Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Sunday, March 30, 2014

Jabatan Amal bantu siapkan surau


Jabatan Amal adalah satu nama yang sinonim dengan kerja-kerja kebajikan bagi membantu masyarakat tanpa mengira faktor politik, agama, bangsa serta status dan sentiasa di hadapan apabila bantuan diperlukan masyarakat.
Kesungguhan dan keihklasan yang mereka tunjukkan dalam gerak kerja kebajikan ini, telah menarik perhatian masyarakat antaranya ketika memberikan bantuan banjir di Kuantan dan Kemaman baru-baru ini.
Dengan kemahiran yang pelbagai yang dimiliki oleh ahli-ahlinya, masyarakat memberikan kepercayaan kepada mereka dan hampir semua kerja amal dapat dilakukan dengan sebaiknya.
Baru-baru ini satu gotong royong bagi menyiapkan bangunan Surau al – Quddus setinggi satu tingkat di Kampung Batu 9 telah diadakan oleh jawatankuasa surau dengan kerjasama Jabatan Amal Kawasan Marang.
Seramai kira-kira 20 orang anggota Jabatan Amal yang mahir bertukang, hadir dalam program gotong royong ini dan ini adalah kali kedua mereka menjayakan program sebegini di surau ini.
Surau yang lokasinya terletak berhampiran susur masuk ke Lebuhraya Pantai Timur di simpang empat Bukit Payong itu sebenarnya telah lama dibina tetapi pembinaannya berjalan agak perlahan kerana faktor kewangan.
Kos pada ketika itu dianggarkan sebanyak RM 150 ribu dan selepas lapan tahun berlalu, kos itu sudah pastinya semakin meningkat.
Dengan sumbangan orang ramai, surau yang mula dibina pada tahun 2006 itu sekarang ini kembali rancak pembinaannya dan dijangka siap sebelum Ramadhan ini.
Dan bagi mengurangkan lagi kos pembinaan, penduduk kampong bergotong royong pada setiap hujung minggu membina surau ini.
Pengerusi Jawatankuasa Surau al-Quddus Batu 9 Haji Mamat Jusof, 59, berharap dengan siapnya bangunan ini serta kedudukan surau yang sangat strategik ini akan memberikan lebih keselesaan dan menarik kehadiran lebih ramai jemaah.
Beliau berkata untuk itu ( menarik lebih ramai jemaah), bukan sahaja keselesaan yang ditekankan, tetapi jawatankuasa juga telah merancang mempelbagaikan lagi program untuk jemaah yang kebanyakkannya adalah penduduk setempat.

Adun PAS ziarah bekas Exco kena angin ahmar

Petikan : Buletin Online

MARANG – PAS tidak pernah berdendam dengan mana-mana musuh politiknya terutama dari kalangan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) meski pun berlainan fahaman ideologi.
Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah tidak kekok untuk melawat serta menziarahi bekas Adun BN Pengkalan Berangan, Dato’ Yahya Khatib Mohamad yang mengidap penyakit angin ahmar.
Ustaz Mohd Nor berkata meski pun Umno-BN adalah ‘musuh’ politiknya tetapi hubungan persaudaraan Islam tidak ada batasan.
Menurutnya, secara peribadi Dato’ Yahya Khatib merupakan sahabat ketika berada di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu di penggal yang lalu.
Namun, katanya prinsip dan dasar Umno-BN tetap menjadi musuh politik PAS sampai bila-bila selagi parti itu tidak berubah.
CALON PAS PRU KE-13“Saya ziarah dia (Yahya) kerana beliau sakit terkena angin ahmar. Beliau saya anggap sebagai kawan dan sahabat politik ketika di dewan (Dun Terengganu dia Adun BN Pengkalan Berangan dan saya Adun PAS Bukit Payong.
“Tapi, prinsip dan dasar parti Umno-BN yang tidak betul itu tetap akan jadi musuh politik PAS sampai bila-bila selagi dia (parti) tidak berubah, Insya’Allah,” tegasnya kepada media, 28 Mac lalu.
Menurut Ustaz Mohd Nor, beliau diberitahu oleh bekas pemimpin Umno-BN itu untuk tidak akan terlibat secara langsung lagi dengan dunia politiknya.
Yahya Khatib pernah menjadi ahli Exco Kerajaan Negeri Terengganu dan bekas Ketua Umno Bahagian Marang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 13 Mac lalu akibat penyakit angin ahmar tahap satu.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu, beliau bertanding sebagai calon BN bagi Parlimen Marang menentang Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tetapi tewas.

Bomba padamkan kebakaran 1,276 hektar hutan gambut di Terengganu

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Negeri Abdullah Zawawi Mohamed berkata kebakaran seluas kira-kira 1,276 hektar kawasan hutan tanah gambut membabitkan antara daerah Dungun, Setiu, Besut serta Kuala Terengganu dan Kemaman yang dikesan sejak Januari lalu. – Gambar fail.Enam lokasi kebakaran hutan tanah gambut dan belukar berjaya dikawal serta dipadamkan sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Negeri Abdullah Zawawi Mohamed berkata kebakaran seluas kira-kira 1,276 hektar kawasan hutan tanah gambut membabitkan antara daerah Dungun, Setiu, Besut serta Kuala Terengganu dan Kemaman yang dikesan sejak Januari lalu.
"Kesemua kebakaran melibatkan hutan tanah gambut serta belukar berjaya dipadamkan sepenuhnya secara berperingkat bermula 7 Mac sehingga 17 Mac lepas.
"Namun bagi kebakaran hutan di Setiu serta Dungun masih terdapat kepulan asap dan kita masih meletakkan anggota di kawasan hutan tanah gambut itu untuk mengawal kebakaran jika terdapat kebakaran berulang di kawasan itu," katanya kepada Bernama.
Menurutnya kawasan hutan di Tok Kah, Dungun paling teruk terbakar yang memusnahkan seluas 411 hektar hutan tanah gambut sejak 25 Januari.
Ini diikuti di Teluk Kalong, Kemaman seluas 260 hektar, Ladang Rakyat, Setiu 250 hektar dan Kampung Pagar Besi, Kuala Terengganu 200 hektar.
"Kebakaran di Tok Kah memakan operasi paling lama iaitu selama 51 hari kerana kedalaman tanah gambut yang terbakar sehingga mencecah 15 kaki dan hampir setiap tahun kebakaran hutan di kawasan itu berlaku dan kali terakhir dikesan pada tahun 2010," kata Abdullah Zawawi.
Beliau berkata bomba turut berdepan kesukaran untuk mengawal kebakaran itu antaranya tiada akses untuk melakukan pemadaman, punca air serta risiko haiwan berbisa semasa menjalankan operasi.
Sejumlah 263 pegawai dan anggota dikerah bagi mengawal kebakaran sehingga padam sepenuhnya, katanya. – Bernama, 21 Mac, 2014.

Piala YB Bukit Payong : Eratkan ukhuwah sesama masyarakat

Bukit Payong : Satu kejohanan bolasepak Piala YB Bukit Payong telah diadakan selama dua hari bermula 14 – 15 Mac lalu di Padang Bola Kampung Gong Kubur, berdekatan Kampung Paya Resak dekat sini.
Kejohanan anjuran Pemuda PAS Dun Bukit Payong itu, bermatlamat bagi mengeratkan lagi hubungan antara rakyat agar dapat membentuk masyarakat yang lebih bersefahaman dan boleh bekerjasama sesama mereka terutama dari kalangan pemuda.
Sebanyak 32 pasukan dari seluruh Dun Bukit Payong telah mengambil bahagian dalam kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah RM1500 dan piala dan dijalankan berasaskan kehendak syariat iaitu semua pemain mesti menutup aurat.
Menurut penganjur program, saudara Rahim Razali, kejohanan ini akan dicadangkan supaya dijadikan acara tahunan memandangkan sambutan yang diluar dugaan ini.
Tambah beliau, PAS sentiasa peka dengan kehendak golongan muda dan sentiasa berusaha bagi menyediakan platform yang sesuai untuk orang muda mengenengahkan bakat mereka.
Pertandingan itu dirasmikan oleh wakil rakyat Dun Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan majlis penutupan serta penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pemuda Dun Bukit Payong Ustaz Zakaria Ismail.
Dalam ucapan perasmiannya Ustaz Mohd Nor berkata sukan adalah salah satu cara bagi Pas mempromosikan parti dikalangan masyarakat terutamanya anak-anak muda.
Kata beliau lagi, tidak perlu bertumbuk atau bergaduh semata-mata kerana merebut hadiah kerana itu bukan dari ajaran Islam, malah sepatutnya melalui sukan persahabatan akan lebih kukuh dibina.
“Tak perlulah kita berbalah atau berkelahi untuk merebut juara kerana bukan itu matlamat sebenar bersukan.
Dengan sukan sepatutnya kita yang dari mempunyai sedikit kawan, menjadi semakin ramai kawan dan bukannya lawan,” ujar beliau.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penganjur kejohanan yang bertungkus lumus mengendalikan kejohanan dengan bersungguh-sungguh serta para penyokong yang memeriahkan lagi kejohanan itu.
Manakala ketika pada ucapan penutup dan majlis penyampaian hadiah, Ketua Pemuda Dun Bukit Payong, Ustaz Zakaria Ismail berkata, kejohanan ini bersandarkan kepada prinsip syariah yang menyerlahkan kecantikan Islam.

“Ukhuwah, menutup aurat serta dalam masa yang sama kita berdakwah kepada masyarakat.
Inilah kecantikan Islam yang mana kita boleh melakukan apa-apa perkara yang difikirkan baik asalkan selari dengan kehendak syariat,” tegasnya.
Dalam kejohanan itu pasukan tuan rumah, Gong Kubur telah muncul sebagai juara dengan menewaskan pasukan Kedai Buloh di perlawanan akhir manakala pasukan Surau Haji Mat Zain tempat ketiga dan Titian Baru keempat

Majoriti Pesakit Tidak Solat- Sesuatu yang memalukan Negeri Terengganu Darul Iman

1. Solat adalah wajib atas setiap muslim yang mukallaf walau apa jua keadaan sekalipun. Sehinggakan Islam telah menetapkan tatacara solat bagi orang yang sakit. Solat adalah menjadi fardu ain kepada semua muslim. 

2. Saya terkejut dengan pendedahan yang telah dibuat oleh Persatuan Pembelajaran Perubatan Pasca Siswazah (PGMES) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang menyebut hanya 20 peratus pesakit beragama Islam menunaikan solat semasa mendapatkan rawatan di wad HSNZ. Menurut pengerusinya, Dr Nujaimin Uidin berkata, sebanyak 80 peratus pesakit yang ditempatkan di wad hospital berkenaan pula memberikan pelbagai alasan untuk tidak melaksanakan solat sedangkan menunaikan solat adalah wajib walaupun ketika sakit.

3. Kenyataan tersebut amat mendukacitakan Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu (BPPNT) yang bercita-cita mendaulatkan agama Islam di negeri ini. Saya difahamkan juga bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan satu konsep yang diberi nama Hospital Mesra Ibadah (HMI) lebih 5 tahun yang lepas. Akan tetapi perlaksanaan bagi merealisasikan konsep tersebut jauh terkebelakang. Ianya nampak tidak kemas dan tiada penegasan dari pihak hospital itu sendiri. 4. Adakah anggota hospital yang telah dilatih setiap tahun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melaksanakan protokol atau tatacara dari HMI tersebut? Jika HMI ini dilaksanakan sepenuhnya, sudah tentu pesakit akan termotivasi bagi melaksanakan ibadah fardu ain mereka. Disamping itu saya melihat, suasana wad di HSNZ tidak kondusif untuk memudahkan pesakit melaksanakan ibadah harian mereka. Sebagai contohnya, sistem tandas yang tiada pengasingan antara tandas dan tempat mengambil wudhuk. Begitu juga tiada debu tayammun disediakan oleh pihak berwajib bagi membolehkan setiap pesakit yang terhalang mengangkat wudhuk dengan air.

5. Difahamkan HSNZ adalah salah sebuah hospital ‘Rakan Bayi’ dan telahpun berjaya dengan kempen-kempen program tersebut dengan memberikan maklumat dan kefahaman bagi ibu-ibu untuk menyusu badan. Oleh itu tiada alasan bagi pihak hospital untuk tidak melakukan program yang sama keatas solat dengan menekankan kembali perlaksanaan secara serius konsep Hospital Mesra Ibadah dengan meletakkan pegawai-pegawai agama dan kelengkapan dan keperluan solat serta kempen-kempen yang berterusan bagi membantu pesakit-pesakit melaksanakan solat ketika mendapat rawatan kerana solat adalah tiang agama, jauh lebih penting dari segala-galanya. Menurut tinjauan yang dilakukan, pihak hospital tidak proaktif dalam memberi penerangan kepada pesakit mengenai kepentingan ibadah solat. Bahan-bahan bermanfaat yang menerangkan tatacara solat semasa sakit juga tidak diwujudkan secara komprehensif.

6. Oleh itu kami BPPNT menggesa agar kerajaan negeri dan pihak Kementerian Kesihatan bersikap proaktif dalam mengangani masalah pesakit yang tidak solat ini agar kita semua tidak didakwa oleh Allah di akhirat nanti.




YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT
15 Jamadil Awwal 1435 bersamaan 18 March 2014

Jaga kesihatan semasa jerebu

1. Pas Negeri Terengganu memandang serius dengan suasana jerebu yang melanda seluruh negara ketika ini. Sehingga minggu lepas, angka terkini Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar mendapati bahawa majoriti negeri-negeri di Malaysia mengalami jerebu tahap kedua (IPU : 51 - 100 habuk halus). Manakala di beberapa tempat di negeri Selangor mengalami paras tidak sihat dengan IPU melebihi 200 habuk halus. Sehingga kenyataan ini ditulis, sebanyak 131 buah sekolah di daerah Klang telahpun diarahkan tutup. Negeri Terengganu juga tidak terkecuali mengalami masalah jerebu ini. Bacaan terkini IPU di Kemaman ialah 55. Di daerah-daerah lain seluruh Terengganu, alhamdulillah mencatatkan bacaan baik setakat ini. 2. Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan menganggarkan bahawa akan berlaku cuaca panas terik sehingga pertengahan Mac ini. Suhu pada siang hari boleh mencecah sehingga 40 darjah selsius. Keadaan ini boleh menimbulkan gejala 'heat stroke' kepada individu yang melakukan aktiviti terdedah dibawah panas terik matahari.
3. Pas Negeri Terengganu menyeru seluruh rakyat Malaysia amnya dan seluruh rakyat Terengganu khasnya agar menjaga kesihatan diri dan keluarga. Meminum air masak secukupnya (lapan gelas air sehari). Mengurangkan pengambilan minuman berkafein dan makanan yang masin, berpakaian agak longgar. Memilih untuk melakukan aktiviti dalaman, mengurangkan aktiviti luar terutamanya aktiviti yang terdedah kepada cahaya matahari dan dalam suasana jerebu ini. Keadaan ini boleh memberi kesan kesihatan yang teruk kepada pengidap asma. Tidak terkecuali juga penyakit-penyakit lain yang tidak boleh terdedah kepada cuaca panas dan berjerebu. Rakyat juga diminta mendapatkan info kesihatan dari semasa ke semasa daripada pihak yang berwajib. Sekian Yb Ustaz Mohd Nor Hamzah Ketua Lajnah Penerangan BPPNT 11 Jamadil Awwal 1435 bersamaan 14 Mac 2014

Isu keracunan makanan : Rakyat berhati-hati, peniaga terjejas

Marang : Rakyat negeri Terengganu kebanyakannya mengambil sikap berhati-hati, menunggu apakah hasil siasatan oleh pihak berwajib berkaitan kes keracunan makanan yang dipercayai dibeli di Pasar Minggu Taman Syahbandar minggu lepas. Ini penting bagi rakyat Terengganu kerana isu yang melibatkan kesihatan orang ramai bukanlah sesuatu isu yang boleh diambil mudah oleh sesiapapun apatah lagi jika ianya melibatkan nyawa orang yang tidak bersalah. Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika ditemubual baru-baru ini berkata, sememangnya rakyat perlu mengambil langkah berhati-hati dalam hal ini. Beliau menambah, jika semakin lama rakyat menunggu, maka akan semakin banyaklah lagi khabar angin yang akan tersebar yang boleh memberikan keadaan tidak selesa kepada masyarakat. “Sekurang-kurangnya bagitahulah sedikit maklumat bagi rakyat memahami keadaan agar menutup ruang bagi pihak yang tidak bertanggungjawab dari membuat spekulasi. Tambah-tambah lagi dengan adanya teknologi di tangan seperti Facebook, Twitter,WhatsApp, blog dan lain-lain lagi, amat mudah berita disebar,” katanya.
Beliau ditemui ketika membuat lawatan ke Pasar Malam Atas Tol yang baru dipindah lokasinya dari Kampung Atas Tol ke perkarangan Pasar Kedai Buloh yang baru. Tapak tersebut dipindahkan kerana mengelakkan ganguan trafik serta lebih bersih, teratur dan menarik lagi dan ianya dipersetujui oleh persatuan peniaga. YB Ustaz Mohd Nor yang juga Wakil Rakyat Dun Bukit Payong berkata pihaknya juga menerima banyak keluhan para peniaga pasar malam yang mendakwa perniagaan mereka terjejas dengan kes keracunan makanan ini. Menurut aduan yang diterima oleh pihaknya, ramai pelanggan ketika ini mengurangkan aktiviti membeli belah terutamanya makanan di pasar-pasar malam kerana isu ini. Ini menyebabkan para peniaga yang bergantung sepenuhnya dengan hasil jualan makanan di pasar-pasar malam mengalami kejatuhan jualan yang agak teruk dan sekaligus menjejaskan pendapatan mereka. Beliau berkata lagi, rakyat bertindak sedemikian kerana kekurangan maklumat dan yang menjadi mangsa adalah peniaga-peniaga yang jujur, bersih serta yang mengamalkan etika berniaga dengan betul. “Yang kasihan ialah peniaga-peniaga yang jujur yang kita tahu kejujuran mereka,” ujar beliau. Oleh itu beliau menggesa agar pihak yang berkenaan tampil memberikan maklumat-maklumat bagi memahamkan orang ramai berkaitan isu ini.
Sementara itu beliau juga berharap agar tapak pasar malam yang baru ini akan memberikan lebih keselesaan kepada para peniaga serta pelanggan. Beliau juga mendoakan agar semua kira-kira 40 orang peniaga itu mendapat keberkatan dalam perniagaan mereka di tapak yang baru. Seorang peniaga Suhana Hussin 35, berharap agar perniagaan akan lebih maju lagi di tapak baru ini dan kejadian keracunan makanan itu tidak berulang lagi.

PAS Terengganu rakam ucapan dukacita kepada DSAI

Bismillah. Saya mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), ingin merakamkan ucapan dukacita yang teramat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan keluarga beliau diatas keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman keatas DSAI lima tahun penjara setelah menerima rayuan pendakwa dalam Kes Liwat 2. Kami menganggap keputusan ini tidak boleh diterima kerana bercanggah dengan hukum Islam dan kes ini sepatutnya diadili di Mahkamah Syariah dan bukannya sivil. Dengan sistem pembuktian yang kuat yang digunakan dalam Islam dalm kes Qazaf sebegini, maka saya yakin DSAI tidak akan dizalimi sepertimana sistem keadilan ciptaan manusia. Kami juga yakin dan percaya bahawa ini adalah keputusan yang dirancang bagi menamatkan karier politik DSAI di Malaysia. Jelas, ini adalah bayangan ketakutan Umno-BN kepada aura DSAI dan Pakatan Rakyat. Oleh sebab itu, mereka sanggup menggunakan segala jentera yang ada bagi mengekalkan kuasa mereka. Kami konsisten dengan pegangan kami iaitu akan membantu sedaya upaya kami ke atas mereka yang dizalimi. Sesungguhnya kami takut dengan doa orang-orang yang dianiaya. Kami bersama jentera-jentera kami, insyaAllah akan berjuang bagi menghapuskan kezaliman ini kerana Allah. Kami berdoa dan berharap agar Datin Seri Wan Azizah serta anak-anak dikurniakan ketabahan di atas ujian yang berat ini. Semoga Allah membantu DSAI serta keluarga mengharungi ujian ini. YB Ustaz Mohd Nor Hamzah Ketua Penerangan BPPNT 05 Jamadil Awwal 1435 bersamaan 08 Mac 2014

PAS memandang serius kejadian keracunan makanan di Kuala Terengganu

1. PAS Negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Mohd Ilme Mat Adam atas kematian anak lelakinya, adik Muhammad Iqbal Rafie Mohd. Ilme akibat dari keracunan makanan pada hari Isnin, 3 Mac lalu. 2. Kejadian keracunan makanan ini sudah sampai peringkat wabak berlaku di sekitar Kuala Terengganu dengan jumlah mangsa setakat ini telah mencecah 101 orang yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Kami difahamkan bahawa keracunan ini adalah berpunca dari makanan yang dibeli oleh mangsa di Pasar Malam Taman Shahbandar, Kuala Terengganu. Kami ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Haji Anwa Sulaiman atas kepantasan pasukannya bertindak, apabila dimaklumkan bahawa, pihaknya sudahpun mengenal pasti tiga peniaga pasar malam yang terlibat dengan kes keracunan makanan ini. 3. PAS Negeri Terengganu memandang serius kejadian ini dan mendesak tindakan drastik dari pihak MBKT dan juga kerajaan negeri. Langkah-langkah penjagaan kebersihan perlu diperketatkan dengan penguatkuasaan Akta Makanan 1983 & Kebersihan Makanan 2009. 4. Pas Negeri Terengganu menggesa kerajaan negeri memperkemaskan prasarana yang mencukupi di semua lokaliti pasar malam seperti paip bekalan air bersih, tapak pasar minggu yang bertar bagi mengurangkan masalah debu, sistem kumbahan yang teratur dan pembuangan sisa buangan yang sistematik. Disamping itu juga bertindak tegas atas kecuaian dari aspek kebersihan yang dilakukan oleh para peniaga. Kami juga menyarankan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menyiasat mana-mana peniaga yang tidak mematuhi aspek kebersihan ini termasuk tidak mengambil suntikan thypim, agar dikenakan hukuman yang lebih berat, supaya menjadi pengajaran kepada peniaga-peniaga yang lain. Suntikan ini penting bagi memastikan setiap pengendali makanan bukan pembawa kepada kuman berbahaya Salmonella Thypii.
5. Pas Negeri Terengganu juga menggesa MBKT mengazetkan secara khusus lokaliti setiap pasar malam agar setiap pengusaha tidak terpaksa berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat yang tidak terjamin kebersihannya. 6. PAS Negeri Terengganu juga menyeru kepada semua peniaga-peniaga di Terengganu yang majoritinya Islam, agar menitikberatkan soal kebersihan, sesuai dengan saranan Islam, Kebersihan Itu Sebahagian Dari Iman. 7. Kami juga menyeru agar orang ramai mengamalkan sikap yang lebih serius memilih untuk membeli di gerai-gerai atau kedai-kedai yang diketahui benar-benar menjaga kebersihan sahaja bagi mengelakkan kejadian ini dari berulang. YB Ustaz Mohd Nor Hamzah Ketua Penerangan BPPNT 2 Jamadil Awwal 1435 bersamaan 05 Mac 2014

YB Chukai yang perihatin

Dia suka berjenaka, malah boleh bermesra dengan sesiapapun walaupun kali pertama berjumpa dan bertemu dengannya. Namun apabila datang hal-hal yang penting dan mustahak, dia akan menjadi serius menumpukan perhatiannya kepada perkara tersebut. Mungkin inilah antara ramuan kejayaan YB Haji Hanafiah Mat memikat hati pengundi Chukai dan sekaligus menjadi wakil rakyat PAS bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai, dalam parlimen Kemaman. Bukan sahaja pengundi Melayu, malah pengundi bangsa lain juga mudah mesra dengan beliau, bersesuai dengan jawatan yang disandangnya, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Negeri Terengganu.
Kecaknaan beliau terserlah apabila baru-baru ini, beliau telah menziarahi kematian seorang perempuan berbangsa cina yang meninggal akibat kanser di Chukai. Ketika mendapat berita itu, beliau sedang berada dalam program kuliah maghrib yang disampaikan oleh YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Penerangan PAS Terengganu di Surau Dusun Nyior. Selesai solat isyak, beliau bergegas ke Rumah Mayat Jakar bagi mengucapkan takziah kepada keluarga Wong Chan Hai (Kedai Kopi Hai Peng) atas kematian isterinya Puan Tan 71 serta sempat bertanya khabar dengan orang ramai yang hadir. Selesai menandatangani buku takziah di Jakar, beliau bergegas pula ke Pejabat PAS Kawasan Kemaman bagi menghadiri program usrah PAS Kawasan Kemaman.Bagi beliau, hal berkaitan dengan perhubungan antara kaum sangat penting kerana, Malaysia terdiri daripada penduduk yang berbilang bangsa dan tiada kekuatan jika satu daripada bangsa ini diketepikan. Beliau tidak mahu terikut-ikut dengan rentak permainan sesetengah pihak yang sentiasa mencari permusuhan antara kaum bagi menakut-nakutkan rakyat untuk mengekalkan kuasa. “Bagi saya, semua kaum di Malaysia mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Baik Melayu, Cina, India dan lain-lain etnik, kita semua adalah rakan dan kita boleh hidup bersama tanpa ada rasa iri hati,” tegas beliau. Beliau seterusnya menasihatkan semua rakyat Malaysia agar mengekalkan perpaduan antara kaum yang telah lama terjalin ini bagi memastikan keamanan di Malaysia dan tidak bermain dengan api perkauman.

Rehlah Pemuda Surau Panjang meriah

Bukit Besi : Satu program rehlah yang mengumpulkan anak-anak muda dari PAS Cawangan Kampung Surau Panjang dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Payong telah diadakan Jumaat lalu. Program selama dua hari itu malam itu, diadakan di Kawasan Perkelahan Air Terjun Chemerong, Pasir Raja, Dungun disertai oleh seramai 63 orang pemuda bermotosikal. Menurut Ketua Pemuda PAS Cawangan Kampung Surau Panjang, saudara Zakaria Salleh, acara ini adalah acara tahunan dan ianya sudah menjangkau kepada tahun ke – 4 program ini dijalankan. Tambah beliau lagi, rehlah ini bertujuan bagi mengeratkan lagi hubungan antara ahli Pemuda PAS cawangan sesama mereka. Ianya juga diharap dapat mencari bakat-bakat baru untuk diketengahkan dalam organisasi Pemuda PAS, sebagai pemimpin dan penggiat parti agar dapat dimasa depan pelapis muda ini sudah bersedia untuk diserap masuk dalam organisasi. “Kami menggunakan peluang ini bagi mengeratkan lagi hubungan antara ahli-ahi agar mudah mereka memahami sesama mereka terutama apabila menjalankan kerja-kerja parti. Diantara mereka juga mungkin ada bakat terpendam untuk menjadi pemimpin, maka ini juga peluang bagi kami bagi mengenengahkan bakat-bakat mereka,” kata beliau. Selain dari mengajar keselamatan jalanraya, beberapa pertandingan sesama peserta bagi memeriahkan lagi program, turut diadakan.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, wakil rakyat Bukit Payong. Dalam ucapan penutupnya, Ustaz Mohd Nor menekankan agar pemuda-pemuda Islam sentiasa mempersiapkan diri mereka dengan ilmu dunia dan akhirat agar tidak mudah ditipu oleh golongan-golongan yang berniat jahat. “Janganlah kita kosong dengan ilmu dunia dan akhirat kerana dunia ini penuh dengan penipuan. Mereka tidak dapat menguasai kita jika kita penuhkan diri kita dengan ilmu. Oleh itu orang muda, jangan leka dengan hiburan sebab inilah antara cara mereka menipu dan menghanyutkan kita. Berhibur tidak salah, kena pilih hiburan macamana dan kena ada hadnya serta jangan kita tinggal solat,” tegas beliau. Turut hadir dalam majlis penutupan itu ialah Timbalan Ketua PAS Cawangan Kampung Surau Panjang, Haji Aziz Embong berserta Bendahari, Haji Said Mohammad.