Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Sunday, June 28, 2015

Tadabbur Ringkas Quran 27 : Bacaan Tiga Minit

Surah Yusuf. Diturunkan di Mekah, mengandungi 111 ayat. Kisah Nabi Yusuf memenuhi hampir keseluruhan surah ini. Allah menyatakan al-Quran diturunkan dalam bahasa arab untuk kita memahaminya. Menurut Tafsir al-Qaasimi, bahas arab adalah bahasa yang terbaik yang dapat menampung makna-makna dan rahsia-rahsia al-Quran yang sangat luas itu berbanding dengan bahasa lain. Diturunkan kepada rasulullah kisah yang indah dalam surah Yusuf ini, sedangkan nabi tidak tahu langsung akan peristiwa ini. Nabi Yusuf pernah bermimpi yang sebelas bintang, matahari dan bulan tunduk kepadanya, yang sebenarnya bermaksud 11 adik beradik dan kedua ibu bapanya. Nabi Ya’kub yang memahami maksud mimpi Nabi Yusuf itu, segera mengarahkan Nabi Yusuf mendiamkan hal itu dari adik beradiknya, bimbang mereka berdengki kerana itu adalah tanda kenabian.
Benar, saudara mereka berlainan ibu, menaruh rasa dengki terhadap Nabi Yusuf dan adiknya Bunyamin dan menuduh Nabi Ya’kub tidak adil. Maka dirancang pembunuhan keatas Nabi Yusuf, tetapi salah seorang dari mereka mencadangkan hanya dibuang dalam perigi.Maka dipujuk Nabi Ya’kub agar dibenarkan mereka membawa Yusuf keluar bermain. Nabi Ya’kub mengelak tetapi akhirnya mereka berjaya memujuk Nabi Ya’kub. Mereka kemudiannya membuang Nabi Yusuf ke dalam perigi dan pulang dengan berpura-pura sedih. Mereka mengatakan bahawa Nabi Yusuf mati dimakan serigala sedangkan Nabi Ya’kub tahu mereka menipu. Dan dia hanya berserah kepada Allah dengan bersabar atas kejadian yang menimpa.
Sementara itu, Nabi Yusuf yang ada di dalam telaga itu kemudiannya dapat naik ke permukaan setelah bergayut dengan tali timb yang digunakan oleh pedagang untuk mengangkat air. Saudara Nabi Yusuf kemudiannya datang dan menjual Nabi Yusuf kepada pedagang tersebut dengan harga yang murah sahaja. Kemudian dia dijual di mesir. Tetapi Nabi Yusuf diselamatkan oleh Allah dengan menjadikan tuannya kasih kepadanya dan memberikan layanan yang baik kepadanya. Bahkan Allah mengajarkannya pual dengan ilmu mentakwil mimpi. Nabi Yusuf juga dikurniakan kecerdikan dan ilmu oleh Allah apabila meningkat dewasa.
Ketika ini isteri tuannya, (Zulaikha) berusaha memujuknya untuk berzina, tetapi ditolak oleh Nabi Yusuf dan berdoa agar Allah menyelamatkannya dari perbuatan keji itu kerana dia takutkan Allah. Dan Allah menyelamatkanNabi yusuf dari zina itu. Dan ketika Nabi Yusuf berlari ke pintu untuk keluar, Zulaikha menarik bajunya dan ketika itu muncul lah suaminya, lantas Zulaikha segera membuat fitnah, menuduh Nabi Yusuf cuba berbuat jahat kepadanya. Dan Nabi Yusuf memeprtahankan dirinya. Lalu diberi pendapat oleh saudara Zulaikha yang ada bersama, supaya memeriksa baju kedua-duanya. Baju yang koyak di depan menandakan Nabi Yusuf berbohong dan jika koyak di belakang, Zulaikhalah yang berbohong. Apabila mendapati baju Nabi Yusuf koyak di belakang, maka suami Zulaikha menyuruh Zulaikha bertaubat kerana jelas dia bersalah.
Tersebar berita itu, maka wanita-wanita Mesir mengutuk Zulaikha sebagai perempuan yang keji. Namun bagi membalas kejian mereka itu, Zulaikha membuat satu rancangan dengan menjemput mereka ke majlisnya. Dalam majlisnya dia memberikan pisau kepada semua tetamunya. Dan ketika mereka sedang menggunakan pisau bagi memotong makanan, Zulaikhapun menyuruh Nabi Yusuf keluar ke ruang tamu. Maka tercenganglah tetamu-tetamu wanita itu dan tanpa sedar telah memotong tangan mereka dengan pisau itu. Zulaikha telah berjaya menunjukkan bahawa sememangnya Nabi Yusuf sangat tampan dan pastinya ramai yang terrgoda, bukan dia sahaja.
Nabi Yusuf memohon kepada Allah utnuk dia dipenjarakan bagi menyelamatkan diri dari fitnah dan diperkenankan Allah. Di dalam penjara Nabi Yusuf bertemu dengan dua orang khadam raja. Mereka bermimpi dan meminta ditafsirkan mimpi mereka kerana melihat Nabi Yusuf sebagai orang yang mulia. Walaupun di dalam penjara. Nabi Yusuf masih berdakwah supaya manusia menyembah Allah yang esa. Dan dia menafsirkan mimpi itu, salah seorang daripada khadam itu akan mati dihukum bunuh. Apabila khadam yang terselamat itu keluar, Nabi Yusuf meminta dia memberitahu kepada raja berkenaan dirinya di dalam penjara itu, tetapi khadam itu telah dilupakan oleh syaitan, maka tinggal Nabi Yusuf dalam penjara selama beberapa tahun lagi.
Beberapa tahun kemudian, raja bermimpi akan tujuh ekor lembu kurus memakan tujuh ekor lembu yang gemuk, dan tujuh tangkai hijau serta tujuh yang kering. Tiada seorangpun yang tahu maksud mimpi itu. Khadam yang terselamat itu lantas teringatkan Nabi Yusuf dan segera menemuinya untuk meminta Nabi Yusuf menafsir mimpi itu. Setelah diterangkan bahawa rakyat Mesir disuruh bertanam selama tujuh tahun dan menyimpan hasilnya kerana Mesir akan mengalami musim kemarau selama tujuh tahun`selepas tujuh tahun menanam itu. Kemudiannya baharulah akan datang subur. Maka segeralah raja memerintahkan agar Nabi Yusuf dibawa mengadapnya dan menyiasat kembali apakah punca dia dipenjara.
Setelah dipanggil semua saksi-saksi, maka mengakulah wanita-wanita itu termasuk Zulaikha yang merekalah yang sebenarnya memerangkap Nabi Yusuf dan mengaku bahawa Nabi Yusuf adalah seorang yang berakhlak mulia. Zulaikha mengaku akan keterlanjurannya tetapi mempertahankan bahawa dia tidak melakukan zina Cuma terpedaya dengan syaitan dan cuba mengajak Nabi Yusuf berzina. Dengan pengakuan itu, maka bersihlah Nabi Yusuf dari segala tuduhan jahat keatasnya. Dan paling penting dia mahu suami Zulaikha mengetahui bahawa dia tidak berzina dengan isteri tuannya itu. Tamat Juzuk 12. Wallahua’lam.

Saturday, June 27, 2015

Tadabbur Ringkas Quran 26 : Bacaan Tiga Minit

Kisah Nabi Hud dan kaumnya ‘Aad disebut dalam ayat ke 50 yang mana kaumnya juga menyembah selain dari Allah. Walaupun tidak meminta upah dari mereka, dakwah Nabi Hud tetap ditolak oleh kaumnya. Begitulah sikap kaum yang tidak mahu menggunakan akal. Kaum ‘Aad adalah kaum yang tinggal di semenanjung arab, dari kalangan manusia yang gagah, hidup bertani, tetapi hujan jarang turun. Tetapi dalam keadaan kekurangan hujan itupun, mereka masih menyekutukan Allah. Mereka tidak mempercayai Nabi Hud dan berkata Nabi Hud adalah seorang yang gila kerana dijadikan begitu oleh tuhan-tuhan mereka disebabkan pada pandangan mereka Nabi Hud sentiasa mengina tuhan-tuhan mereka.
Tetapi keyakinan Nabi Hud ialah Allah yang menguasai semua makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi ini, bukannya tuhan lain, maka Hud tidak gentar dengan mahkluk. Nabi Hud tidak rugi jika kaumnya menolak seruan dakwahnya kerana Allah pasti akan membinasakan kaum yang kafir dan menggantikannya dengan kaum yang lain. Maka apabila azab iaitu angin ribut yang memusnahkan kaum ‘Aad, nabi Hud tetap selamat. Mereka dimusnahkan kerana sikap mereka sendiri yang mengikut pemimpin yang zalim dan dilaknat sehingga kiamat.
Begitu juga dengan kisah kaum Tsamud, di negeri al-Hijr, dimana dari kalangan mereka sendiri nabi diutuskan iaitu Nabi Salih kerana mahu menyelamatkan mereka dari kesesatan yang nyata dengan tidak menyembah Allah. Walaupun diberikan mukjizat sebagaitanda kenabian, kaumnya tetap derhaka, malah lebih jauh dari itu, mereka menyembelih unta mukjizat Nabi Salih sambil mencabar azab Allah. Maka selepas tiga hari, mereka menerima azab yang dijanjikan dengan suatu suara yang kuat dan mematikan mereka semua dalam kehinaan. Nabi Salih dan pengikutnya, seperti nabi-nabi lain juga, terselamat dari azab itu.
Dikisahkan juga tentang Nabi Ibrahim juga menerima tetamu iaitu malaikat Allah yang dalam perjalanan untuk menghapuskan kaum Lut, sambil membawa berita gembira iaitu Sarah akan mengandungkan Ishak dan kemudian anak Ishak iaitu Ya’qub. Walaupun sarah ketawa tidak percaya, tetapi itulah kehendak Allah. Ibrahim dinyatakan Allah sebagai seorang yang lemah lembut, bimbang akan keselamatan saudaranya iaitu Nabi Lut, tetapi malaikat hanya menurunkan azab ke atas kaumnya dan isteri Lut sahaja, dan Lut akan diselamatkan.
Apabila malaikat sampai ke rumah Lut, mereka menyamar menjadi lelaki-lelaki yang tampan yang mencemaskan Nabi Lut kerana kaumnya yang sukakan seks sejenis, segera datang menyerbu rumahnya untuk mendapatkan tetamu nabi Lut. Walaupun ditawarkan anak perempuannya untuk dinikahkan kepada mereka, mereka tetap menolak dan tetap inginkan tetamu Nabi Lut. Bagaimana kuatnya Nabi Lut menahan dan menghalang kaumnya yang menggila itu, sudah pastinya dia tidak terdaya kerana tiada kekuatan. Namun tetamu Nabi Lut menenangkan dia dengan member jaminan yang kaumnya tidak dapat berbuat apa-apa kepada Nabi Lut. Malaikat-malaikat itu menyuruh Nabi Lut lari meninggalkan kampungnya bersama keluarganya dan pengikutnya yang beriman ditengah malam, kecuali isterinya yang bakal menerima azab kerana menjadi sebahagian dari kaum Lut yang derhaka itu. Apabila tiba waktu subuh, maka negeri Sodom itu diterbalikkan, dihujani dengan batu batan dari tanah yang dibakar secara bertalu-talu. Sebagai peringatan kepada kaum musyrikin, negeri Sodom itu tidak lah jauh dari mereka dan mereka boleh melihat kesan keingkaran kaum Lut itu.
Disebutkan juga kisah di negeri Madyan dekat Jordan, iaitu kaum nabi Syu’aib yang kebanyakan dari mereka ialah para peniaga yang sering menipu dalam timbangan mereka. Dinasihatkan oleh Nabi Syu’aib agar berlaku amanah dalam timbangan, jangan diambil harta secara haram kerana azab Allah akan menimpa orang yang menipu. Lazimnya jawapan yang diterima oleh para nabi dan rasul ini hampir sama, mereka melakukan semua itu kerana menurut ajaran nenek moyang mereka, bukan kerana dalil dari kitab. Dan jelas, mereka juga mengetahui akan azab-azab yang telah Allah turunkan kepada kaum yang derhaka sebelum mereka keranaNabi Syu’aib mengingatkan mereka akan peristiwa itu, tetapi mereka tetap dengan pekerjaan mereka. Pada akhirnya apabila sudah merasa rimas dengan nashat dan teguran Nabi Syu’aib, mereka mengugut mahu membunuh Nabi Syu’aib. Kesedihan sebagai seorang nabi dapat dirasakan kerana dakwahnya tidak diterima dan dia hanay menunggu azab keatas kaumnya sebagai bukti dakwahnya benar. Dan akhirnya kaumnya dibinasakan sama seperti yang terjadi kepada kaum Tsamud, iaitu mereka mati kerana suara pekikan yang kuat.
Begitu juga dengan Nabi Musa yang berhadapan dengan Fir’aun yang akhirnya dibinasakan oleh Allah kerana kesombongannya mengaku tuhan di dalam laut. Walaupun telah ditunjukkan mukjizat oleh Nabi Musa, Fir’aun tetap kufur. Di akhirat, Fir’aun akan mengetuai kaumnya masuk ke neraka dan dia serta kaumnya yang menderhaka, mendapat laknat tidak putus-putus di dunia dan akhirat.
Semua kejadian ini jelas menunjukkan yang manusialah yang menganiaya diri mereka. Dan berhala yang mereka sembah tak dapat menolong mereka sedikitpun. Azab ini semua akan menjadi I’tibar kepada orang-orang yang beriman yang percaya kepada hari pembalasan. Pada hari itu, tiada seorangpun yang dapat menolong seorang yang lain kecuali dengan izin Allah. Jadi jangan kecewa dengan golongan musyrik yang tak menerima Islam. Mereka akan diazab. Yang penting, kena istiqamah atas jalan Allah. Jangan cenderung kepada penzalim, nanti akan dibakar api neraka. Kebanyakan kaum yang diazab itu, orang yang cerdik pandai dan kaya di kalangan mereka tidak mencegah mungkar, tapi sibuk dengan harta dunia. Jika mereka mengamalkan mar ma’ruf nahi mungkar, nescaya Allah akan menyelamatkan mereka. Allah berkuasa menjadikan manusia duduk dalam satu agama sahaja, tetapi Allah berikan akal fikiran kepada mereka untuk mereka berfikir, tetapi mereka memilih untuk melawan Allah. Hanya yang mendapat rahmat bersatu dalam agama Allah. Neraka akan dipenuhi dengan jin dan manusia yang berdosa. Orang beriman akan terlepas dari kejahatan orang yang kufur. Tamat surah Hud. Wallahua’lam.

Tuesday, June 23, 2015

Tadabbur Ringkas Quran 25 : Bacaan Tiga Minit

Surah Hud- Diturunkan di Mekah mengandungi 123 ayat. Dinamakan Hud bersempena peristiwa berkaitan Nabi Hud dalam ayat 50-60.
Al-Quran ialah kitab sebuah kitab yang tersusun dengan ayat-ayat yang teguh dan dijelaskan maksudnya satu persatu dari Allah yang Maha Bijaksana. Ianya tidak akan berubah dan tidak akan dapat diubah maksudnya oleh sesiapapun. Dalam al-Quran dihuraikan kisah para nabi, iktiqad, hukum, nasihat dan banyak lagi. Ini adalah untuk memberikan kekuatan kepada manusia agar tidak menyembaha sesuatu yang lain daripada Allah. Dan rasul adalah pembawa berita azab bagi yang ingkar dan berita gembira bagi yang taat dan beriman. Kepada manusia yang kufur, hendaklah mereka bertaubat daripada kesyirikan, kembali mentaati suruhan Allah supaya Allah memberikan kenikmatan kepada mereka. Jika mereka ingkar, maka azab siksa menanti mereka. Segala yang ada di dalam hati mereka walau mereka mahu menyembunyikannya, Allah tetap mengetahuinya. (Tamat Juzuk 11)
(Juzuk 12) Segala rezeki makhluk Allah, ada tersimpan di dalam Lauh Mahfudz.Dijadikan langit dan bumi dalam masa enam hari, adalah untuk menguji manusia, siapakah yang lebih baik amalannya. Tetapi bagi orang kafir, ianya semata-mata sihir. Jika azab tidak datang segera, mereka mengejek-ngejek apa yang menghalang azab itu untuk datang. Tetapi jika azab itu datang, maka tiadalah yang dapat menghalangnya.
Sikap manusia selalu tidak tahu bersyukur. Jika diuji dengan kesusahan, maka mereka meratapinya seperti mereka tidak pernah mendapat nikmat. Apabila mendapat semula nikmat, maka mereka bermegah-megah dan lupa untuk bersyukur kepada Allah. Kecuali sebahagian kecil yang tetap teguh dengan menyembah Allah walau dalam keadaan susah atau senang, hati mereka tetap dengan Allah. Merka pastinya beroleh keampunan dan pahala yang besar.
Rasul diwajibkan menyampaikan wahyu dari Allah kepada manusia dan tidak boleh melayan orang-orang yang ingkar itu. Ada sebahagian mereka bertanya, kenapa nabi tidak datang dengan harta yang banyak? Atau dengan malaikat? zSedang nabi hanyalah penyampai seruan Allah. Kemudian dituduh pula nabi sebagai yang mereka cipta al-Quran, sedangkan mereka tidak mampu membuat surah-surah sebanding al-Quran walaupun dikerah seluruh manusia. Sepatutnya mereka segera beriman setelah gagal mengemukakan surah sebanding al-Quran. Barangsiapa yang mencari dunia tanpa menjadikan al-Quran sebagai pedoman halal haramnya, mereka akan mendapat bahagian dunia mereka. Tetapi tiadalah bahagian mereka di akhirat nanti kecuali azab neraka. Dan tidaklah sama mereka dengan golongan yang menjadikan al-Quran sebagai saksi dan petunjuk dalam hidup mereka. Maka janganlah ragu-ragu dengan al-Quran kerana ianya benar dari Allah tetapi ramai manusia yang mendustakannya.
Golongan yang berdusta atas agama Allah akan mendapati saksi-saksi dari kalangan malaikat, nabi-nabi dan anggota badan mereka sendiri akan memberikan keterangan tentang kezalimannya. Mereka juga ketika di dunia menghalang orang lain dari membuat kebaikan. Mereka tidak dapat melawan kuasa Allah dan tiada yang dapat membantunya kerana kebenciannya kepada jalan agama Allah yang teramat sangat ketika hidup dahulu. Rugilah mereka itu. Manakala orang beriman adalah golongan yang beruntung di akhirat, tinggal kekal di syurga. Bandingan mereka seperti orang pekak dan buta dengan orang celik dan mendengar.
Nabi Nuh diutuskan kepada kaumnya untuk berdakwah supaya jang menyembah selain dari Allah. Tetapi telah menjadi sunnatullah, para nabi dan rasul, mereka sentiasa disokong oleh golongan miskin, lemah dan tertindas. Jadi pembesar di negri nabi Nuh menolak dakwah nabi Nuh dan menganggap beliau seorang pendusta kerana penyokong nabi Nuh terdiri dari kalangan mereka yang lemah. Namun nabi Nuh bukan mahukan harta mereka, tetapi hanya menyuruh mereka kembali kepada Allah. Dia juga tidak datang dengan membawa kekayaan. Oleh itu pembesar-pembesar itu meminta azab dari nabi Nuh untuk membktikan kebenarannya. Mereka meneruskan penghinaan kepada nabi Nuh dengan menggelarkannya sebagai pendusta dengan menggunakan gelaran nabi. Dan Allah memerintahkan nabi Nuh membuat sebuah bahtera dengan panduan Allah dan berjanji akan menenggelamkan kaum yang zalim itu.
Walaupun diejek, nabi Nuh tetap dengan kerjanya membina bahtera. Apabila tiba masa taufan datang, nabi Nuh diperintahkan agar membawa masuk sepasang binatang untuk tiap-tiap jenis, ahli keluarganya yang taat serta orang-orang beriman. Mereka naik dengan menyebut nama Allah. Pun begitu, ketika melihat anaknya yang berada di luar bahtera, belau memanggilnya tetapi anaknya tetap degil kerana kufur dan diapun mati dalam keadaan derjaka ditelan air. Setala binasa semuanya, maka air diperintahkan Allah supaya berhenti dan bahtera itupun berhenti di atas Gunung Judiy.
Maka binasalah kaum kafir itu, termasuklah anak nabi Nuh sendiri. Dengan sedih dia masih merayu kepada Allah, tetapi ditegaskan Allah anaknya itu bukan lagi dari kalangan keluarganya kerana kekufurannya telah memisahkan nabi Nuh dengan anaknya dan memerintahkan agar nabi Nuh tidak lagi memohon sesuatu yang dia tidak ketahui. Setelah selesai, mereka diperintahkan agar turun dari bahtera dan menjalani kehidupan seperti biasa. Tetapi dengan diberi ingatan oleh Allah bahawa akan terjadi juga dari kalangan ank cucu mereka yang kufur dan akan mendapat azab Allah. Wallahua’lam

Tadabbur Ringkas Quran 24 : Bacaan Tiga Minit

Ketika hari kiamat, penyembah-penyembah patung akan dikumpulkan dan segala patung-patung itu berkata sebagai melepaskan diri, yang kaum musyrik sembah itu, tidak lain hanyalah hawa nafsu mereka sendiri dan Allah sebagai saksi mereka. Dengan itu, hilanglah perkara rekaan mereka ketika hidup dulu. Kaum musyrik ketika di dunia, apabila ditanya siapakah yang menjadikan alam ini, mengaturnya, menghidup dan mematikan makhluk, pasti akan menjawab: Allah lah yang menguasai segalanya. Jadi apa sebabnya mereka tidak mahu bertaqwa? Dan apabila ditanya pula makhluk-makhluk yang mereka sekutukan itu mampu berbuat seperti Allah, mereka mengaku tidak. Dan mereka juga mengakau Allah yang meberi hidayah. Jadi mengapa mereka berpaling daripada pemberi hidayah? Bukan itu semua perbuatan yang tidak dapat diterima akal?
Sebenarnya, kaum musyrik ini menurut sangkaan sahaja, tanpa dalil. Maka al-Quran dan kitab-kitab terdahulu adalah pembawa dalil-dalil keterangan dan tidak ada syak ianya datang dari Allah. Namun tetap orang kafir mengatakan Quran itu rekaan Muhammad. Dan apabila dicabar untuk membawakan surah yang sebanding dengan al-Quran, mereka gagal walaupun dibantu oleh semua pihak. Dan orang yang mendustakan kitab-kitab Allah akan mendapat balasan pedih dari Allah. Oleh itu Allah menyuruh nabi agar berlepas diri dari orang-orang yang zalim ini kerana mereka ibarat orang yang pekak, buta datang mendengar ilmu dari rasulullah tetapi kesalahan juga yang dicari. Hanya Allah pemberi hidayah. Mereka sebenarnya menganiaya diri sendiri.
Hidup ini sangatlah singkat dan amat rugilah orang-orang yang mendustakan Allah. Diutuskan nabi dan rasul kepada semua umat untuk memberikan hukum-hakam dari Allah supaya manusia tidak teraniaya. Tetapi manusia tetap memperolok-olokkan para nabi dan rasul itu dengan bertanyakan bila datangnya azab Allah itu? Sedangkan nabi tidak berkuasa memberi manafaat dan mudharat kepada manusia dan hanya menunggu saat ketentuan Allah sahaja untuk berlaku, tidak lewat ataupun cepat. Tetapi adakah mereka bersedia untuk keluar dari azab jika azab itu benar-benar datang? Dan jika mereka insaf ketika azab itu datang, ianya sudah tidak berguna lagi. Malah jika mereka mengorbankan segala harat mereka untuk menghilangkan azab itu, ianya sia-sia sahaja. Dan Allah tidak menganiaya mereka sedikitpun kerana telah mengutuskan nabi dan rasul kepada mereka.
Bumi ini milik Allah, Dia yang menghidup dan mematikan makhluk, jadi ingatlah. Dia juga menurunkan Quran sebagai nasihat, pengajaran, penawar penyakit batin, juga menjadi hidayah dan rahmat kepada orang-orang beriman. Al-Quran adalah jauh lebih baik dari himpunan segala benda yang tidak kekal.Namun al-Quran telah dijadikan manusia sebagai barang untuk didustakan. Apabila ada hokum yang ditetapkan oleh al-Quran, mereka melanggarnya menunjukkan yang mereka itu tidak tahu bersyukur dengan limpah rahmat dari al-Quran. Segala perbuatan kita samada kecil mahupun besar, akan dicatat oleh malaikat. Oleh itu bagi wali-wali Allah, mereka tidak merasa sedih kerana keimanan dan ketaqwaan mereka terhadap Allah. Mereka gembira menanti janji-janji Allah. Bagi golongan yang ingkar itu, tidak perlulah disusahkan kerana Allah maha mengetahui. Penyekutu Allah ialah golongan yang menurut sangkaan sahaja dan pendusta.
Allah tidak mempunyai anak, sebagaimana dakwaan jahat yang dikatakan oleh kaum kafir. Dan mereka pasti gagal. Jika senang, hanya sementara di dunia sahaja. Akhirat nanti azab yang menanti mereka. Kisah nabi Nuh dinyatakan dalam ayat ke -71 sebagai pengajaran kepada kita iaitu perihal kaumnya yang menolak dan merancang kejahatan ke atasnya. Pesan nabi Nuh, jika kamunya berpaling, tiada yang merugikannya, dia tidak meminta upah kerana upahnya ada di sisi Allah. Tetapi apabila kejahatan ke atas nabi Nuh semakin menggila, maka Allah selamatkan nabi Nuh berserta pengikutnya dari banjir besar. Demikian juga dengan rasul-rasul selepas nabi Nuh, mereka didustakan oleh kamu mereka seperti Fir’aun yang menentang nabi Musa dan Harun. Apabila dibawakan mukjizat, dikatakan sihir dan menuduh nabi Musa datang untuk membolot kekayaan Mesir dari tangan mereka. Apabila nabi Musa menang melawan ahli sihirnya, Fir’aun tetap kufur. Pun begitu, kalimah Allah tetap terpelihara walaupun dibenci oleh ahli maksiat. Penyokong kebenaran hanyalah sedikit bagi melawan kejahatan Fir’aun. Tetapi mereka diberikan berita gembaira yang mereka akan terselamat daripada kejahatan Fir’aun. Allah pula memaqbulkan permintaan nabi Musa agar dimusnahkan harta benda Fir’aun. Apabila dibawa Bani Israel menyeberang Laut Merah, Fir’aun telah ditenggelamkan di dalamnya. Ketika itu Fir’aun berkata beliau beriman kepada Allah, namun taubatnya itu tidak lagi diterima Allah. Manakala jasadnya ditimbulkan Allah supaya menjadi iktibar kepada generasi selepasnya untuk mengambil pengajaran.
Bani Israel dikurniakan kitab yang menerangkan akan kedatangan nabi yang terakhir iaitu nabi Muhammad saw. Oleh itu mereka sebenarnya mengetahui banyak perkara tetapi mereka tetap mendustakan walaupun sudah mendapat kebenaran melalui kitab-kitab mereka itu. Maka rasulullah diberi ingatan oleh Allah agar tidak menjadi dari kalangan orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan ragu-ragu. Orang yang tidak beriman tetap mendustakan ayat Allah sehingga mereka melihat azab. Oleh itu iisah Fir’aun mesti dijadikan sempadan supaya beriman kepada Allah sebelum datangnya azab sebagaimana terselamatnya kaum nabi Yunus yang bertaubat sebelum ditimpa azab oleh Allah. Maka Allah telah mengurniakan kenikmatan dan menjauhkan kehinaan kerana taubat mereka itu diterima Allah.
Rasulullah tidak bertanggungjawab menjadikan semua manusia beriman. Ianya terserah kepada Allah. Jadi tidak perlu bersusah hati dan bersedih, kerana rasul hanya menyampaikan sahaja. Bagi orang yang kufur, walau apapun yang dibuktikan dari kekuasaan Allah, mereka tetap tidak mendapat faedah darinya. Mereka ini sebenarnya hanya menunggu azab Allah sahaja. Dan apabila azab itu datang, Allah akan menyelamatkan orang-orang yang beriman. Tiada syak lagi dalam agama Islam kerana yang disembah ialah Allah iaitu dzat yang menghidup dan mematikan manusia. Bukan seperti patung-patung yang tidak bernyawa itu. Sesekali rasulullah bukan dari kalangan musyrik yang menzalimi diri sendiri dengan menyembah sesuatu yang tiada member manafaat dan mudharat.
Apa yang datang samada bahaya atau kebaikan, tiada suatupun yang dapat mengangkatnya kecuali dengan izin Allah. Kebenaran al-Quran yang diturunkan oleh Allah adalah sebagai hidayah kepada diri manusia itu sendiri. Dan jika mereka berpaling, maka merekalah yang sesat dan nabi bukan wakil yang mengurus iman manusia. Maka bersabarlah dalam berjuang sehingga datangnya keputusan Allah membezakan antara hak dan batil iaitu kemenangan yang dijanjikan. Tamat Surah Yunus. Wallahua’lam.

Sunday, June 21, 2015

Tadabbur Ringkas Quran 23 : Bacaan Tiga Minit

Muqaddimah Surah Yunus. Dinamakan Yunus bersempena dengan nama salah seorang rasul iaitu Nabi Yunus. Diturunkan di Mekah dan mengandungi 109 ayat. Seperti kebiasaan, surah yang diturunkan di Mekah, isi kandungannya banyak berkaitan dengan soal aqidah manusia. Diketengahkan juga perihal kebenaran al-Quran ini sehinggakan sependek-pendek surah sekalipun, manusia tidak dapat membuat standing dengannya. Sirah para nabi ialah berjuang di jalan Allah dan pasti  mendapat tentangan dari manusia yang ingkar. Oleh itu para pejuang agama Allah mesti melupakan tentangan-tentangan ini demi mencapai kemenangan yang Allah janjikan. Bag orang yang menentang, para nabi dan rasul, tidak akan dibebankan ke atas mereka dengan penolakan itu, sebaliknya merekalah yang rugi.
Dalam ayat ke-2, kaum musyrik merasa hairan kenapa seorang manusia yang dipilih Allah bagi menyampaikan wahyuNya dan bukan malaikat. Sehingga akhirnya mereka menuduh bahawa al-Quran itu adalah sihir kerana apabila mendengar bacaan al-Quran oleh rasulullah, mereka menjadi lemah dan terus mengatakan bahawa itu adalah sihir.
Allah menyatakan langit dan bumi ini diciptakan dalam masa enam hari dan setiap masa tersebut, hanya Dia yang mengetahui dan kemudiannya bersemayam di atas Arasy (dengan yang selayakNya). Tanpa keizinanNya, tiada siapa yang dapat meberi syafaat kepada sesiapapun. Maka dengan kehebatan Dia mentadbir dan memelihara manusia, selayaknyalah Dia disembah dan dituruti akan perintahNya. Akhirnya, kepada Dialah semua makhluk kembali, membalas segala perbuatan mereka, beriman atau kufur sebagai memenuhi janji balasanNya. Manakan tidak hebat, Dialah yang mengatur segala pergerakan matahari, bulan, planet yang beredar mengikut orbitnya bagi manusia mengira masa dan semua kejadian itu ada gunanya, tiada yang sia-sia. Ini sebagai tanda untuk manusia memikirkannya.
Tetapi jika manusia memilih untuk lalai dari mengambil peringatan ini, serta merasakan tiada hidup selepas mati, maka nerakalah tempat kembalinya. Bagi orang yang beriman, Allah akan menjadi pemimpin mereka untuk ke syurga. Ketika melihat nikmat, mereka mengucapkan pujian kepada Allah. Manusia adakala sifatnya gopoh dalam meminta sesuatu dari Allah, marah apabila lambat permintaannya dimaqbulkan Allah, sedangkan semua itu adalah hak Allah, Dia yang berkuasa member atau menahannya. Dan orang yang sesat, akan dibiarkan Allah meraba-raba dalam kesesatannya. Satu lagi sifat buruk manusia ialah apabila mendapat bala atau ujian, maka merintihlah mereka memohon kepada Allah. Dan apabila ditarik ujian dan bala itu, seolah-olah tidak pernah mereka berdoa kepada Allah sebelum itu, bersikap sombong angkuh pula.
Allah mengingatkan sudah banyak kaum yang zalim dihapuskan oleh Allah sebelum ini. Dan dijadikan umat Muhammad sebagai khalifah menggantikan umat terdahulu bagi diuji oleh Allah. Sesetengah manusia yang melawan rasulullah, meminta Quran yang lain kerana tidak percaya kepada Allah. Tetapi rasulullah tetap dengan pendiriannya bahawa itulah Quran yang diwahyukan kepadanya, tiada kuasa dia menukarkannya dan baginda takut dengan azab Allah. Sedangkan jika kaum kafir itu memikirkan yang rasulullah adalah seorang ummiy (buta huruf), telah lama terkenal dengan sifat amanahnya, maka mereka sepatutnya tahu bahawa Quran itu adalah wahyu Allah. Tetapi mereka tetap mendustakan rasulullah, jelas kezaliman mereka.
Kaum kafir tetap menyembah patung yang tiada member mudharat dan manafaat kepada mereka dan yakin bahawa mereka akan mendapat syafaat dari patung-patung itu, sedangkan Allah suci dari segala sekutu. Manusia pada mulanya hanya beragama Islam, tetapi setelah disesatkan oleh syaitan dan nafsu mereka berselisih. Tetapi Allah tidak menyegerakan hukuman kepada mereka. Banyak alasan kaum musyrik untuk tidak beriman seperti meminta mukjizat. Pernah Mekah dilanda kebuluran dan musyrikin Mekah meminta rasulullah berdoa kepada Allah. Apabila doa rasulullah supaya dihapuskan kebuluran dimaqbulkan, segera mereka berpaling dan kembali menentang Allah dan rasul. Begitu juga dengan perumpamaan yang Allah berikan ketika sebuah kapal dilanda rebut, penumpangnya berdoa dengan seikhlasnya kepada Allah. Dan apabila rebut berhenti, mereka mula melakukan kerosakan di muka bumi tanpa alas an yang benar. Dan perbuatan derhaka mereka itu adalah bala kepada mereka sendiri tanpa mereka sedar.
Kehidupan dunia ini diibaratkan sebagai air hujan yang turun, menyuburkan tanaman dan bunga-bungaan, memberikan keindahan, menumbuhkan tanaman, memberikan makanan kepada manusia, melekakan manusia dan tiba-tiba pada satu waktu, semuanya diragut dari mereka hancur lebur, seolah-olah ia tidak pernah wujud. Bagi manusia yang berfikir, mereka tahu dunia ini tidak akan kekal. Oleh itu, jika kita ikut jalan Allah yang lurus, maka kita selamat. Ahli syurga adalah orang yang sentiasa membaiki amalannya, berseri wajahnya dan akan dapat melihat dzat Allah. Berlawanan dengan ahli neraka, wajahnya hitam, hina, tiada pelindung dan kekal dalam neraka. Wallahua’lam

Saturday, June 20, 2015

Tadabbur Ringkas Quran 22 : Bacaan Tiga Minit

Juzuk ke-11 masih lagi dalam surah at-Taubah. Golongan munafik bersegera mengadap rasulullah sebaik sahaja rasulullah pulang dari Perang Tabuk. Mereka memberikan pelbagai alasan berserta sumpah dengan nama Allah. Tetapi sebenarnya rasulullah telah mengetahui cerita disebaliknya. Maka rasulullah diperintahkan oleh Allah untuk menolak semua alasan mereka dan mengisytiharkan bahawa mereka tidak akan diterima lagi untuk menyertai pasukan tentera Islam. Dan tempat mereka ialah neraka jahannam. Dalam golongan munafik itu, termasuklah juga kaum A’arab iaitu badawi yang lebih jahil dari golongan lain. Kriteria mereka juga sama. Tetapi ada juga orang-orang A’arab ini beriman kepada Allah.
Allah mengisytiharkan keredhaanNya ke atas dua golongan iaitu Kaum Muhajirin dan Ansaar kerana keredhaan mereka kepada Allah dan jasa-jasa mereka kepada membantu rasulullah menegakkan agama Allah. Bagi golongan yang berdosa, Allah menyuruh rasulullah mengambil zakat dari mereka agar dengan zakat dan sedekah itu, akan menjadi asbab keampunan Allah ke atas mereka. Kerana hanya Allah lah yang menerima taubat. Dikisahkan juga ada beberapa orang sahabat yang ditangguhkan penerimaan taubat mereka oleh Allah. Mereka dipulaukan kerana tidak turut serta berperang sedang mereka dalam keadaan sihat.
Masjid Dhirar, adalah satu masjid yang didirikan oleh orang-orang munafik bagi tujuan memecah belahkan kesatuan umat Islam serta juga menajdi pusat intipan bagi pihak musuh. Pun begitu, mereka tetap menyatakan bahawa masjid mereka itu hanyalah untuk mencari kebaikan sedang Allah mengetahui isi hati mereka. Maka Allah mengangkat Masjid Qubaa’ sebagai masjid yang didirikan atas dasar taqwa kepada Allah yang telah dibina pada hari-hari awal rasulullah sampai di Madinah serta juga Allah memuji jemaahnya dan Allah melarang rasulullah bersolat selama-lamanya di Masjid Dhirar. Maka Masjid Dhirar itu diruntuhkan dan golongan munafik sekali lagi kecewa kerana rancangan mereka tidak menjadi kenyataan.
Orang-orang beriman berjual beli dengan Allah samada menggunakan harta mereka ataupun nyawa mereka sebagai barangan jualan. Allah membeli jualan mereka kerana keikhlasan mereka berjuang di jalan Allah. Ini telah dinyatakan dalam kitab-kitab terdahulu iaitu Injil dan Taurat dan jual beli inilah yang memberikan kuntungan yang sangat besar kepada orang-orang yang diterima jualan mereka oleh Allah. Ciri mereka ialah sentiasa bertaubat, beribadat, memuji kepada Allah, menuntut ilmu, bersolat, mengamalkan amar ma’ruf nahi mungkar.
Dalam surah ini juga ada terdapat larangan meminta keampunan kepada orang-orang musyrik, walaupun mereka dari kalangan kaum kerabat kita. Sehinggakan nabi Ibrahim sendiri berlepas diri atas kemusyrikan bapanya setelah lama berharap agar ayahnya diampunkan. Allah berikan pedoman kepada semua manusia agar manusia memilih baik buruk sesuatu perkara. Akan tetapi manusialah yang memilih keburukan kerana menolak keterangan Allah.
Kaum Muhajirin dan Ansaar pernah suatu ketika bergoncang keimanan mereka bila diuji Allah dan hampir terpesong hati mereka dari menuruti rasulullah, tetapi mereka bertaubat dan Allah menerima taubat mereka. Begitu juga kisah tiga orang sahabat yang tidak turut serta dalam perang Tabuk, mereka dipulaukan sehinggakan Kaab Bin Malik, isterinya juga diperintahkan meninggalkan dia keseorangan yang menyebabkan mereka merasakan dunia ini amat sempit bagi mereka. Dan setelah lama bertaubat, maka Allah menerima taubat mereka. Allah menegaskan bahawa rasulullah sepatutnya ditemani oleh orang-orang Madinah jika pergi berperang kerana segala pengorbanan mereka dalam melawan pihak kuffar, akan dicatat sebagai amalan soleh oleh Allah dan akan dibalas dengan hal yang lebih baik.
Tetapi dalam berperang itu, tidaklah seharusnya semua orang keluar berperang. Orang-orang yang sedang menuntut ilmu, atau guru-guru agama hendaklah meneruskan pembelajaran mereka supaya ada golongan yang akan mewarisi ilmu dan mengembangkannya nanti. Orang kafir musyrik yang memerangi kita, wajib diperangi bagi mereka merasakan kesakitan.
Penyakit memperolok-olok al Quran adalah penyakit orang munafik. Mereka jika ada menerima ayat-ayat baru yang diwahyukan, akan bertanya sesama mereka, siapakah yang bertambah iman mereka dengan ayat ini? Sedangkan Allah menambahkan iman kepada orang-orang mukmin. Yang berpenyakit kufur, akan menambahkan lagi kekufuran mereka dengan isi al-Quran. Golongan ini, walaupun dikenakan bala bencana berkali-kali, tetap begitu juga keadaan mereka. Bagi golongan munafik, mereka didedahkan oleh Allah tentang perangai mereka sehingga mereka dapat dikesan dan akan melarikan diri kerana malu apabila al-Quran menyebut perihal perangai mereka. Tercengang-cengang mereka kerana berfikir ada dari kalangan mereka yang membocorkan rahsia mereka. Sedangkan kalau mereka tahu, rasulullah itu sebenarnya diturunkan dalam keadaan sangat-sangat mengasihi umatnya dan sentiasa inginkan kebaikan kepada umatnya. Tetapi jika kita ingkar dengan rasulullah, ketahuilah Allah ada bersama baginda dan cukuplah Allah itu yang memelihara dia, dan yang rugi adalah kita yang menolak seruan rasulullah. Wallahua’alam tamat surah at-Taubah.

Wednesday, June 17, 2015

Tadabbur Ringkas Quran 21 : Bacaan Tiga Minit

Alhamdulillah bertemu lagi kita dalam siri tadabbur ringkas Quran di blog Dun Bukit Payong. Kita menyambung tadabbur kita pada siri yang ke 21 setelah tahun lalu kita membawa 20 siri tadabbur. Bacaan tadabbur ini insyaAllah akan mengambil masa sekitar tiga minit sahaja untuk dihabiskan. Anda digalakkan untuk menyebarkan tulisan ini untuk kebaikan bersama. Untuk siri ke 21 ini kita menyambung perbincangan di dalam surah at-Taubah ayat ke 73.
Allah telah memerintahkan rasulullah agar berjihad memerangi kaum munafik dan kafir. Dan bagi mereka (kafir dan munafik) balasannya adalah neraka. Orang munafik suka membuat sumpah palsu dan mereka adalah golongan yang kafir setelah Islam, berniat ingin membunuh nabi. Tetapi Allah memberikan peluang bagi mereka mendapat kebaikan dengan bertaubat. Akan tetapi Allah juga member amaran yang mereka akan mendapat seksa api neraka jika ingkar dan tiada seorangpun yang dapat menolong mereka.
Ayat-ayat biasa dari kaum munafik ialah, berjanji jika Allah beri limpah kurnia, maka mereka akan bersedekah dan jadi orang yang soleh. Tetapi bila dapat, mereka mungkir janji. Akibatnya perasaan munafik itu Allah kekalkan hingga mereka mati. Mereka lupa yang Allah tahu semuanya yang ada dalam hati-hati mereka. Diceritakan dalam perang Tabuk, ada dari kalangan penderma yang menderma hanya sedikit sahaja kerana tidak mampu. Hal ini menjadi bahan ejekan oleh kaum munafik. Tetapi Allah memuliakan penderma yang menderma dengan ikhlas itu dan akan membalas ejekan kaum munafik itu dengan balasan neraka.
Rasulullah tidak mampu meminta ampun bagi kaum munafik setelah Allah memberitahu kepada rasulullah bahawa sama sahaja jika rasulullah meminta ampun bagi pihak munafik sehingga 70 kalipun, tetapi oleh kerana kefasikan mereka, maka Allah tidak akan mengampunkan dan memberikan hidayah kepada mereka. Munafik juga gembira bila tidak bersama rasulullah dalam perang Tabuk. Malah menghasut pula orang lain agar jangan pergi kerana ketika itu musim panas. Tetapi Allah memberitahu bahawa api neraka itu jauh lebih panas daripada musim panas itu. Maka ketawalah sedikit mereka di dunia dan pastinya akan menangis dengan banyaknya di akhirat nanti. Mereka juga tidak diterima lagi untuk turut serta pergi berperang bersama rasulullah, tidak disembahyangkan mayat mereka, bahkan tidak dibenarkan rasulullah untuk duduk di tepi kubur mereka kerana mereka mati dalam keadaan fasik. Maka janganlah kita terpedaya melihat kekayaan orang munafik kerana tidak boleh menolong mereka di akhirat. Ditutup hati mereka daripada melihat kebaikan dunia dan akhirat.
Sementara orang-orang mukmin yang sejati itulah golongan yang benar-benar berjaya, mendapat jaminan syurga. Manakala golongan yang lemah seperti tua, sakit, miskin, mereka diberi perlepasan untuk tinggal di Madinah dan tidak berdosa bagi mereka. Mereka sebenarnya ingin turut pergi, tetapi terhalang dengan keadaan mereka dan Allah mengetahuinya. Sehinggakan ada dari kalangan orang miskin yang sangat beriya-iya untuk turut serta tetapi tiada kenderaan yang mampu rasulullah berikan kepada mereka. Menyebabkan bercucuran airmata mereka, sedih mengenangkan nasib mereka yang tidak dapat mengikuti pasukan jihad itu pergi. Akan tetapi bagi orang yang kaya yang suka mengada-ngadakan cerita untuk mengelak daripada turut serta dalam pasukan perang, maka hati mereka dipaterikan oleh Allah sehingga tidak dapat mebezakan kebaikan.Inilah antara inti pati keterangan berkenaan ayat-ayat dalam surah at-Taubah. Menceritakan perangai munafik dan orang beriman. Tamat Juzuk 10. Wallahua’lam.