Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Sunday, November 30, 2014

Pelajar cemerlang UPSRI dirai

(Pelajar terbaik akademik keseluruhan DAR di Terengganu Aisha Binti Amzam ditemani ayahnya menerima Anugerah Tuan Guru Dato' Haji Harun Taib dari Dato' Hussain Awang)

Satu majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik bagi pelajar-pelajar yang telah berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam (UPSRI) telah diadakan di Madrasah Darul Iman Titian Baru, Kedai Buloh.
Majlis bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar-pelajar dari seluruh sekolah rendah Islam kelolaan PAS (DAR) kali ke-6 itu telah dirasmikankan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu (DUPT), Dato’ Haji Hussain Awang.
Dalam ucapannya, Dato’ Hussain menegaskan bahawa keperluan mempelajari agama mengikut acuan yang asli iaitu al-Quran dan sunnah agar tidak terpesong perjalanan hidup seseorang manusia itu.
Bertolak dari rasa tanggungjawab itu maka, DUPT telah menubuhkan DAR-DAR ini bagi mengambil tugas membimbing masyarkat ke jalan yang diredhai Allah.
“Pendididkan agama yang tidak mengikut garis panduan yang diajar oleh Allah Taala, melalui rasulullah saw dan diwarisi oleh para ulamak yang sebelum ini dan sekarang ini, akan menyebabkan berlaku kecelaruan.
Dan kehuru-haraan dari sudut pengamalan dan pemikiran serta pemahaman dalam diri seseorang.
Yang akhirnya, berlakulah gejala yang tidak sihat disebabkan ketidak berkatan ilmu tersebut,” kata beliau.
Turut berucap ialah Pengerusi Lajnah Persekolahan DUPT, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang menggambarkan bahawa kecemerlangan pelajar-pelajar dari DAR-DAR ini tidak kurang hebatnya dengan sekolah kerajaan biasa.
Beliau yang turut menekankan perlunya DAR-DAR ini diberikan sokongan oleh ahli-ahli PAS, mengharapkan agar lebih ramai lagi ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah kelolaan PAS.
“PAS telah membuktikan kehebatannya dalam bidang pendidikan dengan pencapain DAR-DAR ini.
12A bukan jumlah yang sedikit dan bandingkan dengan 5A pelajar-pelajar sekolah kerajaan.
Dan lebih membanggakan bukan sahaja ilmu dunia, malah ilmu akhirat juga ditekankan dengan serius di sekolah-sekolah Islam PAS ini.
Oleh itu DAR-DAR ini bukan lagi sebagai sekolah pilihan terakhir tetapi sepatutnya sebagai pilihan utama ibu bapa bagi mencari kejayaan dunia dan akhirat insyaAllah,” kata beliau.
Akan tetapi tambah beliau, hanyalah kekangan kewangan dan juga prasarana yang dimiliki oleh DAR-DAR ini yang mungkin agak kurang berbanding dengan sekolah biasa.
Namun segalanya akan dapat diatasi sekiranya semua ahli mengembeling tenaga bersama-sama menjayakan perancangan DUPT dalam memperkasakan pendididkan Islam dengan memberikan sokongan fizikal dan mental.
Seramai 43 orang pelajar telah disenaraikan sebagai penerima hadiah kecemerlangan daripada lapan buah DAR-DAR dari seluruh negeri Terengganu.
Tokoh terbaik akademik (Anugerah Tuan Guru Dato’ Haji Harun Taib), dianugerahkan kepada Aisha Binti Amzam dari Madrasah Darul Iman dengan memperolehi keputusan 12A.
Manakala Izzudin Al-Qossam bin Fakhruddin dan Zahidah binti Zulkifli, masing-masing mengungguli anugerah tokoh kepimpinan pelajar lelaki dan perempuan.
Anugerah Sekolah Terbaik Pencapaian UPSRI 2014 jatuh kepada Madrasah Darul Ihsan, Manir, Terengganu.

MDI kutip lebih 11 ribu


(YB Alias Harun menyampaikan ucapan perasmian)
 
Lebih RM11 ribu hasil daripada julan kupon makan malam dan juga kutipan daripada derma-derma yang dijalankan sejak beberapa minggu lalu, telah berjaya dikumpul oleh Madrasah Darul Iman (MDI) menerusi program Makan Malam Sambil Menderma.
Majlis makan malam seumpamanya itu telah beberapa kali diadakan sebelum ini dan sentiasa mendapat sambutan hangat daripada penderma baik di sekitar Bukit Payong, mahupun daripada luar kawasan.
Lebih 300 orang yang hadir ke majlis tersebut, menggambarkan sambutan yang amat menggalakkan walaupun dalam keadaan hujan yang sederhana lebat turun, tidak menghalang mereka membantu MDI menyiapkan kompleks pendidikannya.
Adun Rantau Abang, YB Alias Harun telah dijemput sebagai tetamu bagi merasmikan majlis tersebut.
Dalam ucapan perasmiannya beliau memuji kesungguhan ahli-ahli PAS Bukit Payong yang kini sedang membina kompleks pendidikan dan juga telah mempunyai sekolah rendah serta tidak lama lagi akan memilliki bangunan kedai sendiri.
Bagi beliau, pembinaan kompleks ini ialah langkah terawal yang terbaik bagi membina masyarakat yang berilmu agar menjadi manusia yang berguna ke pada agama dan tanahair kerana penyedian ilmu itu adalah tanggungjawab ibubapa.
“Kita kena mula (kepada anak-anak) dengan pendidikan seawal mungkin supaya tidak ditipu.
Orang-orang tua kita dahulu memang selalu ditipu oleh penjajah, selepas penjajah pergi, tinggal anak-anak penjajah (Umno) yang ada sekarang inilah, bila kita sebut Islam sahaja, walaupun dia kata dia nak tegakkan Islam tetapi tak nampakpun,” kata beliau.
Tambah beliau lagi, contoh terbaik ialah tinggalan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Terengganu yang diluluskan oleh PAS pda tahun 2003, Umno bukan sahaja tidak melaksanakan hudud, malah mereka tidak mengambil langkah-langkah ke depan.
Beliau juga melahirkan keyakinan yang tinggi bahawa Dun Bukit Payong akan kekal di bawah PAS dengan adanya kompleks pendidikan sebegini, sama seperti di tempat-tempat lain.
“Saya yakin Dun Bukit Payong, sukar bagi Umno mengambil balik.
Yang saya nampak ialah, bila sekolah ditubuhkan, memang payahlah Umno nak ambil alih.
Sebab di situ terletaknya pendidikan,” ujarnya penuh yakin bahawa ilmu akan dapat membezakan kebatilan.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Adun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Payong, mantan pengarah MTD Ustaz Baharudin Mohammad, serta timbalan-timbalan Pengarah MTD.
Kompleks Pendidikan MDI yang telah dimulakan pembinaannya dan beroperasi semenjak tahun 2008 lagi, kini mengandungi bangunan sekolah rendah dengan dilengkapi surau, dewan utama dan dua blok kelas pembelajaran.
Manakala yang masih dalam pembinaan dan hampir siap ialah bangunan rumah kedai tiga tingkat yang didalamnya akan disiapkan dewan mesyuarat, lot kedai dan juga homestay.
Untuk bangunan pelajar tahfiz dan sekolah menengah Islam pula, ianya masih dalam perancangan dan pihak pengurusan kompleks masih mengumpulkan dana bagi pembinaannya.
Sebarang sumbangan, bolehlah disalurkan ke akaun Maybank atas nama Kompleks Pendidikan Madrasah Darul Iman 5630 1923 3967.

Saturday, November 29, 2014

Ahli gesa PAS kawasan manafaatkan media


Salah seorang ahli PAS yang menjadi peserta Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS ke – 60 bagi Kawasan Hulu Terengganu, menggesa agar PAS kawasan menggunakan sebaik mungkin media sebagai alat bagi memasyarakatkan PAS.
Gesaan itu dibuat oleh wakil dari Ajil,  Abdullah Mohktar (kiri) yang bangun ketika sesi soal jawab dan berkongsi pandangan dengan ahli panel dan peserta lain.
Beliau memberikan contoh Sinar Harian yang cara pemberitaannya agak seimbang walaupun masih berpihak kepada kerajaan, sepatutnya diambil peluang oleh PAS kawasan bagi memperkenalkan parti sekaligus mendekatkan diri dengan masyarakat.
Menurutnya lagi, PAS kawasan tidak semestinya bergantung kepada Harakah semata-mata, tetapi mesti mengembangkan dan mempelbagaikan lagi sumber bagi menaikkan nama PAS di mata masyarakat.
Beliau yang ditemui selepas majlis berkata PAS kawasan seharusnya mengikut jejak langkah Adun Cukai Haji Hanafiah Mat yang menurutnya, berita berkaitannya sering keluar dalam akhbar Sinar Harian.
“Saya cuma ingin PAS kawasan ambil peluang ini melalui Sinar yang cara pemberitaannya sehingga kini agak seimbang walaupun masih ada sikit memihak kepada kerajaan.
Cuba tengok Adun Cukai (Haji Hanafiah) berita dia selalu keluar dalam Sinar, jadi PAS Cukai dikenali.
Tetapi bagi PAS Kawasan Hulu Terengganu, untuk keempat-empat Dun, sebulan sekalipun payah nak tengok berita pasal PAS Hulu Terengganu keluar.
Jadi saya cadangkan untuk PAS kawasan buat sesuatu,” kata beliau.

Munaqasyah Ucapan Dasar, ahli digesa lebihkan usaha


Dr Riduan sedang menyampaikan ucapannya kepada ahli-ahli PAS Hulu Terengganu
 
Satu majlis yang dinamakan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS ke - 60 bagi Kawasan Hulu Terengganu telah berlangsung  di Pejabat PAS Kawasan Hulu Terengganu di Taman Kenangan, Kuala Brang.
Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 100 orang ahli PAS dari seluruh Hulu Terengganu itu bertujuan bagi menerangkan inti pati ucapan dasar presiden bagi ahli-ahli merangka, menyusun dan menjalankan gerakerja parti.
Adun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Noor dijemput sebagai pembentang kertas kerja dalam program anjuran Lajnah Penerangan PAS Pusat itu.
Antara penekanan yang dibincangkan ialah aspek hala tuju pemantapan parti dalam tiga keadaan iaitu pemantapan organisasi parti, peranan PAS dalam negara dan juga peranannya di luar negara.
Dalam ucapan Ustaz Mohd Nor, beliau mengharapkan agar ahli-ahli di Kawasan Hulu Terengganu untuk melipat gandakan usaha memahamkan masyarakat tentang masalah yang dihadapi oleh rakyat dengan wujudnya GST dan kenaikan harga minyak.
Beliau mencadangkan agar ahli-ahli PAS memberikan contoh atau kaedah yang mudah difahami oleh masyarakat bawahan agar turut merasakan bahawa pelanggan seperti merekalah yang dimestikan membayar cukai.
Menurut beliau, faktor geografi dan tahap pemikiran penduduk di kawasan pendalaman, biasanya memberikan sedikit kesukaran bagi PAS menerangkan isu-isu semasa dan keadaan ini pula diambil kesempatan oleh Umno.
“Orang hulu ni faham ke tak pasal cukai baru ni? Ataupun tak tahu jugak pasal harga minyak naik?
Ahli-ahli PAS di hulu ni kenalah berusaha lebih sikit nak bagi kefahaman kepada masyarakat.
Kasihan mereka yang tak faham pasal isu GST ni.
Cubalah kita berikan contoh-contoh mudah untuk masyarakat faham akan isu ini, yang mana enam peratus yang dikenakan GST itu akan dikenakan kepada mereka, sedangkan pembekal dan penjual boleh claim balik dari kerajaan,” kata beliau.
Turut hadir dalam masjlis itu ialah Yang DiPertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, Haji Mahyudin Abdul Rasyid dan Adun Manir YB Ustaz Hilmi Harun.
Sementara itu Dr Riduan Mohd Noor dalam ucapannya, menerangkan tentang pentingnya kesatuan pemikiran dalam jemaah dan menyingkap kembali sejarah parti bagaimana jatuh bangunnya jemaah yang akhirnya mematangkan PAS.
Beliau turut memperingatkan ahli agar tidak terlalu dihambat dengan kemenangan yang akhirnya boleh menyebabkan kerugian kepada Islam itu sendiri, tetapi ahli-ahli mesti memahami bahawa kemenangan itu adalah ujian.

Saturday, November 22, 2014

Penduduk jemu menunggu, ambil langkah proaktif


Dek kerana tiada tindakan dari pihak berkuasa ke atas aduan yang telah dibuat berkenaan longkang tersumbat, maka beberapa penduduk Kampung Sungai, Atas Tol mengambil inisiatif membersih longkang beramai-ramai.
Mereka melakukan kerja pembersihan itu secara bergotong-royong itu kerana aduan yang di buat oleh Wakil Rakyat Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah kepada pihak berkuasa sejak hampir sebulan lalu, tidak mendapat respon.
Berkebetulan pula dengan musim tengkujuh ini, maka kebimbangan mereka air akan bertakung di atas jalan semakin tinggi, yang mana kemalangan telah banyak terjadi sebelum ini kerana air bertakung di atas jalan itu.
Langkah proaktif ini mendapat pujian daripada YB Ustaz Mohd Nor kerana para penduduk begitu serius memikirkan keselamatan pengguna jalan tersebut dan mendoakan agar sukarelawan ini dikurniakan pahala oleh Allah.
Beliau juga kesal kerana aduan daripada seorang wakil rakyat sepertinya tidak diendahkan oleh pihak berkuasa tempatan, sedangkan perkara itu melibatkan keselamatan rakyat yang menggunakan jalan itu.
“Beberapa minggu lepas, saya telah membuat aduan kepada pihak kerajaan untuk selesaikan masalah penduduk di jalan Kampung Sungai Atas Tol yang sentiasa mengalami banjir.
Tetapi malangnya tiada tindakan yang diambil oleh pihak yang berkenaan.
Sudah banyak kemalangan berlaku di jalan ini terutamanya apabila ia dinaiki air,” ujarnya kesal.
Menurut penduduk yang tinggal berhampiran dengan jalan itu, punca sebenar air bertakung ialah kerana longkang baru yang dibuat, tidak dapat berfungsi mengalirkan air dengan baik.
Oleh kerana sebelahnya tersumbat, maka air akan bertakung di kawasan tersumbat itu dan apabila kenderaan datang, ada yang mengelak air tersebut lalu ada yang bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan.
Kerja-kerja pembersihan longkang itu diketuai oleh Ketua Cawangan PAS Atas Tol, Haji Abdul Haris Abdul Malik dengan disertai seramai lima orang sukarelawan dari cawangan yang sama.

Friday, November 21, 2014

Hak rakyat dan istana Terengganu dicabul


Bismillah
Saya merujuk kepada berita yang disiarkan oleh New York Times 19 November 2014 lalu yang secara khusus membincangkan perihal kepincangan yang berlaku dalam pengurusan kerajaan Negeri Terengganu dalam hal melombong bijih besi di Bukit Besi Terengganu yang telah diberikan hak kepada syarikat yang berasal dari China dan berpengkalan di Pahang CAA Resources. Dalam laporan oleh Keith Bradsher itu, beliau menyentuh berkenaan isu industri ini bakal dipenuhi dengan pekerja warga asing, cara mengelak dari dikenakan pemeriksaan kesan ke atas alam sekitar dan dakwaan pembelian gelaran “Datuk” bagi memudahkan dia mendapatkan sumber asli negeri Terengganu melalui orang politik dan istana.
Saya menggesa agar dilakukan siasatan segera ke atas mereka yang terlibat dengan kelulusan perlombongan ini. Ketika siasatan berjalan, kerajaan juga perlu “merehatkan” sementara orang yang disiasat agar tidak menggangu siasatan. Dakwaan ini sekiranya benar, maka ternyata hak rakyat dicabul dengan sebegitu rakus oleh golongan-golongan yang jahat dan busuk hati. Sepatutnya hak rakyat Terengganu mendapat pekerjaan di sana dalam peratusan yang besar, wajib dijadikan syarat utama dalam pemberian kontrak ini kerana ianya adalah hasil negeri Terengganu. Begitu juga dengan kesan kepada alam sekitar yang kita sedia maklum iaitu sebelum perlombongan ini dimulakan, balak-balak sudahpun ditebang. Hal alam sekitar ini juga mesti menjadi syarat utama pemberian hak kepada perlombongan ini. Jika tanah yang kurang dari 500 ekar yang sengaja dibahagi dua, maka ia secara keseluruhannya menjadi 1000 ekar yang mana wajib dia mendapat kelulusan alam sekitar. Ini menunjukkan mereka dengan mudahnya memperlecehkan undang-undang kita.
Yang terakhir, institusi istana sekali lagi cuba dicabuli oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab bagi mencari keuntungan. Dakwaan pembelian sebanyak USD100 ribu bagi mendapat gelaran Datuk adalah kisah yang sangat jelas ingin mencemarkan nama baik istana. Saya mendesak SPRM mengadakan sisatan menyeluruh bagi membersihkan nama baik istana dari fitnah-fitnah yang dilemparkan. Ataupun sekiranya ianya benar-benar berlaku penjualan gelaran Datuk ini, maka SPRM perlu menangkap petualang-petualang tersebut tanpa memilih pangkat bagi kita menyelamatkan maruah institusi istana kita.
Oleh itu jika semua dakwaan NYT ini adalah benar, maka saya menyeru kepada rakyat Terengganu agar menyedari bahawa ada makhluk-makhluk bernafsu rakus sedang melahap sumber kekayaan negeri Terengganu dengan jalan yang salah. Bukit Besi ini hasilnya dahulu kekayaannya diambil oleh tentera Jepun, kemudiannya British pula membolotnya, hasil dari kelemahan kita berfikir. Tetapi adakah sekarang kita ingin menyerahkan pula hasilnya kepada negara China? Apatah lagi dengan cara yang salah? Jika ini terjadi, ternyata kerajaan BN Terengganu sekarang ini tersangat dungu kerana terbaru sebelum ini, Terengganu telah dirampas hak royaltinya hasil dari pengkhianatan Umno Terengganu, kemudian dikatakan Terengganu tidak memiliki hasil petroleum oleh kumpulan mereka sendiri, menjadikan rakyat Terengganu kedua termiskin sejak sekian lama dan pimpinan tertinggi kerajaan Terengganu hanya diam seribu bahasa. Justeru rakyat perlu berperanan agar kerajaan yang bisu ini perlu diajar.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT
29 Muharram 1436 bersamaan 22 November 2014

Thursday, November 20, 2014

Kajian tinggal kajian, kawasan tetap banjir



 
 
Kajian yang dikatakan telah dilakukan sejak dahulu lagi bagi membina sistem peparitan yang sempurna di belakang kawasan perumahan Taman Mas Bukit Payong hanya tinggal kajian sahaja.
Masakan tidak, apabila datang musim tengkujuh, cerita yang sama berulang-ulang iaitu Taman Mas, akan dinaiki air yang menyebabkan sebahagian rumah yang terletak di tanah rendah di situ, akan dimasuki air.
Menurut seorang penduduk di situ yang tidak mahu dikenali berkata, longkang yang ada tidak mampu mengalirkan air dengan cepat dan banyak ditambah lagi katanya, longkang utama yang agak tinggi yang melambatkan lagi pergerakan air.
Wakil Rakyat Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang turut berada di Taman Mas berkata kajian tentang sebab-sebab banjir berlaku, pernah ditanya beliau ketika Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.
Tetapi malangnya kajian tinggal kajian dan tiada kajian yang dibentangkan bagi mencari punca dan penyelesaiannya setakat dalam pengetahuannya.
“Saya pernah meminta bagi membuat kajian berkenaan punca banjir sentiasa berlaku dan dibentangkan bagi mencari penyelesaiannya.
Tetapi sehingga kini, saya masih belum menerima sebarang pembentangan berkenaan itu, apakah hasil kajian itu.
Saya yakin penduduk Taman Mas ini memerlukan parit yang besar di belakang taman mereka bagi mengatasi masalah air naik di kawasan mereka.
Hal ini perlu disegerakan, tidak sepatutnya mereka menerima lagi nasib yang sama tahun hadapan dengan sebab yang sama.
Kerajaan perlu bertindak segera membantu mereka,” tegas beliau.
Sementara itu, daripada maklumat yang didapati, masalah pembinaan parit ini telah lama diajukan kepada kepada kerajaan oleh wakil-wakil rakyat Bukit Payong suatu ketika dahulu.
Tetapi sehingga sekarang, entah dimana silapnya, perlaksanaannya belum dilakukan, malah status perancangannya tidak diketahui oleh penduduk Taman Mas itu.

Wednesday, November 19, 2014

Tindakan pantas YB legakan mangsa banjir


(Ustaz Mohd Nor sedang berbincang bagi mempercepatkan aliran air)
 
Tindakan pantas Wakil Rakyat Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, telah berjaya mengurangkan limpahan air hujan yang tersekat kerana tiada aliran air yang betul.
Perkara ini berlaku ketika beliau melakukan lawatan keatas mangsa-mangsa banjir di Kampung Pulai Tinggi yang mana air bertakung dengan banyaknya dan telah menyebabkan kawasan yang tidak sepatutnya dinaiki air, menjadi banjir tiba-tiba (gambar kiri- kedalaman air kira-kira 2 kaki)
Bertindak hasil dari aduan penduduk setempat, beliau kemudiannya berunding dengan salah seorang penduduk di situ agar membenarkan parit sementara dibuat di atas tanahnya bagi mengalirkan air yang bertakung itu, ke saliran yang betul.
Beliau kemudiannya segera mengarahkan Skuad Bantuan Banjir Bukit Payong menghubungi pemandu jenkaut bagi melaksanakan rancangan menggali parit itu sejurus selepas mendapat kebenaran tuan tanah bekenaan.
Apabila parit sementara digali, maka air bertakung itu, sebahagian besarnya telah berjaya dialirkan ke saliran yang betul (Gambar kiri  dan bawah- air mengalir dengan laju setelah parit sementara digali)
Seorang penduduk, Nasir Ismail yang ditemui berkata, tindakan pantas Ustaz Mohd Nor telah berjaya mengurangkan kesusahan sebahagian penduduk yang terjejas dengan takungan air itu dimana air itu tidak dapat mengalir.
“Kita melihat sejak semalam air banjir ini tidak bergerak kerana tiada jalan untuk air mengalir.
Jadi pagi tadi alhamdulillah, wakil rakyat kita telah mengarahkan orang-orangnya bagi membuat parit sementara, jadi airpun cepat keluar.
Di sebelah sana, rumah yang terlibat dengan air yang tersekat ini, jadi, dengan adanya parit yang dibina secara segera ini akan dapat meringankan mereka dari masalah air yang naik mendadak,” kata beliau.
Turut diberikan perhatian ialah beberapa parit besar yang tersumbat yang mana air dari Kampung Pulai Tinggi ini dialirkan, kesemua parit besar itu, telah dibersihkan sekadar termampu oleh Skuad Banjir.
Ternyata kebimbangan dan dakwaan beliau semalam dan ketika sidang dewan berkenaan punca banjir antaranya ialah kerana longkang-longkang serta parit-parit tidak diselenggara dengan betul adalah tepat.

Tuesday, November 18, 2014

Banjir : Bukit Payong aktifkan bilik gerakan


Hujan yang berterusan selama beberapa hari bermula Jumaat lalu telah menyebabkan beberapa kawasan di Bukit Payong mula dinaiki air dan mengakibatkan sebahagian kecil penduduk telah diarahkan berpindah.
Sehingga tengah malam 18 November, sebanyak 81 keluarga yang keseluruhannya berjumlah 384 orang didaftarkan di pusat pemindahan Sekolah Menengah Seri Payong.
Mereka dikenal pasti datang dari kawasan sekitar Pekan Bukit Payong seperti kawasan Perumahan Awam Kos Rendah berhampiran Giat Mara Bukit Payong.
Mereka mula dipindahkan pada waktu senja setelah air naik dengan agak pantas, mengakibatkan sesetengah kawasan rendah dinaiki air sedalam kira-kira satu meter.
Sehubungan dengan itu Majlis Tindakan DUN Bukit Payong telah mengaktifkan bilik gerakan yang telah ditubuhkan minggu lepas bagi memberikan bantuan yang sebaik mungkin kepada mangsa-mangsa.
Bermula petang tadi, Adun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah sendiri telah turun padang bagi meninjau dan menghulurkan sedikit bantuan awal kepada beberapa mangsa yang terjejas.
Kawasan-kawasan yang dilawati beliau ialah sekitar Kubang Palas, Batu 9 dan Paya Resak.
Skuad Banjir DUN Bukit Payong petang tadi, yang terdiri daripada sukarelawan-sukarelawan di sekitar Bukit Payong, telahpun bergerak membantu sebahagian mangsa memindahkan barang-barang mereka ke tempat yang selamat.
Dijadualkan esok bantuan akan mula diagihkan kepada mereka yang terjejas tetapi tidak meninggalkan kediaman mereka untuk ke pusat pemindahan.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah akan mengetuai pasukan bantuan ini menemui dan menghulurkan bantaun kepada mangsa terbabit.
Bagi mereka yang memerlukan khidmat pemindahan, bantuan banjir dan juga kerja pembersihan dan bantuan lain, bolehlah menghubungi Haji Zamri 019-9842382, Mustaffa 019-9276510, Mr.Boo 019-9484883 dan Mat Chah 014-5078896.

Thursday, November 6, 2014

Kenyataan Media : Kes buli, apa kesudahannya?

 
Kami memandang serius dan sedih atas kejadian buli yang menjadi viral di dalam media sosial baru-baru ini. Sebelum ini telahpun ada kejadian seperti itu yang telah dirakamkan seperti yang berlaku di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN). Rupanya ia tidak terhenti setakat itu sahaja, malah lebih banyak rakaman-rakaman kes buli ini telah disebarkan di media sosial.
 
Kami mencadangkan agar Kementerian Pelajaran lebih berperanan dalam menekankan aspek disiplin di sekolah-sekolah. Beberapa kempen yang telah dijalankan oleh Kementerian seperti kerjasama dengan Polis, dilihat gagal dalam menangani masalah ini, malah tidak diketahui apakah status kerjasama itu sekarang. Kami juga berpendapat, kementerian boleh menambah bilangan warden agar lebih mudah mendisiplinkan pelajar. Asrama-asrama juga seboleh-bolehnya memisahkan pelajar yang jauh lebih senior dengan pelajar-pelajar baru seperti pelajar tingkatan satu dengan lima bagi mengurangkan peluang kes buli berlaku. Hukuman yang tegas perlu diambil bagi memberi amaran kepada yang lain. Kepada pihak sekolah juga, perlulah melaporkan kes-kes besar jika berlaku dan kami berharap tiada sekolah yang menyembunyikannya hanya kerana menjaga nama sekolah. Kami memuji tindakan guru-guru yang berani mendedahkan hal ini bagi masyarakat bersama-sama berganding bahu mengembeling tenaga menghapuskan kes buli sebegini.
 
Selain dari kementerian, media juga mempunyai pengaruh yang besar terhadap berlakunya kes-kes buli ini. Filem-filem yang memaparkan aksi-aksi ganas dan keterlaluan, walaupun diberi amaran filem tersebut hanya boleh ditonton oleh penonton yang berumur 18 tahun keatas, namun, siapakah yang akan memantau jika mereka terus menonton terutama jika tiada ibu bapa di rumah, atau pelajar-pelajar ini berada di kedai? Syarikat-syarikat penyiaran elektronik mahupun bercetak, perlulah memikirkan masa depan negara ini selain daripada memikirkan keuntungan, kerana jika pemuda-pemudi kita rosak, maka negara kita juga turut rosak.
 
Lambakan video samada lucah atau ganas, ditambah dengan kemudahan internet, memudahkan mereka meneroka alam larangan itu. Walaupun begitu, ianya masih boleh dikawal dengan ibu bapa berperanan mengawal displin anak-anak ketika di rumah dengan mengawal akses kepada internet dan tidak sewenang-wenangnya membelikan gajet-gajet bagi anak-anak tanpa kawalan. Pihak berkuasa juga mesti sentiasa memantau siber kafe agar tidak dijadikan pusat bagi menonton filem-filem sebegini.
 
Kita mungkin tidak akan dapat menghapuskan gejala ini secara total, tetapi paling tidak, kita insyaAllah dapat mengurang serta mengawalnya dari menjadi barah kepada mastarakat di mana kesan buruk daripada buli ini selain dari menyakitkan tubuh badan, ianya juga kesan jangka panjang kepada mangsa seperti kemurungan dan pendendam. Akhirnya kami yakin dan percaya bahawa segala masalah umat ini hanya boleh diselesaikan dengan kita benar-benar kembali kepada agama fitrah iaitu Islam. Dimana Islam menawarkan kepada manusia penyelesaian yang terbaik bagi mengawal disiplin manusia agar sentiasa hidup dalam batas-batasnya.
 
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT
13 Muharram 1436 bersamaan 6 November 2014