mengganggu ucapan menjunjung kasih beliau kepada Titah DiRaja.
Kejadian berlaku ketika Dr. Alias membicarakan masalah kesihatan rakyat yang bagi beliau agak teruk situasinya sekarang terutama kes denggi yang bertambah berbanding tahun lepas dengan banyak sekali.
Dalam titah ucapan Tuanku Sultan, laporan menyebutkan bahawa kes denggi di Terengganu mencatatkan peningkatan dari 48 kes tahun lepas kepada 232 kes tahun ini, satu angka yang sangat besar.
Wakil Air Putih kemudiannya bangun dan cuba membuat perbandingan dengan negeri Selangor dalam kes denggi itu dengan mengatakan dalam makluman beliau kes denggi di Selangor lebih banyak berbanding dengan Terengganu.
Dr. Alias yang kelihatan agak serius ketika menyampaikan ucapannya, membalas gangguan yang cuba dilakukan oleh wakil Air Putih itu dengan menegaskan bahawa perbahasan ini adalah dalam Dun Terengganu bukannya Selangor.
“Kita bukan dalam Dun Selangor, ini Terengganu, hak rakyat Terengganu.
Kalau Air Putih nak pergi Selangor, silakan, silakan,” tegas beliau yang membuatkan wakil Air Putih terdiam.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Terengganu turut membangkitkan isu berkaitan dengan wakil rakyat pembangkang yang dipilih secara sah dalam pilihanraya tetapi tidak mendapat penghormatan yang sesuai sebagai wakil rakyat.
Dr. Alias kemudianya mencadangkan agar wakil rakyat pembangkang turut diberikan tempat seperti dalam Majlis Pembangunan Daerah kerana mereka adalah wakil yang sah yang dipilih rakyat dan bukannya pihak lain.
Beliau bagaimanapun memuji tindakan Majlis Istiadat Dan Adat Istiadat Melayu (Maidam) yang menurut beliau memberikan hak yang sama kepada wakil rakyat pembangkang dalam menamakan penerima wang zakat.
Manakala wakil Tepoh pula, YB Hishamudin Abdul Karim menyentuh isu berkenaan perlunya diwujudkan Jawatankuasa Hisbah (pemantau) bagi memastikan nilai-nilai integriti dalam pentadbiran kerajaan dipertahankan.
Mengambil contoh pembaziran pembinaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, ketelusan dan kesungguhan kerajaan dipersoalkan apabila kos pembinaan dan baik pulih mencecah ratusan juta dan kes itu kelihatan masih tergantung.
Sebagai cadangan penyelesaian, Hishamudin kemudiannya mengajak kerajaan agar kembali kepada sistem pentadbiran Islam dengan mewujudkan sistem hisbah sebagaimana yang ditunjukkan oleh rasulullah s.a.w pada zaman baginda.
Beliau mencadangkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberikan ruang yang besar bagi mereka menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan lagi.

Friday, April 11, 2014

PAS sentiasa terbuka dalam kerjasama dakwah


PAS sentiasa terbuka dalam menerima sesiapa sahaja sebagai sahabat, tanpa mengira latar belakang mereka asalkan mereka sanggup memberi ruang ataupun kerjasama kepada penyebaran dan perkembangan Islam.
Demikian yang dinyatakan oleh Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semalam ketika menerima kunjungan muhibbah wakil NGO Haji Kamarudin Abdullah di rumahnya semalam.
Beliau memberi contoh tahaluf siyasi yang diadakan PAS dengan DAP, yang mana kesannya sangat positif apabila mereka mula membaca buku-buku Islam bagi menambah lagi pengetahuan mereka berkaitan Islam.
Keterbukaan PAS ini adalah salah satu daripada ramuan kejayaan mereka dalam mendepani halangan-halangan politik semasa iaitu saling lengkap melengkapi keperluan diantara masyarakat majmuk di Malaysia.
“Kita bersama bergerak membuang halangan yang ada untuk kelangsungan Islam.
Sehingga ada sesetengah orang kristian masuk Islam kerana surah at-Tiin yang mana permulaan ayat surah itu menyebut demi buah tiin, demi buah zaitun dan demi bukit Sinai dan demi tanah (Mekah) yang aman ini.
Mereka mendapati penyebutan buah tiin dan zaitun itu merujuk kepada tempat lahir nabi Isa a.s yang sememangnya subur dengan buah tiin dan zaitun, Bukit Tursina bagi nabi Musa dan tanah yang aman ialah Mekah.
Oleh kerana merasakan adanya hubungan ini maka ada orang kristian masuk Islam,” terang beliau.
Tambah beliau lagi, bangsa arab adalah bangsa yang paling keras jiwa mereka tetapi akhirnya tunduk kepada Islam melalui rasulullah, menunjukkan dengan kaedah dakwah yang berkesan akan membawa kejayaan.
Beliau menyarankan agar pendakwah-pendakwah memberikan kefahaman dan penerangan kepada sasaran dakwah mereka dengan fakta, hujah dan dialog dan bukannya menyerang serta bergerak dalam organisasi yang tersusun.
Maka tiada sebab sasaran dakwah itu akan menolak Islam selepas mereka difahamkan dengan fakta-fakta yang jelas tentang kebenaran islam.
Presiden NGO Islamic Propagation Society International (IPSI) Haji Kamarudin Abdullah yang diraikan sebagai tetamu Presiden PAS itu, melahirkan rasa gembiranya dengan kesanggupan kerjasama dari pihak PAS.
Beliau yang datang bagi mengadakan program penerangan berkenaan berdakwah kepada bukan Islam di sekitar Marang berkata banyak kelemahan yang beliau perhatikan dalam cara berdakwah kepada bukan Islam.
Beliau menyarankan agar para pendakwah membuang pemikiran sempit seperti menekankan bangsa, puak, parti dalam menyampaikan dakwah.
Kefahaman yang lemah dalam ilmu Islam juga memberikan kesan yang besar kepada cara berdakwah dan kadangkala menjadikan Islam itu lebih buruk pada pandangan bukan Islam.
“Kelemahan sebahagian pendakwah ialah tidak faham sepenuhnya berkenaan Islam.
Pendakwah mesti meningkatkan ilmu mereka dari semasa ke semasa dan kemantapan kefahaman kepada sesuatu perkara mesti diasah agar dapat salah faham dapat dielakkan,” tegas beliau.
IPSI ialah satu pertubuhan bukan kerajaan yang melakukan dakwah kepada bukan Islam dengan aktif disemua peringkat yang berpusat di Pulau Pinang dimana mereka adalah satu-satunya pertubuhan dakwah yang mempunyai bangunan sendiri.

Tuesday, April 1, 2014

Kenyataan Media : Pembelian Amphicoach , satu lagi bakal projek pembaziran Umno

Bismillah

1 – Saya merujuk satu laporan akhbar yang melaporkan Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri dalam proses membeli dua buah ‘Amphicoach’ ataupun Bas Amfibia (dua alam) berharga tiga juta ringgit setiap satu bagi menjadi tarikan terbaru pelancong di Pulau Bebas Cukai di Tasik Kenyir.
2 – PAS Terengganu memandang langkah pembelian ini sebagai satu perkara yang tidak penting, tidak mendesak dan  tidak perlu diberi keutamaan. Ini kerana  sepatutnya kerajaan lebih mengutamakan pengusaha-pengusaha bot yang telah sekian lama menjalankan perniagaan mereka di situ. Langkah memperkenalkan Amphicoach ini hanya akan mengundang ketidakpuashatian para pengusaha sedangkan matlamat industri pelancongan adalah bagi meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
3 – Alasan MB dengan menyatakan pembelian ini adalah strategi serampang dua mata iaitu ianya boleh digunakan juga bagi operasi menyelamat banjir adalah dangkal dan tidak berpijak di bumi nyata. Jika sekiranya ketika banjir, ianya hanya ingin digunakan untuk mengangkut orang ramai ke tempat yang lebih selamat, banjir baru-baru ini telah membuktikan yang kita tidak memerlukan Amphicoach ini yang bernilai jutaan ringgit bagi kerja-kerja menyelamat. Kita hanya perlu kepada bot-bot kecil yang lebih mudah untuk masuk ke kawasan-kawasan sempit bagi tujuan menyelamat. Kenyataan ini membuatkan kita tertanya-tanya, adakah MB juga pakar dalam bidang ‘Emergency Response’ kerana sepatutnya kenyataan berkaitan dengan kerja-kerja penyelamat ini datangnya dari pihak berkaitan seperti JPAM atau JBPM setelah kajian dilakukan. Ini adalah kali kedua dalam masa terdekat, MB cuba menjadi jurucakap pakar setelah baru-baru ini beliau dilihat seolah-olah bercakap bagi pihak saintis ketika menjawab persoalan tujuan lawatan beliau ke Antartika menggunakan wang rakyat.
4 - Juga yang perlu diambil kira ialah tentang penyelenggaraan samada dari kos dan juga alat ganti dimana kita sedia maklum, kenderaan ini hanya ada dua buah di Malaysia, jadi bayangkan dimana hendak dicari alat gantinya. Hal ini boleh memberi ruang berlakunya penyelewengan seperti yang pernah terjadi keatas kenderaan kerajaan yang mana kos penyelenggaraannya diluar jangkaan sehingga menjadi kes polis.
5 – Ketika kehidupan rakyat makin tersepit dengan kenaikan kos barangan dan juga pendapatan yang tidak seberapa sehinggakan ada penoreh yang bersabung nyawa diserang beruang di Merchang semata-mata ingin mencari sedikit wang bagi menyara keluarga, pembelian dengan harga jutaan ringgit ini adalah sesuatu yang memperlihatkan kurangnya sensitiviti kerajaan atas kesusahan hidup rakyat ketika ini. Sepatutnya penumpuan kepada masalah kehidupan rakyat perlu dititikberat dan diutamakan.
6 - Dengan rekod beberapa siri kegagalan projek di Kenyir ini seperti projek Taman Burung yang mana burung-burung berharga ribuan ringgit seekor, telah banyak ‘hilang’ ditelan pemangsa. Maka PAS percaya alasan pembelian Amphicoach berharga enam juta ringgit yang dikatakan bagi tujuan tarikan pelancongan dan kerja-kerja penyelamat ketika banjir ini tidak lebih hanyalah sebagai kosmetik sahaja bagi ‘menghalalkan’ duit rakyat diambil kerana terdapat laporan Amphicoach ini sebenarnya hanya berharga sekitar tiga juta ringgit dua buah. Ini menimbulkan tanda tanya besar, bagaimanakah kiraan pembelian ini menjadi enam juta? Adakah wang rakyat akan menjadi seperti burung di Taman Burung Tasik Kenyir yang ‘hilang’ ditelan pemangsa tanpa dapat dikesan?
7 – Oleh itu PAS yakin dan percaya wang rakyat dapat diselamatkan jika sekiranya kerajaan negeri membatalkan pembelian ini yang pada pendapat PAS ianya tidak ada bezanya dengan kisah pembaziran-pembaziran sebelum ini seperti stadium runtuh, Lawatan ke Antartika, Projek Ubi Gadong, Projek Kambing Kaprima, Fertigasi Mega, kelewatan projek LPT  dan banyak lagi projek-projek yang kita boleh senaraikan sebagai pembaziran wang rakyat yang tidak sedikit malah mencapai bilion ringgit yang mana akhirnya pembuat onar terselamat tetapi duit rakyat tetap juga hangus.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
2 Jamadil Akhir bersamaan 2 April 2014