Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Friday, August 29, 2014

Perutusan Hari Kemerdekaan “ Malaysiaku Minda Merdeka”


Bismillah
Kita bakal menyambut hari kemerdekaan negara Malaysia bagi yang ke 57 kalinya. Kita dikatakan telah bebas dan merdeka dari penjajahan dan kita telah menjadi negara yang berdaulat hasil dari kemerdekaan ini. Secara teori kita sepatutnya telah bebas zahir dan batin dari penjajahan bangsa luar. Kita bangga dengan kebebasan ini dan kita sedaya upaya akan mempertahankannya. Alhamdulillah sehingga kini kita masih menyedut udara kebebasan ini.
Dengan adanya kemerdekaan ini, kita boleh membina negara kita sendiri dengan acuan yang kita kehendaki. Kita mengamalkan sistem demokrasi raja berpelembagaan yang menjadi sebahagian amalan negara-negara Komanwel (negara-negara yang pernah dijajah British) dan undang-undang kita berasaskan kepada asas yang telah dibentuk oleh Suruhanjaya Lord Reid. Sudah tentu sistem demokrasi dan undang-undang ini, ianya bukan undang-undang Islam yang mana sepatutnya menjadi asas kepada perundangan di negara Islam.
Pun begitu, kita terpaksa menerimanya dalam kadar kelemahan kita yang menahan mudharat yang lebih besar. Kita tidak pernah dan tidak ingin memilih jalan kekerasan. Tetapi PAS tetap akan memperjuangkan undang-undang Islam agar daulah ini ditegakkan dengan asas syariat Allah dengan saluran yang ada dan semampu kita.
Dalam kita meneliti sistem demokrasi ini, kita melihat ada sedikit ruang yang boleh kita praktikkan iaitu hak kesamarataan ataupun penghormatan kerajaan kepada wakil atau parti yang telah dipilih oleh rakyat. Hak itu sepatutnya diberikan sepenuhnya bagi menghormati keputusan majoriti rakyat di sesuatu kawasan yang telah memilih wakil mereka, tanpa mengira dari parti manakah dia berasal. Namun, amat malang di negara kita ini, penghormatan itu tidak terjadi, malah rakyat yang memilih wakil yang berlawanan dengan parti yang memerintah turut diugut, diperbodohkan dan terkadang tidak dipedulikan.
Bagaimanakah kita mahu melahirkan sebuah cinta kepada negara kita jika ugutan, dendam, amarah, pembodohan dan lain-lain lagi amalan buruk masih diamalkan? Apakah benar minda kita sudah merdeka dari kongkongan pemikiran politik kekampungan dan dayus ini? Malang berganda kepada kita rakyat Malaysia kerana praktik ini bukan sahaja dilakukan secara berleluasa oleh pimpinan bertaraf kampung, malah juga dilakukan secara meluas oleh pimpinan negara ini. Contoh teragung ialah penarikan balik royalti petroleum bagi negeri Terengganu. Sehinggakan ketika berakhir era BN memerintah melalui Dato’ Seri Ahmad Said yang lalu, royalti itu masih belum dikembalikan. Setelah lebih 14 tahun ianya dirampas secara zalim. Sedang dalam waktu yang sama, kerajaan negeri Sarawak telah sebulat suara kerajaan bersama pembangkang, bersetuju bagi meminta kerajaan pusat memberikan mereka royalti sebanyak 20 peratus.
Merdekakah minda kita dengan layanan kelas terbawah yang telah diberikan oleh pemerintah hanya kerana rakyat memilih untuk memberi peluang kepada parti Islam memerintah? Jika ini diteruskan, apa bezanya dengan cara British melayan kaum pribumi ketika mereka menjajah kita dahulu? Apa yang dikesalkan ialah setelah puluhan bilion wang royalti diperolehi, dibelanjakan atas nama projek-projek pembangunan, rakyat Terengganu masih berada diantara senarai teratas carta kemiskinan negara. Projek-projek yang dicipta atas nama pembangunan kepada rakyat, banyak yang menjadi projek gajah putih.
Apa yang akan terjadi kepada projek-projek seperti di Kenyir, Kemaman dan lain-lain tempat yang telah dibuat ataupun sedang berjalan hasil daripada kelulusan oleh menteri besar yang lalu setelah kuasa secara paksa bertukar tangan? Adakah ianya akan di teruskan oleh menteri besar yang baru ataupun wang rakyat sekali lagi akan dihumbankan ke poket-poket kontraktor yang sudah pastinya tidak akan memikirkan berjaya atau tidaknya projek itu, tetapi berjaya atau tidak tuntutan perbelanjaan bagi projek mereka dari kerajaan yang mengunakan wang rakyat. Apalah malangnya nasib rakyat yang tinggal di tanah merdeka yang bertuah ini? Pilu juga turut dirasa, apabila pampasan yang dijanjikan kepada penduduk di sekitar kampung Pasir Putih Merchang kerana isu pengambilan tanah bagi melebarkan jalan, masih belum diterima mereka.
Isu-isu muda-mudi seperti rempit dan gejala sosial yang lain, masih berada ditahap yang tidak memuaskan. Ini kerana pembentukan jiwa mereka tidak dilakukan melalui jalan yang benar iaitu jalan Islam. Kita mengajar fardhu ain, dalam masa yang sama kita membuka pusat-pusat hiburan dan membuka taman-taman pada malam hari sehinggakan mereka merasakan selesa untuk melepak dengan kawan-kawan bercampur lelaki dan perempuan. Kita membuka pintu ilmu tetapi gagal menutup pintu maksiat yang terbuka lebih besar dari pintu ilmu ini. Formula manakah yang kita guna sekarang ini bagi menghapuskan gejala sosial?
Kehadiran merdeka tahun ini disambut sederhana mengenangkan beberapa peristiwa demi peristiwa hitam yang berlaku kepada negara pada tahun ini. Ketentuan Allah bagi kita, diterima dengan redha. Semoga segala kedukaan ini menjadi pengajaran bagi kita agar melihat kedudukan kita dengan Allah. Isu hidangan arak dalam penerbangan dan aurat kakitangan MAS perlu diambil berat oleh kerajaan kerana ianya sudah menjadi isu nasional dengan desakan demi desakan telah dilakukan dari semua pihak yang cintakan Islam.  Ingatlah apabila bala Allah hadir, ia tidak akan terkena kepada sebahagian sahaja, tetapi semua yang ada berdekatan.
Maka tema PAS pada tahun ini amatlah bersesuaian dengan keadaan semasa iaitu Malaysiaku Minda Merdeka. Kita mengharapkan bukan sahaja fizikal yang merdeka tetapi minda juga turut dimerdekakan secara keseluruhannya. Buanglah kekekolotan minda yang tersumbat dengan agenda jahat dan khianat. Masukkan ke dalam minda kita agenda kasih sayang kerana Allah, melaksanakan amanah dengan sempurna ke atas yang berhak dan menjadikan Islam sebagai satu-satunya jalan membina negara ini agar merdeka kita semuanya bukan sahaja terselamat dari dijajah di dunia ini malah jauh lebih dari itu, merdeka dari api neraka di akhirat insyaAllah. Merdeka, merdeka, merdeka. Allahuakbar.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT
4 Zulqaedah 1435 bersamaan 30 Ogos 2014.

Saturday, August 23, 2014

Sokongan kepada cadangan memecat keahlian dua Adun PAS Selangor

Bismillah
Saya selaku Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) menyokong penuh saranan Pesuruhjaya BPPNT YB Ustaz Satiful Bahari Mamat, bagi memecat keahlian dua orang Adun PAS dari Selangor iaitu Adun Hulu Kelang YB Shaari Sungib dan Adun Morib, YB Hasnul Baharuddin berkaitan isu menyokong Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor tanpa perbincangan dan persetujuan PAS Pusat baru-baru ini.
Hal ini adalah kerana mereka telah menyalahi adab berjemaah yang mana mereka telah mendahului keputusan PAS dalam krisis yang besar seperti ini. Maka jelas sekali mereka telah melanggar disiplin parti PAS yang sepatutnya dipatuhi, apatah lagi sebelum itu Majlis Syura Ulamak telah memutuskan agar semua Adun PAS di Selangor menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar kerana tiada kesalahan syarie yang beliau telah lakukan.
Kedua-dua Adun ini juga telah menunjukkan nilai yang sangat buruk sebagai pimpinan terutama kepada golongan bawahan dan juga kepada mereka yang baru mengenali PAS yang terkenal dengan sikap wala’ kepada pimpinan. Mereka jelas memutarbelitkan maksud wala’ dalam bertahaluf bersama PKR dan DAP. Dalam PR, PAS hanya bertahluf bagi kepentingan Islam dan bukan wala’ kepada pihak lain. Sedangkan wala’ di dalam PASlah yang memberikan kelainan dan keyakinan masyarakat kepada PAS berbanding dengan parti-parti politik lain di Malaysia.
Keghairahan dua Adun ini melakukan “ijtihad” tanpa merujuk kepada pihak tertinggi iaitu Majlis Syura Ulamak, telah memberikan kesan kepada parti pada pandangan orang luar, bahawa MSU boleh dilangkau dan ahli PAS boleh melakukan “ijtihad” sewenang-wenangnya walaupun bertentangan dengan kehendak badan tertinggi parti. Lebih jauh dari itu Shaari juga sanggup untuk keluar parti jika PAS terus menyokong Tan Sri Khalid. Budaya mengugut sudah menular di dalam PAS dan dibawa oleh bekas calon PKR ini.
Jika pimpinan tertinggi PAS tidak bertindak, maka saya yakin dan percaya hal ini akan menjadi ikutan kepada yang lain bagi melakukan tindakan biadap dan tidak wajar kepada pimpinan PAS. Ditambah lagi Presiden kita  baru-baru ini telah dilantik menjadi Naib Ketua Ulamak Dunia, menunjukkan penghormatan dunia kepada beliau, sedang di kandang sendiri beliau diperlekehkan. Mungkin di dalam JIM, mereka memang mengamalkan budaya kurang ajar dengan ketua mereka, tetapi kita sesekali tidak akan membenarkan budaya biadap ini menjadi amalan PAS.
Oleh itu amat wajar kedua-dua Adun ini dipecat kerana mereka dengan jelas dan sengaja melanggar disiplin, menyusah dan meresahkan ahli PAS yang lain. PAS tidak memerlukan ahli yang tidak mampu menurut atau membawa kehendak dan aspirasi parti apatah lagi dalam ketika PAS sedang menghadapi serangan luar dan dalam.

YB Ustaz Mohd Nor
Ketua Penerangan BPPNT

28 Syawal 1435 bersamaan 24 Ogos 2014

Sunday, August 10, 2014

SURAT TERBUKA UNTUK PEMIMPIN DAN AHLI PAS

Sahabatku Pemimpin dan Ahli PAS,

Kita semua menyedari sebab utama penyertaan kita dengan PAS kerana PAS adalah jemaah Islam  yang berusaha  untuk mengumpulkan ummah untuk menegakkan tuntutan Islam dan syariat Allah. PAS bergerak di landasan yang bersumberkan rujukan asas Islam iaitu Al-Quraan, Hadis, Ijma dan Qias. PAS berpolitik yang didasari dengan prinsip-prinsip Syara’ dan kaedah-kaedah fekah. PAS sentiasa mengingatkan kita dengan firman Allah :

”Hai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An Nisaa : 59)

Kalam suci ini memberi panduan kepada jemaah Islam dan pendokong-pendokongnya untuk merentasi jalan perjuangan yang panjang dan mencabar ini. Segala kekhilafan dan perbezaan pandangan mampu diurus dan disatukan dengan kesediaan seluruh pemimpin dan ahli PAS untuk kembali kepada prinsip-prinsip Islam yang diperkukuhkan dalam PAS. Majlis Syura Ulama merupakan satu badan yang berperanan untuk merealisasikan ajaran Al-quraan untuk seluruh pendokong Jemaah Islam. Setiap pemimpin dan ahli PAS mesti menjadikan panduan al-Quraan dalam memperteguhkan Jemaah dan menyatukan pendirian mereka.
 Firman Allah :

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).(An Nisaa : 83)

Apakah sikap segelintir pemimpin dan ahli-ahli PAS yang mula mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh majlis Syura Ulama mula melupai panduan Al-Quraan ? Majlis Syura Ulama tidak pernah melanggari bidang tugasnya, khususnya dalam isu pertukaran Menteri Besar Selangor.

Sahabatku Pemimpin dan Ahli PAS,

Majlis Syura Ulama berhak untuk menyatakan keputusan dalam persoalan ini kerana ia tidak boleh dipisahkan daripada beberapa prinsip asas dalam politik Islam.

Pertama : Adakah Hukum Islam membolehkan untuk melantik Menteri Besar dari kalangan wanita ?

Kedua : Adakah hukum Islam membenarkan kita melucutkan jawatan seseorang pemimpin tanpa apa-apa sebab atau apakah sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara’ untuk melucutkan jawatan seseorang yang telah dibaihkan untuk memerintah dan memimpin sebuah kerajaan ?

Menteri Besar Selangor bukan Menteri Besar untuk ahli-ahli PKR sahaja tapi ia adalah Menteri Besar Pakatan Rakyat untuk memimpin negeri dan rakyat Selangor. PAS tidak boleh berpolitik dengan menafikan ajaran Rasulullah, walaupun ajaran ini dilupai dan tidak diendahkan oleh orang lain. Rasulullah bersabda :

Tidak sesekali akan berjaya sesuatu kaum yang melantik pemimpin mereka daripada kalangan wanita. (Diriwayatkan oleh Bukhari, Tirmizi, Nasai dan Ahmad dari Abu Bakrah).

Apakah jawatan Menteri Besar setaraf dengan wizarah tafwidh atau wizarah tanfiz ? Dalam merealisasikan Rahmat Untuk Semua,  PAS mahu menyelamatkan rakyat dan wanita Islam agar jangan melupai  dan menceroboh ajaran Nabi untuk  kebahagiaan akhirat kerana kepentingan jawatan dan politik semata-mata di dunia. 

Sahabatuku Pemimpin dan Ahli-Ahli PAS,

Kita tidak boleh melupai pengajaran para ulama. Imam Muslim telah menyebut satu tajuk dalam kitab Imarah/Kepimpinan iaitu bab wajib memenuhi baih/taat setia pada khalifah yang pertama dan seterusnya. Imam Muslim meriwayat beberapa hadis yang sepatutnya menjadi panduan dalam isu pertukaran Menteri Besar. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda :

"Adalah Bani Israil dipimpin oleh para Nabi mereka. Setiap kali seorang Nabi wafat digantikan oleh Nabi berikutnya. Dan sesungguhnya tidak ada nabi lagi sesudahku, tetapi akan ada para pemimpin (yang beragama Islam), mereka banyak (jumlahnya). Para sahabat bertanya: Apa yang engkau perintahkan kepada kami (apabila itu terjadi)? Nabi bersabda: Patuhilah pemilihan (pemimpin yang beragama Islam) yang pertama, berikanlah oleh kamu hak mereka kepada mereka, kerana Allah akan menanyakan kepada mereka apa yang menjadi tanggungjawab mereka". (H/R Bukhari 5/401. Muslim 3/1471. Ibn Majah 2/958. Ahmad 2/297)

Kenapa Rasulullah membimbing kita dalam melantik  pemimpin untuk mentadbir dan mengurus rakyat dengan panduan ini ? Kenapa pemimpin tidak boleh dilucutkan jawatannya dengan sewenang-wenangnya, setelah berbaih untuk negeri dan rakyat ? Jawatan Menteri Besar bukan milik kekal tapi pertukarannya mesti dibuat berasaskan undang-undang dan panduan Islam. Jawatan Menteri Besar tidak layak untuk seseorang yang jahat, zalim dan salahlaku tapi kejahatan, penyelewengan dan salahlakunya mesti dibukti dan disabitkan kesalahannya. 

Kita membela Dato Seri Anuar Ibrahim yang dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dengan alasan yang tidak dibuktikan dan dizalimi tanpa perbicaraan yang adil. PAS boleh membiarkan DS Anuar Ibrahim dipecat dan dipenjara oleh pemimpin BN yang lebih mengenali DS Anuar Ibrahim dan melibatkan isu dalaman BN tapi PAS tetap menyakini segala alasan itu bohong dan pemecatan itu zalim dengan sebab tiada pembuktian yang kukuh dan adil. PAS terus membela dan mengajak rakyat membela Timbalan Perdana Menteri yang dizalimi dan ditukar tanpa sebab-sebab yang munasabah.

Sewajarnya, kita jangan menzalimi Tan Sri Khalid Ibrahim dengan memecat jawatannya melainkan dengan pembuktian yang kukuh dan adil. Kita tidak boleh berkompromi dengan kezaliman sebagaimana kita juga tidak boleh mempertahankan salahlaku dan penyelewengan yang terbukti dan sabit yang dilakukan oleh seseorang pemimpin. 

Sahabatku Pemimpin dan Ahli-Ahli PAS,

PAS tidak boleh memisahkan perjuangan dan pergerakkannya daripada sifat WALA’. Firman Allah dalam surah al-Maidah :
¨Sesungguhnya wali kamu hanyalah Allah dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan Allah itulah yang tetap menang.¨(Surah al-Maidah ayat 55 dan 56)

Sesiapa yang wala’ kepada Allah, rasul dan orang-orang beriman, maka jemaah mereka akan akan mengalahkan musuh Islam. Kerana dalam hizbullah, ketiga-tiga wala’ ini adalah teras kepada kemenangan dan Allah membantu hizbullah kerana wala’ ini dan jika tiada wala’, maka jemaah itu bukanlah jemaah Islam. Syarat wala’ mestilah benar iaitu beraqidahkan dengan syariat Allah dan bukannya kepada ideologi-ideologi yang menyesatkan seperti sosialisme, komunisme dan sebagainya.

Dalam kita berjemaah, kita mesti ada pemimpin, pengikut dan manhaj kita. Jangankan dalam organisasi yang besar, bahkan ketika kita bermusafir tiga orang atau lebih, kita mesti melantik pemimpin salah seorang daripada tiga orang itu. Begitu juga contoh ketika solat. Setiap pergerakan imam, kita mesti mengikutinya satu persatu. Pengikut dibenarkan memberi pendapat mereka tetapi mesti patuh dengan pimpinan jika pendapatnya ditolak dan keputusan pimpinan itu tidak bercanggah dengan hukum qate’I, sehinggakan jika sekiranya ada khilaf sekalipun, kita masih perlu mengikut pimpinan kerana ijtihadnya walaupun salah, akan mendapat satu pahala.

Tidak timbul persoalan yang mengatakan wala’ itu seperti memaksumkan pemimpin, malah wala’ itu sebenarnya datang dari orang yang maksum iaitulah rasulullah saw. Bagindalah yang menyuruh pengikut sesebuah jemaah Islam mentaati ketua, walaupun pemimpin itu hanyalah seorang hamba abdi. Taatilah dia dalam perkara ma’ruf, samada kamu suka ataupun benci. Contoh yang baik berkaitan wala’ ini jelas ditunjukkan oleh dua tokoh besar Islam iaitu Saidina Abu Bakar dan juga Saidina Umar apabila dalam satu peperangan yang diketuai oleh Amru bin al-Ash, Amru melarang tenteranya menyalakan api ketika dalam kesejukan malam. Tetapi kedua mereka menurut arahan itu, dan hanya mengadu ketika bertemu rasulullah. Apabila ditanya oleh rasulullah kepada Amru tentang hal itu, maka dia menjawab, itu adalah strategi peperangan bagi mengelak musuh dapat melihat mereka kerana cahaya api itu. Atau kita ingin mengikuti jejak langkah bani Israel yang menolak Talut sebagai pemimpin yang Allah telah pilih untuk mereka semata-mata kerana dia miskin?

Sahabatku Pemimpin dan Ahli-Ahli PAS,

Adakah masuk akal jika ada perkataan yang dikeluarkan oleh ahli iaitu dia hanya mahu memberikan ketaatan lebih kepada parti berbanding kepada Presiden sedangkan Presiden tidak melakukan dosa yang qate’i? Apakah maknanya jemaah jika Presiden tidak mahu dihormati dan ditaati? Bukankah jemaah dibentuk dengan adanya pemimpin dan pengikut? Terkadang ada rahsia yang tidak boleh diketahui oleh orang lain, hanya pemimpin sahaja yang mengetahuinya. Jika kita sebagai pengikut tidak menghormati ketuanya sendiri, adakah kita mengharapkan ahli jemaah lain menghormatinya? Jangan kita salah membezakan antara kewajipan dan keharusan. Ketahuilah, tahaluf itu tidak wajib dan bukan wala’. Ianya adalah alat. Jika ia menguntungkan, kita teruskan.

Dalam jemaah juga, kita wajib menjaga rahsia. Kisah Hatib ibnu Balta’ah yang membocorkan rahsia tentera Islam yang mahu menyerang Mekah setelah musyrikin Mekah mengkhianati perjanjian dengan orang Islam dan dia hampir dipancung oleh Saidina Umar, sepatutnya menjadi pengajaran yang cukup berguna kepada kita kerana Hatib diselamatkan hanya kerana dia seorang yang berjuang didalam Perang Badar. Jika tidak, pastinya dia dihukum sebagai pengkhianat. Begitu juga jika ahli jemaah berkhianat membocorkan rahsia jemaah kepada pihak yang tidak sepatutnya, maka dia wajar dibuang dari jemaah. Kita mengambil contoh dari sirah nabawi kerana golongan sahabat adalah generasi terbaik yang telah disahkan oleh Allah melalui firmanNya dalam al-Quran. Sahabatlah sumber terbaik dalam kita mencari contoh bagi menjadikan kita sebagai pengikut yang taat disamping mengangkat pemimpin yang baik dan seterusnya menjulang jemaah kita sebagai yang terbaik di sisi Allah.

Oleh itu sahabatku pemimpin dan ahli-ahli PAS, sayugialah kita kembali kepada makna sebenar wala’ yang telah dibuktikan oleh golongan sahabat dan kita menghapuskan fitnah yang sedang berlegar dalam jemaah kita.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT/Adun Bukit Payong
15 Syawal 1435 bersamaan 11 Ogos 2014

Monday, August 4, 2014

Lebih 3000 serbu Rumah Terbuka DUN Bukit Payong


YB Ustaz Mohd Nor Hamzah sibuk melayan tetamu samada di meja tetamu kenamaan atau tetamu di meja orang ramai
 
Dalam masa kira-kira tiga jam Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Bukit Payong diadakan, bermula dari jam 11 pagi hingga jam 2 petang, seramai lebih daripada 3000 orang pengunjung telah hadir bagi sama-sama memeriahkannya.
Pun begitu, walaupun sudah melebihi jam 2 petang, masih ada lagi kelihatan tetamu yang baru hadir ke majlis tersebut.
Kemeriahannya itu  diserikan lagi dengan kehadiran YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, Adun Bukit Payong sebagai tuan rumah serta kehadiran tetamu-tetamu jemputan seperti Yang DiPertua PAS Kawasan Marang Haji Yahaya Ali serta Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan.
Turut hadir ialah bekas Timbalan Mufti Terengganu, Tuan Haji Zainal Abidin, Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, Encik Jefry Chua dan juga Pengerusi DAP Negeri Terengganu Encik Ng Chai Heng.
Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Bukit Payong telah diadakan pada hari Sabtu 2 Ogos lalu di perkarangan Madrasah Darul Iman, Titian Baru, Kampung Kedai Buloh.
Selain daripada menu utama nasi berlaukkan gulai daging kawah, para tetamu juga dihidangkan dengan hidangan laksa Terengganu, lemang, ketupat serta kuih muih.
Bagi tetamu cilik pula aiskrim turut disediakan untuk mereka selain daripada duit raya yang menjadi hadiah yang ditunggu-tunggu golongan ini.
Dalam ucapan alu-aluannya, Ustaz Mohd Nor mengucapkan berbanyak terima kasih diatas kehadiran tetamu yang begitu ramai dan terdiri dari pelbagai golongan itu.
Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada para petugas dari kalangan AJK MTD dan juga penduduk kampung yang bertungkus lumus melakuakan persiapan bagi menjamin perjalanan majlis berjalan lancar.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada tetamu yang hadir ke majlis ini.
Saya juga memohon kemaafan jika ada yang terkurang daripada majlis ini, kerana kadang-kadang kehadiran diluar jangkaan.
Kita telah mencuba sedaya upaya memuaskan hati semua dan kita berharap agar para tetamu berpuashati dengan apa yang kami sediakan.
Saya juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat bagi membantu menjayakan majlis ini, semoga Allah memberikan sebaik-baik balasan,” kata beliau.
Selain daripada hidangan makanan, tetamu turut dipersembahkan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan pelajar dari Madrasah Darul Iman.
Tidak dilupakan ketika bergembira meraikan kemeriahan aidilfitri ialah nasib yang menimpa saudara kita seislam di Gaza.
Sehubungan dengan itu, jawatankuasa penganjur juga menyediakan tabung derma bagi membantu saudara kita di Gaza.
Rata-rata petugas yang ditemui melahirkan rasa kepuasan kerana dengan jumlah kehadiran yang begitu ramai membuatkan mereka rasa gembira dan hilang rasa penat melayan tetamu.
Walaupun mungkin ada kekurangan tetapi tetamu memahaminya dan para petugas berjanji akan memperbaiki segala kelemahan dimasa akan datang bagi memuaskan hati para jemputan semaksima mungkin.