Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Wednesday, May 21, 2014

Antara beruang panda, berwang, dan pandai


Bismillah

Selamat datang diucapkan kepada Fuwa dan Fengyi pasangan beruang panda yang baru tiba hari ini ke Malaysia dari negara China. Semoga selesa tinggal di Malaysia bagi menghabiskan percutian selama 10 tahun atas perjanjian pinjaman antara Malaysia dan China sebagai lambang keutuhan persahabatan selama 40 tahun. Begitulah yang dilaporkan.

(Salah seekor beruang panda yang akan menumpang hidup di Malaysia yang kosnya berjumlah kira-kira RM70 juta)

Bagi kehadiran dua ekor Fuwa dan Fengyi ini secara disedari atau tidak oleh seluruh rakyat Malaysia, kedua mereka, jelas akan membaham duit rakyat sebanyak puluhan juta ringgit. Manakan tidak, dalam laporan dinyatakan bahawa rumah bagi pasangan panda ini sahaja menelan RM25 juta dan di atas tanah seluas 1.6 hektar (empat ekar)! Dimana dengan keluasan ini, kita boleh membina 40 buah bagi rumah semi-D atau sebanyak 60 buah rumah kos rendah!

Itu belum lagi dikira kos perjanjian yang menelan RM3 juta setahun selama 10 tahun yang mesti dibayar oleh Zoo Negara kepada China sepertimana dipersetujui dalam Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi yang ditandatangani antara Malaysia dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China pada 15 Jun 2012. Tambahan kos lain ialah kos penjagaan yang dijangka menelan belanja kira-kira 1.5 juta setahun. Sekiranya panda tersebut melahirkan anak, maka Zoo Negara sekali lagi mesti membayar sebanyak RM2 juta kepada China dan setelah dua tahun, anak tersebut mestilah diserahkan kembali kepada China.

Keseluruhan bagi 10 tahun kos pembiayaan panda ini ialah sebanyak RM70 juta jika mereka mandul. RM72 juta jika beranak dan jika sekiranya tanah itu bernilai RM250 ribu seekar, maka jumlah keseluruhan pasangan panda itu dan seekor anaknya ialah RM73 juta. Satu jumlah yang sangat besar bagi perjanjian membawa binatang tinggal, makan dan beseronok-seronok di “rumah” kita. Sekiranya diberikan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) jumlah wang sebanyak itu, berkemungkinanan rakyat Kuala Terengganu terselamat daripada kenaikan cukai pintu. Sejumlah RM15 juta ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) manakala bakinya oleh kerajaan. Dan perlu diingat semua kos ini anda semua yang bayarkan. Bagaimana caranya? Caranya ialah dengan GST, tarif elektrik, harga petrol dan lain-lain lagi. Faham?

Saya juga bukan pakar binatang, tetapi sepanjang puluhan tahun saya tinggal di Malaysia, saya tidak pernah tahu yang Malaysia mempunyai panda yang tinggal secara semulajadi di habitatnya di Malaysia ini. Jadi untuk apakah penyelidikan yang hendak dijalankan? Kenapakah tidak sahaja dibiarkan pakar-pakar binatang dari China yang menguruskan panda-panda itu? Dan sememangnya di situlah tempat mereka. Fikirkan kembali kenyataan dari World Wildlife Fund (WWF) yang mencadangkan agar peruntukan sebesar itu lebih bagus disalurkan kepada usaha-usaha menyelamatkan binatang-binatang yang diancam kepupusan di Malaysia ini sendiri seperti harimau, badak Sumatera, penyu dan lain-lain lagi. Adakah akan kita mendapat peribahasa baru “Panda di China disusukan......”?

Saya juga tidak mengetahui sangat apakah maksud kedatangan beruang panda yang dibawa itu jika ingin saya kaitkan kepada kemiskinan dan kesempitan hidup rakyat serta masalah gejala sosial, atau akan membantu mendekatkan masyarakat yang semakin jauh daripada agama. Apakah ini mungkin cara penyelesaian terbaru bagi mengurangkan semua masalah negara tadi oleh kerajaan, saya tidak tahu. Tapi yang pasti hal ini tidak pernah dilakukan orang, dan ianya tiada dinyatakan dalam tujuan pinjaman panda ini.

Sedarkah anda semua, kehadiran beruang panda ini akan menjadikan sekumpulan manusia berwang kerana mereka cukup pandai dalam mencari peluang menambahkan wang mereka. Apa yang terjadi, nasib yang menimpa rakyat, tidak diendahkan. Buktinya dengan kenaikan harga petrol, harga barang-barang dapur, tarif elektrik dan lain-lain lagi selepas PRU. Sepatutnyalah rakyat bangun menyatakan sikap dengan pembaziran, penyelewengan, penipuan dan pemerasan ini. Ditambah dengan masalah kehidupan, gejala sosialnya, tekanan kerja, hambatan material dan pertambahan kejadian jenayah. Semestinya kita bersama-sama menghentikannya.

Kepada penyokong-penyokong Umno-BN, saya nasihatkan agar menjadilah pandai sebagaimana panda ini. Kerana walaupun panda ini tidak menyokong Umno-BN tapi mereka adalah beruang yang berwang dan ada nilai dirinya sehinggakan puluhan juta ringgit dikhaskan untuk mereka sebagaimana nasib gajah di Kenyir sedikit masa dahulu yang makannya sahaja mencecah ribuan ringgit sebulan, jauh lebih baik daripada penyokong Umno yang saban masa tidak cukup wang dan mudah dipermainkan oleh pimpinan mereka dengan gula-gula BR1M, KR1M, TR1M dan tetap merayu ihsan kepada pimpinan mereka. Wallahua’lam

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Adun Bukit Payong
21 Rejab bersamaan 21 Mei 2014

Monday, May 19, 2014

Cuaca panas punca terbakar

Petikan : Sinar Harian
  • Cuaca panas punca terbakar
  • Keadaan kebakaran yang berlaku di hutan belukar Wakaf Kedondong, Bukit Payong, Marang, kelmarin. Gambar kecil: Hamzah  
MARANG - Cuaca panas dan kering dikenal pasti menjadi antara punca hutan serta belukar mudah terbakar khususnya di kawasan bertanah gambut, yang turut melibatkan kawasan belukar di Wakaf Kedondong, Bukit Payong, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, kecekapan lima anggota dari Pasukan Bomba Sukarelawan Sri Payong diketuai Hamzah Long, 48, berjaya mengawal kebakaran belukar kira-kira 0.4 hektar itu daripada terus merebak.

Menurut Hamzah, tanpa perbuatan manusia sekalipun, keadaan cuaca yang terlalu panas juga boleh mencetuskan kebakaran di kawasan belukar dan hutan di daerah ini.

“Oleh itu, orang ramai diminta tidak membuat pembakaran terbuka dan menghindari perbuatan yang boleh menyebabkan kebakaran kerana dalam keadaan sekarang, kawasan kering seperti belukar dan lalang mudah terbakar.

“Hanya dengan pembakaran kecil sekalipun, api pasti akan mudah merebak,” katanya.

Kata Hamzah, jika kebakaran tersebut kecil, ia pasti boleh dipadamkan dalam masa singkat, tetapi jika sebaliknya berlaku, maka kerja mengawal kebakaran akan mengambil masa berhari-hari.

"Kebakaran dalam keadaan cuaca panas dan kering perlu dielakkan kerana kita kini menghadapi krisis bekalan air, malah kesan kebakaran juga boleh menyebabkan berlakunya jerebu yang menjejaskan kesihatan.

“Bau asap yang terlalu kuat juga mengganggu pernafasan. Jadi, marilah kita bersama mengelakkan pembakaran terbuka. Bagi mereka yang menghisap rokok pula, janganlah membuang puntung rokok di merata-rata tempat," katanya.

Sunday, May 18, 2014

Lagi pembodohan BN ke atas rakyat


Bismillah

Saya menyeru kepada semua rakyat agar menyedari dan bangkit bagi melawan akan pembodohan yang sedang dilakukan oleh kerajaan BN terhadap kita. Kali ini dengan kenaikan tarif elektrik bagi menyelamatkan TNB.

Seharusnya kerajaan mesti memandang kepada empunya Independent Power Producer (IPP) yang begitu enak melahap subsidi bahan api bagi menimbun kekayaan mereka dan bukannya menjadikan rakyat sebagai mangsa kerakusan ini. Mengapakah mereka diberi subsidi yang begitu besar sedangkan dalam masa yang sama, kenaikan tarif ini dibebankan keatas rakyat jelata.

Tambahan pula tiada keperluan mendesak sebenarnya IPP ditubuhkan ketika dahulu dan juga sekarang kerana TNB sangat berkelayakan dalam penguruskan bekalan tenaga ini dari segi kewangan dan kemahiran. Jika ini dihapuskan maka TNB semestinya akan dapat mengurangkan tarif elektrik kerana ada sesetengah harga bekalan elektrik IPP dibayar oleh TNB dengan harga melebihi kos.

Apakah hubungan taukeh-taukeh besar IPP itu dengan kerajaan? Apakah keistimewaan mereka sehingga rakyat pula terpaksa menyerahkan subsidi mereka, manakala mereka tidak pernah ditarik subsidi mereka oleh kerajaan? Adakah ini yang disebut peribahasa “Orang memberi, kita merasa? Iaitu sebagai satu bentuk balasan mungkin kepada taukeh-taukeh ini?

Alasan bagi menyelamatkan TNB daripada bangkrup adalah kenyataan yang dangkal yang langsung tidak boleh diterima dan tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh PM bagi menaikkan tarif elektrik. Terbukti TNB tidak mengalami kerugian, malah mencatatkan keuntungan berbilion ringgit malah bukan untuk kali ini sahaja keuntungan dicatatkan TNB seperti dalam laporan tahunan kewangan mereka.

Kesan berantai yang sudah dapat kita jangka ialah kenaikan harga-harga barang lain atas alasan kenaikan tarif ini dan ditambah pula dengan gandaan GST tahun depan sebanyak 6%, maka kenyataan bahawa tidak ramai yang terjejas dengan kenaikan ini, hanyalah menambahkan lagi koleksi kenyataan-kenyataan bodoh menteri BN.

Tidak cukup dengan itu, pesta mengutip cukai yang bertopengkan pengurangan subsidi diteruskan dengan pengisytiharan saman bagi kesalahan jalanraya termasuklah cermin gelap akan dimulakan operasinya sedikit masa lagi dengan anggaran ratusan juta ringgit akan berjaya dikutip oleh kerajaan.

Maka segala janji-janji BN sebelum PRU dahulu hanyalah janji bagi memenangi undi rakyat sahaja dan bukan untuk membela rakyat. Sebaliknya rakyatlah yang kena bela BN sehingga kenyang. Oleh itu seharusnya rakyat sedar dan bangkit menentang akan permainan BN ini yang mana, kerana sikap tidak peduli rakyatlah yang membuatkan BN terus memperbodohkan rakyat. Ayuh, peduli kita dengan politik semasa bagi menyelamatkan Malaysia yang kita cintai ini.

YB Ustaz Mohd Nor
Ketua Penerangan BPPNT
19 Rejab 1435 bersamaan 19 Mei 2014

Saturday, May 17, 2014

Perutusan tahniah kepada MB baru

Bismillah

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, diatas perlantikan beliau sebagai MB bagi negeri Terengganu Darul Iman yang baru selepas mendapat perkenan Tuanku Sultan Terengganu pada 12 hb Mei yang lalu.

Suka saya mengingatkan Datuk akan amanah yang sedang dipikul oleh Datuk adalah amanah dari Allah bagi menjaga keseluruhan rakyat Terengganu dari semua segi. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”

Maka hendaklah kita menginsafi bahawa amanah ini adalah beban ke atas manusia, menjadi kecelakaan bagi orang yang mengkhianatinya dan kerahmatan bagi yang memenuhinya dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan Allah.

Saya dengan rendah diri memohon kepada Datuk sebagai ketua kerajaan yang baharu agar memperhalusi soal keadilan, ketelusan dan menjadi seorang pemimpin bagi sebuah kerajaan untuk semua rakyat Terengganu tanpa mengira perbezaan agama, bangsa mahupun ideologi sesuai dengan saranan dalam titah ucapan Tuanku ketika perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri tempohari dengan :

Meneliti kembali keperluan segera bagi melantik kembali seorang Exco Agama secara khusus kepada portfolionya, menilai semula projek-projek “Gajah Putih” samada yang sedang ataupun yang bakal dilaksanakan, mengambil tindakan tegas keatas kotraktor-kontraktor yang gagal memenuhi spesifikasi piawai sesuatu projek serta mana-mana jika terdapat GLC yang tidak mengutungkan hendaklah distrukturkankan semula ataupun ditiadakan kerana ianya semua merupakan kepentingan utama rakyat dan bagi menghapuskan pembaziran dan juga rasuah untuk menyelamatkan wang rakyat daripada disalah guna.

Memahami maksud “keadilan” dalam pemerintahan era Datuk dengan sebenar-benarnya agar tidak disalahertikan sepertimana kefahaman pimpinan Umno yang lalu. Adil didalam Islam bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Walaupun di sesesuatu kawasan, rakyat tidak memilih wakil dari parti kerajaan yang memerintah, namun menjadi kewajipan kepada kerajaan memerintah atas semangat demokrasi, menyalurkan peruntukan kepada rakyat melalui wakil yang telah mereka pilih secara sah sebagai tanda menghormati pilihan rakyat.

Kerajaan negeri mesti memahamkan fungsi JKKK kepada ahlinya agar dapat berperanan dengan sepatutnya dan tidak bertindak sewenang-wenangnya menafikan hak orang ramai dengan menyalahgunakan kuasa yang diberi. Tidak lupa juga kepada badan-badan kerajaan supaya mengenepikan birokrasi yang tidak sepatutnya dalam memproses permohonan-permohonan rakyat terutama dalam hal yang memerlukan sokongan wakil rakyat bukan kerajaan.

Akhir kata, saya ingin mengingatkan Datuk bahawa ahli dan penyokong PAS juga adalah sebahagian dari rakyat Terengganu. Saya membawakan sepotong hadis yang bermaksud :

“Sesiapa saja pemimpin yang curang (zalim) terhadap rakyat, maka akan masuk neraka.” (Hadis riwayat At-Tabrani)

Sebagai ingatan kepada diri saya sendiri dan Datuk akibat sekiranya pemimpin melakukan kezaliman ke atas rakyatnya, dan saya mengucapkan selamat bertugas kepada Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman. Semoga harapan kami di atas menjadi kenyataan demi memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Terengganu. InsyaAllah.

YB Mohd Nor Hamzah
Adun Bukit Payong
18 Rejab 1435 bersamaan 18 Mei 2014

Thursday, May 15, 2014

Terima Kasih Cikgu

Bismillah

Dinyatakan didalam sebuah hadis diriwayatkan oleh At Tabarani daripada Abi Bakrah maksudnya, “Jadilah kamu seorang yang alim, atau yang suka belajar, atau yang suka mendengar (ilmu-ilmu agama), atau menjadi golongan yang cinta kepada tiga golongan di atas, tetapi jangan kamu jadi golongan kelima”. Begitulah antara penghargaan yang telah dinukilkan oleh Islam kepada guru iaitu orang yang berilmu yang memberikan tunjuk ajar kepada manusia sejagat agar dapat keluar daripada kepompong kejahilan adalah dalam kelas pertama.
Dahulu, pemimpin masyarakat atau orang yang bertanggungjawab menyedarkan masyarakat dengan ilmu dan mengetahui akan tipu helah penjajah, ramai daripada mereka adalah dari kalangan guru dan ustaz. Tugas dan tanggungjawab mereka berat, tetapi dilakukan dengan penuh tanggungjawab demi mendidik anak bangsa agar berilmu. Tiada kekayaan yang dikejar, ikhlas kerana Allah, sanggup berhabis duit demi anak murid itu adalah ciri-ciri guru yang berkhidmat pada ketika itu.
Islam memandang kerjaya guru ini adalah satu bentuk kerjaya yang sangat mulia. Namun mutakahir ini, peranan pendidik dilihat terlalu ditekan oleh pemerintah dengan bebanan kerja yang kian meningkat. Ditambah dengan apa yang dipanggil Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sistem ini dilihat sebagai beban tambahan yang tidak perlu yang telah diletakkan ke atas bahu para pendidik.
PAS memandang hal ini sebagai satu pemerasan ke atas golongan pendidik, dan percaya sebarang bebanan yang tidak perlu, yang akan menghasilkan lebih tekanan hidup. Perkara ini mesti dibuang bukan sahaja bagi meletakkan sistem pendidikan kita kembali gemilang tetapi memberikan lebih ruang bagi guru itu sendiri membina kualiti dalam hidup mereka dan keluarga mereka. Itu belum dikira tekanan politik yang mana dalam banyak kes guru yang berkeluarga dipisahkan dari keluarga mereka hanya kerana memilih ideologi yang berlainan daripada ideologi kerajaan memerintah, sekaligus menambahkan lagi tekanan hidup mereka.
PAS juga percaya bahawa sistem pendidikan bukanlah satu alat ujikaji semborono yang mana guru dan pelajar menjadi bahan ujikaji. Sebagai mana kata-kata dari Profesor DiRaja Engku Aziz, kalau tidak kerana tangan-tangan gatal yang mengganggu system pendidikan kita, maka ia tidak akan menjadi caca marba. Ini terbukti apabila pada tahun 2012, dalam Dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa) 2012, Malaysia berada pada kedudukan kedua tercorot di kalangan negara Asia Tenggara di belakang Singapura, Thailand dan Vietnam.
Oleh itu PAS percaya kekuatan mental guru akan terjejas kerana bebanan yang tidak perlu, sekaligus akan melemahkan prestasi mereka kerana tekanan kerja dan pastilah yang menjadi mangsa keadaan ialah anak-anak kita. Dan ini perlu kita hapuskan demi untuk kesejahteraan guru kerana mereka adalah Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi
Terima kasih cikgu, jasamu ku kenang keakhir hayat……

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu
16 Rejab 1435 bersamaan 16 Mei 2014

Monday, May 12, 2014

GST dan Islam

Bismillah

Saya ingin mengajak rakyat agar berfikir tentang kesan Cukai Barangan dan Perkhidmatan - Goods and Services Tax (GST) yang telahpun diluluskan bagi menggantikan cukai Jualan dan Perkhidmatan - Sales and Services Tax (SST) dan ianya bakal menemui rakyat Malaysia pada tahun depan dengan nilai sebanyak 6%. Walaupun ahli parlimen dari Pakatan Rakyat telah berusaha berhujah dan melawan kehendak kerajaan ini dengan bersungguh-sungguh, akan tetapi kerana PR tiada majoriti di Parlimen, maka ianya diluluskan juga.

Apa yang difahamkan GST ini telah diperkenalkan oleh seorang pakar ekonomi Perancis sejak tahun 50-an lagi dan telah diamalkan oleh kebanyakan negara-negara lain sejak sekian lama. Ianya satu sistem percukaian yang dikatakan lebih efektif berbanding dengan SST. Sistem ini adalah seperti kerajaan mewakilkan pihak peniaga untuk mengutip cukai daripada rakyat bawahan. Ia juga turut dikatakan akan mengemaskan lagi sistem dan data peniaga dengan terpaksa menyimpan semua rekod dan bil-bil mereka bagi semakan percukaian.

Contohnya senang, iaitu pengilang membuat produk, akan dicaj oleh kerajaan sebanyak 6%. Oleh itu, pengilang apabila menjual produknya kepada pembekal, akan menaikkan harganya daripada harga dahulu sebanyak 6%. Kalau harga jual barang itu kepada pembekal dahulu ialah RM100, sekarang sudah menjadi RM106. Si pembekal pula akan menjual barang itu kepada peruncit juga dengan harga tambahan sebanyak 6% daripada harga dulu. Dan akhirnya peruncit akan menjual kepada pengguna dengan keadaan harga barang itu telah naik dan menjadi 6% lebih daripada harga dahulu. Untuk pengisytiharan cukai itu pula, semua peniaga mestilah menyimpan resit jual beli mereka bagi rujukan.
Tidakkah kita melihat kesan berantai cukai itu yang akhirnya akan dikenakan kepada pengguna? Itu belum dikira kepada asas harga barang yang sudah berubah naik. Nilai 6% bagi RM100 berbeza dengan 6% bagi RM200.

Dan lebih malang lagi cukai itu tidak mengenal sesiapapun samada miskin atau kaya. Walaupun diberikan jaminan bahawa GST ini hanya keatas barang mewah sahaja dan tidak akan dikenakan kepada barangan perlu seperti beras, gula, tepung dan sebagainya, tetapi percayalah, tiada jaminan yang ianya tidak akan dikenakan pada masa akan datang. Seperti biasa, apabila BN berjanji “TIDAK AKAN NAIK” maka tunggulah masanya, ia “AKAN NAIK”, pasti! Contoh trbaik ialah kenaikan harga petrol, gula, ayam dan sebagainya yang berlaku selepas PRU walaupun masa berkempen BN berjanji tidak akan naikkan harga. Rakyat faham atau tidak, GST tetap dilaksanakan kerana anggaran cukai yang bakal diperolehi oleh kerajaan ialah sebanyak satu billion lebih selepas GST dilaksanakan.

Mari kita bandingkan pula dengan sistem muamalat dalam Islam. Dalam Islam kita juga ada cukai seperti jizyah, kharaj, usyur. Akan tetapi cukai-cukai ini adalah berkadar terus dengan pendapatan orang yang dikenakan cukai itu, makin kaya dia, makin banyak jumlah cukai. Tetapi ianya TIDAK dikenakan kepada orang miskin. Apa yang menjadi masalah ialah GST atau cukai lain yang dilaksanakan oleh kerajaan terkena keatas semua rakyat miskin ataupun kaya.

Lihat sahaja cukai pintu dikenakan sehingga beratus peratus. Ini adalah kezaliman kerana rumah ialah benda asasi, juga dikenakan cukai. Sedangkan semua manusia memerlukan tempat tinggal. Dalam kitab yang al-Kabaair tulisan Imam az-Zahabi, antara dosa besar yang disebut ialah al-Maksu ialah cukai-cukai yang zalim (mengikut satu tafsiran) kerana mengambil secara zalim.

Dalam Islam, kita tidak hanya bermuamalat di atas dunia sahaja, tetapi juga di akhirat. Cukai ini adalah perkara yang bukan sahaja berkait dunia tetapi hingga akhirat. Orang miskin tidak dikenakan cukai, kecuali kerana dharurat yang mencengkam seperti perang. Mengapa begitu bersungguh-sungguh kerajaan mahukan GST ini? Jawapannya ialah negara kita sentiasa bocor kantungnya sehingga tidak diketahui kemana hilangnya duit negara. Inilah sebab utamanya.

Tapi sayang, bukan ini caranya untuk kerajaan mengutip cukai dan lebih parah mereka memberikan alasan-alasan memperbodohkan rakyat bagi menghalalkan cukai itu dikutip. Kemana hilangnya dua billion bajet tahunan bagi negeri Terengganu? Kenapa pula hutang negara semakin lama meningkat sebegitu tinggi? Laporan Audit Negara saban tahun membuktikan kepincangan pengurusan wang rakyat, tetapi laporan tinggal laporan, tiada pendakwaan dan hukuman.

Lihatlah kejahilan kita sanggup mengagungkan sistem yang dicipta barat yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam kita yang tinggi dan mulia. Apabila kita cuba mahu menengakkan Islam, maka riuh rendahlah khalayak ramai bersuara menentang, tidak adil, kuno, berlawan dengan hak asasi manusia dan sebagainya, walaupun sistem kafir yang jauh lebih menindas, ianya akan dihiasi dengan pelbagai alasan agar rakyat menerimanya. Tiada ruh dalam sistem kapitalis yang menindas lebih-lebih lagi keatas golongan yang miskin dan lemah.

 Oleh itu kebimbangan kita ialah ketika di akhirat kerana tiada perlindungan kepada orang yang menganiaya orang lain. Dalam satu hadis Muslim, dosa penzina lebih ringan dari dosa orang yang mengenakan cukai secara zalim dan tidak sebenar ke atas rakyat. Ianya kerana dosa penzina tidak melibatkan orang ramai, tetapi dosa mengenakan cukai secara zalim ialah dosa yang melibatkan rakyat yang ramai. Pelakunya mesti bertaubat dengan menghentikan cukai yang zalim ini, mohon ampun kepada Allah dan lebih utama kepada rakyat kerana dosa ini. Wallahua'lam

Bekas MB Terengganu, Ahmad Said keluar UMNO

Petikan : Astro Awani

KUALA LUMPUR: Beberapa jam selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada Isnin, Datuk Seri Ahmad Said telah mengumumkan keluar dari parti UMNO.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal kini berdiri sebagai ADUN bebas.

"Dimaklumkan bahawa saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuatkuasa serta-merta.

Saya juga mengisytihar keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas bagi DUN Kijal," katanya dalam surat tersebut.

Keluar UMNO Ahmad Said
Surat keluar parti Datuk Seri Ahmad Said yang diemailkan kepada AstroAWANI.

Seorang lagi ADUN dari UMNO, iaitu Ghazali Taib yang merupakan ADUN Ajil juga telah isytihar keluar dari parti tersebut.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Ahmad Said dalam satu email kepada Astro AWANI.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said telah meletakkan jawatannya berkuatkuasa Isnin.

UMNO Keluar
Surat keluar parti ADUN Ajil, Ghazali Taib yang diemailkan kepada AstroAWANI.

Beliau digantikan oleh ADUN Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dalam satu majlis angkat sumpah.

Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu malam tadi.

Dengan perkembangan terbaru ini, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat masing-masing menguasai 15 kerusi daripada 32 kerusi DUN Terengganu di mana PAS menguasai 14 kerusi DUN manakala PKR pula satu kerusi.

Baki dua lagi adalah calon bebas.

Sunday, May 11, 2014

Anak nyaris kena hempap pokok

Petikan : Sinar Harian
 

Anak nyaris kena hempap pokok
Keadaan pokok leban yang tumbang menimpa bumbung bahagian depan
rumah seorang penduduk di Kampung Surau Haji Mat Zain.       
 
MARANG - Sebuah keluarga di Kampung Surau Haji Mat Zain, di sini, melalui detik cemas apabila rumah mereka dihempap pokok ketika angin kencang dan hujan melanda kampung berkenaan, kira-kira jam 3 petang, kelmarin.

Mismida Sidek, 40, berkata, ketika kejadian, enam anaknya sedang duduk dan ada yang sedang bermain di bahagian depan rumah.

Menurutnya, sebelum itu, dia terdengar bunyi angin kencang agak luar biasa ketika hujan melanda kawasan berkenaan.

“Saya rasa tak sedap hati dan memang nak panggil anak-anak masuk ke dalam rumah. Tapi belum sempat panggil mereka, tiba-tiba pokok leban berhampiran rumah tumbang menimpa atap tempat mereka duduk dan bermain,” katanya.

Ketika itu, Mismida berkata, dia berada di bahagian dapur rumah manakala suaminya, Roslan Abdul Rahman, 45, tiada di rumah kerana bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Kampung Bukit Sawa.

“Saya segera keluar dan tergamam seketika kerana terkejut lihat pokok itu sudah tumbang menimpa atap bahagian depan rumah, mujurlah anak-anak yang berada di situ sempat lari selamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, sekumpulan anggota dari Pasukan Sukarelawan Bomba dan Penyelamat Sri Payong, di sini, bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat.

Pegawai pasukan, Hamzah Long, 48, berkata, enam anggota sukarelawan yang tiba di tempat kejadian kemudian membantu menebang pokok dan membersihkan sisa pokok tumbang yang menimpa rumah mangsa.

Menurutnya, tenaga anggota sukarelawan itu bukan hanya ditagih apabila berlaku kebakaran, tetapi mereka turut membantu masyarakat bersesuaian dengan objektif penubuhan pasukan sukarelawan itu.

“Ini bukan perkara baru bagi kami anggota bomba sukarelawan Sri Payong.

"Selain membantu pihak Bomba dan Penyelamat Marang dan daerah lain, kerja-kerja sosial seperti ini adalah satu amalan diterapkan dalam kalangan sukarelawan kami,” katanya.

Tunggang kapcai ke Krabi

Petikan : Sinar Harian
Tunggang kapcai ke Krabi
Seramai 50 ahli ARC sanggup tunggang kapcai ke Krabi sambil melawat
Madrasah Darul Aitam Wal Masakin Lilbanat di Pattani.
MARANG - Seramai 50 ahli Alternatif Riding Club (ARC) Terengganu menaiki 37 motosikal kapcai meredah perjalanan sejauh kira-kira 1,800 kilometer berkonvoi sambil melawat golongan memerlukan perhatian di Krabi, Thailand.

Pengarah programnya, Wan Ahmad Riduan berkata, program membabitkan 50 ahli ARC yang dipilih dari seluruh negeri itu dianjurkan bukan sekadar sukasuka, tetapi mempromosikan ARC di negara jiran.

Menurutnya, jelajah menggunakan motosikal berkuasa rendah dan tinggi selama lima hari itu turut melawat pelajar pondok Anharul U Loom di Krabi dan melawat madrasah anak yatim iaitu Madrasah Darul Aitam Wal Masakin Lilbanat di Pattani.

“Program ini telah lama dirangka dan ia diadakan bertujuan meningkatkan lagi ukhuwah dalam kalangan ahli ARC dari seluruh negeri dan dalam masa sama untuk mempromosikan ARC ke negara jiran.

“Kita buat program ini bukan semata-mata melawat tempat menarik di Thailand seperti Krabi, Hadyai dan Songkla tetapi terdapat pengisian yang jelas iaitu melawat pelajar pondok dan madrasah di kawasan tersebut,” katanya.

Wan Ahmad Riduan berkata, perjalanan menggunakan motosikal berkuasa rendah dengan diiring pacuan empat roda amat mencabar kerana mereka berada di sebuah negara yang sedang bergolak.

“Namun, Alhamdulillah berkat doa dan ketabahan peserta, kita dapat menjayakan program konvoi ini. Malah ARC Terengganu turut bercadang untuk ke Indonesia tahun hadapan dengan matlamat yang sama seperti lawatan ke Thailand kali ini,” katanya.

Santuari Gajah RM8 juta Ditutup!

Petikan : Buletin Online
 
HULU TERENGGANU – Santuari Gajah Sungai Ketiar yang dibina sejak tahun 2008 dan mula dibuka kepada umum pada 29 Januari 2010 sudah tidak beroperasi lagi.
 
Tinjauan yang dibuat mendapati, tidak ada aktiviti di pusat perlindngan gajah yang terletak di jalan Tasik Kenyir ke Felda Aring itu.
 
Laman sosial Santuari tersebut telah memaklumkan, ia ditutup sempena perpindahan ke Pusat Konservasi Gajah Terengganu di Sungai Deka.
 
ahmad said santuari gajah“Terima kasih atas sokongan anda semua, harap maklum, page ini akan ditutup sempena perpindahan ke Pusat Konservasi Gajah Terengganu di Sungai Deka,” menurut laman Santuari sebagaimana dikemaskini pada 29 Mac lalu.
 
Menteri Besar, Dato’ Sei Ahmad Said pernah berkata Santuari Gajah di Sungai Ketiar yang dibina dengan perbelanjaan R8 juta itu adalah antara produk pelancongan yang akan ‘dijual’ sebagai tarikan utama di Terengganu.
 
Katanya, kawasan perlindungan ini akan dibahagi kepada tiga kompatmen dan setiap kompatmen (5,000 hektar) akan dikawal menggunakan pagar elektrik dan dibuka secara berasingan.
 
“Perbelanjaan dijangka mencecah lebih RM8 juta bagi membina pagar elektrik di sekeliling kawasan perlindungan gajah,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat di pusat tersebut pada Mac tahun 2000.
 
Kerajaan negeri turut dilaporkan membuka sebuah lagi pusat gajah yang dinamakan sebagai ‘Perkampungan Gajah'.
 
Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lalu, kerajaan negeri Terengganu menyatakan konsep Santuari Gajah adalah untuk melindungi dan menyelidik binatang tersebut.
 
Ia berbeza dengan pengurusan ‘perkampungan gajah’ yang menjurus kepada eko pelancongan.
 
santuari gajahtutup1“Perbezaannya ia dari segi konsep pengurusan dimana ‘perkampungan gajah’ adalah menjurus kepada ekopelancongan dan pendidikan,
 
“Manakala santuari gajah lebih menjurus kepada melindungi dan melakukan penyeleidikan gajah dihabitat asalnya,”sebagaimana dinyatakan kerajaan, pada kertas jawapan kepada soalan-soalan bertulis sidang DUN.
 
Kerajaan menyatakan demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh ADUN Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah
Kos bagi pembangunan Perkampungan Gajah pula dinyatakan berjumlah RM14, 853, 334.52.

Friday, May 9, 2014

Desas-desus pertukaran MB Terengganu


Bismillah
Saya mengikuti dengan cermat berita hangat ketika ini, iaitu berkaitan dengan desas desus pertukaran Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri  Ahmad Said yang dikatakan telah berjanji dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengemudikan Kerajaan Terengganu selama setahun sahaja bermula selepas menang PRU 13.
Saya sebagai rakyat Terengganu, merasakan berhak untuk mengemukakan beberapa persoalan agar jelas, apakah masalah yang sedang melanda Kerajaan Negeri Terengganu ini. Sebagai wakil rakyat, saya telahpun menjalankan tanggungjawab saya dengan mengemukakan soalan di dalam Sidang Dun baru-baru ini berkenaan pertukaran MB ini. Malangnya soalan saya ditolak oleh Dun. Oleh itu saya dengan penuh rasa bertanggungjawab mengemukakan soalan di sini agar kita, rakyat Terengganu, sama-sama dapat memikirkan masalah negeri kita. Pas sudah lama menyatakan kepincangan dalam pentadbiran Ahmad Said, tetapi sayang, ramai yang tidak mahu menerimanya.
Apakah kesalahan Dato’ Ahmad Said sebenarnya, sehinggakan beliau hendak diturunkan dari tahta MB ini? Jika kerana berlaku penyelewengan dalam pentadbirannya seperti yang PAS nyatakan dahulu, rakyat tidak boleh tidak, mesti dimaklumkan. Jika ada bukti, dakwa beliau di mahkamah, lakukan pendedahan terbuka. Undang-undang kita tidak mengenal sesiapa, besar atau kecil, bukan alasan untuk dia tidak didakwa. Kecuali pimpinan Umno negeri yang tidak sebulu dengan Ahmad, memilih untuk menjadi pengecut dengan mendiamkan semua penyelewengan itu, jika ada. Oleh itu ahli Umno yang mengaku cintakan keadilan, mesti bangkit bagi membongkar segala kepincangan ini suapya rakyat dapat menilai dan membuat satu kata putus yang betul dalam PRU yang akan datang.
Rakyat Terengganu, saya yakin, mereka telah muak dengan drama bersiri perbalahan dalaman Umno terutama antara “Team Utara” dan “Team Selatan” yang kelihatannya tiada berkesudahan pasca PRU 12, pada tahun 2008 (Kes Tuanku Sultan Terengganu digelar binatang). Sesiapa sahaja daripada Umno yang dipilih sebagai MB, dia akan melangsungkan agenda pembaziran wang rakyat. Oleh itu pertukaran MB ini saya percaya tidak ubah seperti menyapu sampah ke bawah karpet, tidak akan menyelesaikan masalah. Suatu masa, sampah itu akan menimbun dan kelihatan juga. Melainkan pembubaran Dun dibuat bagi rakyat diberi mandat untuk memilih semula kerajaan dan sekaligus untuk MB yang baru.
Sikap membisu Ahmad Said juga, menambahkan lagi persoalan-persoalan ini, dan adakalanya seperti dia mengiyakan kebenaran berita yang dicanang ini. Ini ditambah dengan sikap pimpinan Umno negeri memperlihatkan seolah-olah mereka sedang menunggu “hari bersejarah” yang dikatakan itu. Apatah lagi dengan kegagalan Karnival Kenyir yang sangat memalukan Ahmad dan juga dengan kenaikan cukai pintu oleh MBKT sehingga beratus kali ganda, memperkuatkan lagi suara-suara yang mencadangkan ianya seperti sabotaj dari pihak-pihak tertentu bagi memalukan pentadbiran Ahmad untuk melengkapkan jalan cerita ini.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu
8 Rejab 1435 bersamaan 8 Mei 2014

Friday, May 2, 2014

Demi kasih sanggup bersih najis

Petikan : Sinar Harian
  • Demi kasih sanggup bersih najis
  • Dua petugas PDK Bukit Payong, Yuslaili (kanan) dan Zaleha sedang menunjukkan cara-cara mengubah bunga daripada manik sambil diperhatikan empat pelatih.
                                                                       
MARANG - Jika guru dipuji kerana banyak berkorban untuk mendidik anak bangsa, petugas di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) juga layak menerima pujian sama kerana pengorbanan mereka menguruskan insan istimewa.

Malah pengorbanan mereka bukan dibuat-buat, sebaliknya dilakukan dengan penuh kesabaran, keinsafan dan kasih sayang setanding ibu bapa pelatih itu sendiri.

Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi  itu juga menyebabkan ada petugas PDK sanggup membersihkan najis pelatih yang kebanyakannya adalah OKU.

Berkongsi pengalaman menjadi penyelia di PDK Bukit Payong, Zaini Sidek, 46, berkata, hatinya tersentuh melihat nasib golongan istimewa itu walaupun terpaksa berdepan tingkah laku pelatih yang agak agresif.

“Kadang kala mereka ini bersikap di luar jangkaan kerana kebanyakan mereka yang berumur 20 tahun ke atas ini mempunyai emosi keterlaluan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di PDK Bukit Payong di sini, semalam.


Proses pembelajaran berbeza

Zaini yang mula bertugas sejak 2001 berkata, menjaga dan mengajar pelajar istimewa lebih memenatkan berbanding pelajar normal kerana mereka belajar daripada pengalaman dan perlu ditunjukkan apa yang betul dan salah.

Justeru katanya, proses penjagaan dan pembelajaran pelatih di PDK tidak boleh dilakukan sama seperti mengajar pelajar biasa kerana mereka tidak akan memahaminya memandangkan tahap kognitif mereka berbeza dan terhad.

"Seperkara yang perlu diambil kira ialah bagaimana menangani pelatih yang kebanyakannya adalah anak-anak Sindrom Down.

"Setakat ini PDK Bukit Payong mempunyai 61 pelatih, namun hanya 39 pelatih yang mengikuti latihan di sini," katanya.

Zaini dibantu empat petugas sukarelawan iaitu Yuslaili Jusoh, 36, Zalawati Mustafa, 41,  Azrina Abidin, 31, dan Zaleha Che Ha’ad, 45.

Difahamkan kesemua mereka melatih insan istimewa di pusat tersebut tanpa gaji bulanan dan hanya menerima elaun.


Pelatih diajar berdikari

Kata Zaini, bagi memastikan latihan yang dijalankan berkesan dan paling penting dapat meningkatkan tahap kebolehan pelatih, ibu bapa juga diminta hadir pada masa tertentu untuk melihat anak mereka menjalani latihan.

Menurutnya, latihan dijalankan secara sistematik sambil menanamkan disiplin dalam diri pelatih agar mereka dapat diasuh menjadi individu yang boleh berdikari,  seterusnya mampu menguruskan kehidupan sendiri.

“Pelatih kita menerima latihan bagaimana mempertingkatkan kemampuan kendiri mereka dengan alat bantuan mengajar yang biasa digunakan untuk kanak-kanak normal dan ada juga peralatan yang khusus untuk mereka.

“Kami di PDK Bukit Payong turut melatih ibu bapa bagaimana untuk mendidik anak Sindrom Down dengan cara yang kami amalkan supaya mereka juga boleh berdikari pada masa depan,” katanya.

Bagaimanapun Zaini berkata, pihaknya hanya melatih dan tidak mengajar seperti guru di sekolah.

"Kita di sini hanya melatih mereka agar berkemahiran mengendalikan diri seperti pandai pergi ke tandas dan membersihkan diri sendiri serta boleh bercakap dengan baik.

“Perkara yang diajar itu cukup penting sebagai persediaan awal kepada mereka meneruskan kehidupan kelak,” katanya.

PDK Bukit Payong menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sumbangan daripada pihak swasta.

Bagaimanapun pusat itu masih memerlukan bantuan ikhlas untuk membiayai kos tambahan lain.